Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Buku kanak-kanak/remaja. Show all posts
Showing posts with label Buku kanak-kanak/remaja. Show all posts
28 Rabiulawwal 1432H - Gambaran dua orang dari tujuh orang puteri Raja Alimun dan Permaisuri Sofiah di kulit depan novel Siri Cerita Rakyat ini dapat menggambarkan kemolekan rupa paras mereka.

Nama-nama watak seperti Nujum Putih Beruban Sejemput, Jojol, Dompok, Kunyit, Jongang dan Awang Dogol membuatkan saya tersenyum. Karekter setiap watak digambarkan secara baik melalui dialog-dialognya.

Nama-nama jenis ikan dan kehidupan lain dalam sebuah kolam yang dinyatakan dalam novel ini memberi ilmu kepada kanak-kanak. Kejadian makhluk yang berlainan diciptakan Allah dengan hikmah tersendiri diutarakan secara langsung oleh penulis. Takdir dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah di atas setiap peristiwa dalam kehidupan dijalin sebagai unsur penerapan agama. Banyak pengajaran dan nilai murni sejagat dalam novel ini menjadi elemen yang mesti diteruskan dalam siri cerita sebegini.

Memasukkan beberapa rangkap pantun lama yang diperbaharui oleh penulis merupakan satu pendekatan yang saya suka.

Akhirnya kisah novel ini berakhir dengan riang ria. Amat sesuai untuk kanak-kanak bagi menggantikan buku kisah pari-pari dari Barat.

Dari lima bintang, saya berikan empat. Tahniah untuk penulis dan penerbit PTS.

Judul: Puteri Ikan Emas
Penulis: Busu Najib
Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd, Disember 2007
ISBN-13: ISBN 978-983-192-140-1
ISBN-10: ISBN 983-192-140-2
Harga: RM 14.00 / RM 17.00
Jumlah muka surat : 208 halaman
Kategori: Remaja dan Fantasi
15 Safar 1432H - Buku Dear Yayah The Series saya hadiahkan kepada anak remaja saya yang berumur 13 tahun. Sebaik sahaja anak saya itu melihat buku ini, lantas ia berkata, “Cantikya buku ini!”

Anak saya menghabiskan pembacaannya setelah hampir tiga minggu. Sebaik pulang berhari raya Aidilfitri dari kam
pung selama satu minggu, dia dengan gembira memberitahu saya, “Abah, Kak Long sudah habis membacanya. Bagus dan menarik”.

Dengan lima koleksi siri Dear Yayah dalam buku ini berserta dengan packaging kulit keras, ianya menjadi satu buku yang menarik untuk dipamirkan dalam rak buku. Dalam pada itu, penulis Farihah Iskandar amat berjaya melukiskan watak-watak dan menarasikan jalan cerita yang sering dilalui oleh remaja. Walaupun kisahnya biasa, tetapi pendekatannya mantap. Justeru itu, saya sendiri dan anak berasa amat teruja meneliti perjalanan watak Jihan dan rakan-rakannya.

Watak utama Jihan hidup lewat kisah-kisahnya. Narasi santai, bermutu dan mudah dihayati menjadikan pembacaan tidak menjemukan. Memang benar buku ini ditujukan kepada golongan kanak-kanak dan remaja, namun saya sendiri tidak dapat menahan diri dari membacanya.

Satu lagi yang ingin saya katakan ialah kesungguhan kedai buku Popular dalam usaha mendapatkan hak eksklusif penjualan buku ini. Bukan sahaja dari segi keuntungan, Popular juga melihat bahawa koleksi sebegini memiliki daya penarik tersendiri.

Saya juga menghadiahkan buku ini kepada anak rakan sempena sambutan hari lahirnya tahun 2010 yang lalu.

Tahniah untuk PTS dan Popular.

Penulis: Farihah Iskandar
Penerbit: PTS One Sdn Bhd, 2009
ISBN-13: 978-967-5406-37-9
Harga: RM 39.90
Jumlah Muka Surat: 848

Dear Yayah The Comics

Komik Dear Yayah The Comics sentuhan seni pelukis Ard One begitu memikat hati. Narasi penulis Farihah Iskandar tidak diragukan lagi. Mantap! Gabungan kedua-dua insan seni ini memberikan satu bentuk keceriaan terbaharu dalam siri cerita Dear Yayah.

Dalam novel Dear Yayah yang lain pembaca dicuit nurani dan perasaan dengan telatah dan ulah Jihan serta rakan-rakannya lewat bait-bait ayat. Manakala dalam komik ini, sentuhan visual Ard One amat berjaya menghasilkan mimik muka dan situasi ketika watak menyampaikan dialog masing-masing.

Cerita biasa menjadi menarik hasil garapan Farihah Iskandar dan seni ilustrasi pekomik Ard One pula menambah keenakan hidangan kisah Jihan.

Bagi pembaca siri Dear Yayah, komik ini dan siri komik yang akan datang bukan sahaja bakal menjadi bahan koleksi peribadi, malah jalan ceritanya boleh dijadikan tauladan. Saya dan anak-anak akan terus menunggu siri bagi komik Dear Yayah ini.

Pekomik/Penulis: Ard One dan Farihah Iskandar
Judul: Dear Yayah The Comics #2
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd, Oktober 2010
Harga: RM 6.90 / RM 7.90
Jumlah Muka Surat: 128
Buku Sekolah Bakat berhalaman 152 muka surat ini menceritakan kisah lima sahabat; Nazrul, Avinash, Adli, Helmi dan Justin. Suatu hari mereka dijemput oleh seorang lelaki ke suatu tempat yang dipanggil Sekolah Bakat. Di situ mereka 'disedut' ke dalam pintu rahsia yang membawa mereka ke alam lain. Dalam pintu itu mereka dapat mengetahui bakat mereka sendiri.

Buku ini kategori kanak-kanak yang turut menjadi tatapan saya. Sepanjang pembacaan, saya sering tersenyum. Bait-bait ayat dan gaya penceritaan yang mencuit hati. Saya cukup senang dan sanubari menjadi tenang.
Kelima-lima pengembaraan yang dialami di alam lain itu penuh sindiran kepada manusia di alam nyata ini.

Bahasa Melayu moden dan tinggi menjadikan lenggok penceritaan semakin menarik. Tahniah untuk penulis saudara Ahmad Naim Jaafar dan Ashadi Zain. Untuk PTS, inilah salah satu buku fiksyen yang betul-betul mencerminkan perjuangan penerbit bagi memandaikan bangsa dengan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT).

Saya beli buku ini untuk anak bujang saya yang bersekolah di tahun 2 sekolah rendah. Selama seminggu saya turut menjadi ‘kamus bergerak’ untuk anak kerana banyak pertanyaan yang dia kemukakan sepanjang pembacaannya.

Judul: Sekolah Bakat
Penulis: Ashadi Zain dan Ahmad Naim Jaafar
Penerbit: PTS One Sdn Bhd. terbitan September 2009
ISBN: 978-967-5406-09-6
Halaman: 152 muka surat
Harga: RM10.50 / RM12.50 (Sabah & Sarawak)
Kisah dongeng mungkin benar ianya sebuah mitos yang diceritakan sebagai unsur penglipur lara, juga sebagai nasihat komuniti setempat. Semua masyarakat dunia memiliki kisah dongeng yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ianya terus ditokok tambah serta mengalami evolusi. Benarkah kisah dongeng itu hanya dongengan semata-mata? Banyak sudut yang boleh diperhalusi dari sudut agama dan perkembangan budaya masyarakat setempat.

Bukan tujuan saya untuk berbincang berkenaan kebenaran kisah dengeng tersebut.
Cumanya saya ingin membuat sorotan berkenaan buku Cerita Dongeng Dari Eropah. Buku ini dijilid secara hard cover, diterbitkan oleh Penerbit Arowana Sdn. Bhd. dan diterjemah/disunting oleh saudara Sulaiman Zakaria.

Bahasa Melayu yang digunakan baik dan moden, sesuai untuk dibaca oleh kanak-kanak sekolah. Walaupun mungkin ianya sekadar mitos, namun banyak unsur nasihat dan pengajaran moral boleh diambil teladan. Semua cerita dongeng mengisahkan kejadian ajaib dan menakjubkan. Walaupun Penerbit Arowana mungkin sebuah penerbit Cina, usaha ini harus dipuji kerana men
ggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang baik.

Cerita dongeng Eropah bersangkut paut dengan sejarah pelayaran manusia di masa lalu. Penglipur lara membawa cerita Asia ke Eropah dan pelayar Eropah membawa dongengan komunti mereka ke benua Asia.


Pastinya kebanyakan cerita dongeng ini telah mengalami asimilasi setempat dan berubah mengikut peredaran masa. Dilaporkan bahawa kisah-kisah dongeng ini pernah dikritik kerana dikatakan tidak memiliki nilai moral yang murni bagi dicontohi oleh kanak-kanak. Walaubagaimanapun, karya genre ini terus berjaya meraduk zaman.


Sementara itu, buku Puteri Penawar Hati yang diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. pula menyajikan cerita-cerita yang menonjolkan sifat, sikap dan watak puteri-puteri Islam yang begitu menyentuh hati. Puteri sering dikaitkan dengan seorang yang dihormati dan dipandang mulia oleh ramai orang. Pasti setiap wanita mahu menjadi puteri yang disenangi oleh ahli keluarga, masyarakat, negara dan agama.


Penggunaan bahasa Melayu juga baik; kontemporari dan Bahasa Melayu Tinggi. Buku ini menghimpunkan 31 kisah srikandi untuk kanak-kanak Islam khususnya.


P/s: Kedua-dua buku ini saya baca dari kulit ke kulit.
Saya membelinya untuk anak-anak.
Selain membaca beberapa buah buku dewasa dalam satu masa, saya juga cuba membaca dan meneliti buku kategori kanak-kanak dan remaja. Buat masa ini saya tumpukan kepada pembacaan buku atau fiksyen yang diterbitkan oleh rangkaian syarikat PTS.

Salah satu buku yang sudah dibaca ialah fiksyen siri Usahawan Cilik berjudul Taman Botani Harapan yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Plot okey, jalan cerita mudah dan sesuai bagi pembaca sasaran, iaitu remaja sekolah. Banyak unsur motivasi diterapkan oleh penulis A. Razak Adam. Ciri pengajaran, usaha, bersifat rajin, yakin diri, dan bertawakal diolah baik oleh penulis. Ciri-ciri masyarakat Malaysia pelbagai ras juga dijalin dan dipersembahkan secara bersahaja, tetapi penuh bermakna.


Harapan menggun
ung Azlan disaring oleh nenek menerusi nasihat dan tamsil ibarat. Pengalaman hidup nenek yang sudah tua itu dinarasikan melalui bait-bait nasihat berbaur cinta dan sayang terhadap seorang cucu lelaki tunggal.

Dalam pada itu, untuk kesekian kalinya, PTS gagal mengotakan prinsip yang lantang dilaungkan, iaitu penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Di sana-sini hampir di semua sub-plot Bahasa Melayu Rendah (BMR) mencemari keindahan akhlak yang diperjuangkan oleh penulis.


Penggunaan perk
ataan kontot yang amat ketara ialah ‘tu’, ‘ni’ dan ‘tak’. Selain itu, beberapa kata ‘ke’ digunakan. Satu lagi ada ketika sub-plot melompat tanpa ada ruang atau tanda peralihan.

Inilah kegagalan ketara dalam fiksyen ini. Saya bukan suka-suka mencari kesalahan. Justeru buku ini ditujukan k
epada pelajar sekolah, maka penggunaan perkataan kontot menggambarkan bahawa itulah yang betul.

Sekali lagi saya bertanya, “Editor PTS, adakah ajaran dan wawasan Puan Ainon bagaikan melepas batuk di tangga sahaja?


Saudara editor perlu membaca buku sains-fiksyen (sai-fai) Ahmad Patria Abdullah.
Salah satu novel sai-fai beliau yang saya baca ialah Kota Arialun. Inilah salah satu buku fiksyen terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggunakan sepenuhnya BMT. Tiada satu pun kesalahan nahu dan ejaan. Walaupun novel ini diterbitkan tahun 1988, namun ternyata bahawa Ahmad Patria Abdullah sudah terkehadapan mengamalkan BMT.

Aduhai. Penatlah! Berkaitan:
Ahmad Patria di Pesta Buku Kuala Lumpur 2009

Photobucket

Photobucket
top