Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Tajuknya agak pelik pada tanggapan saya; Gapura. Tanpa merujuk kamus perkataan ‘gapura’ (jika ada) saya mencari-carinya tatkala membaca novel ini. Di bahagian kedua novel baru saya temui makna sebenar gapura.
Gapura merupakan pintu gerbang. Novel thriller ini cuba menonjolkan gapura sebagai sebuah pintu gerbang surau di sebuah kampung, juga sebagai ‘pintu’ kesedaran bagi mencuci jiwa dan batang tubuh yang sudah sekian lama tercemar.

Asas utama novel ini ialah sendikit jenayah dan dadah yang berpusat di kota raya besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Budaya Yakuza dan Mafia menjadi teras taikor dadah. Bagi melindungi kegiatan jenayah dan pengedaran dadah mereka, naga-naga neraka jahanam ini melaksanakan bisnes halal dari sudut undang-udang negara. Wang yang diperoleh dari hasil pengedaran dadah secara besar-besaran dilaburkan ke dalam bidang bisnes lain.

Terjalin bersama dalam plot utama ialah unsur pengkhianatan dan menikam rakan dari belakang. Masing-masing disalut sifat tamak dan menurut nafsu syaitan semata-mata. ‘Coup de etate’ dirancang oleh seekor ‘ular’ dan ianya melagakan dua ekor ‘naga’ dadah yang berkuasa di ibu kota Kuala Lumpur. Terhimpit di sela-sela debu putih yang ‘hitam’ ialah manusia-manusia yang tersasar ditiup badai ganas.

Penulis Zehann Ur-Rakhie memperkenalkan banyak istilah baru kepada saya dalam urusan jual beli dadah. Walaupun ianya sebuah fiksyen, namun penulis pandai membuat olahan menjadi sangat real. Saya menjadi sedikit kecut, jika memang begini dunia jahanam tersebut. Sebuah kisah manusia dan kehidupan yang penuh hanyir dan sarat kebejatan.

Watak utama, Man Jai atau Jai Ko, merupakan orang kanan dalam organisasi jenayah (naga) yang sedang berperang. Suatu ketika dalam melaksanakan urusan jual-beli yang besar, rakan sendiri telah mengkhianatinya.

Akibatnya Man Jai tercampak ke Selat Melaka, lalu menemui sebuah kehidupan yang tidak pernah dilaluinya, walaupun mungkin pernah diimpikan. Dari situlah Man Jai menemui ‘gapura’.

Tanpa disangka-sangka, dalam relung kedamaian yang mula dikecapi, ternyata Man Jai tidak boleh lari dari dunia hanyir dahulu. Man Jai melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana anak-anak muda hanyut dan hancur lantaran ketagih dadah. Dia menyedari bahawa oleh kerana perbuatan pengedaran dadah yang diulitinya dahulu, ramai anak muda Felda musnah menjadi bangkai bernyawa.

Dengan kesedaran dan ingin menebus dosa-dosa lalu, Man Jai kembali ke lembah hitam organisasi jenayah dan dadah. Namun kali ini dengan satu hasrat yang utuh, dia ingin menghapuskan dan menjahanamkan organisasi yang dia banggakan dahulu.

Man Jai bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa dalam diam-diam. Satu persatu organisasi pemusnah itu dihancurkan. Akhirnya dia ditangkap, dipenjarakan dan dibebaskan.

“Biarpun kau pergi jauh dan tersesat...
Namun keagungan kasihNya akan menarik
Kau kembali kepadaNya.”

Man Jai menemui cinta di gapura kehidupan. Cinta menunggunya di luar pintu penjara.

Judul: Gapura
Penulis: Zehann Ur-Rakhie
Penerbit: Pekan Ilmu Punlications Sdn Bhd, 2007
ISBN: 978-983-3385-16-4
Halaman & harga: 561 halaman & RM22.90

Berkaitan:
Penjajahan dan peperangan dirancang satu kuasa jahat

4 comments:

Ummu Mishkah said...

terima kasih! Dapat istilah baru hari ni.. :)

Web Sutera said...

Sdr Ummumishkah,

Jika saudara baca novel ini, pasti akan menemui banyak lagi istilah yang memang pelik-pelik. Rasa-rasanya pernah dengar, tetapi mempunyai lain maksud. Bagaimanakah itu? :-)

Zonan said...

Assalamualaikum Abg Web

2 buah naskah yang bagus sementara menanti karya abg Ramlee..

Insya Allah sy akan cari buku tu.

Terima Kasih

Web Sutera said...

Alaikumsalam sahabat Zonan,

Pembetulan. Gapura bukan sekuel kepada Rahsia Agenda Alam Hitam (RAAH). Gapura ialah novel sdr Zehann selepas RAAH. Sekuel RAAH ialah VAMPRHA. Ketiga-tiga novel ini sudah ada di pasaran.


Photobucket
top