Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

27 Ramadhan 1430H: Saya bukan anak jati Pahang. Tetapi kedua-dua aruah ibubapa saya menetap dan menjadi warga Pahang selama lebih 30 tahun. Saya dan adik beradik yang lain dibesarkan di Pahang.

Kampung halaman saya dibesarkan terletak berhampiran Kampung Pulau Tawar (lebih kurang 10 minit jika berkereta), sebuah penempatan tradisional Melayu yang terkenal dengan sejarah kepahlawanan Mat Kilau. Walaupun saya tidak bersekolah menengah di sana, tetapi tiga adik saya besekolah di Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar. Seorang bersekolah di Sekolah Menengah Pulau Tawar.


Di kampung inilah Mat Kilau dilahirkan. Sebelum jalan baru siap dari simpang Jengka 8 ke bandar Jerantut, penduduk sekitar menggunakan jalan yang dibina penjajah British untuk ke bandar Jerantut. Jalan yang bengkang-bengkok itu melalui pusat kehidupan Kampung Pulau Tawar. Namun ap
abila jalan baru siap, kampung bersejarah tersebut seolah-olah ditelan kabus masa. Begitu juga Mat Kilau, Tok Gajah, pahlawan Pahang yang lain dan sejarah gemilang yang ditinta mereka di sana. Semakin luput atau sengaja cuba untuk dilupakan?

Keluarga saya ada menyimpan sekeping foto Mat Kilau di sekitar akhir tahun 70-an dan awal 80-an. Foto tersebut masih utuh dalam koleksi peribadi keluarga saya di Jerantut, Pahang.


Gua Kota Gelanggi yang bersejarah itu juga terbiar.
Semasa masih belajar di universiti, saya selalu ‘merayau’ ke sana. Kali terakhir saya mengunjungi ke sana (dua tahun lepas) bersama-sama beberapa rakan dari Kuala Lumpur, kelihatan pintu masuk dan ruang pameran gua itu juga terkunci rapat. Malah kelihatan seakan-akan rumah tinggal. Tidak terjaga. Mengapa?

Satu pernyataan dan rayuan untuk menghidupkan kembali sejarah (Sumber: Blog Pahang Daily Online)


Sebelum ini kami pernah membicarakan persoalan tempat kelahiran Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau dan Tok Gajah yang terus dipinggirkan daripada arus permodenan negara. Kampung Pulau Tawar yang suatu ketika dulu cukup dikenali seantero dunia terus terbiar kaku tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab terutamanya Kerajaan Negeri Pahang sendiri. Bahkan sejak terbinanya jalan baru antara simpang Jengka 8 ke Jerantut, ianya jelas mematikan terus destinasi tersebut dari mata dunia.


Apa yang lebih menyedihkan tidak ada satupun papan tanda sejarah yang menunjukkan Pulau Tawar adalah sebuah destinasi sejarah yang harus dikunjungi seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain.


Terpinggirnya Pulau Tawar dari arus pembangunan, mungkin ada kaitan dengan kelemahan Kerajaan Negeri Pahang untuk membangunkan tempat bersejarah seperti ini. Malah, kami juga difahamkan, Kerajaan Negeri Pahang tidak mengeluarkan satu sen pun peruntukan unt
uk program "Jejak Mat Kilau" yang pernah disiarkan oleh TV3 satu ketika dulu. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Malahan ramai juga yang amat kecewa dengan sikap berdiam diri Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha membangunkan kembali banyak peninggalan sejarah di Pulau Tawar.

Jika dulu Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar - tatkala Dr.Ahmad Shukri Ismail menjadi Exco Kerajaan Negeri Pahang - banyak perancangan yang mahu dilaksanakan. Namun, ianya ditolak bulat-bulat oleh ADUN terbabit, yang secara jelas melambangkan bahawa pahlawan Melayu Pahang itu bukanlah pejuang tetapi merupakan pengkhianat bangsa katanya. Lantaran itu, banyak aktiviti bagi membangunkan kawasan pelancongan bersejarah itu kini diluputkan dari ingatan beliau.


Malah, beliau (Dr.Ahmad Shukri) langsung tidak mempunyai komitmen yang kuat ke arah itu. Kami merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena atas keengganan semua pihak untuk melakukan perubahan kepada bumi yang penuh dengan peninggalan sejarah dan sudah sinonim dengan sejarah Melayu Pahang sejak zaman dahulu lagi.


Malahan bagi para peminat dan pencinta sejarah, nama Pulau Tawar sememangnya sudah dikenali sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini jelas membuktikan kepada kita supaya warisan sejarah Pulau Tawar ini harus digilap kembali dan dipertahankan agar ianya tidak terus tenggelam dek zaman.


Banyak kesan-kesan sejarah yang perlu dipulihara semula seperti makam Mat Kilau, rumah Kelahiran Mat Kilau, Masjid Pulau Tawar yang dibina oleh Mat Kilau, Istana Sultan Pahang (kini diruntuhkan dan dibangunkan Sekolah Menengah Pulau Tawar atas tapak tersebut), tapak pertemuan Sultan Pahang dengan pembesar-pembesar Melayu semasa British berusaha memujuk Sultan Pahang menerima wakil British sebagai penasihat sultan (Residen) serta macam-macam lagi peninggalan yang perlu dinaikkan semula untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Bahkan Pulau Tawar sepatutnya dimasukkan dalam peta pelancongan negeri Pahang sebagai salah satu desitinasi sejarah di negeri ini. Tambahan pula Gua Kota Gelanggi yang kononnya dikatakan di Johor telah disahkan sendiri oleh Menteri Besar Johor sebenarnya terletak dalam kawasan Pulau Tawar.


Persoalannya mengapakah pihak-pihak yang bertanggung jawab masih bermain politik dalam usaha membangunkan Pulau Tawar? Atas alasan apakah semua bahan sejarah ini tidak mahu dibangunkan semula. Timbul tanda tanya di kalangan pencinta sejarah sebenarnya. Bukankah sekiranya Pulau Tawar dibangunkan ianya juga akan memberikan pulangan yang baik terhadap hasil pelancongan negeri ini?


Sikap double-standard ini jelas dapat dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan peta Pulau Tawar dalam lakaran sejarah negeri ini. Siapakah yang harus dipertanggung jawab atas semua ini? Sepatutnya dalam usaha ini pihak Kerajaan Negeri Pahang haruslah menubuhkan satu jawatankuasa khas ke arah pembangunan semula sejarah kegemilangan Pulau Tawar. Usaha ini pernah dilakukan ketika penemuan Mat Kilau, dimana pada tanggal 6 Ogos 1970 kerajaan negeri yang dipimpin oleh Tan Sri Yahya Mohd Seth ketika itu telah melantik Dato' Abdul Aziz Ahmad selaku ketua jawatankuasa tersebut.


Photobucket

Wajah-wajah Mat Kilau
Hasil siasatan yang dibuat, maka menteri besar Pahang telah mengisytiharkan kesahihan seorang tua yang dikenali sebagai Mat Din adalah sebenarnya Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau , yang pada ketika itu telah berusia 123 tahun. Mengapakah di zaman era siber yang serba canggih ini, jawatankuasa yang sama sukar untuk ditubuhkan dalam usaha untuk mengembalikan semula pembangunan Pulau Tawar iaitu tempat kelahiran pahlawan Melayu Pahang untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Kami merasa amat kecewa melihat fenomena ini.

Seharusnya menjadi tanggungjawab generasi keturunan Pulau Tawar untuk merealisasikan hasrat ini demi kepentingan semua pihak agar sejarah ini tidak terus dibiarkan.


Terkadang kami senantiasa merasa cemburu melihat keperihatinan Kerajaan Negeri Melaka membangunkan tempat sejarah Kg.Duyung iaitu kampung kelahiran Hang Tuah, Kerajaan Negeri Perak membangunkan Pasir Salak kawasan sejarah Dato' Maharajalela, Kerajaan Negeri Kedah membangunkan Padang Mat Sirat, kampung kelahiran Mahsuri. Biarpun kisah Mahsuri hanya sekadar lagenda namun ia tetap dijaga dan dipulihara dengan sebaik mungkin.


Namun jika dilihat kepada kisah sejarah, Mat Kilau adalah yang terkini. Bahkan Mat Kilau masih ditemui dalam era moden iaitu sekitar tahun 1970. Apa yang menarik sejarah salur galur keturunan Pulau Tawar menerusi buku "Salasilah 13 Generasi Pulau Tawar" yang masih tersimpan, jelas membuktikan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah dari keturunan Pulau Tawar.


Bahkan Pulau Tawar pernah menjadi tempat bersemayamnya baginda Sultan Pahang sekitar tahun 1880-an semasa kedatangan British ke negeri ini. Pun begitu apakah nasib malang Pulau Tawar, siapakah yang harus dipersalahkan?. Harus diingat, bahawa Pulau Tawar adalah satu destinasi bersejarah yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Pahang secara keseluruhannya. Oleh itu langkah terbaik harus diatur bagi mengembalikan semula zaman kegemilangannya.
Jika dibiarkan, maka ia akan terus layu ditelan dek zaman yang mana merugikan generasi akan datang.

Siapa Mat Kilau? (Sumber: Wikipedia)


Mat Kilau (1847-1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang.


Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau @ Tok Gajah. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.


Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan.


Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Botok yang dikenali juga sebagai AL-Allamah Haji Botok bin Osman sebelum dia berpindah dari Kelantan sebagai Mufti Negeri Pahang. (Sila rujuk buku Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Tanah Melayu, terbitan Majlis Agama Islam dan Adai Istiadat Melayu Negeri Kelantan Jilid 2, bab Ulama Kelantan yang masyhur di luar Kelantan)


Sebelum berhijrah ke Pahang, Hj Botok yang merupakan Pawang Di Raja Kelantan telah berselisih faham dengan Raja Kelantan yang menjadi sebab beliau berpindah ke Pulai Tawar, Pahang. Hj Botok mempunyai dua lagi saudara di kampung Berangan, Tumpat,yang bernama Mat Diah bin Osman (Tok Chik Mat Diah) dan Merah bin Osman (Tok Chik Hj Merah). Hj Botok beraliran Pencak Silat Gagungman 9 Purba Sakti merupakan murid kepada ulama Patani yang mashur sebagai Tok Bendang Daya Tua. Nama sebenar Tok Botok ialah Botok bin Raja Osman B Raja Ali Legeh Patani. Datuk Hj Botok adalah imigran perang Siam-Melayu Patani yang merupakan kerabat di Raja Legeh Patani yang terpaksa berhijrah ke Kelantan akibat di langgar Siam.


Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin, dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat.


Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai, tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.


Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895.”


The Free Press pula memberitahu bahawa Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah.


Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.


Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Photobucket
Dalam bulan Disember 1969, Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau.


Setelah disahkan, maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.


Dari pengarang novel Mat Kilau Pahlawan Pahang (Abdul Latip Talib)


Semasa memulakan penulisan novel ini, ketika itu baru siap bab pertama, tiba-tiba hati saya tergerak untuk pergi ke Kampung Pulau Tawar untuk melihat tempat Mat Kilau dilahir dan dibesarkan. Pergi ke Gua Gelangi tempat dia mendalami ilmu persilatannya dan menziarahi makamnya di Pulau Tawar.


Pulang dari Pulau Tawar saya demam menyebabkan penulisan novel ini tertangguh selama dua minggu. Apabila sudah sihat saya menyambung semula penulisannya sehingga siap.


Antara masalah yang saya hadapi ketika menulis kisah Mat Kilau adalah sukar mendapat maklumat yang tepat.
Ia bermula dari tarikh kelahiran Mat Kilau. Ada yang mencatatkan tarikh 1847 dan ada pula 1867.

Sebagai seorang pahlawan banyak kisah misteri tentang Mat Kilau. Antaranya beliau dikurniakan buntat embun yang tumbuh di jari kakinya. Antara kelebihan buntat embun itu apabila dalam keadaan terdesak Mat Kilau boleh menjadikan dirinya seperti orang mati bagi mengelirukan musuhnya. Tetapi apabila embun turun atau buntat embun itu dibasahkan dengan air embun maka dia hidup semula. Kerana itu Mat Kilau diberitakan mati sebanyak tiga kali tetapi hidup semula dan mayatnya diganti dengan batang pisang. Kerana itu antara amalan pahlawan ini selain zikir beliau mandi air embun pada setiap pagi.


Selain pandai bersilat dan banyak ilmu kepahlawanan, Mat Kilau juga sejak kecil dididik dengan ilmu agama oleh ayahnya Imam Rasu. Kemudian berguru dengan Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk, Mufti Negeri Pahang.


Photobucket
(Kiri) Penulis novel sejarah Mat Kilau Pahlawan Pahang di kubur Mat Kilau. (Kanan) Masjid Mat Kilau


Orang yang sangat memusuhi Mat Kilau adalah Hugh Clifford penasihat Inggeris di Pahang.
Dia seorang yang licik dan banyak tipu muslihatnya. Dalam usaha untuk memujuk dan mempengaruhi sultan supaya menerima penasihat dan menandatangani perjanjian dengan Inggeris, Hugh Clifford sanggup mengaku Imam Rasu (ayah Mat Kilau) orang yang paling rapat dengan sultan sebagai keluarga angkatnya. Beliau tinggal di rumah Imam Rasu. Menjadikannya ayah angkat dan Mat Kilau sebagai adik angkatnya. Kemudian dia memusuhinya sehingga Mat Kilau terpaksa bersembunyi selama 80 tahun. Selama dalam persembunyian Mat Kilau memakai beberapa nama antaranya Mat Dahan, Mat Siam dan Mat Din. (Sumber di sini)

Kota Gelanggi merupakan kompleks yang mengandungi lebih 100 buah gua setiap gua disebut “kota” kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Cuma kira-kira 30 buah gua saja yang dibuka kepada orang ramai kerana faktor keselamatan antaranya Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rebut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi.


Sesiapa yang hendak memasuki gua-gua tersebut dinasihatkan membawa pemandu pelancong atau penduduk tempatan yang arif mengenai selok belok gua tersebut.
Mereka juga dinasihatkan membawa lampu gasolin atau lampu limpah bukan lampu suluh biasa kerana keadaan di dalam gua itu PH kegelapannya terlalu pekat. Penduduk tempatan ramai yang percaya Kota Gelanggi dijaga oleh makhluk bunian dan Sang Kelembai. (Jin). (Sumber di sini)

0 comments:


Photobucket
top