Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Photobucket
Sasterawan Negara 1988, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arenawati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad, 15 Januari 2009, akibat barah paru-paru.
Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi. Sumber berita melaporkan beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 September lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Sememangnya seorang penulis prolifik dan berjiwa besar, Arenawati masih sempat menyiapkan karya terakhir ketika menjalani rawatan di HUKM. Menurut kata anak sulung gemulah, Rahmah Wati, sewaktu Allyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan telah menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.

"Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara," katanya.

(Nama pena penulis yang cukup saya kagumi ini dicatat dalam dua bentuk ejaan; Arenawati dan Arena Wati)

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allahyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera. "Beliau seorang yang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham yang dihasilkan menerusi pengalaman hidupnya.”

Arenawati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Beliau pernah menggunakan beberapa nama pena lain seperti Duta Muda dan Patria.

Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik.

(Novel mengisahkan kehidupan pelaut pertama saya baca ialah Sandera, terbitan DBP tahun 1971. Cukup menarik dan penuh warna. Ayat-ayat ibarat lukisan menayang layar kehidupan. Novel ini ada di rumah emak)

Gemulah menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953. Selepas tamat persekolahan, Arenawati bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imiginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

Arenawati pernah dianugerahkan beberapa anugerah seperti SEA Write Award (1985), dan Anugerah Sasterawan Negara (1988).

Seingat saya, karya pertama gemulah yang saya miliki ialah novel trilogi Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Kuntum Tulip Biru (1988) dan Bunga Dari Kuburan (1987) saya beli di Kedai Buku Koperatif Universiti Sains Malaysia (USM) pada sekitar tahun 1989/1991. Manakala Sakura Mengorak Kelopak (1988) saya beli di kedai buku DBP, Kuala Lumpur (tahun tidak ingat).

Antara karya allahyarham ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991), Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala (1993), Panrita (1993).

Karya seterusnya ialah Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002), Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan Cakra Waruga (2006).

Berkaitan: Arena Wati: Perjuangan, ego dan maruah diri dalam Turina dan alam bersuara dalam Eno
Berkaitan:
Arena Wati (1925-2009)

5 comments:

Anonymous said...

Belasungkawa yang komprehensif. Terima kasih berkongsi di sini :). Mohon izin utk pautkan page ni ke BukuRia.

Anonymous said...

Satu lagi soalan ringkas: Web Sutera ada koleksi lengkap buku SN ke?

Anonymous said...

Sdr Najibah,

Terima kasih atas komen. Silakan membuat pautan, ke mana dan di mana sahaja.

Saya tiada koleksi lengkap karya aruah. Hampir lengkap, mungkin.

SATIRA + KACAU said...

Sdr WS: Tahniah kerana menyimpan maklumat yang agak sangat terkini mengenai Almarhum Pak Arena Wati.

Orang di Terengganu apa khabar?

Satira + Kacau

Web Sutera said...

Sdr. Satira + Kacau, maaf lambat sungguh saya menjawab soalan saudara :-) Orang di Besut, Terengganu sihat adanya. Ramai juga taulan dan orang kampung yang sudah pergi menemui Pencipta Agung. Termasuk kedua-dua aruah orang tua saya yang disemadikan di Besut. Al-Fatihah untuk semua gemulah.


Photobucket
top