Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Komik. Show all posts
Showing posts with label Komik. Show all posts
15 Safar 1432H - Buku Dear Yayah The Series saya hadiahkan kepada anak remaja saya yang berumur 13 tahun. Sebaik sahaja anak saya itu melihat buku ini, lantas ia berkata, “Cantikya buku ini!”

Anak saya menghabiskan pembacaannya setelah hampir tiga minggu. Sebaik pulang berhari raya Aidilfitri dari kam
pung selama satu minggu, dia dengan gembira memberitahu saya, “Abah, Kak Long sudah habis membacanya. Bagus dan menarik”.

Dengan lima koleksi siri Dear Yayah dalam buku ini berserta dengan packaging kulit keras, ianya menjadi satu buku yang menarik untuk dipamirkan dalam rak buku. Dalam pada itu, penulis Farihah Iskandar amat berjaya melukiskan watak-watak dan menarasikan jalan cerita yang sering dilalui oleh remaja. Walaupun kisahnya biasa, tetapi pendekatannya mantap. Justeru itu, saya sendiri dan anak berasa amat teruja meneliti perjalanan watak Jihan dan rakan-rakannya.

Watak utama Jihan hidup lewat kisah-kisahnya. Narasi santai, bermutu dan mudah dihayati menjadikan pembacaan tidak menjemukan. Memang benar buku ini ditujukan kepada golongan kanak-kanak dan remaja, namun saya sendiri tidak dapat menahan diri dari membacanya.

Satu lagi yang ingin saya katakan ialah kesungguhan kedai buku Popular dalam usaha mendapatkan hak eksklusif penjualan buku ini. Bukan sahaja dari segi keuntungan, Popular juga melihat bahawa koleksi sebegini memiliki daya penarik tersendiri.

Saya juga menghadiahkan buku ini kepada anak rakan sempena sambutan hari lahirnya tahun 2010 yang lalu.

Tahniah untuk PTS dan Popular.

Penulis: Farihah Iskandar
Penerbit: PTS One Sdn Bhd, 2009
ISBN-13: 978-967-5406-37-9
Harga: RM 39.90
Jumlah Muka Surat: 848

Dear Yayah The Comics

Komik Dear Yayah The Comics sentuhan seni pelukis Ard One begitu memikat hati. Narasi penulis Farihah Iskandar tidak diragukan lagi. Mantap! Gabungan kedua-dua insan seni ini memberikan satu bentuk keceriaan terbaharu dalam siri cerita Dear Yayah.

Dalam novel Dear Yayah yang lain pembaca dicuit nurani dan perasaan dengan telatah dan ulah Jihan serta rakan-rakannya lewat bait-bait ayat. Manakala dalam komik ini, sentuhan visual Ard One amat berjaya menghasilkan mimik muka dan situasi ketika watak menyampaikan dialog masing-masing.

Cerita biasa menjadi menarik hasil garapan Farihah Iskandar dan seni ilustrasi pekomik Ard One pula menambah keenakan hidangan kisah Jihan.

Bagi pembaca siri Dear Yayah, komik ini dan siri komik yang akan datang bukan sahaja bakal menjadi bahan koleksi peribadi, malah jalan ceritanya boleh dijadikan tauladan. Saya dan anak-anak akan terus menunggu siri bagi komik Dear Yayah ini.

Pekomik/Penulis: Ard One dan Farihah Iskandar
Judul: Dear Yayah The Comics #2
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd, Oktober 2010
Harga: RM 6.90 / RM 7.90
Jumlah Muka Surat: 128
14 Syaaban 1431 H - Sudah lama saya tinggalkan hobi membaca komik. Dari bangku sekolah menengah sehingga ke universiti, saya merupakan pengumpul komik berbahasa Melayu. Ketika bersekolah menengah, banyak komik pertarungan atau komik jantan yang menjadi minat saya. Pada masa itu nilai moral kurang menjadi perhatian. Yang lebih saya utamakan ialah kecantikan lukisan dan jalan cerita; watak jahat melawan watak baik.

Apabila saya mengingatkan kembali, ternyata ada juga komik-komik yang diterbitkan dahulu kurang menitikberatkan nilai moral, sama ada melalui lakaran lukisan mahu pun kaedah penceritaannya.


Untuk beberapa ketika saya terpesona dengan majalah komik berjudul Fantasi. Teknik lukisannya amat menarik dan penuh warna. Saya juga tidak melupakan siri komik pertarungan oleh saudara Zoy di akhbar Utusan Malaysia. Malah itulah satu-satunya alasan untuk saya membeli akhbar harian tersebut saban minggu. Saya dan adik akan menggunting keratan komik itu dan digamkan di halaman suatu buku khas. Tidak berapa lama selepas itu, muncul pula komik Tony Wong. Lakaran aksi pertarungan seni bela diri bangsa Cina ternyata amat halus dalam setiap keluarannya.

Saya jeda beberapa tahun, mungkin berpuluh tahun dari membaca komik. Tanpa disangka-sangka, minat membaca komik mu
ncul kembali menerusi siri komik jantan terbitan PTS. Selain komik bersifat feminin yang ditujukan khas untuk anak-anak gadis, saya turut teruja dengan kegagahan tim dan pekomik generasi muda menghasilkan komik pertarungan.

Antara judul yang ‘meremajakan’ kembali diri saya ialah Takaza siri satu. Iya, saya mengaku pada awalnya saya hadiahkan kepada anak bujang saya. Namun naluri saya tidak tega untuk berhelah. Saya turut membacanya. Ternyata lain. Memang tidak serupa dengan komik-komik yang dihasilkan pada era akhir 70-an, 80-an dan awal 90-an dahulu.


Secara jujur ingin saya nyatakan bahawa pekomik saudara Sitrahaslee masih agak ‘remaja’ dari sudut lukisannya. Walaupun lakaran mimik muka sudah menjadi, namun aksi pertarungan kurang menyengat. Walau bagaimanapun, unsur paling ketara dan amat berbeza ialah dalam nilai cerita, narasi dan bahasa yang digunakan. (Foto kiri: Komik Tony Wong)

Nilai moral, pengajaran, perilaku penyesalan dan kekelaman dunia kongsi gelap berjaya dinarasi lewat bait-bait penceritaan dan dialog-dialog watak. Petikan ayat-ayat Quran juga tepat dengan apa yang mahu dicapai oleh pekomik ini. Bahasa Melayunya cantik dan kadang-kadang bisa mengusik nurani saya secara halus. Saya mengecapi bahasa Melayu yang dipersembahkan oleh saudara Sitrahaslee.


Saya sudah membeli sekuelnya, Takaza siri dua. Saya telah menelitinya sepintas lalu. Namun masih belum ditelaah secara terperinci. Saya yakin, insyaAllah, ianya bertambah menarik.

Photobucket
top