Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Faisal Tehrani. Show all posts
Showing posts with label Faisal Tehrani. Show all posts
Saya sudah lama membaca novel ini, seawal cetakan pertama lagi. Gaya penceritaan saudara Faisal Tehrani menarik dan indah, kadang-kadang bersahaja. Gaya hidup sarat hiburan terlarang sesungguhnya sekian lama melatari komuniti bandar kita.

Kerajaan pimpinan UMNO/BN terus menerus membiarkan gaya hedonis ini mekar subur. Malah selalunya menyediakan segala prasarana bagi ianya terus bercambah meracuni budaya.


Secara tidak langsung Faisal mengambil contoh program realiti TV Akademi Fantasia. Beliau menyinggung dengan ilmu. Tatkala program itu sedang hangat dan mekar sarat dengan budaya hedonis, novel ini muncul dalam pasaran. Indah dan asyik isinya. Pedas masakannya. Namun curahan idea ibarat air sejuk mangalir mencucur nurani.


Sinopsis
Advencer Si Peniup Ney

Hedonis. Begitu definisi kaum di negeri jauh itu. Landas hidup hanya untuk berseronok-seronok, berm
ewah-mewah, lazat, lazat, lazat. Berpantang arah tujuan, terlarang segala fikiran. Ya, aliran hedonisme menjunjung kelazatan dan puja-pujaan, emm... cita rasa, cita rasa!

40 remaja berawajah amat berseri-seri mengundang Sulaiman Hilmi yang bermata biru hijau berbalam, yang berwajah cahaya. Bersama mereka menunggang awan, memacu ombak menuju ke negeri jauh, membawa salam kesejahteraan. Demi menyahut panggilan Cinta. Menyerah buat dibakar api Cinta. Merawat duka rawan rindu kepada Cinta. Bahawa yang paling seronok, paling mewah, paling lazat ialah kelazatan menunaikan janji abadi.


Bahawa Dia itu Satu. Tempat bergantungnya segala sesuatu. Tumpuan hidup dan mati dan hidup lagi sesudah mati. Dia Sumber Cinta, Pencipta Segala Rasa.


Karya ini secara sinis menempelak
gaya hendonisme anak muda yang tercemar akhlaknya lantaran asyik dengan hiburan yang bertentangan dengan Islam.

Karya ini merunut kehebatan kesenian Islam yang telah melahirkan tokoh-tokoh sufi dan falsafah selain menyerlahkan nama-nama seperti Ibnu Misjah, Ibnu Suraj, Ata Abi Rabah, Yunus Kateb, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan Yunus Emre.


Faisal juga berjaya mengolah naratif keseluruhan karyanya dengan memberi penegasan bahawa kesenian dan Islam bukanlah sesuatu yang terpisah daripada konsep keimanan.


Judul: Advencer Si Peniup Ney

Pengarang: Faisal Tehrani

Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Cetakan Pertama: 2005

Mukasurat : 243 halaman

ISBN :9676117625

Berkaitan:
Majalah Mangga. Adakah ini yang saudara suka?
Wajah memang cun, tetapi amalkan budaya hedonis!!

Akademi Fantasia atau FANTASIAL?
Semasa saya di bangku sekolah rendah, menengah dan era remaja, saya sangat menggemari buku-buku bercorak penyiasatan, sama ada dalam bahasa Melayu mahu pun bahasa Inggeris. Minat ini diteruskan apabila memasuki universiti dan meniti alam dewasa. Tetapi novel penyiasatan dewasa pula menjadi koleksi, merangkumi kategori thriller, misteri, thriller berkaitan teknologi, penyiasatan yang berkaitan geo-politik, dan novel sejarah.

Namun begitu, siri penyiasatan Detektif Indigo garapan idea saudara Faisal Tehrani menampakkan kelainan yang ketara berbanding siri penyiasatan era 80-an dan 90-an. Walaupun Detektif Indigo dikategorikan sebagai novel remaja, saya turut teruja untuk membeli dan membacanya. Setakat ini sudah dua buah diterbitkan; Detektif Indigo (terbitan pertama tahun 2005) dan Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisan & Jimson (terbitan pertama tahun 2007).


Kisah yang berasaskan kepada sekumpulan remaja indigo (remaja yang memiliki IQ yang sangat tinggi, serta kebolehan luar biasa) yang membantu polis dan pihak berkuasa dalam menyelesaikan kes-kes rumit amat menarik untuk diteliti. Bukan itu sahaja, penekanan Faisal, seperti biasa, dalam ruang lingkup Islam.


Di sini remaja-remaja Indigo itu ialah remaja Islam yang mempunyai sahsiah tinggi dalam pergaulan mereka. Mereka menerima ilmu-ilmu bantu di sekolah atau maktab khusus yang ditubuhkan oleh dunia Islam. Di sana juga kebolehan luar biasa mereka disuburkan sebaik mungkin dengan nilai-nilai Islam.


Kedua-dua novel ini diserikan dengan watak-watak lucu (juga dialog lucu), di samping keupayaan luar biasa mereka. Untuk mengetahui apakah bentuk keupayaan luar biasa remaja Indigo ini, sila baca Detektif Indigo dan Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisan & Jimson.


Saya syorkan kepada pembaca remaja dan dewasa.
(Nota: Jika anda perlukan perkhidmatan katering, sila hubungi saya)
“Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.” Inilah ayat yang diulang-ulang pada setiap bab - dari bab 1 hingga bab 20 (juga epilog) – oleh Faisal Tehrani dalam novel Tuhan Manusia.

Novel ini tidak memuatkan banyak watak, tetapi sarat dengan idea falsafah dan diskusi antara konsep Islam liberal (yang sesat) dengan Islam lurus yang berlandaskan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad. Memang benar, Faisal menggunakan teknik khutbah dalam novel ini. Sebahagian besar perbualan, diskusi, perbicaraan dan penghujahan ibarat ceramah yang penuh ilmu.

Satu saranan berani dan ampuh dari Faisal dalam membentangkan pendekatan bagi meluruskan kembali masyarakat yang pincang oleh serangan Barat melalui isu kesamaan agama. Penulis juga meletakkan asas melalui ‘khutbah-khutbah’ yang disampaikan oleh watak-watak supaya anasir jahat Islam liberal ditentang; bukannya menerusi kekerasan tetapi melalui dialog peradaban.

Kata Faisal di halaman awal novel, “Ini ialah novel saya yang paling ambitious setelah 1515”, saya menyetujuinya. Ini adalah kerana novel Tuhan Manusia “menyelami kehalusan jiwa dan akal seorang adik (Ali Taqi bin Mohamad) yang cuba memahami kemurtadan abangnya. Maka terbentanglah panorama pemikiran manusia yang mencabar hakikat ketuhanan.”

Isu utama novel ini adalah murtadnya manusia Islam disebabkan gagasan sesat Islam liberal. Liberalisme merupakan satu jarum Yahudi bagi merosakkan kepercayaan tauhid umat Islam terhadap keesaan Tuhan. Faisal Tehrani menerusi Tuhan Manusia memberikan idea, mencadangkan cara, membina kaedah dan seterusnya menubuhkan organisasi bagi menghancurkan gerakan jahat yang halus ini.

Novel ini membuka minda saya mengenai Islam liberal dan konsep pluralisme yang menitikkan agenda liberalisme ke dalam masyarakat. Pihak Barat cukup menyedari bahawa Islam tidak akan dapat dikalahkan dengan peperangan. Serangan pemikiran melalui agenda liberalisme menyusup masuk ke dalam Islam, menjadikan ia senjata mutakhir anasir Zionis sebagai kesinambungan usaha bagi menghancurkan agama suci ini.

Namun Tuhan memperingatkan, “Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan yang dipuja lagi ditaati. Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?” (Al-Quran, surah al-Furqan, ayat 43)

Saya ingin mengambil perhatian rakan-rakan terhadap satu kenyataan salah seorang intelektual Islam abad 20, Said Nursi Badi’uzzaman. Beliau berkata bahawa “Merelakan kejahilan adalah sama dengan kejahilan; merelakan kejahatan, kejahilan dan kekejaman adalah kejahatan, kejahilan dan kekejaman (juga).”

Saya menutup ulasan ini dengan kata-kata Tuhan: “Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-ilmuNya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya?.... (Al-Quran, surah al-Jathiyah, ayat 23)

Dengan itu saya menyokong saranan dan khutbah saudara Faisal Tehrani menerusi novel Tuhan Manusia, bahawa “Tiada paksaan dalam agama bukannya bermakna semua agama ada kesamaan. Sudah jelas antara yang hak dan batil.”

Judul: Tuhan Manusia
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd, 2007 (http://www.ameenbooks.com.my/)
ISBN: 978-983-3991-37-2
Muka surat: 345 halaman
Harga: RM21.90 (Malaysia), S$15.90 (Singapura & Brunei)

Photobucket
top