Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Book review - Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Book review - Bahasa Melayu. Show all posts
12 Zulkaedah 1431H - Dua kali saya pergi ke program hujung minggu bersama PTS di Batu Caves, Selangor. Dua kali juga saya membelek-belek buku Khalifah-Khalifah Yang Benar. Di kali kedua itu, saya membelinya dengan naluri yang begitu teruja.

Saya bertanya kepada staf di kaunter jualan berkenaan buku berkulit keras ini kerana saya sudah memiliki tiga daripada novel sejarah Khalifah Ar-Rasyidin yang terkandung di dalamnya. Saya sudah ada buku berkenaan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan. Kisah Ali bin Abi Talib sahaja yang tiada dalam rak buku saya.

Seandainya saya juga memiliki novel sejarah Islam berkenaan khalifah Ali bin Abi Talib karangan saudara Abdul Latip Talib itu, saya tetap akan menjadikan buku Khalifah-Khalifah Yang Benar ini dalam genggaman. Ada banyak sebab mengapa seakan-akan menjadi wajib bagi diri saya memilikinya, dan amat malang jika buku cantik ini lambat disambar.

Desain dan persembahan buku

Inilah antara faktor penarik pertama buku, iaitu kulit keras dan dijilid secara jahitan. Harga menjadi soal kedua.

Sembilan halaman pertama yang menyorot sejarah kota Madinah dan keempat-empat Khalifah Ar-Rasyidin yang dihiasi dengan ilustrasi suasana ketika itu membuka selera supaya buku ini ditekuni. Latar warna halaman berbentuk klasik menjadikan suasana syahdu dan terasa bagaikan buku ini bukan dicetak di tahun 2010. Memang kena dengan ceritanya. Cantik!

Reka letak teks halaman utama dari muka surat 1 sehingga ke 759 adalah mesra mata. Buku ini dilengkapi glosari yang menerangkan makna banyak perkataan dari bahasa Arab yang sudah diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu. Memang banyak membantu, terutamanya bagi pembaca yang sukar memahami atau tidak biasa dengan perkataan pinjaman Arab tersebut.

Namun, ada sedikit kekecewaan bagi saya terhadap penggunaan kertas simili yang agak nipis. Kenipisan kertas yang digunakan bukan setakat boleh dirasa di hujung jari, malah bayang teks di belakangnya juga kelihatan. Bagi saya buku secantik ini seharusnya dilengkapkan mutunya dengan kertas yang tebal sedikit. Barangkali faktor harga yang menjadi timbang tara di sini. Mungkin sekiranya menggunakan kertas simili yang lebih tebal, harga buku tidak lagi menjadi RM55.00.

Walau apapun, isi kandungan dan persembahan keseluruhan novel sejarah Islam berjudul Khalifah-Khalifah Yang Benar ini sesuai dengan harganya. Berbaloi untuk dibeli dan disimpan. Cantik diletakkan dalam rak buku bercermin. Tetapi jangan hanya disimpan sahaja. Bacalah, insyaAllah, jika saya teruja menelaahnya, tuan-tuan dan puan-puan juga akan turut teruja.

Bagi pembaca yang sudah biasa dengan karya saudara Abdul Latip Talib (Pak Latip) yang diterbitkan PTS, buku ini menjadi bonus untuk kalian. Memang beliau Penulis Novel Sejarah No. 1 Malaysia.

Photobucket
Dialog novel sejarah Islam boleh dipertikaikan keabsahannya?

Berkaitan dengan buku-buku novel sejarah Islam yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib, saya mengikuti satu entri di Facebook beliau. Di wall beliau ada dituliskan:
“Saya ada menerima beberapa emel mengenai penulisan novel sejarah Islam, tidak saya hiraukan kerana pengirimnya tidak berani memperkenalkan dirinya kecuali emel ini, dari Nabil Bin Haji Ahmad pada 17 hb. Oktober pukul 12.39 pagi. “Assalaamualaikum, Tuan Abdul Latip! Moga dirahmati Allah SWT! Saya ada satu persoalan. Saya ada membaca satu pendapat tentang penulisan sejarah serta dialog dalam kisah tersebut. Saya minta maaf kerana tidak ingat siapa yang memberi pendapat itu, namun dia ada kredibiliti dalam bidang agama Islam. Pada pendapatnya, dialog-dialog dalam buku-buku sejarah Islam boleh dipertikaikan keabsahannya, dan berbahaya bagi umat Islam yang membacanya, Bahaya yang dimaksudkan beliau ialah bahaya pada para pembaca yang mempercayai bahawa dialog tersebut adalah benar seperti yang berlaku di zaman sejarah itu berlaku. Mohon pencerahan daripada pihak Tuan. Terima Kasih.”
Penulis Pak Latip memberi jawapannya:
“Tuan Nabil, terima kasih kerana mengemukakan pertanyaan ini. Kalau tuan membaca kitab sejarah Islam contohnya Kisasul Anbiak (kisah-kisah para nabi) juga ada dialog nabi dan Rasul sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Adakah dialog Nabi Adam itu benar berlaku pada zaman itu? Begitu juga kitab-kitab yang lain termasuk kitab sejarah yang ditulis oleh Ibnu Hisyam, ada dialog-dialognya.

“Dialog-dialog yang terdapat dalam novel sejarah Islam yang saya tulis tidak lari dari fakta yang berlaku pada masa dialog itu diucapkan. Ada juga dialog yang saya petik dari kitab-kitab sejarah.”
Cacatan di wall Facebook tersebut menerima banyak komen susulan. Saya juga memberikan buah fikiran saya, begini:
“Tuan Abdul Latip, itu perkara biasa. Seperti mana juga orang kata "Baca novel sejarah islam akan jadi terorris" Lagi pun, mungkin hamba Allah tersebut masih berfikiran dahulu kala dan jumud, masih menggunakan kitab kuning dalam menyampaikan ilmu. Padahal ilmu Allah itu amat luas dan kaedah penyampaian itu turut mesti berubah mengikut peredaran masa. Pada hemat saya istilah 'tadabbur' al-Quran juga boleh dilakukan atau diterjemahkan dengan penulisan novel sejarah Islam seperti usaha PTS dan Pak Latip ini. Hanya Allah yang Maha Tahu.”
Salah satu komen yang menarik perhatian dan saya bersetuju dengannya ialah yang dilontarkan oleh saudara Nazri Kadir:
“Teruskan usaha Pak Latip. Ada yang mengkritik tetapi tidak pernah membaca terlebih dahulu. Ada yang "berilmu" penuh sijil agamanya di dalam fail tetapi mesej dakwahnya tidak sampai. Usaha Pak Latip dan PTS ini adalah pengisi kekosongan generasi masa kini. Saya menyanjung tinggi usaha Pak Latip dan PTS dalam hal ini. Segala yang berlaku adalah satu cabaran yang Allah jadikan untuk Pak Latip dalam tugas sebagai pendakwah. Karya-karya Pak Latip telah menarik kembali semua golongan usia untuk melihat dan memahami kembali sejarah Islam.”
Berkaitan: Sultan Muhammad al-Fateh: Seorang ketua dan penakluk bagi tentera & rakyat yang baik
Baca buku sejarah Islam jadi teroris?
Umar al-Khattab pembunuh dan peminum arak tegar sebelum keislamannya
Novelis thriller lawan novelis sejarah Islam

Contoh fiksyen sejarah: History made easy
6 Ramadhan 1431 H - Kisah hidup manusia teragung sepanjang zaman, Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam), memang wajib dibaca, diketahui dan diambil endah oleh semua umat Islam. Kedapatan banyak buku yang menceritakan sirah insan mulia kekasih Allah ini, dari yang berpuluh jilid sehingga ke sebuah buku yang ketebalannya hanya 100 halaman.

Matlamat penulisan buku-buku sirah Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) tersebut, insyaAllah, saya yakin bahawa demi kebaikan manusia sejagat.

Orang-orang Islam mengakui akan kerasulan Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam). Orang-orang bukan Islam pula mengakui Muhammad adalah seorang manusia luar biasa yang hadir di wajah dunia sebagai pemimpin umat Islam di tanah Arab yang kering kontang.

Di kalangan pembenci Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) juga mengakui kehebatan dirinya dan dia merupakan manusia pilihan Tuhan untuk memimpin dunia yang gelap sewaktu dahulu.

Sejarah dunia Islam dan dunia bukan Islam banyak merakamkan kisah-kisah Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam), zamannya dan zaman selepasnya. Hanya orang-orang yang berniat jahat sahaja yang selalu menyelewengkan kisah hidup Muhammad bin Abdullah dengan penceritaan dan pendapat yang tidak bersandarkan kebenaran dan hanya berpaksi kepada niat untuk memusnahkan Islam.

Membaca kisah hidup menerusi buku Biografi Muhammad bin Abdullah terbitan PTS merupakan satu aktiviti yang tidak menjemukan bagi saya. Walaupun sudah banyak buku sirah yang memberikan sorotan berbeza ditelaah, namun buku ini pula ternyata begitu menceriakan.

Justeru itu, matlamat PTS yang dikatakan ‘buku ini ditujukan untuk bacaan non-Muslim dan orang-orang yang ingin memahami Islam”, saya kira tidak berapa tepat. Memang benar, dengan ayat-ayat yang moden dan menggunakan teknik bercerita, semua golongan sasaran; Muslim, non-Muslim, orang dewasa, orang kampung, dan kanak-kanak; boleh memanfaatkan buku ini.

Antara sorotan yang boleh diambil iktibar dari buku ini ialah Islam menganjurkan kita saling mengingati sesama rakan dan sahabat. Dalam kes ini, saya sering memberi ingatan kepada diri sendiri bahawa darjah iman kita ada kalanya turun, dan alhamdulillah ada ketikanya naik. Sebab itu ilmu adalah penting. Dengan cinta kepada Allah dan Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam), insan terpimpin akan tetap kembali ke pangkuan kebenaran.

Walaupun terdapat banyak buku dalam bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan Inggeris dalam pasaran yang menumpukan kepada kehidupan Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam), membaca Biografi Muhammad bin Abdullah ini akan membuka minda bagi meneliti sirah yang lebih terperinci, insyaAllah.

Tambahan: Sesungguhnya Maulidur Rasul dengan lahirnya Muhammad bin Abdullah bukanlah satu kebetulan, tetapi ia adalah perancangan hebat daripada Allah Yang Maha Hebat. Ini kerana bayi yang bernama Muhammad ialah dari kedua-dua ibu bapa yang salih, kenapa tidak?

Allah SWT telah memilih ibunya Aminah dari seorang anak gadis yang suci bersih dari sebarang sifat negatif; ketika ramai di kalangan anak-anak gadis ketika itu terlibat dalam tindakan songsang umpama GRO pada hari ini. Begitulah ayahandanya Abdullah; seorang remaja lelaki yang tidak pernah walau sekalipun menyembah berhala, berjudi, minum arak, berfoya-foya. Ini menunjukkan bahawa pasangan Aminah dan Abdullah adalah pilihan Allah bagi mendapatkan zuriat yang salih. (Dipetik
dari Harakahdaily)

Wahai junjungan Rasul yang mulia
engkau manusia pilihan Tuhan
datang membetulkan Jahilliyah;
dunia meratap atas perginya dirimu
yang pasti bagi setiap kehidupan

Namun sirahmu terus menyinar merentas era dan zaman
peribadi yang dipersiapkan megah melintas sejarah
Sejujurnya saya tidak tahu apa mahu diulas tentang buku Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata karya Datin Seri Fatini Yaacob. Garapan dan naratif yang indah dan kerap kali penuh syahdu benar-benar merayapi seluruh jiwa saya di sepanjang pembacaan. Memang benarlah kata penulis bahawa corak naratif buku sejarah ini berbentuk kewartawanan kreatif.

Bahagian terakhir buku ini yang memerikan Natrah kembali ke Singapura dan Kemaman, Terengganu setelah berpuluh tahun benar-benar mengujakan saya. Sangka saya ialah Fatini dan kerajaan Malaysia yang membawa Natrah menemui keluarga angkat di Kemaman. Patutlah ketika itu, bertarikh 29 Januari 1998 bersamaan malam hari raya Aidilfitri 1419 Hijrah, langsung tiada khabar berita diketahui oleh rakyat Malaysia. Rupa-rupanya setelah seminggu berada di Singapura, Natrah dan beberapa orang lagi ke Kemaman. Semuanya bagaikan ‘komplot’ supaya dunia tidak mengetahuinya, terutama sekali orang Melayu dan Islam di Malaysia. Saya turut merasai kekecewaan
yang dialami oleh penulis Fatini. Namun ‘komplot’ baik itu mengembirakan Natrah.

Saya benar-benar dapat menyelami perasaan, derita, sedih, kekecewaan, marah dan amukan gelora jiwa Natrah di setiap bait-bait ayat yang ditintakan dalam buku ini. Ianya ibarat sebuah lukisan hidup, berwarna-warni ditayangkan di depan mata.

Saya merupakan salah seorang pembaca kisah Natrah yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat 1989. Semua keempat-empat edisi saya miliki dan membacanya semasa masih menjadi pelajar jurusan sains komputer di Universiti Sains Malaysia. Sayangnya, naskhah Dewan Masyarakat tersebut sudah tiada dalam simpanan saya, maklumlah mungkin kerana sudah lama. Juga tidak terfikir di kala itu untuk menyimpannya.

Justeru itu, penerbitan buku Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata menjadi pelengkap. Seperti mana itu juga tujuan Fatini dalam mengusahakan penulisan peristiwa sejarah besar umat Islam dan Melayu di Nusantara ini. Dari buku ini dan
juga buku The Nadra Tragedy oleh Haja Maideen, sudah nyata bahawa masyarakat Islam di waktu itu sangat mengambil berat akan soal akidah. Saya katakan bahawa gerakan menyelamatkan akidah Natrah bukan dimulakan oleh orang Melayu Islam, tetapi oleh orang Islam berbangsa India. Dari inisiatif permulaan oleh kumpulan India Muslim tersebut, bersama sokongan utuh beberapa sahabat Melayu terutamanya Dr Burhanuddin al-Helmy, baharulah ianya diperkuat teguh oleh umat Melayu lainnya.

Umat Islam bangkit membantah. Akidah Natrah cuba diselamatkan. Maruah Islam mesti dipertahankan. Jawatankuasa Tindakan Natrah ditubuhkan. Nadi penggeraknya ialah Karim Ghani (seorang India Muslim), Presiden Liga Islam dan Persatuan Dakwah Islam Se-Malaya berpusat di Singapura. Beliau juga editor akhbar India Muslim, Malaya Nanban dan dua akhbar lain. Dari komuniti terpelajar, golongan agama, aristokrat, petani, penduduk kampung, polis Melayu sehingga orang
Melayu yang pakai seluar pendek, umat Islam bangkit tanpa mengira bangsa.

Karim Ghani dibantu sahabat karibnya, Dr Burhanuddin al-Helmy. Selaku Editor akhbar Melayu Raya, Dr Burhanuddin menghasilkan siri tulisan yang membangkitkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap konflik dan perebutan hak penjagaan ke atas Natrah. Lebih ditekankan lagi ialah akidah Islam Natrah yang dipermainkan oleh penjajah Belanda dan British. Tidak sedikit peranan beliau dalam membangkitkan kemarahan umat Islam terhadap mainan kuasa dan penghinaan terhadap Islam oleh penjajah jahanam itu.

Buku ini amat teliti dan secara jelas membuktikan bahawa Natrah tidak pernah ria dan senang di sepanjang kehidupannya di Belanda. Mungkin sedikit keceriaan wujud apabila Natrah bersama-sama anak-anaknya hasil dari perkahwinan pertama dengan Wolkenfelt. Dalam hampir keseluruhan ruang hidupnya dibebani oleh perasaan sedih, kecewa, marah, hampa dan hati kosong.

Sepanjang peristiwa di kamar mahkamah, di pejabat konsulat penjajah British dan Belanda. dan komplot kedua-dua penjajah bagi menjaga air muka masing-masing tidak langsung mengambil kisah akan perasaan Natrah, umat Islam dan orang Melayu di Indonesia, Singapura dan Malaya pada masa itu. Tanpa niat busuk dan dengki kesumat penjajah British dan Belanda, Natrah akan bahagia dalam Islam dan alam Melayu.

Semuanya bermula dari onar seorang pegawai British di Malaya dan diperkuatkan dengan penjajah Belanda yang kalah perang di Indonesia. Belanda yang malu besar kerana kemerdekaan Indonesia hanya mencari alasan bagi menutup kekalahan mereka dan menancapkan keangkuhan si penjajah di bumi Nusantara. Yang menjadi mangsa ialah Natrah, Mansor Adabi, Che Aminah dan agama Islam. Alangkah angkuh dan dengkinya penjajah British dan Belanda di waktu itu.

Tahniah atas terbitnya buku Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata oleh Datin Seri Fatini Yaacob untuk tatapan umat Islam dan anak bangsa Melayu serta rakyat seluruhnya. Ia diterbitkan oleh Penerbit UKM. Tiada rasa seindah bahasa yang dapat saya coretkan di blog ini bagi menjelaskan keterujaan dan penghargaan saya di sepanjang menelusuri jiwa Natrah dan umat Islam lewat kandungan buku ini.

Ianya sejarah besar yang bukan sahaja patut diketahui, dibaca dan dikenang, malah banyak teladan yang boleh diguna pakai. Akhirnya, seperti kata penulis Fatini: “Selamat jalan mama Natrah@mama Bertha…Semoga mama bahagia dalam ampunan dan rahmat Allah”, begitu juga doa saya.

Judul: Natrah (1937 – 2009): Cinta, Rusuhan, Air Mata

Penulis: Datin Seri Fatini Yaacob
ISBN: 978-983-52-0729-7 (kulit lembut)
Penerbit: Universiti Teknologi Malaysia Press, 2010
Ketebalan dan harga: 474 muka surat dan RM75.00

Berkaitan:
Cinta dan air mata Natrah, adakah kita (Melayu-Islam) mengambil iktibar?
Tragedi Natrah (Maria Hertogh) yang berdarah

Sorotan cinta Natrah: Ada pakcik saya kena tembak - warga Singapura

Buku cinta Natrah: Nasharuddin melatah atau apa?

Maria Hertogh (Natrah) meninggal dunia di Belanda
24 Zulkaedah 1430H: Palestin adalah bumi yang menjadi rebutan agama samawi sejak zaman-berzaman. Tanahnya sering bersimbah darah merah, air mata warganya juga sudah kering untuk menangisi penderitaan dan kejerihan. Waktu terus bergulir pantas sehingga kita alpa tanah suci ini belum tertebus hutangnya, al-Quds yang dijajah, Masjid al-Aqsa yang diratah.

Buku Gaza Menangis: Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza menyingkap rahsia Palestin dan perjuangan membebaskan setiap inci tanah yang dijarah Yahudi Zionis. Juga merakamkan kanvas hitam pembantaian tanpa ampun Cast Lead selama 22 hari, iaitu serangan paling pengecut dan barua!.


Sejarah perjuangan jihad, cintakan seni kematian menjadi obor di sepanjang sejarah Palestin. Sudut sejarah itu berjaya ditelusuri secara ringkas tetapi menyeluruh oleh penulis Ustaz Riduan Mohamad Nor dan Aris Hazlan Ismail.


Pengalaman penulis dalam misi kemanusiaan ke Gaza dinarasi dari hati yang cintakan Islam dan syahid. Banyak bait-bait yang menggetar nubari, sama ada dari penulis sendiri maupun dari ungkapan para pejuang jihad.


Walaupun buku ini tidak tebal (hanya setebal 193 halaman), namun ia ditintakan penulis sebagai penyaksian kejahatan rejim Yahudi Zionis semasa operasi Cast Lead, serangan paling kejam dekad ini. Ia membakar semangat jihad dalam diri saya.
Sesungguhnya umat Palestin dan para pejuang hanya impikan ini; seni kematian menerusi syahid atau kemenangan!

Buku ini diterbitkan oleh Jundi Resources, berharga RM20.00.
Saya membelinya semasa di Pesta Buku Kuala Lumpur 2009 yang lalu.

Berkaitan:
Anasir teroris adalah anak kandung Zionis
Jarum Zionis melalui liberalisme dalam Tuhan Manusia
Asy-Syahid Sheikh Ahmad Yasin

Utusan khas kanan Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah dilaporkan berkata bahawa Washington bersungguh-sungguh ingin melihat kedamaian komprehensif antara Israel dan jiran-jiran Arabnya.

George Mitchell mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Hosni Mubarak baru-baru ini, antara lain untuk mengalakkan negara-negara Arab supaya memulihkan hubungan dengan Israel. Intipati utama ialah, kata pasukan khas itu, bagi memperbaharui proses usaha damai antara Israel dan warga Palestin yang terhenti.


Namun dalam masa yang sama, setiausaha pertahanan AS Robert Gates terus mengosok belakang Israel dengan mengatakan bahawa kerajaan AS akan terus memberi bantuan ketenteraan kepada negara haram Israel untuk tujuan keselamatan.


“Kami menyumbang kewangan dan bantuan teknikal bagi menguatkan pertahanan Israel melawan ancaman roket dan peluru berpandu yang semakin meningkat. Kami akan terus mempastikan Israel memiliki senjata tercanggih bagi pertahanan nasionalnya,” kata Robert Gates.


Itulah
AS.
Walau siapa pun presidennya, retorik tetap menjadi racun berbisa umat Palestin. Ya, mungkin juga Presiden Barack Obama agak berlembut dengan isu Palestin ini, namun umat Islam mesti terus memantau pendekatan beliau. (Pautan: Barack Obama, satu usaha baik tetapi belum dapat dipuji)

Siapa yang mula-mula melihat kemenangan Hamas dalam pilihanraya Palestin pada 25 Januari 2006 sebagai suatu ‘ancaman’ kepada hagemoni dan keangkuhan Zionis Israel? Mereka ialah Israel dan AS, kemudian diikuti oleh negara-negara Kesatuan Eropah yang angkuh.


Buku Hamas: Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis mengupas sejarah pembentukan Hamas, kronologi peristiwa berkaitan Hamas, Palestin dan Intifadah. Dalam buku ini penulis Ustaz Mazlee Malik menyelami kepayahan dan kesengsaraan perjuangan Hamas sebelum dan selepas diberi mandat menerajui kerajaan Palestin.


Hamas yang antara lain mendasarkan perjuangan mereka untuk umat Palestin dalam bidang sosial, kabajikan dan perubatan juga dikatakan teroris oleh teroris maha besar Zionis Yahudi Israel dan AS.


Hasad dengki dan dendam kesumat Zionis terhadap umat Islam disasarkan terutamanya kepada umat Islam Palestin. Pelbagai perjanjian kononnya dimeterai, tetapi Zionis Yahudilah yang mula-mula menodai apa sahaja ‘kertas perdamaian’ yang dicipta Barat itu.


Zionis Yahudi memaksa Hamas dan kumpulan jihad lain di Palestin supaya meletakkan senjata sebagai salah satu syarat perdamaian. Namun dalam masa yang sama, Zionis laknat itu tidak pula mahu melakukan perkara yang serupa.


Dalam buku ini juga dihalusi pertentangan antara kumpulan Fatah dalam PLO dan Hamas yang disokong majoriti rakyat Palestin. Fatah disokong dan dibantu oleh AS bagi melawan Hamas dengan tujuan yang maha busuk.


Lihatlah bagaimana Fatah dan PLO ditipu hidup-hidup oleh Zionis Yahudi dan AS dalam perjanjian Oslo 1993. Bukan sahaja sekadar Hamas, malah seluruh rakyat Palestin mengutuk dan tidak merestui perjanjian jahat ini.
Perjanjian Oslo merupakan satu inisiatif bagi menggadaikan bumi Palestin. Kesannya ialah bukan sekadar umat Palestin kehilangan tanah Palestin sebelum perang 1948, malah kuasa mereka di Gaza dan Tebing Barat juga terhad. Dan nyawa umat Islam Palestin ibarat semut yang dipijak mati tanpa belas kasihan.

Tanah para nabi-nabi di Palestin sebelum tahun 1948 adalah merangkumi 77 peratus negara Palestin yang sebenar. Gaza dan Tebing Barat yang sekangkang kera itu pun Zionis Yahudi ingin rampas.


Antara perkara jahanam yang terangnya seterang pancaran mentari di kemuncak langit ialah protokol pertama Zionis yang memaktubkan bahawa perlunya melakukan kegiatan keganasan material dan spritual terhadap semua bangsa bukan-Yahudi. Protokol tersebut merangkumi usaha-usaha Zionis supaya kaum Yahudi dapat menguasai dunia dan memonopoli setiap sumber bagi menguatkan kedudukan dan membantu merealisasikan tujuan besar mereka.


Ketahuilah saudara bahawa keganasan atau anasir teroris adalah anak kandung Zionis! Kajilah kitab Taurat (yang sudah dipesong oleh Yahudi) yang banyak mengandungi dakyah dan ajaran supaya melaksanakan elemen teroris dan menghancurkan seluruh manusia selain Yahudi.


Yahudi adalah punca diskriminasi kaum, penghapusan etnik dan pembinasaan manusia. Doktrin mereka mencacak teguh asas pendustaan dan egoistik. Zahirnya bersinar, tetapi batinnya gelap dan hina.


Ringkasnya segala kehinaan dan keganasan sama ada yang lampau dan kini, di hadapan atau di belakang adalah berpunca dari Yahudi Zionis. Betapa tidak, bukankah kitab Taurat yang sudah diselewengkan itu (bukan lagi ajaran Nabi Musa) adalah punca kepada elemen teroris.”


Justeru itu
aksi musang berbulu ayam Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu Menteri Pertahanan Israel teroris Ehud Barat baru-baru ini, perlu dikutuk dan dihentikan. Apa kejadah perbuatan Zahid tersebut?

Walau apapun alasan Zahid berjumpa teroris Ehud Barak, ia amat tidak wajar. Tentu tidak banyak yang mampu dibincangkan Zahid dan Ehud Barak dalam pertemuan 35 minit itu, tetapi ia sudah cukup untuk dijadikan modal bagi Ehud Barak menunjukkan sikap berlembut Malaysia dalam soal hubungan dua hala.


Zahid sendiri mengakui beliau satu-satunya Menteri Pertahanan yang bermuqabalah dengan Ehud Barak pada majlis sempena Pertunjukan Udara Paris itu.
Bermuqabalah tahi kucing!

Pautan khas: Jihad Palestin!
Buku pertama yang menceritakan pengalaman pahit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang saya baca ialah Universiti Kedua oleh Kassim Ahmad. Buku ini dibaca semasa masih belajar di Universiti Sains Malaysia. Buku kedua ialah Suara Dari Kamunting 1 oleh Saari Sungib.

Kini saya sudah selesai menghabiskan pembacaan buku Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara oleh Syed Husin Ali. Kebanyakan dari kita dan saya sendiri sering mendengar ISA disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk menangkap, menahan dan mendera para tahanan politik. Selebihnya kita tidak tahu. mungkin.


Melalui pembacaan ketiga-tiga buku yang saya sebutkan, gambaran jelas diperoleh. Namun buku pengalaman Syed Husin Ali ini membuka mata hati saya sejelas-jelasnya apakah ISA yang sebenarnya.


Ya, memang benar ISA ditempa bagi membendung anasir Komunis selepas Malaysia merdeka. Walaupun demikian, dalam banyak kes, seperti yang terjadi ke atas Syed Husin, penahanan beliau adalah sangat kabur. Melalui buku ini penulis mendedahkan bahawa semua alasan penahanan beliau dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa bukti.


Buku ini sangat berjaya mendedahkan lorong-lorong gelap tanpa cahaya dalam tubuh akta yang ‘membenarkan’ unsur kezaliman dinobatkan. Lorong gelap kehidupan yang dilalui Syed Husin sepanjang hampir enam tahun itu seumpama lorong-lorong fizikal yang kelam yang dilalui beliau semasa berulang-alik ke bilik soal-siasat.


ISA merupakan sebuah akta yang digambarkan baik di permukaan, untuk membendung fahaman Komunis. Ya, mungkin ada eloknya. Tetapi ISA sebenarnya telah sekian lama disalahguna oleh pihak-pihak tertentu. ISA menghalalkan semua kaedah supaya tahanan politik mengaku perkara-perkara yang terlalu kabur, malah tidak langsung dilakukan oleh tahanan. Ini digambarkan dengan terperinci oleh Syed Husin. Akta ini juga samar. Sebuah akta yang kabur apabila digunakan secara melulu, ianya menjadi sangat zalim.


Saya tabik kepada Syed Husin. Walaupun beliau didera secara mental dan fizikal, namun beliau tetap teguh pendirian. Pusat kekuatan penulis, seperti yang digambarkan dalam buku ini, ialah Allah, kebenaran dan isteri yang taat.


Isteri Syed Husin, Puan Sabariah Abdullah, berkata dalam satu surat terbuka, begini: “Oleh kerana tahanan-tahanan politik tidak dibawa ke mahkamah terbuka, maka penahanan seseorang itu betul-betul terletak di bawah kekuasaan kerajaan. Kerajaan BN mempunyai kuasa terlalu banyak sama ada hendak membebas atau menahan terus seseorang tahanan politik. Kecurigaan tentang penyalahgunaan kuasa dalam hal ini semakin meluas. Jikalau kes tahanan politik dibawa ke mahkamah terbuka, rakyat bolehlah mengetahui segala perbicaraan, dan inilah yang nampaknya tidak diingini oleh kerajaan BN, kerana kepentingan politiknya.”


Dalam buku ini nama-nama besar ahli politik negara yang turut ditahan dalam ISA seperti Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali juga disebut dan menjadi rakan Syed Husin semasa di Kamunting.
Wartawan Abdullah Ahmad, penulis buku Pandangan Dari Tudor City, New York juga ada.

Buku ini sangat saya syorkan untuk dibaca oleh anak-anak Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang agama. Ianya umpama fiksyen thriller, tetapi benar terjadi. Fikir-fikirkan, insyaAllah.


Judul: Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara

Penulis: Syed Husin Ali
ISBN: 978-983-3782-58-1
Penerbit: Strategic Information & Research Development Centre, 2008
Ketebalan: 176 muka surat
Harga: RM20.00

Berkaitan:
Penggunaan ISA secara melulu tidak boleh dimaafkan
Sinopsis novel ini bermula begini: “Cinta tidak pernah menjadi rumus matematik. Apa pun rumusnya, di sela-selanya selalu ada misteri dan ruang hampa.”

Penulis saudara Alfian Malik dengan bersahaja meminjam sebuah latar etnik yang mirip satu selimut perca dengan ribuan sambungan yang saling memintal dan menjerat. Potongan imaginasi difiksyenkan, terangkai dalam untaian kata dan teka-teki, membuat benak saya mengelamun jauh, amat jauh.


Narasi penulis mengalir lancar ibarat “kakek yang fasih mendongeng.” Ianya seumpama sebuah kelana yang penuh sejuta pesona. Penulis mencari peradaban manusia, cuba mengubah persepsi kemanusiaan, dan terjalin bersamanya hubung kait dengan makhluk lain yang menghuni buana ini.


Saya kategorikan novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta ini sebagai fantasi sains-fiksyen. Pelbagai kekuatan magik dan kejadian tidak masuk akal dijalin dan dinarasi tuntas menjadi latar peristiwa manusia mencari nilai-nilai kemanusiaan sejagat.


Betapa kejahatan, penguasaan ilmu mistik dan kekuatan magik yang disalahguna, kebejatan masyarakat mengejar kemasyuran dan onar penguasa haloba dikutuk habis-habisan oleh penulis. Dan akhirnya penulis membawa satu rumus atau penyelesaian sains dan teknologi yang bermatlamatkan kesejahteraan manusia dan penghuni lain di jagat raya ini.


Saya menelurusi jalan dan denai di suatu daerah terpencil yang penuh ilmu santet (kedukunan dan sihir). Manusia-manusia hebat dan sakti menerawang di segenap penjuru Lumpur Similiar. Namun akhirnya dengan penuh bijaksana, semua itu tertunduk dengan pimpinan seorang manusia yang mencari kebenaran sejagat; Tegar Patih. Tegar Patih, manusia istimewa anugerah Allah, menjalani kehidupan penuh ranjau. Ternyata bahawa faktor cinta menjadikan dia manusia istimewa – cinta kepada ilmu sakti, cinta kepada orang tua, alim ulamak dan cintakan kepada kebenaran serta keamaman bagi seluruh umat manusia.


Hubungan sesama manusia, jin (orang Bunian?) dan penghuni lain di persada maya ini dipintal menjadi sebuah cerita. Apa bentuk ‘manusia baru’ yang bakal menghuni muka bumi di abad-abad mendatang? Baca novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta, anda akan dapat menemui jawapannya.


Jika dikira dari sudut persembahan, novel ini memiliki satu kelemahan, iaitu narasi yang mengalir bagaikan air deras itu tidak bernoktah. Sambung menyambung tanpa bab-bab tertentu.


Namun, narasi dan imaginasi Alfian Mailik penuh mistik dan istimewa! Ada kelainan berbanding novel seumpama ini di Malaysia.


Tajuk: Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta

Penulis: Alfian Malik

ISBN: 978-979-1038-09-6

Penerbit: PT. Andal Krida Nusantara, Disember 2007

Halaman & harga: 248 mukasurat & 49,500 Rupiah

“Aku amat menggalakkan terbinanya perpustakaan di rumah. Milikilah ia di rumah walaupun kecil, di mana di dalamnya terdapat kitab-kitab agama, buku-buku tulisan penulis seantero dunia yang dapat kita cedok ilmunya, serta kaset atau CD berfaedah bagi santapan telinga dan nurani.” (Dari novel ini)

Saya sudah baca novel kecil ini. Tarikan utama saya ialah
gaya penulisan yang sarat bait nasihat. Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Ili Sarah Annual Bakri menulis dan bercerita secara bersahaja menggunakan susunan bahasa yang indah. InsyaAllah, ia bisa memaut hati ini condong kepada perjuangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Novel ini adalah sebuah catatan isteri seorang pejuang yang meluangkan masa berpuluh tahun hidup bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Akhirnya beliau tampil membongkar rahsia hidupnya sejak bergelar ratu di hati ulama tersohor ini.


Segala pahit getir dihirup bersama, saling mempercayai sehingga tiada ruang untuk meletakkan curiga di antara mereka. Novel ini tampil dengan nada yang tulus dan harmoni. Ia berkisah tentang hidup, kesetian, pengorbanan dan perjuangan.


Pengalaman isteri Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dirakam dalam langgam bahasa yang puitis sehingga membuatkan pembaca turut sama meranduk tohor dalamnya sungai kehidupan yang punya saat kering dan bahnya.


Antara bait indah ialah, “Sungguh aku tidak tahu dari mana mulanya cinta sebesar ini.
Sedar-sedar saja, aku seperti sudah berada di syurga dunia.”

Tajuk: Bidadari Dari Timur: Memoir Isteri Seorang Pejuang

Penulis: Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak & Ili Sarah Annual Bakri

ISBN: 978-967-5249-08-2

Penerbit: Kemilau Publika Sdn. Bhd., April 2009

Halaman & harga: 111 muka surat & RM12.90 (Sem. Malaysia), RM15.90 (Sabah & Sarawak)

Photobucket
Buku Fahami Al-Quran Menurut Kaedah Para Ulama, karya Mohd. Sabri Mohammed merupakan ringkasan cara mempelajari ilmu tafsir al-Quran dan beberapa pengajaran penting yang dapat diambil melalui proses mempelajari ilmu tafsir al-Quran.

Buku ini juga menerangkan beberapa kaedah asas yang digunakan oleh ulama terdahulu dalam pros
es mentafsirkan firman ALLAH agar umat Islam tidak mudah terpedaya dengan fahaman dan aliran yang menolak cara pentafsiran mereka.

Al-Quran merupakan kata-kata Allah yang diturunkan kepada bani Adam (manusia) sama ada beriman atau tidak. Sayang sekali, orang kafir pula melebihi umat Islam dalam us
aha mendalami ilmu tafsir al-Quran. Bukankah ilmu tafsir mampu memantapkan pemahaman kita terhadap kehendak dan perintah ALLAH?

Komen saya:


Buku ini bermula dengan agak perlahan dalam menerangkan asas-asas tafsir al-Quran. Banyak istilah Arab digunakan. Namun begitu, isi dan penerangan menjadi semakin mudah dan menarik apabila tiba di bab 3 sehingga ke penghujung halaman. Tahniah untuk penulis.


Bagaimana dengan buku-buku agama yang lain? Jangan lagi buku-buku agama Islam yang banyak diterbitkan oleh pelbagai penerbit ditulis hanya untuk ustaz-us
tazah. Saya berkata begini justeru kerana hampir kesemua buku agama dalam pelbagai topik/subjek ditulis seolah-olah hanya untuk bacaan golongan agama, walaupun ianya diharapkan dibaca oleh semua masyarakat.

Mengapa saya katakan demikian? Buku agama menggunakan terlalu banyak istilah Arab, ditulis dalam gaya lenggok bahasa Arab, dan ayat yang berbelit-belit. Orang awam yang tidak berpendidikan Arab akan terkial-kial untuk cuba memahami ilmu yang hendak disampaikan.


Ubahlah corak penampilan dan gaya penulisan buku agama, seperti juga PAS mengubah imejnya yang boleh diterima oleh golongan muda, remaja, belia, pemuda dan pemudi yang moden serta berpelajaran.


Tajuk: Fahami Al-Quran Menurut Kaedah Para Ulama

Penerbit: Karya Bestari Sdn, Bhd
, (2007)
Penulis: Mohd Sabri Mohammed

ISBN: 967-860-278-4

Halaman: 280

Harga: RM10.00
Novel remaja Justeru Impian di Jaring ini merupakan sebuah kisah motivasi. Semangat yang hampir patah dapat dilentur kembali dengan tujuan murni. Demi agama dan negara watak utama mengenepikan segala tohmahan, rintangan dan kegagalan dahulu demi mengejar sebuah kejayaan.

Walaupun ianya berkisar dalam dunia sukan badminton, tetapi ceritanya sesuai untuk semua keadaan dalam mengejar impian. Kisah novel ini betul seperti jangkaan saya bagi pengakhirannya. Ini mungkin kerana saya pembaca dewasa, sedangkan kandungannya ditujukan kepada golongan pelajar dan remaja.


Kelemahan paling ketara ialah plot yang agak straight forward dengan mudah menuju matlamat. Walaupun begitu, sesuai dengan sasaran khalayak.


Manakala Odisi Tanah Kencana pula merupakan cerita yang mengisahkan pencarian manusia terhadap tauhid ketuhanan. Genre novel ini fantasi sifatnya, teradun di dalamnya dunia kegelapan yang penuh dengan sihir dan penyembahan berhala.


Demi mencari cahaya kebenaran dan di mana Tuhan Yang Esa, bakal raja Raden Inu mempertaruhkan nyawa. Justeru berlabuhlah cahaya di Tanah Kencana membunuh mantera-mantera pujaan lalu menggantikannya dengan puji-pujian Yang Esa.


Kisahnya ringkas, sesuai untuk khalayak pembaca remaja pastinya. Namun jika dikembangkan lagi, saya kira, ia bakal menjadi novel fantasi yang baik justeru kerana banyak sub-plot yang boleh dikembangkan.


Dari satu segi, mengikut hemat saya, remaja era ini harus digalakkan membaca novel-novel sains fiksyen dan fantasi yang mencabar minda dan ketebalan halaman yang tidak kurang dari 250 muka surat.


Kedua-dua novel ini menampilkan grafik muka hadapan yang langsung tidak menggambarkan isi cerita. Saya kira sama ada pereka grafik yang ketandusan idea atau memang jabatan grafik tidak mementingkan desain muka hadapan. Justeru itu, saya tidak terkejut seandainya novel-novel ini tidak berdaya memujuk pembaca untuk meneliti isi kandungannya. Walaupun ungkapan “don’t judge the book by its cover” sudah terlalu usang, tetapi ia menjadi elemen penting sebagai daya penarik pertama.


Justeru Impian di Jaring dan Odisi Tanah Kencana masing-masing telah memenangi tempat pertama dan kedua Pertandingan Novel Remaja Kumpulan Utusan 2006. Tanpa mengambil kira faktor desain muka kulit novel, satu tujuan murni sudah berjaya dihasilkan oleh penulis Zaid Akhtar dan Sri Rahayu Mohd Yusop.


(Kemaskini dari bandar Jertih, Besut, Terengganu)


*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Tanggal 2 Mei 2008, usai solat Jumaat, saya khatam buku karangan Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Taqwa. Buku yang digarap bagi mentarbiah jiwa dan memimpin nafsu supaya tidak kecundang dalam fitnah kehidupan dunia ini merupakan buah tangan Tok Guru yang patut dimiliki oleh semua umat Islam.

Dari blog Anbakri Publika


Benar!
Takwa bukan sekadar takut dan patuh kepada Allah, tetapi merasai diri diawasi dan diperhati. Setiap perkara yang dilakukan pasti dibalasi walau sekecil zarah. Itu prinsip Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz yang sempat dikutip oleh setiausaha politiknya, Haji Annual Bakri.

”Saat yang paling diingati hingga ke hari ini ketika saya sedang menulis. Tuan Guru memerhatikan cara saya menulis, kemudian beliau bersuara tenang dan bertanya, kenapa kamu tulis begitu? Saya bertanya kepada beliau, mengapa? Apa salahnya saya menulis begini? Beliau menjawab, jika kamu tulis begitu penggunaan dakwatnya tidak ekonomik. Membazirkan tinta. Saya akur dengan jawapan tersebut dan terbetik rasa kagum.,” ujar Haji Annual Bakri bersemangat.


Ann Wan Seng mempunyai latar belakang keluarga yang bergiat cergas dalam perniagaan. Beliau mengaitkan kesinambungan SIKAP ORANG CINA dan KELEMAHAN TAKWA orang Melayu. Apa yang menarik beliau memerikan hal orang cina yang kaya raya tetapi sangat pemurah hati dan punya inisiatif menyalurkan kebajikan walaupun sudah meninggal dunia, manakala orang Melayu yang beragama Islam saling berdengki dalam aktiviti perniagaan.


Pantang melihat kemajuan orang, pasti terbit hasad dan dengki sehingga sanggup menjatuhkan bangsa sendiri. Berbanding orang Cina yang sifar akidah, mereka sangat menjaga bangsa mereka. Keuntungan milik bersama. Konklusi mudah dari Ann Wan Seng, “Jika ingin ekonomi Islam maju, islamkan semua orang-orang cina!”


Berkaitan:
Mutiara dua tok guru untuk tatapan umat Islam

Berkaitan:
Adil dan ihsan dalam bisnes

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Semasa percutian di Kelantan, Besut dan Kuala Terengganu pada hujung tahun lepas, saya membawa dua buah novel untuk dibaca; Rahsia Perindu oleh Ramlee Awang Murshid dan Tunggu Teduh Dahulu oleh Faisal Tehrani.

Novel Rahsia Perindu berjaya saya habiskan semasa berada di Besut. Novel ini sudah saya beli pada tahun 2005, terbitan pertama, namun baru dibaca. Ok, ceritanya memang mengelirukan, ada kisah dalam cerita dan ada cerita di sebalik kisah.
Bersimpang siur dengan watak-watak yang saling bertukar, dunia realiti dan fantasi saling bertemu dan terpisah. Benar kata penulis, hati-hati dengan realiti, kemungkinan ia sekadar fantasi.

Seperti biasa saudara Ramlee cerdik memainkan dan memberi warna kepada watak dan persekitaran. Ada ketika bila saya rasa itu realiti, tetapi ternyata fantasi atau persekitaran dalam dunia halusinasi, dan sebaliknya. Watak utama Maria dan Amylia yang memiliki dua dunia, menjadi tunjang kisah di sebalik cerita. Penulis amat berjaya mencorakkan ‘dunia’ dalam Rahsia Perindu.

Sinopsis begini:
Amylia bersetuju membela seorang penjenayah yang kemungkinan besar akan menghadapi hukuman mati mandatori kerana membunuh. Setelah meneliti mental anak guamannya, Amylia mendapati sesuatu yang tidak munasabah berlaku. Dia memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan khidmat doktor psikiatri bagi melakukan proses psikoanalisis.

Dr. Azlan mendapati anak guaman Amylia bernama Leopard mengalami gangguan mental. Pada masa yang sama, usahanya membela Leopard mendapat rintangan. Amylia yang diburu ketakutan mengalami perubahan emosi. Namun begitu, dia tidak mudah mengalah walaupun nyawanya sentiasa diburu maut oleh pembunuh yang sentiasa mengintai pergerakannya.
Adakah kisah di atas realiti atau sekadar cerita di dunia halusinasi? Ternyata bahawa ia adalah dunia di dalam minda bawah sedar watak utama. Jadi apakah cerita sebenarnya? Saudara harus baca untuk mengetahui kisah di sebalik cerita.

Ramlee bermain psikologi, bermain dengan dunia di bawah minda sedar, juga menyelongkar sutera cinta dan kasih sayang. Rahsia Perindu menyingkap rindu, menelusuri dendam dan hasad dengki serta menyentuh isu ketuhanan.

Saya selesai membaca Rahsia Perindu saat-saat hujan mencurah-curah di perkampungan di mana saya dilahirkan. Kampung terpencil di Besut itulah tempat saya bermain di baruh, bersilat bersama pacat dan lintah, berselut bersama kerbau. Di kampung itulah saya bersekolah di sekolah rendah sehingga darjah 3 dan besekolah menengah sehingga selesai Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sebelum bermastautin di Jerantut, Pahang. Di sini juga saya mengenal cinta dan kasih.

Di baruh ini kupetik memori
di tengah-tengah lambaian padi menguning
meliuk lintuk ditiup angin
di sini aku mengenal cinta;

di bawah sang mentari kering
dan batas-batas berumput kuning
mengajar aku erti rindu;

bersama sang kerbau setia
mengheret waluku tajam
menghiris tanah basah
di sini aku mengumpul kasih;

di sudut ain dan hati
air mata melimpah lagi.

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Mulanya saya agak keberatan untuk mengulas novel ini, walau dari sudut mana pun. Tetapi tanpa memberi komen, minda saya sedikit terganggu justeru kerana ada mesej yang mahu saya sampaikan masih lagi melingkari ruang minda. Setiap kali saya membaca buku dan melihat blog buku, hati saya gundah. Maka inilah komentar saya terhadap Transgenesis, Bisikan Rimba oleh saudara Amir Husaini, terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS).

Sebagai sebuah novel sains-fiksyen (sai-fi) yang diterbitkan oleh PTS yang memperjuangkan bahasa Melayu tinggi dan begitu komited dengan penulisan mazhab teknik Surah Yusuf, ternyata novel ini mempunyai beberapa kelemahan. Jika penerbit lain yang menerbitkan novel ini, tidak mengapa. Tetapi lantaran PTS yang menerbitkannnya, maka kesalahan yang ada adalah ketara. Saya senaraikan di bawah.


1) Di kebanyakan tempat, banyak bahasa Melayu rendah digunakan. Saya tidak perlu menyenaraikan contoh-contoh di sini kerana saya pasti para staf PTS mengetahui apa saya maksudkan. Saya tidak menyalahkan penulis, lantaran tugas editorlah yang sepatutnya memerhatikan dengan teliti dan melakukan pembetulan dari segi nahu dan ejaan bahasa Melayu tinggi.


2) Ada plot-plot yang saya kira terlalu panjang. Bagi saya plot yang terlalu panjang mengurangkan daya pujukan pembacaan.


3) Ayat-ayat dan pernyataan yang berulangan di sana sini. Walaupun ianya tidak begitu ketara seperti mana novel sejarah Perang Sangkil, namun saya cukup tidak menyukainya.


Untuk berlaku adil, pada hemat saya penulis telah berjaya menyampaikan mesej melalui novel ini. Saudara Amir Husaini telah berupaya memujuk hati saya untuk meneruskan pembacaan, terutamanya bermula dari pertengahan cerita.


Demi kebaikan sahabat, saya kira, saudara Amir patut selitkan fakta-fakta sains genetik dan bio-teknologi sejak dahulu sehingga yang terkini. Kemudian baharulah kemajuan sains genetik masa hadapan ‘dicipta’. Fakta-fakta kemajuan bidang sains ini jika dibentangkan dan dijalin secara tuntas dalam plot cerita, ia akan lebih memujuk pembaca. Namanya pun novel sai-fi, jika fakta sains diadun dengan fiksyen, ia akan menjadi begitu amat menarik.


Penyudah novel ini amat mengejutkan saya. Sebab itu saya katakan bahawa Transgenesis, Bisikan Rimba ada kelemahan terutamanya pada permulaan, tetapi kemantapan garapan Amir di pertengahan hingga ke hujung cerita begitu memukau.


Saya berdoa semoga saudara Amir dianugerahkan Allah dengan kekuatan baru supaya sekuel novel Transgenesis ini akan lebih mantap. Saya akan nantikan, insyaallah.
Mazhab Syafie merupakan mazhab yang diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Kerana itu, masyarakat umum menanggap inilah satu-satunya mazhab yang terbaik. Tetapi, sedarkah kita bahawa kita sebenarnya bukan mengamalkan mazhab Shafie ini seratus peratus? Tanpa disedari, masyarakat Malaysia sebenarnya telah banyak mengamalkan percampuran mazhab dalam urusan seharian.

Contoh yang paling mudah ialah dalam urusan zakat fitrah.
Iman Syafie mengatakan zakat fitrah itu hanya sah dengan beras dan gandum sahaja. Tetapi, apa yang kita amalkan ialah membayar zakat fitrah dengan wang tunai. Ini adalah mengikut mazhab Hanafi. Inilah yang dikatakan Talfiq.

Buku Talfiq – Beramal Dengan Pelbagai Mazhab dimulakan dengan memperkenalkan istilah-istilah penting dalam membincangkan Talfiq. Walaupun sedikit sukar untuk dihadamkan, saya kira ini penting untuk memberi pemahaman berkenaan tajuk yang dibincangkan. Mudah pembaca merujuk kembali ke hadapan tatkala meneruskan pembacaan buku ini.


Talfiq membawa banyak pengertian. Tetapi Talfiq yang diutarakan dalam buku ini ialah mengamalkan syariah lebih dari satu mazhab terhadap sesuatu perkara.


Dalam buku ini dikatakan bahawa Talfiq diharuskan terhadap perkara-perkara cabang dalam Islam. Bagi perkara yang sudah jelas, Talfiq tidak boleh dilakukan. Contohnya ialah hukum Islam di negara umat Islam tetap wajib dilaksanakan, walau apa sekalipun.


Talfiq juga banyak diamalkan dalam urusan bisnes. Namun begitu, Islam memiliki beberapa prinsip yang tidak boleh dilanggar bagi menjaga kepentingan kehidupan di dunia dan akhirat. Antaranya ialah pengharaman riba, mengambil harta orang lain secara zalim, penipuan, kesamaran dan penindasan.


Selain daripada itu, Islam memberikan ruang ijtihad yang luas untuk bermualamat (jual beli) sesuai dengan perkembangan zaman dan kehidupan manusia.


Kekurangan ketara buku ini ialah penggunaan istilah Arab yang kerap dalam keseluruhan kandungan. Alangkah baiknya jika istilah Arab tersebut terus diterjemahkan ke bahasa Melayu, terutamanya bagi yang panjang-panjang. Justeru itu, buku ini tidak sesuai bagi pembaca-pembaca yang kurang mendalam pengetahuan dalam soal fikah dan hukum. Tetapi ia sesuai untuk pelajar dalam jurusan usul fikah dan ustaz/ustazah.
Apa yang dikatakan adil dan ihsan dalam urusan bisnes seperti mana yang diajarkan oleh Islam?

Adil ibarat modal manakala ihsan ibarat keuntungan.
Ambil contoh, andaikan seorang usahawan menggunakan modal RM1,000 untuk berniaga. Kemudian dalam satu tempoh, katakan satu bulan, dia mendapat kembali RM1,000 tersebut. Orang ini dikatakan tidak pandai berniaga. Dia tidak rugi dan tidak pula untung.

Orang yang pandai berniaga, bukan sahaja mendapat balik modal, malahan memperoleh untung juga. Sekiranya kita melaksanakan keadilan sahaja tanpa ihsan, bermakna bisnes kita hanya memperole
h modal sahaja tanpa untung.

“Muslim yang bijak, sudah tentu dia inginkan kedua-duanya sekali, modal dan untung. Kesimpulannya adil dan ihsan mesti dilakukan serentak.” (Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dalam buku Akhlak Bermuamalat)


Komen mengenai buku ini;
ada beberapa kesilapan editorial iaitu berupa ayat yang berulangan dan perenggan yang mengelirukan. Perenggan atau penerangan yang mengelirukan merujuk kepada ayat-ayat yang berbelit tanpa memberi makna yang tepat. Perlu diperbetulkan untuk cetakan kedua nanti supaya ilmu yang hendak disampaikan oleh penulis Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat tercapai.


*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.
Zulkarnain, salah seorang lelaki misteri dalam al-Quran, telah saya perikan dalam entri sebelum ini; Alexander the Great, what Allah says in the Quran. Lanjutan daripada itu, saya sudah usai membaca buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang diterjemahkan oleh saudara Ibnu Ghazali.

Dari buku ini saya mendapat gambaran jelas siapakah Zulkarnain yang disebutkan dalam al-Quran dan siapa pula Iskandar Yang Agung, pemerintah Macedonia. Apa yang dapat saya simpulkan ialah Zulkarnain lelaki misteri dalam al-Quran bukanlah Iskandar Macedonia.

Entri ini bukan bertujuan untuk membuka polemik isu Iskandar dan Zulkarnain. Saya akan nukilkan di lain masa. Di sini saya mahu memberi komen terhadap buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama.

Saya berasa sedikit kecewa dengan mutu penterjemahan buku ini. Perkisahan mengenai insan Iskandar Zulkarnain atau Alexander the Great memang menggamit minat saya. Justeru kerana isu hubungan dan misteri antara Zulkarnain dan Iskandar Yang Agung, maka saya telah membeli tujuh buku, biografi atau fiksyen.

Buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama pekat berbau Arab. Persoalan yang sukar dalam perihal Iskandar Zulkarnain tambah dikaburkan dengan ayat-ayat yang berbelit dan kesalaham ejaan serta nahu bahasa Melayu di sana sini. Sungguh malang, hasrat penulis agak tersasar dengan mutu terjemahan yang kurang cermat.

Saya ingin melihat sebuah buku dalam bahasa Inggeris atau Arab diterjemahkan seperti mana buku Dari Beirut ke Jerusalem, yang telah diusahakan oleh Unit Buku Harakah. Penterjemah Saadon Aksah (dan editor, Syed Putra Syed Ahmad) telah berjaya menghasilkan buku Dari Beirut ke Jerusalem seolah-olah penulis asalnya, Dr Ang Swee Chai menulis dalam Bahasa Melayu.

Justeru itu, saya mengajak saudara Saadon Aksah dan penulis serta penterjemah PTS Publications & Distributors supaya ‘memandang’ kisah sejarah manusia-manusia besar. Masyarakat Malaysia dan Melayu amat perlu didedahkan kepada cerita sejarah seperti Iskandar Zulkarnain. Sejarah banyak mengajar kita. Hasilkan satu karya terjemahan bahasa Melayu moden, bagaikan penulis asal menulis dalam bahasa ini.

Pengajaran sejarah di peringkat sekolah tidak mencukupi.

Judul: Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama

Penulis: Muhammad Khair Ramadhan Yusuf

Penterjemah:
Ibnu Ghazali

Penerbit: Jasmin Enterprise (
www.berlianbooks.com.my), 2002
ISBN: 983-2087-79-1

Halaman: 292. Harga: RM15.00

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.

Photobucket
top