Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Novel remaja Justeru Impian di Jaring ini merupakan sebuah kisah motivasi. Semangat yang hampir patah dapat dilentur kembali dengan tujuan murni. Demi agama dan negara watak utama mengenepikan segala tohmahan, rintangan dan kegagalan dahulu demi mengejar sebuah kejayaan.

Walaupun ianya berkisar dalam dunia sukan badminton, tetapi ceritanya sesuai untuk semua keadaan dalam mengejar impian. Kisah novel ini betul seperti jangkaan saya bagi pengakhirannya. Ini mungkin kerana saya pembaca dewasa, sedangkan kandungannya ditujukan kepada golongan pelajar dan remaja.


Kelemahan paling ketara ialah plot yang agak straight forward dengan mudah menuju matlamat. Walaupun begitu, sesuai dengan sasaran khalayak.


Manakala Odisi Tanah Kencana pula merupakan cerita yang mengisahkan pencarian manusia terhadap tauhid ketuhanan. Genre novel ini fantasi sifatnya, teradun di dalamnya dunia kegelapan yang penuh dengan sihir dan penyembahan berhala.


Demi mencari cahaya kebenaran dan di mana Tuhan Yang Esa, bakal raja Raden Inu mempertaruhkan nyawa. Justeru berlabuhlah cahaya di Tanah Kencana membunuh mantera-mantera pujaan lalu menggantikannya dengan puji-pujian Yang Esa.


Kisahnya ringkas, sesuai untuk khalayak pembaca remaja pastinya. Namun jika dikembangkan lagi, saya kira, ia bakal menjadi novel fantasi yang baik justeru kerana banyak sub-plot yang boleh dikembangkan.


Dari satu segi, mengikut hemat saya, remaja era ini harus digalakkan membaca novel-novel sains fiksyen dan fantasi yang mencabar minda dan ketebalan halaman yang tidak kurang dari 250 muka surat.


Kedua-dua novel ini menampilkan grafik muka hadapan yang langsung tidak menggambarkan isi cerita. Saya kira sama ada pereka grafik yang ketandusan idea atau memang jabatan grafik tidak mementingkan desain muka hadapan. Justeru itu, saya tidak terkejut seandainya novel-novel ini tidak berdaya memujuk pembaca untuk meneliti isi kandungannya. Walaupun ungkapan “don’t judge the book by its cover” sudah terlalu usang, tetapi ia menjadi elemen penting sebagai daya penarik pertama.


Justeru Impian di Jaring dan Odisi Tanah Kencana masing-masing telah memenangi tempat pertama dan kedua Pertandingan Novel Remaja Kumpulan Utusan 2006. Tanpa mengambil kira faktor desain muka kulit novel, satu tujuan murni sudah berjaya dihasilkan oleh penulis Zaid Akhtar dan Sri Rahayu Mohd Yusop.


(Kemaskini dari bandar Jertih, Besut, Terengganu)


*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.

4 comments:

Anonymous said...

Salam.

Saya amat setuju tentang pendapat saudara mengenai Odisi Tanah Kencana. Sayang sekali kulit hadapan karya-karya pemenang HSKU tidak digambarkan seindah isinya.

Anonymous said...

(On a separate note)

Boleh emelkan saya alamat emel saudara (to: nana@julianaes.com)? Rakan sekerja sedang mencari-cari katering untuk perkahwinannya sekitar Jun ini. Blog katering saudara apabila diklik sering saja memaparkan adware dan langsung ditujukan ke laman web lain.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

mood karya2 HSKU cuba menampilkan kelainan dari segi desain kulitnya. Lantaran itu desain kulitnya juga cuba seupayanya lari dari konsep novel popular. Bimbang karya2 ini disalah tanggapi. Namun, komen2 yang membina amat dialu-alukan. Kerana dalam proses mencari keunggulan harus dilihat seluruh komen akar umbi. Pembaca sebagai nyawa kepada kelangsungan sesebuah karya. Saya akui, meskipun wujud pepatah 'Don't judge a book by its cover,' namun, tiada siapa dapat menafikan naluri manusia yng mahukan yang indah, cantik dan menawan. Baru lah tertarik.

Terima kasih sdra Zam (WebSutera).

Web Sutera said...

Sdr Bynnybaby, terima kasih atas komen.

Sdr Rozlan, jangan marah ya. InsyaAllah bersama kita memertabatkan dunia sastera bahasa Melayu supaya bertambah meriah & makmur.


Photobucket
top