Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Mulanya saya agak keberatan untuk mengulas novel ini, walau dari sudut mana pun. Tetapi tanpa memberi komen, minda saya sedikit terganggu justeru kerana ada mesej yang mahu saya sampaikan masih lagi melingkari ruang minda. Setiap kali saya membaca buku dan melihat blog buku, hati saya gundah. Maka inilah komentar saya terhadap Transgenesis, Bisikan Rimba oleh saudara Amir Husaini, terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS).

Sebagai sebuah novel sains-fiksyen (sai-fi) yang diterbitkan oleh PTS yang memperjuangkan bahasa Melayu tinggi dan begitu komited dengan penulisan mazhab teknik Surah Yusuf, ternyata novel ini mempunyai beberapa kelemahan. Jika penerbit lain yang menerbitkan novel ini, tidak mengapa. Tetapi lantaran PTS yang menerbitkannnya, maka kesalahan yang ada adalah ketara. Saya senaraikan di bawah.


1) Di kebanyakan tempat, banyak bahasa Melayu rendah digunakan. Saya tidak perlu menyenaraikan contoh-contoh di sini kerana saya pasti para staf PTS mengetahui apa saya maksudkan. Saya tidak menyalahkan penulis, lantaran tugas editorlah yang sepatutnya memerhatikan dengan teliti dan melakukan pembetulan dari segi nahu dan ejaan bahasa Melayu tinggi.


2) Ada plot-plot yang saya kira terlalu panjang. Bagi saya plot yang terlalu panjang mengurangkan daya pujukan pembacaan.


3) Ayat-ayat dan pernyataan yang berulangan di sana sini. Walaupun ianya tidak begitu ketara seperti mana novel sejarah Perang Sangkil, namun saya cukup tidak menyukainya.


Untuk berlaku adil, pada hemat saya penulis telah berjaya menyampaikan mesej melalui novel ini. Saudara Amir Husaini telah berupaya memujuk hati saya untuk meneruskan pembacaan, terutamanya bermula dari pertengahan cerita.


Demi kebaikan sahabat, saya kira, saudara Amir patut selitkan fakta-fakta sains genetik dan bio-teknologi sejak dahulu sehingga yang terkini. Kemudian baharulah kemajuan sains genetik masa hadapan ‘dicipta’. Fakta-fakta kemajuan bidang sains ini jika dibentangkan dan dijalin secara tuntas dalam plot cerita, ia akan lebih memujuk pembaca. Namanya pun novel sai-fi, jika fakta sains diadun dengan fiksyen, ia akan menjadi begitu amat menarik.


Penyudah novel ini amat mengejutkan saya. Sebab itu saya katakan bahawa Transgenesis, Bisikan Rimba ada kelemahan terutamanya pada permulaan, tetapi kemantapan garapan Amir di pertengahan hingga ke hujung cerita begitu memukau.


Saya berdoa semoga saudara Amir dianugerahkan Allah dengan kekuatan baru supaya sekuel novel Transgenesis ini akan lebih mantap. Saya akan nantikan, insyaallah.

2 comments:

Anonymous said...

Saya setuju dengan pendapat tuan!

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen said...

Salam tuan rumah,

Terima kasih atas maklum balas dan ulasan yang diberikan. Insya-Allah saya berusaha perbaiki kelemahan yang ada.

Mohon izin tuan bagi diulang siar ulasan ini di blog saya.

Dan terima kasih kerana sudi membaca.


Photobucket
top