Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Membaca novel Rahsia Agenda Alam Hitam oleh Zehann Ur Rakhie membuat minda saya melayang-layang membayangkan rupa paras manusia berkepala anjing atau dalam istilah lain serigala jadian. Peranan jin kafir dan Islam dalam membantu kumpulan masing-masing merupakan antara plot yang menarik.

Novel ini berjaya membawa satu mesej yang menarik; amalan syaitan memang wujud dalam masyarakat dunia dengan pelbagai watak yang sering kali muncul, samada kita sedar atau tidak. Lawannya hanyalah dengan ayat-ayat suci Quran dan hati yang bersih mencari kebenaran.

Novel yang mengkisahkan panorama yang menjangkau ratusan tahun ini sebenarnya menelusuri sejarah Tanah Melayu dan Nusantara, walau sekadar imbasan ringkas sebagai pelengkap plot yang ingin penulis paparkan. Justeru itu, saya bersetuju dengan telahan saudara Zehann bahawa kejadian yang berlaku sepanjang sejarah manusia di dunia dan Tanah Melayu khususnya, telah diagendakan oleh suatu kuasa jahat.

Unsur-unsur penjajahan, peperangan, onar jahat dan dakyah golongan kuffar semuanya telah diatur. Di setiap kejadian dan detik waktu, ada segolongan manusia yang dipimpin oleh golongan agama bagi memerangi manusia-manusia yang tertindas. Jelasnya, hanya kesedaran iman dan Islam yang berjaya menangkis semua serangan fizikal dan mental tersebut.

Permulaan novel ini menarik, namun dialog yang kurang mantap membuatkan saya sedikit tersekat untuk meneruskannya. Namun bermula dari pertengahan novel sehingga ke akhirnya, ia bertambah baik dan berjaya membuatkan saya menyudahkan pembacaannya dengan perasaan puas hati.

Sebagai novel pertama dari saudara Zehann, beliau berjaya. Saya akan mendapatkan sekuel novel ini, Gapura. Di mana mahu mencarinya? Sudah banyak kedai buku yang saya kunjungi, namun tidak kelihatan kelibatnya.

Jiwa dan diri kita harus MERDEKA!

0 comments:


Photobucket
top