Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Dari tanggal 21 Jun sehingga ke 24 Jun dan seterusnya 28 – 29 Jun 2010, aku sibuk menguruskan satu sesi katering di Seksyen U2, Shah Alam. Katering bagi sesi latihan selama enam hari itu melibatkan tiga kali sajian; makan pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Tugas aku bermula dari jam 7.30 pagi memandu ke sana. Aku persiapkan meja bufet seadanya, menyusun cawan-cawan, sudu dan garfu, dan pinggan serta piring yang bersesuaian. Chef menyusul ke sana kemudian bagi menghantar menu makan tengah hari dan kuih-muih minum petang. Setelah selesai menyusun sajian makan tengah hari, chef akan pulang ke rumah. Tinggallah aku sehingga jam 5.00 petang.

Di sela-sela masa di tiga sajian makanan, aku membaca. Novel pertama ialah Cinta Sufi karya saudara Ramlee Awang Murshid, sekuel dari tiga lagi novel sebelumnya; Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta. Aku berjaya menyelesaikan pembacaan Cinta Sufi dengan perasaan bercampur baur; kagum, sedih dan amat mengesankan.

Cinta Sufi sebuah fiksyen thriller yang amat ditunggu-tunggu oleh aku dan para peminat tegar karya Ramlee Awang Murshid. Sebelum novel ini diterbitkan, aku dan ramai lagi pembaca trilogi Bagaikan Puteri dapat menjangkakan secara tepat bahawa epik thriller ini akan bersambung. Watak hero Laksamana Sunan atau Saifudin masih hidup di akhir siri ke-3 Hijap Sang Pencinta.

Walaupun pada mulanya ramai rakan aku ragu-ragu berkenaan Laksamana Sunan belum ‘dimatikan’ oleh penulis, tetapi setelah diteliti di pengakhiran Hijap Sang Pencinta, ternyata bahawa hero dua zaman itu masih bernyawa atas kasih sayang dan cinta Allah. Aku menanti penuh sabar akan hasil sekuelnya.

Ya, aku katakan secara jujur Cinta Sufi terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. adalah sebuah novel terbaik dari trilogi sebelumnya. Walaupun ianya merupakan kesinambungan dari tiga siri terdahulu, namun garapan, narasi dan upaya imaginasi Ramlee mencapai kemuncak dalam Cinta Sufi.

Cinta Sufi bukan sekadar sebuah epik thriller. Ia juga sebuah novel cinta, media dakwah Islam, sains-fiksyen, karya fantasi dan juga novel Islami. Lengkap sebagai bahan bacaan bermutu, indah dari sudut bahasa Melayu, molek dan tuntas kaedah narasi penceritaan, sarat unsur-unsur Islam dan kecintaan kepada Allah, dan aksi tempur yang lincah dan terperinci.

Novel ini juga merangkumi fiksyen sejarah Melaka yang ditawan Portugis. Bahawa masih wujud sebilangan perajurit dan masyarakat kampung yang dipimpin Laksamana Hang Tuah (yang dibuang oleh Sultan Melaka), Panglima Awang Bagan dan Hang Lekiu terus melawan penjajahan Portugis di Hulu Melaka. Bantuan Laksamana Sunan bagi meruntuhkan keegoan bangsa penjajah itu juga memainkan peranan amat penting dalam menyemarakkan semangat juang anak bangsa. Bahawa bangsa Melayu tetap tebal rasa cintanya kepada tanah air. Mereka tidak akan membiarkan penjajah menjarah dan merobek-robek agama Islam dan kedaulatan tanah berkah itu. Baik syahid berkalang tanah dari melihat bumi Hulu Melaka ditawan.

Plot bangsa Polip juga amat mengujakan aku Kaedah narasi Ramlee bagi ‘menghidupkan’ kembali bangsa Polip yang dikatakan pupus itu amat menarik untuk ditaakul. Polip merupakan suatu mahkluk Allah yang bersayap, menghuni satu banjaran berhutan tebal dan bersalji. Mereka adalah antara hamba-hamba Allah yang taat dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam).

Jika dalam novel terdahulu, bangsa Polip hanya muncul bagaikan sekilas sahaja. Tetapi dalam Cinta Sufi, ianya menjadi bahagian penting jalan cerita dalam membantu Laksamana Sunan menemukan kembali kekuatan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Apa lagi yang anda mahu dari sebuah novel yang cukup semua rempah-ratus sebagai karya sastera bermaruah? Secukup rasa dan seindah bahasa. Itulah Cinta Sufi.

Setelah selesai membaca Cinta Sufi, aku bergegas menelaah novel fantasi berjudul Syaakur Pejuang Dua Dunia. Tidak dapat aku nafikan, Cinta Sufi dan Syaakur Pejuang Dua Dunia memiliki satu sudut yang sama, iaitu berkenaan watak hero atau pejuang yang memerangi kejahatan dunia gelap syaitan. Kekecewaan utama aku bagi Syaakur Pejuang Dua Dunia ialah bukunya terlalu nipis. Namun sekuelnya tetap aku tunggu.

Untuk membaca komentar ringkas aku berkenaan novel fantasi oleh saudara Resmanshah terbitan PTS ini, sila ke sini. Terasa tidak puas menghayati bait-bait nukilan Resmanshah.

Jom baca buku!

P/s: Saudara Ramlee berpesan, jangan memuja dirinya, kerana hanya Allah yang wajib dipuja. Juga jangan memuja Laksamana Sunan, dia hanyalah manusia biasa yang dianugerah Allah dengan hikmat dan kebijaksanaan. Hanya Allah, ingat Allah.

0 comments:


Photobucket
top