Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Novel Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Novel Bahasa Melayu. Show all posts
19 Zulkaedah 1432H - Ia sebuah ceritera cinta. Qamarain mengadu kepada Allah bila bermasalah, sampai ke akhirnya. Nur Sayang membentangkan kebenaran Islam kepada Dr. Andrew melalui makna ayat-ayat al-Quran walaupun dia sendiri masih tercari-cari identiti diri. Cabaran dan tempelak dari Dr. Andrew membuahkan hasil lumayan buat kedua-dua manusia itu.

Saya larut dan asyik akan luahan hati Dr. Andrew tentang keinginan memahami al-Quran dan apa ajaran Allah lewat kitab Allah tersebut. Dr. Andrew memperoleh hidayah Allah dan menukar nama kepada Dr. Ehsan. Doktor itu bertekad mengamalkan ajaran Islam seperti saranan al-Quran, namun hatinya kecewa dan terus membawa diri ke Gaza, Palestin.

Detik dan kesungguhan Dr. Ehsan di hospital Gaza dinarasikan tuntas. Perjuangan umat Palestin demi sebuah syahid memilukan dan saya terkesima, seperti mana terkesimanya Dr. Ehsan dapat ‘melihat’ bagaimana mereka cintakan syahid dan merindui syurga Allah seperti dijanjikan dalam al-Quran.

Di Gaza Dr. Ehsan menemui cinta sejatinya, iaitu mati syahid seperti mana termaktub dalam al-Quran. Dia menemui kekuasaan dan rahmat Allah membantu insan lemah yang akan diganyang oleh Yahudi Zionis laknat. Allah menurunkan bala tentera-Nya yang entah dari mana. Subhanallah! Dia menemui cinta agung Allah di bumi para nabi.


Di sepanjang pembacaan, saya mengakui bahawa seorang jurutera sofwer berjaya merasai pahit getir perjuangan umat Islam Palestin melalui watak-watak syahid. Dalam masa yang sama saya kagum jurutera sofwer Maya Iris boleh menukilkan plot novel sebaik ini.


Saya beritahu penulis Puan Maya Iris bahawa novel ketiga beliau ini bakal menjadi bestseller dalam masa singkat, berbanding dengan dua buah novel sebelumnya. Salah satu faktor ialah desain kaver hadapan. Sememangnya desain kaver Mahar Cinta Cinderella lain daripada yang lain jika dibandingkan dengan novel-novel Islami terbitan PTS.

Pada hemat saya, desain kaver yang memaparkan wajah orang tidak lagi menjadi trend yang menarik untuk sesuatu kaver sesebuah novel. Sekiranya wajah orang itu perlu juga, jangan menjadikannya suatu imej besar yang memenuhi sebahagian besar desain kaver. Cukup sekadar kecil sahaja.


(Web Sutera atau Hizamnuddin Awang ialah penulis buku Buat Duit dengan Katering. Beliau juga seorang pentaksub buku yang sering membuat resensi buku dan memberi kritikan dari segenap sudut bagi sesebuah buku yang ditelaah.)

Ini pula resensi dari anak saya:

Aku bukan hendak bercerita fasal Cinderella. Aku mahu maklumkan bahawa aku baharu selesai membaca sebuah novel berjudul Mahar Cinta Cinderella. Pengarangnya ialah Maya Iris, rakan abah aku.

Sangat best novel ini, bercerita fasal cinta Islam yang sebenar. Memanglah aku tidak menyukai novel cintan-cintun, tetapi ini bukan cinta sembarangan. Ia berkisarkan cinta di jalan Allah.


Kavernya pun lawa. Mula-mula tengok kaver lawa, terus tertarik untuk membacanya. Selepas membaca sinopsis, terus berasa mahu baca isi kandungannya pula. Kisahnya seperti berikut.


Pertemuan Nur Sayang dengan Dr..Andrew bila Dr. Andrew selamatkan Nur Sayang iaitu jururawat pelatihnya. Di waktu Nur Sayang kena ragut, Dr. Andrew menggunakan sepasang kasut sahaja untuk menyelamatkannya . Kemudian dari situ dia orang berkenalan.


Dia orang selalu bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pandangan tentang isi al-Quran. Kemudian Dr. Andrew memeluk agama Islam dengan menukar nama kepada Dr. Ehsan.


Dr. Andrew masuk Islam bukan sebab Nur Sayang, tetapi disebabkan hati dia tertarik dengan Islam. Selepas itu Dr.Ehsan melamar Nur Sayang, tetapi ditolak. Jadi Dr. Ehsan merajuk dan pergilah ke Gaza , Palestin.


Mula-mula tujuan utama pergi ke sana sebab merajuk. Bila Dr. Ehsan sudah berada di Gaza, tujuan dia jadi baik untuk menyelamatkan mangsa peperangan di sana.


Dipendekkan cerita, masa dia balik ke Malaysia, Dr. Ehsan mahu mencari Nur Sayang, namun tidak dipertemukan. Jadi dia berjumpa Dr. Zaharah, rakan sekerjanya yang juga mengenali Nur Sayang. Rupa-rupanya Nur Sayang pun suka Dr.Ehsan dari dulu tetapi tidak mahu mengaku. Akhir sekali, Dr. Ehsan melamar Nur Sayang lagi sekali. Kemudian dia orang merancang untuk berkahwin. Happy ending.


Photobucket
Sudut pandang yang berbeza dari seorang ayah dan anak perempuan terhadap novel cinta Islami berjudul Mahar Cinta Cinderella. Daripada lima bintang, saya berikan empat kepada novel cinta Islami ini.

Saya petik beberapa rangkap isi yang ditulis oleh Puan Maya Iris yang menarik untuk ditelaah:

Dengan pantas Nur Sayang melabuhkan punggungnya di kerusi pesakit sebelah meja Dr. Andrew. Kepalanya tertunduk tidak berani bertentang mata dengan Dr. Andrew. Dia mengesat airmata dengan hujung tudungnya. Tahu-tahu sekotak tisu disuakan di hadapannya.

“Saya sudi mendengar.” Dia terdengar suara Dr. Andrew berkata.

“Entahlah doktor. Hidup saya ini kucar-kacir. Ibu saya dengan masalah tidak dapat keluar dari perkahwinannya. Saya pula dengan masalah tidak dapat masuk ke dalam alam perkahwinan. Begitu ironi, bukan?” Nur Sayang memulakan bicara.
Judul: Mahar Cinta Cinderella
Penulis: Maya Iris

Penerbit:
PTS Litera Sdn Bhd, 2011

ISBN-13: 978-967-408-009-9

Jumlah Muka Surat: 400

Harga: RM 18 / RM 20
Dari tanggal 21 Jun sehingga ke 24 Jun dan seterusnya 28 – 29 Jun 2010, aku sibuk menguruskan satu sesi katering di Seksyen U2, Shah Alam. Katering bagi sesi latihan selama enam hari itu melibatkan tiga kali sajian; makan pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Tugas aku bermula dari jam 7.30 pagi memandu ke sana. Aku persiapkan meja bufet seadanya, menyusun cawan-cawan, sudu dan garfu, dan pinggan serta piring yang bersesuaian. Chef menyusul ke sana kemudian bagi menghantar menu makan tengah hari dan kuih-muih minum petang. Setelah selesai menyusun sajian makan tengah hari, chef akan pulang ke rumah. Tinggallah aku sehingga jam 5.00 petang.

Di sela-sela masa di tiga sajian makanan, aku membaca. Novel pertama ialah Cinta Sufi karya saudara Ramlee Awang Murshid, sekuel dari tiga lagi novel sebelumnya; Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta. Aku berjaya menyelesaikan pembacaan Cinta Sufi dengan perasaan bercampur baur; kagum, sedih dan amat mengesankan.

Cinta Sufi sebuah fiksyen thriller yang amat ditunggu-tunggu oleh aku dan para peminat tegar karya Ramlee Awang Murshid. Sebelum novel ini diterbitkan, aku dan ramai lagi pembaca trilogi Bagaikan Puteri dapat menjangkakan secara tepat bahawa epik thriller ini akan bersambung. Watak hero Laksamana Sunan atau Saifudin masih hidup di akhir siri ke-3 Hijap Sang Pencinta.

Walaupun pada mulanya ramai rakan aku ragu-ragu berkenaan Laksamana Sunan belum ‘dimatikan’ oleh penulis, tetapi setelah diteliti di pengakhiran Hijap Sang Pencinta, ternyata bahawa hero dua zaman itu masih bernyawa atas kasih sayang dan cinta Allah. Aku menanti penuh sabar akan hasil sekuelnya.

Ya, aku katakan secara jujur Cinta Sufi terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. adalah sebuah novel terbaik dari trilogi sebelumnya. Walaupun ianya merupakan kesinambungan dari tiga siri terdahulu, namun garapan, narasi dan upaya imaginasi Ramlee mencapai kemuncak dalam Cinta Sufi.

Cinta Sufi bukan sekadar sebuah epik thriller. Ia juga sebuah novel cinta, media dakwah Islam, sains-fiksyen, karya fantasi dan juga novel Islami. Lengkap sebagai bahan bacaan bermutu, indah dari sudut bahasa Melayu, molek dan tuntas kaedah narasi penceritaan, sarat unsur-unsur Islam dan kecintaan kepada Allah, dan aksi tempur yang lincah dan terperinci.

Novel ini juga merangkumi fiksyen sejarah Melaka yang ditawan Portugis. Bahawa masih wujud sebilangan perajurit dan masyarakat kampung yang dipimpin Laksamana Hang Tuah (yang dibuang oleh Sultan Melaka), Panglima Awang Bagan dan Hang Lekiu terus melawan penjajahan Portugis di Hulu Melaka. Bantuan Laksamana Sunan bagi meruntuhkan keegoan bangsa penjajah itu juga memainkan peranan amat penting dalam menyemarakkan semangat juang anak bangsa. Bahawa bangsa Melayu tetap tebal rasa cintanya kepada tanah air. Mereka tidak akan membiarkan penjajah menjarah dan merobek-robek agama Islam dan kedaulatan tanah berkah itu. Baik syahid berkalang tanah dari melihat bumi Hulu Melaka ditawan.

Plot bangsa Polip juga amat mengujakan aku Kaedah narasi Ramlee bagi ‘menghidupkan’ kembali bangsa Polip yang dikatakan pupus itu amat menarik untuk ditaakul. Polip merupakan suatu mahkluk Allah yang bersayap, menghuni satu banjaran berhutan tebal dan bersalji. Mereka adalah antara hamba-hamba Allah yang taat dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam).

Jika dalam novel terdahulu, bangsa Polip hanya muncul bagaikan sekilas sahaja. Tetapi dalam Cinta Sufi, ianya menjadi bahagian penting jalan cerita dalam membantu Laksamana Sunan menemukan kembali kekuatan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Apa lagi yang anda mahu dari sebuah novel yang cukup semua rempah-ratus sebagai karya sastera bermaruah? Secukup rasa dan seindah bahasa. Itulah Cinta Sufi.

Setelah selesai membaca Cinta Sufi, aku bergegas menelaah novel fantasi berjudul Syaakur Pejuang Dua Dunia. Tidak dapat aku nafikan, Cinta Sufi dan Syaakur Pejuang Dua Dunia memiliki satu sudut yang sama, iaitu berkenaan watak hero atau pejuang yang memerangi kejahatan dunia gelap syaitan. Kekecewaan utama aku bagi Syaakur Pejuang Dua Dunia ialah bukunya terlalu nipis. Namun sekuelnya tetap aku tunggu.

Untuk membaca komentar ringkas aku berkenaan novel fantasi oleh saudara Resmanshah terbitan PTS ini, sila ke sini. Terasa tidak puas menghayati bait-bait nukilan Resmanshah.

Jom baca buku!

P/s: Saudara Ramlee berpesan, jangan memuja dirinya, kerana hanya Allah yang wajib dipuja. Juga jangan memuja Laksamana Sunan, dia hanyalah manusia biasa yang dianugerah Allah dengan hikmat dan kebijaksanaan. Hanya Allah, ingat Allah.
Assalamualaikum, Cik Sue 'Kulat', orang Segamat, Johor. Maaf kerana 'hutang' sudut pandang saya terhadap novel Kita Hanya Di Seberang Jalan lambat dibikin. Bukan sahaja kerana kesibukan menguruskan bisnes katering, malah faktor malas mengulas juga menjadi kekangan. Juga buat seketika saya fokuskan terhadap onar jahanam TERRORIS ZIONIS ISRAEL. Okey, beginilah secara ringkas.

Saya suka isi dan cara persembahan saudara Bahruddin Bekri. Bersahaja tetapi amat menghiburkan. Cara penulis mengolah sebuah kisah yang sering terjadi dalam masyarakat Melayu secara narasi yang luar biasa membuatkan plotnya indah dan asyik. Ia sebuah kisah cinta dan perjuangan dalam kehidupan. Cinta sahabat sepupu dan cinta sesama insan.


Kisah mencari kerja yang sesuai, menanti cinta datang (cinta harus dicari dan dibajai) dan mencari modal untuk bisnes dinarasi pintal memintal bersama watak-watak bantuan. Watak-watak sampingan itu juga dijalin secara molek, tali-temali tidak putus. Dirangkai menggunakan lenggok penceritaan bahasa Melayu yang indah.


Satu plot mengenai pemburuan pencarian modal bisnes. Walaupun derma/bantuan oleh orang kaya itu kepada sepupu Rusdan (nama sudah lupa) sebanyak RM500,000 itu nampak 'keterlaluan', namun demi untuk melengkapkan pengajaran kepada Amrullah, maka ianya wajar. Tambahan pula, kerana kegiatan dan tipu-helah Amrullah berhasrat mematikan bisnes sepupu Rusdan, dan memberi ‘pukulan’ kepada Rusdan demi mengejar cinta seorang gadis, menatijahkan bantuan besar tersebut. Ianya memang adil. Lagi pun ayah Amrullah memang jutawan (orang kaya itu).


Ada
jalan cerita atau sub-plot yang boleh diagak, tetapi saya sering tersenyum di sela-sela pembacaan. Desain kulit hadapan cantik, indah dan kontemporari sesuai dengan kisah keseluruhan novel ini. Susunan teks muka surat diatur kemas, tidak sakit mata untuk menatapnya.

Tahniah untuk penulis, saudara Bahruddin Bekri, orang Sarawak. Saudara telah menghadiahkan sebuah penulisan kreatif yang baik. Saya akan cari lagi novel-novel tulisan saudara.


Sinopsis

Kisah seorang lelaki bernama Rusdan yang terpaksa bekerja di kedai pisang milik sepupunya bersama kaum kerabat yang lain. Masalah timbul kerana kedai pisang itu dibina tanpa lesen dan PBT hendak merobohkannya, selain mempunyai beberapa pesaing.


Di seberang jalan kedai itu, ada sebuah rumah teres yang didiami seorang wanita, dan Rusdan sering melihatnya. Dia juga sering memerhatikan wanita itu ketika wanita itu berbelanja di kedai pisang. Entah bagaimana, wanita itu bermurah hati membantunya. Dia kehairanan dan cuba menyiasat sebab utama wanita itu membantunya di kedai itu.
Akhirnya terbongkarlah rahsia, di seberang jalan.

Judul: Kita Hanya Di Seberang Jalan

Penulis: Bahruddin Bekri

Penerbit: PTS One Sdn. Bhd., terbitan Januari 2010

ISBN-13 & halaman:
978-967-5406-16-4 & 448 muka surat
Harga: RM 19.90 (Sem. Malaysia) / RM 21.90 (Sabah & Sarawak)
Satu lagi buku yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ialah novel bertajuk Dunia Belum Berakhir karya Puan S. Rafidah H. Basri. Walaupun mungkin kisahnya biasa, iaitu menumpukan kepada sebuah keluarga di pekampungan Melayu Jawa di Selangor, namun garapannya indah.

Di sepanjang pembacaan, saya seakan-akan melihat diri sendiri di suatu sela masa kehidupan. Cuma watak ‘ayah’ dalam kisah novel ini memiliki sifat yang jauh berbeza dari aruah ayah saya. Begitulah juga persekitaran pekampungan di mana saya dilahir, dididik dan dibesarkan. Yang agak berbeza ialah kampung saya dilahirkan di kelilingi oleh sawah padi. Aktiviti budak-budak kampung di masa lapang diceritakan secara terperinci oleh penulis. Itu juga mainan saya dan rakan-rakan semasa di kampung.


Cuma mainan pistol buluh bersama peluru buah cemerai tidak diperikan dalam fiksyen ini.
Bermain lastik regangan getah gelang dan melagakan buah getah juga tiada. Saudara pernah bermain laga guli atau memasukkan guli ke dalam lubangnya (macam main golf!)? Ting-ting (orang Kelantan dan Besut panggil dekcok), galah panjang dan wau? Hahaha...Itu belum termasuk lagi melastik burung, membuat jerat burung, memancing ikan, menahan tauk dan lampung (al-Fatihah untuk aruah ayah saya, juara tahan lampung). Fuh,banyak!

Di pengakhiran, hati saya menjadi sayu. Watak Arif memang tabah dan pasrah menerima takdir Allah, setabah ibunya. Perubahan sikap ayahnya juga menjadi titik tolak bahawa dunia memang belum berakhir. Setiap kejadian dan takdir memang sesuai untuk seseorang itu. Allah itu Maha Adil sifatnya.


Novel Dunia Belum Berakhir sudah agak lama berada dalam lingkungan keluarga saya. Saya baru membacanya justeru kerana aruah ibu saya yang berminat untuk menelusuri kisahnya terlebih dahulu. Apabila beliau sudah tiada (al-Fatihah untuk ibu di sini), baru saya ambil kembali dari simpanan di rumah orang tua di Jerantut, Pahang.
Permulaan cerita yang mendebarkan, penuh aksi. Plot disusun cukup ampuh. Dari mula saya sudah menjangka siapa punya angkara dalam peristiwa pesawat pejuang milik tentera Singapura ditembak jatuh di Filipina. Siapa yang menjadi kambing hitam? Seorang rakyat Malaysia. Pihak pejuang pemisah yang bermusuh dengan kerajaan Filipina juga telah dituduh bertanggungjawab.

Telahan saya tepat. Dalang di sebalik kejadian yang memulakan debar awal kemungkinan perbalahan antara dua kerajaan dan serangan tentera Filipina terhadap pejuang pemisah Mindanao ialah agen perisik sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat. Pastinya ialah CIA, walaupun tidak disebut secara terbuka dalam kedua-dua novel ini.


Mengapa Malaysia terlibat? Setelah diselidiki, senjata yang digunakan untuk menjatuhkan pesawat Singapura itu dibangunkan oleh sebuah syarikat milik seorang rakyat Malaysia bernama Arman. Tidak perlu tunggu lama untuk Malaysia turut terheret dalam konflik pra-peperangan tiga penjuru ini.


Sesungguhnya Arman berdepan dengan masa. Dia perlu melarikan diri dan mengejar dalam masa yang sama untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Dalam masa yang sama membongkar siapa dalang yang mahukan tiga negara ini bertelagah. Ada konspirasi penuh debar di sebalik kejadian.


Apa pula motif kedatangan seorang perisik Amerika Syarikat (AS)? Kenapa AS begitu berminat untuk masuk campur dengan konflik tiga negara ini? Sudah pasti AS menggunakan modal memburu dan membunuh terorist. Komander Ahmad Payan, ketua militer Pembebasan Mindanao menjadi sasaran.


Dengan menggunakan beberapa anak tempatan Malaysia, AS memasang perangkap untuk menampakkan bahawa konflik itu bukan buatan mereka.
AS dan agen-agen CIA memang begitu. Jahat dan busuk!

Novel aksi Kudeta
Intro dan Kudeta Klimaks yang diterbitkan dalam dua jilid ini merupakan fiskyen thriller yang cuba mencari kelainan dalam hubungan geo-politik di rantau Asia Tenggara. Sudah sekian lama saya banyak membaca novel thriller berbahasa Inggeris yang melakarkan konflik geo-politik dan pra-peperangan di rantau ini. Kedua-dua novel terbitan PTS berbahasa Melayu ini patut dipuji dan diberi perhatian. Ia membawa kelainan.

Watak-watak pejuang pemisah menjadi pelengkap inti sebuah perjuangan. Isi hati dan makna perjuangan dijelaskan secara baik oleh penulis Khairul Nizam Khairani melalui luahan hati anggota pejuang pemisah Mindanao tersebut. Perjuangan mereka panjang dan penuh onak duri. Pimpinan pejuang pemisah dan rakyat Mindanao mendambakan keamanan kekal bagi wilayah selatan Filipina itu. Tetapi AS menerusi agenda busuk mereka tidak mengizinkan keamanan impian rakyat Mindanao menjelma.


Persoalan cinta? Memang ada. Konflik jiwa jutawan Arman dalam mencari cinta. Antara kekasih hatinya dan seorang gadis wartawan bernama Adrienne.
Adrienne, gadis misteri itu mempunyai agenda tersendiri serta penuh tekad dalam setiap keputusan. Namun di kala bersendirian, dia tetap mengalah kepada kata hatinya.

Makna cinta terhadap negara juga dibawa Arman ke Filipina. Negara Malaysia yang berdaulat ini memiliki rakyat yang sanggup mati demi tanahair tercinta. Itulah Arman, sang jutawan Melayu!


Saya sudah membaca novel Meniti Maut (Ayman Haikal) dan Mikhail (Ramlee Awang Murshid). Persoalan dasar yang sama diketengahkan oleh Kudeta Intro dan Kudeta Klimaks, tetapi mempunyai kelainan tersendiri. Tahniah untuk penulis! Novel aksi dan thriller sebegini mesti diperbanyakkan di Malaysia. Dalam masa yang sama, kita dapat mewarnai ‘wajah’ sebenar agen Barat dalam cubaan mencatur iklim geo-politik rantau Asia Tenggara ini.


Untuk penerbit PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., mengapa perlu diterbitkan dalam dua jilid? Padahal saya kira memadai digabungkan kedua-dua novel ini dalam satu buku. Adakah kerana strategi bisnes yang memberi keuntungan yang lebih andai dibuat dua jilid?
Ada beberapa sebab mengapa saya menyukai novel Gerila oleh Lukman Iskandar, terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Sebab yang pertama dan utama ialah kerana ianya kategori genre thriller aksi tempur. Sebab kedua ialah kerana ianya mengisahkan perjuangan Angkatan Bersenjata Republik Islam Patani (ABRIP) melawan penjajahan Thailand dan teroris Parti Komunis Malaya (PKM).

Buku ini merupakan antara beberapa buah
fiksyen terbitan PTS yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) yang diperjuangkan oleh penerbit. Saya gembira dan mengucapkan tahniah kepada PTS.

Secara umum, narasi penulis umpama air deras. Namun a
da ketikanya terhalang oleh ‘batu-batu besar di sepanjang aliran sungai’. Mengapa saya kata begitu? Ianya justeru kerana ada di beberapa halaman plot seakan-akan melompat secara tiba-tiba. Agak sukar untuk saya melihat kembali kesinambungan sebelumnya. Ada kala penggunaan ganti nama bertindih. Saya menjadi keliru siapa yang dimaksudkan.

Walaupun begitu, saya masih dapat merasai jerih sebuah perjuangan suci. Ada ketika saya terkedu dan terasa bening. Ya, memang saya dapat merasainya lewat bait-bait narasi penulis. Pedih, pilu, marah, geram dan terkesima.

Saya berasal dari leluhur Melayu Patani. Moyang dan datuk saya sebelah emak merupakan susur galur keluarga yang dihormati (mungkin salah satu keluarga diraja yang memerintah atau ulamak) Kerajaan Islam Patani yang merangkumi daerah Yala, Narathiwat, Satun dan Songkla. Masih ramai lagi ahli keluarga di sana. Saya masih dapat berjumpa dan mengenali beberapa waris terdekat semasa bersekolah di Besut, Terengganu di tahun-tahun 70-an dan 80-an. Kerap kali ada ahli keluarga yang bertandang ke Besut dari Thailand.

Selepas berkeluarga pula, ada dua kesempatan bertemu muka dan berkenalan dengan keluarga dari sana yang berkunjung ke Besut. Kedua-duanya kerana mereka menghadiri majlis walimah sepupu saya. Keluarga dari selatan Thailand itu datang menaiki bas dua tingkat dan van panjang. Bas sarat di tingkat atas dan bawah.

Fiksyen sejarah ini memang memberi kesan yang mendalam terhadap saya. Saya umpama kembali ke tanah tumpah darah nenek moyang ‘melihat’ perjuangan mereka dan generasi yang ingin menegakkan sebuah negara Melayu Islam di sana.

Sebagai anak Melayu Islam leluhur Patani, saya cukup mendambakan sebuah kerajaan Islam Patani merdeka dari kerajaan Thailand. Namun sebagaimana narasi penulis dalam novel ini, kelihatannya amat sukar, malah mustahil bagi Thailand untuk membenarkan perjuangan menubuhkan Republik Islam Patani.

Tetapi perjuangan tetap diteruskan, dan siapa yang dapat menidakkan takdir Allah ke atas istiqamah mereka di sana?


Sinopsis
Novel kontroversi ini ditulis ketika penulisnya, Allahyarham Lukman Iskandar, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1992 hingga 1994. Penulis adalah bekas Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani.


Walaupun fiksyen, novel Gerila ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis. Ia berlatarbelakangkan konflik di Patani, sebuah negeri Melayu yang dijajah oleh Thailand sejak tahun 1785.


Kisahnya tentang Kapten Ruziman, seor
ang juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang diselamatkan oleh anggota gerila pembebasan Patani ketika pesawatnya terhempas di Selatan Thai. Selepas diselamatkan, Kapten Ruziman menyertai perjuangan gerila itu. Mereka berperang dengan tentera Thai, polis Thai dan PKM.

Gerila
penuh dengan aksi tempur, taktik peperangan sebenar, konflik emosi, dan konflik kuasa!


Sejarah pergerakan revolusi Pat
ani
Dari sudut sejarah, pergerakan revolusi Patani dinamakan Pergerakan Komando Revolusi Rakyat Patani. Pergerakan ini tergabung dalam Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).


BRN ditubuhkan pada 13 March 1960, bertempat di sebuah institusi pengajian Islam yang terkenal, Sekolah Haji Harun atau Thamwitya Mulniti, Bandar Yala. Pengasas-pengasasnya terdiri dari Ustaz Karim Hassan, Dr. Haji Harun, Wan Muhammad Bung, Ustaz Razali, Harun Yaacob, Yusoff Chapakiya, Ahmad Shariff dan Abdul Qayoom.


BRN ditadbir oleh sebuah komiti pusat diberi nama DPP (Dewan Pimpinan Pusat). Anggota DPP telah ditambah oleh tokoh-tokoh saperti Tengku Jalal, Amin Tohmina, Ustaz Zakaria dan Ahmad Yenkee.


Pada tahun 1963, Amin Tohmina mengambil-alih jawatan sebagai Presiden. Amin mula memecat beberapa anggota yang tidak disukainya termasuklah Yusoff Chapakiya, Abdul Qayoom, Ahmad Shariff dan akhir sekali Dr. Harun Sulong. Tengku Jalal keluar dari BRN untuk memimpin fron pembebasannya sendiri diberi nama BNPP. haji Yusoff pula menubuhkan sebuah fron sebagai alternatif kepada BRN diberi nama PRN(S).

Berkaitan: Angkara British/Thai: Rakyat Melayu-Islam Patani bermandi darah

Pembunuhan di Masjid Furgan, 10 Jun 2009

Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN)

Patani Electronic Cyber Media
Salju Sakinah biasa-biasa sahaja. Tidak menampakkan sebuah novel Islami yang cukup baik seperti mana pujian yang diberikan oleh pembaca-pembaca siri novel ini ketika ia disiarkan dalam akhbar Utusan Online.

Terus terang saya katakan bahawa ada ketika saya melangkau dalam pembacaan novel ini. Di separuh jalan pembacaan, saya cuba menyingkirkan rasa bosan, tetapi ia tetap mengejar nubari. Jangkaan saya tersasar dalam menilai isi kandungan Salju Sakinah.


Tarikan utama saya ialah desain kulit depan. Itu sebab awal mengapa saya membelinya. Ternyata juga penerbit PTS amat berjaya mempromosi novel ini sehinggakan kelemahan tidak muncul. Apabila mula membacanya, baru timbul banyak hal-hal yang kurang menarik. Khabarnya terlalu indah, namun rupanya tidak sama padan.


Mungkin saya lelaki, justeru itu pujian melangit oleh pembaca wanita tidak dapat saya benarkan. Memang isi dan isu novel ini biasa-biasa sahaja.


Maaf saudara Zaid Akhtar, saya terpaksa membandingkannya dengan novel Islami lain seperti Ayat-Ayat Cinta, Tunggu Teduh Dulu dan Kuseru Namamu Kekasih. Bandingan Salju Sakinah dengan Ayat-Ayat Cinta, jauh berbeza. Pastinya Ayat-Ayat Cinta jauh terkedepan.


Ciri-ciri wanita sabar, tabah dan tawakal yang dibawa oleh Sumayyah tidak sebanding dengan wanita tabah serta kental dalam Tunggu Teduh Dulu (karya Faisal Tehrani) yang dibawa watak Salsabila Fahim. Plot dan gaya penceritaan Salju Sakinah rapuh, malah ada kalanya bosan.


Pengorbanan Rayyan kerana Allah dan agama Islam, cinta Rayyan kepada Kekasih nan satu diceritakan dengan begitu baik oleh penulis Maya Iris lewat Kuseru Namamu Kekasih. Namun tidak dalam Salju Sakinah. Biasa-biasa sahaja.


Novel remaja Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring, lebih menarik. Ianya merupakan sebuah kisah motivasi. Semangat yang hampir patah dapat dilentur kembali dengan tujuan murni. Demi agama dan negara watak utama mengenepikan segala tohmahan, rintangan dan kegagalan dahulu demi mengejar sebuah kejayaan.


Akhirnya jika dibandingkan dengan novel Tautan Hati oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin, maka Salju Sakinah selangkah ke hadapan.


Salju Sakinah, alahai! Biasa-biasa sahaja.
Jika ingin diberikan bintang, dari 5 saya hanya berikan 2 setengah sahaja. Seorang wanita yang sangat rapat dengan saya juga mengatakan Salju Sakinah tidak seindah kulit depannya.

Untuk penerbit
PTS, di mana laungan perjuangan saudara memartabatkan bahasa Melayu tinggi? Masih banyak kedapatan penggunaan bahasa peringkat rendah di sana-sini, seawal dari halaman tiga! Ianya serupa seperti komen saya untuk novel sains-fiksyen Transgenesis. Andai penerbit lain, saya tidak berapa kisah sangat. Tetapi Salju Sakinah diterbitkan oleh PTS. Justeru kesalahan ini merupakan satu dosa terhadap mazhab perjuangan sendiri.

Salah satu komen pengunjung blog buku saya mengenai buku-buku PTS ialah "Kualiti kulit dan promosi memang top tapi kandungannya banyak yang menyedihkan." Siapa yang bersetuju atau tidak, sila beri pandangan.
Tajuknya agak pelik pada tanggapan saya; Gapura. Tanpa merujuk kamus perkataan ‘gapura’ (jika ada) saya mencari-carinya tatkala membaca novel ini. Di bahagian kedua novel baru saya temui makna sebenar gapura.
Gapura merupakan pintu gerbang. Novel thriller ini cuba menonjolkan gapura sebagai sebuah pintu gerbang surau di sebuah kampung, juga sebagai ‘pintu’ kesedaran bagi mencuci jiwa dan batang tubuh yang sudah sekian lama tercemar.

Asas utama novel ini ialah sendikit jenayah dan dadah yang berpusat di kota raya besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Budaya Yakuza dan Mafia menjadi teras taikor dadah. Bagi melindungi kegiatan jenayah dan pengedaran dadah mereka, naga-naga neraka jahanam ini melaksanakan bisnes halal dari sudut undang-udang negara. Wang yang diperoleh dari hasil pengedaran dadah secara besar-besaran dilaburkan ke dalam bidang bisnes lain.

Terjalin bersama dalam plot utama ialah unsur pengkhianatan dan menikam rakan dari belakang. Masing-masing disalut sifat tamak dan menurut nafsu syaitan semata-mata. ‘Coup de etate’ dirancang oleh seekor ‘ular’ dan ianya melagakan dua ekor ‘naga’ dadah yang berkuasa di ibu kota Kuala Lumpur. Terhimpit di sela-sela debu putih yang ‘hitam’ ialah manusia-manusia yang tersasar ditiup badai ganas.

Penulis Zehann Ur-Rakhie memperkenalkan banyak istilah baru kepada saya dalam urusan jual beli dadah. Walaupun ianya sebuah fiksyen, namun penulis pandai membuat olahan menjadi sangat real. Saya menjadi sedikit kecut, jika memang begini dunia jahanam tersebut. Sebuah kisah manusia dan kehidupan yang penuh hanyir dan sarat kebejatan.

Watak utama, Man Jai atau Jai Ko, merupakan orang kanan dalam organisasi jenayah (naga) yang sedang berperang. Suatu ketika dalam melaksanakan urusan jual-beli yang besar, rakan sendiri telah mengkhianatinya.

Akibatnya Man Jai tercampak ke Selat Melaka, lalu menemui sebuah kehidupan yang tidak pernah dilaluinya, walaupun mungkin pernah diimpikan. Dari situlah Man Jai menemui ‘gapura’.

Tanpa disangka-sangka, dalam relung kedamaian yang mula dikecapi, ternyata Man Jai tidak boleh lari dari dunia hanyir dahulu. Man Jai melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana anak-anak muda hanyut dan hancur lantaran ketagih dadah. Dia menyedari bahawa oleh kerana perbuatan pengedaran dadah yang diulitinya dahulu, ramai anak muda Felda musnah menjadi bangkai bernyawa.

Dengan kesedaran dan ingin menebus dosa-dosa lalu, Man Jai kembali ke lembah hitam organisasi jenayah dan dadah. Namun kali ini dengan satu hasrat yang utuh, dia ingin menghapuskan dan menjahanamkan organisasi yang dia banggakan dahulu.

Man Jai bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa dalam diam-diam. Satu persatu organisasi pemusnah itu dihancurkan. Akhirnya dia ditangkap, dipenjarakan dan dibebaskan.

“Biarpun kau pergi jauh dan tersesat...
Namun keagungan kasihNya akan menarik
Kau kembali kepadaNya.”

Man Jai menemui cinta di gapura kehidupan. Cinta menunggunya di luar pintu penjara.

Judul: Gapura
Penulis: Zehann Ur-Rakhie
Penerbit: Pekan Ilmu Punlications Sdn Bhd, 2007
ISBN: 978-983-3385-16-4
Halaman & harga: 561 halaman & RM22.90

Berkaitan:
Penjajahan dan peperangan dirancang satu kuasa jahat
Terus terang saya katakan bahawa setakat ini hanya dua buah buku berbahasa Melayu yang sangat terkesan di hati; pertama ialah Dari Beirut ke Jerusalem dan yang kedua novel Meniti Maut. Mengapa saya katakan begitu? Kedua-dua buku ini membuatkan air mata saya bergenang. Memang hebat, insyaAllah.

(Sila klik di sini;
Dari Beirut ke Jerusalem, hening dan penuh syahdu, untuk membaca resensi ringkas buku Dari Beirut ke Jerusalem.)

Okey berbalik semula kepada novel Meniti Maut oleh saudara Eyman Hykal.
Dedikasi utama Meniti Maut ialah “Khas buat para pejuang pembebasan Palestin yang tegar di merata dunia.” Ya, untuk pejuang fisabilillah bumi Palestin. Salah satu dialog yang menghiris hati saya ialah begini:
“ALLAH telah panggil dia. Tugasnya sudah selesai. Tetapi perjuangan saya masih belum tamat. Saya akan teruskan sehingga giliran saya tiba.”

“Tan Sri Daud, tolong uruskan penghantaran pulang abang saya. Saya akan hubungi keluarga saya untuk menyambut kepulangan jenazah. Saya tidak boleh pulang untuk mengebumikan mayat. Tuan tentu faham akan kedudukan saya. Terima kasih banyak-banyak. Semoga ALLAH membalas jasa tuan kepada perjuangan rakyat Palestin.”


“Alangkah kerasnya hati seorang pejuang. Melangkah terus tanpa menoleh. Yang gugur tidak mematah semangat meskipun yang pergi adalah abang sendiri.”
Sebagai sebuah novel aksi yang penuh intrigue (komplot), bab pertama sudah menyerlahkan hasrat penulis. Bab-bab seterusnya semakin tangkas dan lincah. Plot serta sub-plot digarap ampuh dan pendek serta padat. Aksi pertarungan yang terperinci dapat dibayangkan di tubir mata, seakan-akan suatu layar terpampang di depan.

Segalanya bermula dengan niat bobrok atas slogan “Gold, Glory and Gospel” yang dianuti oleh konglomerat imperialis dan neo-kolonialis barat dan Zionis (sejak dulu). Sebuah pertubuhan Zionis dunia menggunakan satu organisasi kemanusiaan bagi menjajah kembali dunia Timur ini. Mereka melaksanakan komplot hitam ini dengan menghantar ejen-ejen economic hitman untuk menyusup ke dalam syarikat-syarikat utama Malaysia, negara yang tercinta.


Apa atau siapa dia economic hitman?


Makna asas seorang economic hitman ialah,
“A highly paid professionals who cheat countries around the globe out of trillions of dollars. They funnel money from the World Bank, the U.S. Agency for International Development (USAID), and other foreign ‘aid’ organizations into the coffers of huge corporations and the pockets of a few wealthy families who control the planet’s natural resources.


Their tools include fraudulent financial reports, rigged elections, payoffs, extortion, sex, and murder. They play a game as old as empire, but one that has taken on new and terrifying dimensions during this time of globalization.” (Source: WantToKnow website)


Tetapi economic hitman dalam Meniti Maut merancang onar yang jauh lebih busuk dan berjiwa sangat hitam!


Kejahatan Zionis memang tidak boleh tidak berkaitan Palestin.
Justeru itu pejuang jihad Palestin bertebaran di seluruh dunia. Kedatangan dua orang pejuang tersebut ke Malaysia melebarkan skop tugas ajen Zionis yang pada mulanya bermaksud lain. Cerita menjadi semakin seru, pergaduhan dan pembunuhan tidak dapat dielakkan.

Seperti yang dijangka, kerajaan Malaysia dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) membantu kumpulan terroris.
Bagi AS apa sahaja yang berkaitan Palestin adalah terroris. Justeru itu, Malaysia berada dalam persimpangan; mahu mengikut telunjuk AS atau tidak. Penyelesaian kemelut ini dijalin secara tuntas oleh penulis. Tahniah!

Di halaman terakhir Meniti Maut, timbul pula tugasan baru bagi Fariz (watak hero), iaitu ke Thailand. Negara Thailand wujud di salah satu sub-plot cerita, iaitu mengenai seorang samseng bernama Awut Chaovalit. Alhamdulillah, saya percaya bahawa Meniti Maut akan ada sekuel ataupun siri yang lain.


Juga ada cinta berputik di sebalik aksi dan titian maut yang dilalui. Ada rindu di nubari.


Saya yakin novel penyiasatan, risikan, penyusupan, spi dan high politics seperti Meniti Maut akan mengisi lohong perbukuan di Malaysia. Meniti Maut bakal menggegar dunia penerbitan bahasa Melayu di Malaysia!


Tajuk: Meniti Maut

Penulis:
Eyman Hykal

ISBN: 978-983-124-422-7

Penerbit:
Alaf21 Sdn. Bhd. (2009)

Halaman: 418 muka surat

Harga: RM17.00 (Sem. Malaysia) & RM20.00 (Sabah & Sarawak)

Photobucket
Sasterawan Negara 1988, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arenawati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad, 15 Januari 2009, akibat barah paru-paru.
Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi. Sumber berita melaporkan beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 September lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Sememangnya seorang penulis prolifik dan berjiwa besar, Arenawati masih sempat menyiapkan karya terakhir ketika menjalani rawatan di HUKM. Menurut kata anak sulung gemulah, Rahmah Wati, sewaktu Allyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan telah menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.

"Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara," katanya.

(Nama pena penulis yang cukup saya kagumi ini dicatat dalam dua bentuk ejaan; Arenawati dan Arena Wati)

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allahyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera. "Beliau seorang yang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham yang dihasilkan menerusi pengalaman hidupnya.”

Arenawati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Beliau pernah menggunakan beberapa nama pena lain seperti Duta Muda dan Patria.

Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik.

(Novel mengisahkan kehidupan pelaut pertama saya baca ialah Sandera, terbitan DBP tahun 1971. Cukup menarik dan penuh warna. Ayat-ayat ibarat lukisan menayang layar kehidupan. Novel ini ada di rumah emak)

Gemulah menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953. Selepas tamat persekolahan, Arenawati bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imiginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

Arenawati pernah dianugerahkan beberapa anugerah seperti SEA Write Award (1985), dan Anugerah Sasterawan Negara (1988).

Seingat saya, karya pertama gemulah yang saya miliki ialah novel trilogi Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Kuntum Tulip Biru (1988) dan Bunga Dari Kuburan (1987) saya beli di Kedai Buku Koperatif Universiti Sains Malaysia (USM) pada sekitar tahun 1989/1991. Manakala Sakura Mengorak Kelopak (1988) saya beli di kedai buku DBP, Kuala Lumpur (tahun tidak ingat).

Antara karya allahyarham ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991), Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala (1993), Panrita (1993).

Karya seterusnya ialah Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002), Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan Cakra Waruga (2006).

Berkaitan: Arena Wati: Perjuangan, ego dan maruah diri dalam Turina dan alam bersuara dalam Eno
Berkaitan:
Arena Wati (1925-2009)
Photobucket
Kandungan emel ini saya hantar kepada pengerusi syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors (PTS), Puan Ainon Mohd. Saya terbitkan semula di sini.

Assalamualaikum Puan Sifu,

Doa mengiringi emel ini semoga Sifu di bawah payung Ilahi Yang Agung.

Sudah sebulan lebih berlalu sejak saya habis membaca novel Perang Sangkil.
Sangkaan saya meleset terhadap novel ini. Plot yang hambar dan kurang menarik. Ayat-ayat yang berulangan juga menambah kurang mutu novel ini. Ya, saya akui bahawa penulis berjaya menyelami ‘gelora jiwa’ watak-watak utama novel, namun isinya dangkal.

Mengikut hemat saya, plot dan sub-plot masih boleh dikembangkan. Contohnya bagaimana orang-orang besar Melayu zaman itu melakukan serangan terhadap orang-orang Asli dalam usaha menjadikan mereka hamba. Bentuk serangan, saya kira, patut diperhalusi.

Persoalan perut menjadi intipati novel ini. Memang benar itulah rencah kehidupan orang Asli di era itu. Tetapi jika dikembangkan, juga tanpa ayat yang berulangan, novel ini lebih menyakinkan. Saya tahu teknik penulisan novel yang menggunakan kaedah berulangan sedemikian ada, tetapi tidak sesuai. Sebuah novel sejarah yang terpinggir dari arus zaman, jika diolah, akan membuka mata ramai pihak.

Hanya Allah yang Maha Tahu.

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Itu adalah keseluruhan kandungan fiksyen sains dan fantasi Takluk Jagat: Bisikan Ariasha oleh Zaki Zainol.

Bahagian pertama Takluk Jagat ini dipenuhi dengan plot dan sub-plot yang bertali arus, mengalir laju menakluk jiwa saya.
Walaupun ‘dendam’ memenuhi aliran cerita, banyak pengajaran yang boleh dijalin. Antaranya:
“Namun, melihat apa yang berlaku membuatkannya berfikir. Betapa perasaan benci dan amarah umpama sebilah pedang bermata dua. Perasaan itu boleh merosakkan seorang manusia dan juga memberikannya semangat untuk terus hidup. Perasaan Zilastra tersentuh. Biarpun si Musang cuma penyamun, tetapi dia begitu setia kepada sahabat-sahabatnya. Manusia yang kononnya tulus dan mulia belum tentu dapat memberi keteguhan setiakawan seperti itu. Penyamun yang menitiskan air mata demi sahabatnya bukanlah seorang yang mati hatinya. Mungkin....cuma seorang manusia yang tersilap memilih arah hidup ataupun mungkin desakan hidup yang menolaknya ke pinggir jalan yang gelap dan berduri...”
Novel ini merupakan kisah kembara hero utama, Bayu Adi Jata, menjejak keris keramat Takluk Jagat. Bersama ‘kembar’ Takluk Jagat, Indera Bumi, dan ditemani oleh puteri bunian Ariasha Cinta Castra dan Zilastra, Bayu Adi Jata menjelajah Tanah Ini. Di setiap hentian, ada sahaja halangan. Dalam waktu yang sama, Bayu banyak belajar dari kembara tersebut. Keupayaan ilmu persilatan Bayu juga semakin meningkat di sepanjang kembara yang memakan masa dan tenaga.

Takluk Jagat: Bisikan Ariasha menampilkan jurus-jurus jagat persilatan di Tanah Ini; Gegaran Bumi Merekah, Helang Menjunam Dari Awan, Melayah Sang Garuda, Gelora Menghempas, Julangan Panglima, Langkah Lipat Bumi, Bayu Berolak, dan pelbagai lagi nama pelik tetapi menarik.


Setiap jurus persilatan tersebut mempunyai bacaan mentera berbentuk pantun atau puisi yang cukup indah. Digarap semolek mungkin oleh Zaki Zainol. Saya terpegun dan berulang-ulang membaca setiap pantun tersebut. Bukan setakat untuk memahami apa yang dijalin oleh penulis, malah saya cuba mengecapi keindahan bahasa dan lengoknya.


Watak-watak kasar, jahat dan penuh dendam diselang-selikan dengan watak baik, bepekerti, lemah lembut, berhemah dan tunduk kepada Tuhan. Saya sering katakan kepada sahabat-sahabat, kita boleh berdakwah dan berjihad dalam berbagai bentuk. Penulisan adalah salah satu darinya. Saudara Zaki Zainol berjaya dari sudut ini.


Ketika membaca novel ini, saya tenggelam bersama watak, plot dan persekitaran. Begitu asyik dan mendebarkan.


Saya berharap bahagian kedua akan lebih tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Paling kurangpun, setara dengan bahagian pertama ini.


Judul: Takluk Jagat: Bisikan Ariasha

Penulis: Zaki Zainol

Penerbit: PTS Fortuna,
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008
ISBN (13): 978-983-192-237-8

Muka surat: 388 halaman

Harga: RM25 (Sem. Malaysia), RM28 (Sabah & Sarawak)
Saudara, ada satu ulasan menarik di blog saya oleh sahabat Khayr berkenaan entri saya bertajuk “Desain kulit depan novel Islami”. Elok kita dan penerbit fikir-fikirkan. (Nota: Saya edit komen ini kepada Bahasa Melayu tinggi)

Maaf kalau saya katakan ini pengeksploitasian di luar sedar, sebenarnya kecantikan seluruh wanita itu boleh dilihat pada matanya! Tambahlah lagi kalau mata itu bercelak, kening dinipiskan... satu lagi ketidakadilan hanya yang berkulit putih mulus saja ditampilkan, tidak ada pula yang berkulit gelap,

Mungkin sudah tiba masanya para novelis Islami ini dan para penerbit mereka keluar sekejap dari kepompong yang terlalu sempurna ini dan menulislah di dalam kerangka realiti.

Saya ada memiliki sebuah buku kisah benar bertajuk “Do They Hear You When You Cry” oleh Fauziya Kassindja, dan sudah membacanya. Desain kulit depan buku ini menggunakan muka wanita berkulit hitam. Ingin saya nyatakan bahawa memang kisah dalam buku ini ialah berkenaan seorang wanita Afrika berkulit hitam.

Namun apa pandangan saudara?

Pendekatan memuatkan petikan ayat Quran dan hadis Nabi Muhammad (S.A.W) di setiap permulaan bab harus diberi pujian. Saya kerap melihat petikan-petikan pendek sama ada dari Bible atau kata-kata orang ternama barat masa lalu dikutip dalam novel bahasa Inggeris yang dibaca.

Maksud ayat-ayat Quran dan hadis yang disertakan mempunyai hubung kait dengan plot dan sub-plot bagi setiap bab. Walaupun mungkin kaedah ini ditunjuk ajar oleh penerbit PTS, namun penulis Maya Iris berjaya memilih dengan baik.


Novel Islami memang berlainan daripada novel-novel genre lain. Antara intipati utama novel Islami ialah kemurnian cara hidup Islam dan amalan watak-watak tertentu yang mencorakkan jalan cerita. Kuseru Namamu Kekasih memiliki ciri ini. Dalam masa yang sama, diwujudkan juga watak-watak yang begitu kontras antara satu sama lain. Kuseru Namamu Kekasih menjalin secara tuntas plot, sub-plot dan watak-watak utama menjadi satu hamparan atau denai sutera menuju kebenaran Islam hakiki.


Pengorbanan Rayyan kerana Allah dan agama Islam, cinta Rayyan kepada Kekasih nan satu diceritakan dengan begitu baik oleh penulis.
Kepentingan peribadi diketepikan demi Islam dan demi menjaga satu pegangan supaya tidak tergelincir. Gundah jiwa diubati dengan zikir dan bersangka baik dengan Tuhan.

Kerana cintakan Islam juga yang membuatkan Zaim dan Hanisa melupakan kisah lama. Mereka berdua asyik mengamalkan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad (S.A.W) dengan reda, tanpa keluh kesah. Indahnya menghayati ajaran Islam jika kita mahu. Amat sukar seandainya syaitan dan nafsu membelenggu.


Dalam pada itu, ada sedikit plot thriller dalam novel ini, bermula dari halaman 342 hingga 455. Agak mendebarkan!


Terakhir sekali ialah hidayah Allah tidak mengenal bangsa dan umur. Semua makhluk adalah hamba Tuhan. Margaret dan Mark menemui jalan pulang, kembali kepada janji asal kejadian manusia di alam roh. Mereka mengaku bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah.


Judul: Kuseru Namamu Kekasih

Penulis: Maya Iris

ISBN: 978-983-3604-74-6

Penerbit: PTS Mellenia Sdn. Bhd, 2008

Muka surat: 489 halaman

Harga: RM24.50 (Semenanjung Malaysia), RM27.50 (Sabah & Sarawak)


P/s: Chef Lusiana Catering kata desain kulit depan kurang menarik tetapi isi ceritanya okey.


*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Pada hemat saya, novel Ungu Karmila terbahagi kepada empat bahagian besar. Bahagian pertama merupakan sejarah awal Ungu Karmila, dari halaman 4 hingga ke 81. Bermula dari halaman 82 sehingga ke 290 penulis Ramlee Awang Murshid memberikan tumpuan kepada plot-plot yang berhubung kait dengan watak-watak utama.

Seterusnya debaran sebenar bermula tatkala berkumpulnya watak-watak utama di pejabat Arafat, iaitu bahagian ketiga, dari halaman 291 sehingga ke 456. Bahagian terakhir lebih kepada plot selepas terbakarnya Vila Sunyi di Puncak Rimba, Cameron Highland, dari muka surat 457 hingga ke epilog.


Bahagian pertama agak hambar. Namun ia penting sebagai pengenalan kepada sejarah Vila Sunyi dan bunga Ungu Karmila. Pendekatan berlainan dari novel-novel terdahulu Ramlee menampakkan kejayaan.
Penulis berjaya menggarap plot dan menjalin peristiwa di Vila Sunyi dengan amat baik. Bait-bait pendek dan mendebarkan. Bahagian ketiga ini menyukarkan saya untuk memberhentikan pembacaan saya.

Satu kekuatan Ramlee dalam novel ini beliau berjaya ‘menipu’ pembaca. Salah satu ialah plot yang dinukilkan selepas kejadian ngeri di mana semua pemburu hantu mati di Vila Sunyi. Saya berjaya ‘ditipu’ oleh Ramlee dengan watak Dr Ismadi bercakap-cakap dengan Ema, walhal pada waktu itu Ema sudah mati! Saya sedar watak Ema mati apabila kembali merujuk kejadian “tengkok Ema terlanggar salah satu tiang tangga semasa jatuh tergolek dari tingkat atas.”


Dalam pada itu, ungkapan “Ia makan untuk hidup tetapi ia tak pernah minum” menjadi satu misteri tersendiri. Saya mencari-cari apa maksudnya sehingga hampir ke penghujung cerita. Di situ baru jumpa.


Gabungan unsur mistik dan kajian sains moden di bahagian terakhir novel ini berjaya dijalin dengan menarik oleh Ramlee. Di sini Ramlee cuba untuk mengaitkan kejadian hilang akal, gila dan halusinasi beberapa watak dengan kajian terhadap bunga Ungu Karmila oleh Dr Ismadi. Penulis berjaya mencipta plot bahawa kejadian aneh dan unsur mistik itu boleh dijelaskan dengan penemuan sains.


Beberapa ralat, saya kira, adalah seperti berikut:

  1. Halaman 203: “BADO senang mendengar impian Kamarul yang serba kekurangan itu.” Sepatutnya bukan BADO tetapi DINO.
  2. Di kulit belakang, ada dinyatakan Vila Sepi, tetapi di halaman dalam pula semuanya merujuk kepada Vila Sunyi. Silap taip mungkin?
Walaupun begitu, ralat di atas tidak pula mencacatkan ‘debaran’ yang Remlee paparkan!
Di bawah ini adalah satu komen dari saudara yang tidak bernama terhadap entri “Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu – novel Islami” di blog ini. Ada intipati komen beliau yang saya setuju, ada juga yang saya kurang bersetuju. Walaupun begitu, komen insan tidak bernama ini patut diteliti untuk kebaikan dunia sastera kita.

Mungkin ada kesilapan Ramlee dalam menghuraikan sesuatu fakta agama dalam usaha untuk mengukuhkan plot. Untuk saudara Ramlee, ambil teguran yang baik sebagai satu ilmu bagi menghasilkan karya yang lebih bermutu.

---------------------------------------------------------------------------------------------
---------------------------------------------
Saya baru sahaja menghabiskan pembacaan Bagaikan Puteri. Dan saya boleh katakan yang saudara Ramlee tidaklah begitu bagus. Yang bagus saya kira hanyalah namanya yang sudah boleh diangkat sebagai 'brand'. Dia menulis picis-picis pun kalau ada dicetak namanya, boleh laku.


Saya juga tak faham kenapa novel ini diletakkan dalam kategori thriller. Aksi, ya. Cinta, ya. Tapi thriller, saya tak nampak relevennya. saya rasa hanya sekadar mainan kata-kata penerbit. Sekadar 'branding'.


Saya juga terkejut bila terbaca yang Ramlee ada menyatakan yang kita dibangkitkan dalam bentuk roh. Setahu saya, kita dibangkitkan kelak dalam bentuk fizikal, bukan roh.


Dan saudara Ramlee juga terlalu cuba melojikkan ceritanya yang memang tak lojik. Kurang bijak jika membuat cerita fantasi tapi masih memaksa pembaca untuk menerimanya sebagai lojik. Ingat, cerita yang bagus ialah walaupun tak lojik, penataannya lojik dan cerita yang tak bagus adalah sebaliknya. Beliau berkali-kali menyumbatkan penyataan 'dengan izin ALLAH' maka boleh berlaku kejadian balik ke zaman dahulu. itu tidak lojik.


Nah, maka tiada sempadan lagilah antara dunia sebenar dan fantasi. jika ada pembaca mengkritik, sudah tentu beliau akan berkata ; "dengan izin ALLAH semuanya mungkin”. Penulis yang bijak tidak menggunakan penyataan dengan Izin ALLAH untuk membawa pembaca percaya jalan ceritanya. Kita semua tahu itu.

Masih banyak lagi elemen-elemen tidak bijak dalam novel-novel beliau. Tapi memandangkan hanya beliau sahajalah penulis yang membawa kelainan, saya gagahi juga untuk membaca karyanya.

Photobucket
top