Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Langkah Champion. Show all posts
Showing posts with label Langkah Champion. Show all posts
Kami syorkan tahap-tahap laluan kerjaya, dengan izin Allah. Antara laluan yang mampu dirintis oleh setiap orang yang melangkah dari dunia belajar ke alam kerjaya, dan akhirnya bersara mengikut peranan atau jawatan adalah seperti yang tertera dalam aturan tujuh tahap di bawah:

Pelajar --> Pelatih -->Pekerja --> Pegawai --> Pengurus --> Usahawan --> Juru Perunding

(1) Pelajar – Menimba ilmu mengikut sistem pendidikan negara, seperti sekolah kebangsaan, menengah dan melangkah ke IPTA / IPTS atau universiti di luar negara. Atau mengikut sekolah agama dan universiti di dalam atau luar negara seperti di Al-Azhar, Mesir, Jordan, Madinah dan lain-lain negara

(2) Pelatih – Semasa di universiti, pelajar mendapatkan tempat sebagai pelatih di syarikat, badan berkanun, agensi kerajaan atau institusi yang memberikan tempat untuk para pelajar mendapatkan latihan industri. Semasa menjadi pelatih, pelajar mendapat pendedahan dunia kerjaya dan suasana sebuah syarikat korporat atau agensi kerajaan yang terbabit.

(3) Pekerja – Para siswa atau siswi lepasan universiti atau kolej mendapat pekerjaan di sektor awam atau swasta, iaitu di jabatan kerajaan, badan berkanun, agensi kerajaan atau syarikat swasta.

(4) Pegawai – Sesudah melalui beberapa bulan atau tahun, pekerja mendapat kenaikan pangkat dan meningkat dalam kerjaya.

(5) Pengurus – Apabila memegang jawatan pekerja dan pegawai, seseorang penjawat awam atau swasta dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus atau penyelia. Peningkatan seterusnya dalam kerjaya setelah pengalaman bertambah dan prestasi memuaskan pihak jabatan atau syarikat. Pemegang jawatan mungkin memegang jawatan itu sehingga hari dia bersara atau mungkin dia mendapat kenaikan pangkat lagi ke jawatan yang lebih tinggi.

(6) Usahawan – Pekerja yang sudah meningkat dalam kerjaya meletak jawatan demi mengejar impian untuk membuka perniagaan sendiri, yakni menjadi usahawan. Dia menceburi bidang perniagaan sebagai kontraktor, pembekal, penjual produk, malah tidak kurang juga yang bergiat dalam bidang latihan. Malah ada juga apabila bergiat dalam bidang latihan, dia membekalkan produk latihan kepada bekas majikannya atau pihak yang dikenalinya semasa bekerja di sektor awam atau swasta itu.

(7) Juru Perunding – Pada peringkat ini seseorang usahawan itu sudah menceburi bidang kemahirannya selama lebih daripada lima belas hingga dua puluh tahun. Oleh yang demikian kemahirannya itu sudah memungkinkan dia menjadi pakar rujuk serta pakar yang diminta nasihatnya dalam bidang yang diceburinya. Pada tahap ini juga, pihak yang perlukan khidmat kepakaran beliau sanggup membayar harga yang tinggi semata-mata demi mendapatkan khidmat nasihat. Pada ketika ini dia layak digelar sebagai juru perunding atau konsultan.

Sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi, semua laluan ini bermula ketika seseorang itu berumur 7 tahun iaitu Peringkat 1, dan Peringkat 7 dicapai ketika dia berumur 58 tahun atau mungkin lebih awal, bergantung pada perancangan dan pelaksanaan perancangan seseorang itu.

Adakah kamu menganggap seseorang yang berumur 58 tahun sebagai seorang yang sudah lanjut usia dan sebaik-baiknya dia bersara atau lebih layak menghabiskan masanya di masjid atau surau?

Sebelum kita menjawab ‘ya’ kepada soalan di atas, mari kita berhenti sejenak dan meneliti kisah perjalanan hidup Nabi Muhammad (SAW). Ya, Rasulullah (SAW).

Baginda mula bertugas sebagai penggembala kambing biri-biri pada umur awal remaja lagi. Semasa remaja Baginda mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib menyertai rombongan dagang ke Yaman dan negeri Syam (Syria). Ketika berumur 25 tahun Nabi Muhammad (SAW) berkhidmat memperdagangkan barangan pemodal Khadijah binti Khuwailid.

Semasa berumur 40 tahun Baginda dilantik oleh Tuhan menjadi Rasul. Tiga belas tahun Nabi Muhammad (SAW) menyebarkan agama Islam di Makkah, manakala sepuluh tahun berikutnya di Madinah.

Perang Badar, yakni peperangan pertama yang dihadapi oleh orang Islam pimpinan Nabi Muhammad (SAW) berlaku pada tahun kedua Hijrah. Pada masa ini Nabi Muhammad (SAW) berusia sekitar 55 tahun! Zaman sekarang, pada usia ini seseorang pekerja swasta sudah mencapai waktu dia bersara daripada bertugas. Sedangkan Nabi Muhammad (SAW) baru sahaja menghadapi peperangan yang pertama.

Cuba bandingkan dengan cadangan pakar suatu bidang yang kita bincangkan di atas. Tahap perunding ini semasa berumur 58 tahun. Pada tahap ini pekerja sektor awam sudah mencapai umur bersara dari khidmat sektor awam.

Pada usia 58 tahun, kita sudah menceburi bidang kemahiran kita selama lebih kurang 34 tahun. Cuba bayangkan betapa lamanya masa yang kita habiskan bertugas di bidang tertentu itu. Pelbagai pengalaman yang kita telah lalui dan betapa bernilainya ilmu pengetahuan yang kita pelajari. Tentu kita mempunyai jaringan sahabat dan rakan serta kenalan yang ramai sejak dari mulai bertugas pada usia 24 atau 25 tahun. Tentunya ramai rakan sebaya kita yang telah menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.

Jadi tidak hairan kita menjadi seorang perunding atau konsultan yang menjadi tempat rujukan pelbagai pihak dalam industri atau bidang kita. Bukan sahaja mereka mahu mendengar nasihat kita dan menjadikannya  panduan, malah mereka sanggup membayar kita dengan upah atau yuran perunding atau fi konsultan yang lumayan. Malah bukan mereka yang tetapkan harga, tetapi terpulang kepada kita untuk menetapkannya. Sebut sahaja berapa harganya, mereka yang mendapatkan khidmat kita itu sanggup membayarnya tanpa banyak soal. Tiada pun yang mahu meminta diskaun. Malah semakin tinggi fi konsultan yang dikenakan semakin tinggi pula prestij yang dirasakan oleh pelanggan kita.

Adakah semua ini sesuatu yang mustahil serta tidak masuk akal? Bagaimana caranya untuk kita mencapai tahap itu?

** Insya-Allah, ini siri ujana kerjaya sebagai langkah champion. Penulis kongsikan untuk kebaikan bersama. Andai ada penerbit yang sudi, penulis sedia ketengahkan tulisan ini ke dalam buku.

Sebelumnya: Mulakan langkah Champion (1)

Mulakan Langkah Champion (2): Hakikat Kerjaya

“Waktu dari mula bekerja sehingga bersara selama 35 tahun tidak lama, sedangkan dalam masa itulah kita membina kepakaran dan mengumpul harta serta membina jaringan sahabat atau networking.”

Dari zaman belajar menuju ke alam kerjaya

Setiap orang mempunyai cerita tersendiri dalam perjalanan dari zaman kanak-kanak, menuju dunia persekolahan dan seterusnya melangkah ke alam kerjaya. Malah dari alam kerjaya menuju persaraan pun jalan yang kita lalui berbeza dari orang lain.

Ada rakan kami yang cemerlang sejak awal persekolahan, seterusnya mendaki tangga universiti dan akhirnya melangkah alam kerjaya dengan gemilang dan bersara dengan wang pencen yang lumayan. Dia hidup selesa walaupun sudah bersara.

Manakala seorang lagi rakan kami berjaya di alam persekolahan lalu menjejak langkah ke universiti. Namun beliau tidak sempat menghabiskan pengajian di universiti dengan mendapat ijazah yang diidamkan. Sebaliknya beliau menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan sehingga akhirnya kini beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Malah ada juga rakan-rakan kuliah semasa di universiti yang berjaya menamatkan pelajaran dan beroleh ijazah, bekerja dalam syarikat tertentu sementara menunggu melanjutkan pelajaran ke peringat lebih tinggi atau mendapatkan pekerjaan di sektor awam atau swasta.

Ada seorang lagi rakan pula mencapai kelulusan biasa-biasa semasa bersekolah dan mendapat pekerjaan dalam sektor awam memegang jawatan pegawai rendah. Namun demi mengejar cita-cita untuk meningkat dalam kerjaya, beliau telah mengikuti kelas malam dalam skim pensyarah muda sebuah IPTA.

Beliau bercerita, “Setiap hari selepas kerja saya bersiap-siap untuk pergi ke kelas malam, sedangkan rakan-rakan sejawat saya turun ke padang yang terletak berhampiran quarters bujang tempat tinggal kami untuk bermain bola. Sering sahaja apabila melihat saya lalu di tepi padang itu mereka akan berkata, ‘Tuan Profesor...!’ dengan tujuan menyindir saya. Mungkin berkat doa rakan-rakan saya itu, kini saya berjaya menjadi pensyarah berjawatan Profesor Madya!”

Begitu kisah tiga orang rakan kami yang melalui perjalanan yang berbeza. Kamu bagaimana pula? Apakah cita-cita dan impian kamu?

Masa yang terhad tetapi amat berharga

Dalam sistem pendidikan negara kita pada masa kini setiap orang dimestikan mengikuti persekolahan mulai umur tujuh tahun, bermula dari darjah satu sekolah rendah hingga ke tingkatan enam sekolah menengah atau matrikulasi. Sesudah itu pelajar boleh memohon untuk memasuki IPTA atau IPTS dan mereka yang layak akan ditawarkan mengikuti kursus di IPTA atau IPTS.

Pelajar akan menamatkan pengajian di IPTA atau IPTS sesudah berjaya memperoleh diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (masters) dan seterusnya ijazah kedoktoran (philosophy degree atau Ph. D.). Namun tidak ramai yang akan melanjutkan pelajaran sehingga peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Sebahagian besar pelajar menamatkan pelajaran pada tahap diploma atau ijazah sarjana muda, lalu memasuki alam kerjaya.

Pada ketika ini umur pelajar berumur antara 23 hingga 25 tahun dan dia telah menuntut ilmu sebagai pelajar selama 16 tahun semenjak umurnya 7 tahun lagi. Dia akan mengharungi alam kerjaya sehingga dia bersara pada umur 55 tahun sekiranya berkhidmat di sektor swasta atau 58 tahun di sektor awam.

Ini bererti jangka masa kerjaya seseorang adalah antara 30 hingga 35 tahun. Dalam masa 30 hingga 35 tahun inilah seseorang itu harus bergiat membina kerjaya sehingga hari persaraan.

Dalam jangka masa ini dia mendirikan rumahtangga dan membina keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anaknya. Pada ruang masa yang terbatas itu juga dia membina kekayaan, melabur dalam pasaran saham, unit amanah, menyimpan dalam Tabung Haji, dana pendidikan dan lain-lain.

Dalam ruang waktu itu juga dia membeli kenderaan dan rumah, dan menyelesaikan bayaran pinjaman untuk kedua-duanya.

Dalam sempadan masa itu juga dia mengumpul harta, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, membina kerjaya sehingga peringkat tertinggi yang dia impikan dan dalam ruang waktu itu juga dia membelanjakan hartanya di jalan kebajikan dan memberikan sedekah.

Apakah cita-cita kita? Apa matlamat hidup kita? Membina kerjaya makan gaji sehingga hari persaraan atau bersara awal bagi menceburi bidang bisnes? Ingin membina kekayaan dan mengumpul harta yang banyak supaya dapat kita belanjakan pada jalan kebajikan, yakni membantu orang yang memerlukan dan kurang bernasib baik? Pilihan di tangan kita.

** Insya-Allah, ini siri ujana kerjaya sebagai langkah champion. Penulis kongsikan untuk kebaikan bersama. Andai ada penerbit yang sudi, penulis sedia ketengahkan tulisan ini ke dalam buku.
Setiap tahun berpuluh ribu orang siswa dan siswi keluar dari IPTA / IPTS seluruh negara. Ada yang mencari kerja makan gaji dan ada pula yang bekerja sendiri, malah ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa pun, hakikatnya sebahagian besar daripada lepasan pengajian tinggi yang berbekalkan segulung ijazah sarjana muda atau diploma bakal menempuh alam dan pengalaman baharu.

Bagi mereka yang menjadi sebahagian daripada statistik pasaran tenaga kerja negara, catatan ini adalah untuk tatapan mereka. Kami cuba menyingkap tabir misteri dunia di luar kampus dan bilik kuliah. Bukan teori semata-mata, malah yang terlebih penting ialah pengalaman kami.

Bagi para siswa dan siswi, ini sebahagian daripada bahan rujukan bagi mulakan langkah champion. Doa kami sesungguhnya agar ia dapat membekalkan panduan bagi menempuh alam kerjaya dan industri pembangunan negara.

Cabaran hidup ini bukan alang kepalang. Walaupun demikian, langkah kerjaya harus bermula, sebagaimana hidup ini juga.


@@@@@@@

Memikir, merancang dan menulis resume bukannya tugas main-main. Begitu juga menulis sebuah cover letter yang berpengaruh, atau yang power, seperti istilah remaja masa kini. Kita mesti serius menyediakan resume kerana ia merupakan ‘Karya Agung’ bagi memastikan jawatan yang dipohon berada dalam genggaman.

Banyak kesilapan terjadi dalam menulis resume, terutamanya bagi calon yang baru ingin memulakan kerjaya. Kes ini benar untuk semua golongan, termasuk para graduan. Akibat tidak mengambil berat proses penyediaan resume secara terperinci, usaha kita menjadi sia-sia.

Pembentangan dalam catatan ini bukan sahaja merujuk banyak sumber, malah ia juga berdasarkan pengalaman penulis sendiri menjalani dunia kerjaya selama berpuluh tahun. Kami kompil, kumpul, isih dan nyatakan dalam ayat-ayat mudah supaya para pembaca boleh mengambil manfaat daripadanya.

Banyak faktor kegagalan memperoleh kerja yang diidamkan dan dalam bidang kemahiran masing-masing bukannya disebabkan kita tidak layak, tetapi persembahan resume serta cover letter tidak menarik minat pihak jabatan sumber manusia (HR). Andainya pintu pertama memasuki sesebuah syarikat, terutamanya syarikat blue chips, sudah gagal, bagaimana mungkin perjalanan kerjaya kita berjalan lancar.

Kami tidak mengatakan ujana ini apabila dibaca dan diamalkan, kita PASTI mendapat kerja yang dipohon. Kami memberi panduan dan maklumat berguna dari sumber-sumber berautoriti dan dari pengalaman sendiri. Kami mengakui bahawa kami pernah gagal dalam sesi interviu. Justeru itu kami senaraikan apakah sebab-sebab kegagalan tersebut supaya para pembaca tidak mengulanginya.

Harus diingat, kejayaan mendapatkan kerjaya idaman bukannya mudah, terutamanya di waktu dunia dan Malaysia sedang mengalami desakan ekonomi atau era inflasi. Banyak faktor yang menjadi penentu kejayaan mendapatkan kerja. Namun pada akhirnya selain dari kuasa Allah, kita mesti berusaha menjual diri secara tuntas. Jangan leka dan mudah mengalah dengan mengatakan, “Saya tidak pernah menulis resume atau cover letter.”

Ayuh mulakan gerak kerja champion! Dengan izin Allah, kandungannya boleh kita jadikan panduan, walaupun pada akhirnya kreativiti kita menjadi elemen penting, dan doa kepada-Nya.

Mulakan langkah jaguh! Selamat berusaha dan semoga berjaya.


@@@@@@@

Kita sudah menggenggam segulung dokumen kelulusan, tidak kira apa namanya: sijil, diploma, ijazah sarjana muda, masters atau falsafah kedoktoran (Ph. D.).

Kita juga sudah menghantar resume berserta sepucuk surat yang berjaya menawan hati penerimanya, lalu kita dipanggil menghadiri interviu.

Apa perasaan kita: gembira, gementar, atau bimbang? Gembira kerana akhirnya kita sudah semakin hampir dengan sebuah jawatan idaman? Gementar sebab kita merasa belum lagi bersedia untuk bersemuka dengan panel penemu duga yang mungkin ‘menyoal-siasat’ kita sehingga kita tidak mampu menjawab soalan? Atau bimbang kita mungkin melakukan kesilapan semasa interviu, lalu peluang kita mendapatkan jawatan yang dipinta itu pun hancur berkecai?

Walau apapun perasaan kita, bahagian ketiga ini memberikan panduan serta tip-tip yang berguna bagi calon menghadapi interviu untuk jawatan idaman itu. Kemahiran menghadapi interviu semakin meningkat apabila semakin banyak sesi interviu yang dilalui. Apapun, rasa percaya diri semakin meningkat apabila jawatan yang dipohon bersesuaian dengan kelulusan akademik dan pengalaman bekerja yang kita lalui.

Selamat maju jaya!

Photobucket
top