Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Buku Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Buku Indonesia. Show all posts
25 Muharram 1432H - Sebentar tadi kawanku menelefon dari Jakarta memberitahu, sebuah buku yang menarik. Hitler masuk Islam dan mati dalam Islam di Indonesia. Katanya. Aku pun mencari-cari maklumat mengenainya. "Buku kontroversi kematian Hitler memang baik untuk diulas. Atas dasar itulah kira-kira buku ini dicetak untuk khalayak. " Begitu ulasan pengarangnya.

Judul:
Rahasia Yang Terkuak: Hitler Mati di Indonesia
Penulis: Ir. KGPH Soeryo Goeritno, Msc

Penerbit:Titik Media Publisher, 2010

Muka surat: 119 halaman.


Ulasan dari pengarangnya


Bab Satu, Pendahuluan:
Buku ini ditulis untuk mengungkap misteri kematian Hitler yang sebenarnya, itulah isi dari bab pendahuluan. Buku ini memang bukan merupakan buku sejarah, tetapi sebuah buku yang mengungkapkan sisi lain dari sejarah kelam yang dialami oleh bangsa Eropa, khususnya bangsa Jerman pada masa Perang Dunia ke 11 yang penuh dengan kekejaman yang pernah terjadi pada umat manusia.

Dari sekian banyak informasi yang ada tentang kematian Hitler, tidak ada yang dapat menyebutkan secara pasti apa penyebab kematian sang diktator Nazi ini. Versi yang paling populer menyebutkan bahwa Hitler tewas bunuh diri dengan cara menembak dirinya sendiri dan minum racun sianida pada 30 April 1945, saat Jerman diduduki oleh Uni Soviet.


Meski sejumlah ahli sejarah ragu Hitler menembak dirinya, dan menduga hal itu hanyalah propaganda Nazi untuk menjadikan Hitler sebagai pahlawan. Namun, lubang pada potongan tengkorak itu tampak menguatkan argumen tersebut ketika tengkorak itu dipamerkan di Moskow tahun 2000. Bagaimana dan kapan Hitler meninggal sekarang ini masih diselimuti misteri.


Bab Dua, Misteri Kematian Hitler:
Pada bab ini dapat dijumpai penjelasan tentang penyebab dan kapan Hitler mati dari beberapa versi. Ada kematian versi Jerman, versi Rusia, dan versi para peneliti atau ilmuwan.

Dari sekian banyak informasi yang ada tentang kematian Hitler, tidak ada yang dapat menyebutkan secara pasti apa penyebab kematian sang diktator Nazi ini.
Versi yang paling populer menyebutkan bahwa Hitler bunuh diri dengan cara menembak dirinya sendiri dan minum racun sianida pada 30 April 1945, saat Jerman diduduki oleh Uni Soviet. Itu menurut versi Jerman, seperti yang diceritakan oleh Flegel, salah satu perawat Hitler dan petinggi Nazi lainnya saat di dalam bunker.

Dan menurut versi Rusia, yang dinyatakan oleh seorang pejabat tinggi dinas rahasia Rusia, KGB, yang mengklaim, bahwa Adolf Hitler mengakhiri hidupnya tidak dengan menembak dirinya sendiri, tetapi dengan meminum racun sianida. Seperti yang dinyatakan oleh Letnan Jenderal Vasily Khristoforov, staf arsip untuk dinas keamanan FSB Rusia, “Paramedia militer Uni Soviet kala itu telah memastikan bahwa Hitler dan Eva Braun tewas setelah minim racun sianida pada 30 April 1945.”
Dalam satu perjalanan pulang ke rumah dari satu perbincangan katering kahwin di Putrajaya, saya singgah sebentar di pusat membeli belah Mines, Seri Kembangan. Tujuan hanya satu iaitu mengunjungi toko buku Indonesia, Gramedia.

Saya sudah membayangkan akan banyaknya buku-buku terbitan Indonesia di toko buku tersebut. Ah! Telahan saya amat meleset. Malah judul buku-buku bahasa Inggeris pula yang banyak yang harganya relatif mahal.


Saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa demikian rupanya toko buku Gramedia ini? Menjual banyak buku dan fiksyen bahasa Inggeris merupakan satu tindakan yang tidak bijak. Mengapa saya simpulkan demikian? Kerana sudah banyak rangkaian kedai buku seperti MPH, Borders dan Popular yang berbuat demikian. Dengan harga buku import berbahasa Inggeris yang secara umumnya berkitar pada harga RM33.00 lebih, pastinya Gramedia akan menemui kegagalan dari sudut ini.


Saya ke toko buku Gramedia untuk meneliti dan membeli buku-buku terbitan Indonesia, terutamanya fiksyen. Namun amat mengecewakan sekali. Kalau saya mahu dapatkan buku dan fiksyen berbahasa Inggeris, saya akan mendapatkannya di jualan Popular, Payless Books dan di kedai buku BookXcess. Di ketiga-tiga kedai buku ini atau semasa jualan gudang/murah, harga buku-buku bahasa Inggeris sangat murah.

Saya berani membuat telahan bahawa seandainya rangkaian Gramedia meneruskan strategi memberikan ruang yang luas kepada buku dan fiksyen bahasa Inggeris, dan dalam masa yang sama mengabaikan buku-buku Indonesia, mereka akan gagal.


Dari blog Universiti PTS, maklumat ini saya peroleh:

Gramedia adalah sebuah syarikat media gergasi di Indonesia. Ia memiliki stesen TV, stesen-stesen radio, menerbitkan akhbar Kompas (akhbar terbesar di Indonesia), menerbitkan 46 majalah, dan setiap tahun menerbitkan 3,000 judul buku yang dihasilkan oleh 7 buah anak syarikat penerbitan.

Gramedia juga memiliki percetakan termoden dan jumlah rangkaian kedai buku paling banyak di seluruh Indonesia. Apabila mula beroperasi nanti, kedai-kedai buku Gramedia akan menjual 60% judul buku Melayu terbitan tempatan, 10% judul terlaris dari Indonesia, 10% judul Cina, 10% judul popular Inggeris dan 10% alat tulis.


Rancangan pembukaan 10 cawangannya di Malaysia menghadapi masalah kesukaran mendapatkan ruang untuk disewa dalam mall-mall ataupun shopping complex kerana Gramedia mahukan paling minimum ruang seluas 20 ribu kaki persegi.
Saya kutip “10% judul popular Inggeris” yang akan dijual oleh Gramedia di Malaysia. Dari pengamatan saya di toko buku Gramedia di Mines, ianya lebih dari 10%, malah pada hemat saya, ianya merangkumi lebih kurang 20%. Saya kira Gramedia mesti perbanyakkan buku-buku bahasa Indonesia dan kurangkan judul bahasa Inggeris sekitar 5% sahaja.

Di Gramedia Mines tersebut, saya membeli novel Pramoedya Ananta Toer berjudul Rumah Kaca. Ya, hanya sebuah. Mulanya ingat mahu borong.

Mengapa rangkaian kedai buku Times dan Kinokuniya hanya tinggal satu sahaja di Kuala Lumpur dan Selangor? Kerana dahulu mereka fokuskan kepada judul-judul bahasa Inggeris! Saya tidak hairan sekiranya dalam tempoh masa terdekat ini, Borders juga akan merasai kesan penolakan pembeli Malaysia. Banyak tindakan Borders, termasuk meminggirkan judul bahasa Melayu, merupakan elemen penjajahan secara tidak langsung oleh rangkaian kedai buku Amerika tersebut!
Sempena program Hari Hiburan Islam 2010 di Kota Bahru Kelantan, satu tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih telah diadakan di Kelantan Trade Center pada 14 Februari lalu jam 9 malam.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Al-Quds Travel Sd
n Bhd dan Yayasan Amal Malaysia itu turut diisi dengan program Bicara Selebriti dengan topik perbincangan 'Selebriti sebagai ikon masyarakat' pada jam 2 petang di KB Mall.

Ia membariskan panelis yang terdiri daripada novelis Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih Habiburrahman el-Shirazy (foto), pengacara stesen tv swasta, Wardina Safiyyah dan Farah A
deeba.

Di bawah merupakan catatan pengalaman novelis Habiburrahman el-Shirazy selama berada di Kota Bahru, Kelantan. Amati luahan suara nubari beliau.
Ianya ditulis dalam bahasa Indonesia moden, tanpa diedit. Ambil contoh, insyaAllah.
Novel Wo Ai Ni Allah menitipkan kisah manusia yang tercari-cari cinta Allah. Dalam kebingungan sepasang suami isteri dan seorang gadis kecil meneruskan dorongan dari langit untuk mencari kebenaran. Bahawa sesungguhnya Allah itu ada dan Maha Melihat. Bahawa segala mehnah dunia yang dihadapi merupakan ujian. Bahawa kekayaan juga adalah ujian Tuhan.

Cinta Allah bersabda dalam nubari, mengalir dingin di setiap degup jantung dan aliran darah. Orang menuduh dia gila dan penasaran. Dia bingung, termenung, berlari, menangis. Jerih benar mencari cahaya iman itu.


Menjelang kematian pun, sahabat Cina tersebut tetap mendongak ke langit mencari wajah Allah, melihat di mana Allah. Akhirnya sekeluarga dianugerah iman terlalu mahal harganya.


Wo Ai Ni, Allah
. Aku cinta Allah. Saya suka novel ini. Malah amat menyenanginya.

Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan sosial? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi.


Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis Cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruan itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhir bertemu apa itu Tuhan.


"Setiap air mataku mengalir, tanpaMu aku lelah. Tolongku. Allah, jangan tinggalkan aku lagi. Aku sayang Allah, aku rindu Allah, aku cinta Allah."

Penulis: Vanny Chrisma W

Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd, 30 Jun 2009
ISBN: 978-983-3892-39-6

Muka surat : 304 halaman

Harga: RM16.00 (Sem. Malaysia) / RM 18.00 (Sabah & Sarawak)


** Saya sudah membaca beberapa novel dari Indonesia, sama ada naskah asal dalam bahasa Indonesia atau yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Ternyata bahawa novel-novel negara jiran jauh lebih maju dalam membahaskan isu yang mahu diketengahkan.

Isunya lebih memandu minda dan dinarasikan secara ilmiah. Sungguhpun ianya fiksyen, namun para penulis dari sana lebih terbuka minda, berfikir dalam sudut yang agak lain dari majoriti penulis kita di Malaysia.

Berkaitan:
Demi cinta, Tegar Patih berkelana mencari nilai kemanusiaan
Usai membaca novel Bidadari Paderi, saya buka pemain MP3 di komputer riba. Sudah agak lama tidak layan lagu-lagu Iron Maiden. Ah! Saudara terkejut? Memang saya meminati lagu-lagu metal, speed metal dan metal gothik sejak dahulu lagi. Lagu pertama yang didengar ialah Only the Good Die Young. Dan novel Bidadari Paderi berkait rapat dengan tajuk lagu ini; hanya yang terbaik meninggal ketika masih muda belia.

Novel sejarah di tanah adat Minangkabau ini menyaksikan banyak kematian. Masing-masing sanggup syahid demi sebuah cinta agung. Kisah berlatarbelakangkan penentangan komuniti Minangkabau terhadap penjajahan Belanda sekitar tahun 1800-an.


Gerakan utama jihad ini diterajui oleh sebuah kumpulan yang bernama Kumpulan Paderi. Kumpulan ini merujuk kepada gerakan pembaharuan Islam yang berlangsung di Minangkabau, Sumatera Barat. Kumpulan pejuang Islam ini terkenal dalam sejarah Indonesia ketika penjajahan Belanda, berkembang sekitar tahun 1800 – 1830an. Kata Paderi bermaksud golongan ulama.


Novel ini memang memuatkan kisah cinta, tetapi bukan cinta biasa-biasa sesama insan. Cinta yang dibawa dan diulit oleh watak-watak merupakan kecintaan kepada agama, iman dan pertiwi. Dalam cubaan mewarnai tanah Minangkabau dengan keindahan cinta Allah itu, golongan Paderi dan pejuang syahidnya terpaksa bertembung dengan kumpulan adat.


Pertembungan antara adat dan agama tidak pula melunturkan semangat pembaharuan dan jihad kumpulan Paderi itu. Akhirnya gerakan mereka direstui oleh kumpulan adat dan para pendekar seni persilatan.


Pastinya di sepanjang sejarah perjuangan ada sahaja pembelot dan pengkhianat di kalangan anak peribumi sendiri. Justeru itu, pengkhianat agama dan bangsa dicemuh.


Dalam novel ini, walaupun sekadar kubur, seorang penghianat dihina orang kampung. Kuburnya sentiasa dilempar batu. “Ya, kubur penghianat.
Dia membantu Belanda lolos sampai ke Matur. Orang kampung enggan dia dikuburkan di kampungnya. Kerana itulah dia berkubur di situ.” Kuburnya di dalam semak!

Isi novel yang menggugah kelesuan jiwa, cinta yang mencair hati. Perjuangan suci memerlukan pengorbanan, hatta nyawa sekalipun. Narasi yang bisa memahat kebencian terhadap penjajahan. Bait-bait kata yang meruntun nubari saya, insyaAllah.


Kematian berseni syahid. Hanya yang terbaik dianugerah syahid oleh Allah. Subhanallah!


Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd, terbitan 2009

Penulis: Saiful A. Iman

ISBN: 978-983-3892-24-2: Halaman: 422

Harga: RM24.50 (Sem. Malaysia) & RM27.50 (Sabah & Sarawak)
Sinopsis novel ini bermula begini: “Cinta tidak pernah menjadi rumus matematik. Apa pun rumusnya, di sela-selanya selalu ada misteri dan ruang hampa.”

Penulis saudara Alfian Malik dengan bersahaja meminjam sebuah latar etnik yang mirip satu selimut perca dengan ribuan sambungan yang saling memintal dan menjerat. Potongan imaginasi difiksyenkan, terangkai dalam untaian kata dan teka-teki, membuat benak saya mengelamun jauh, amat jauh.


Narasi penulis mengalir lancar ibarat “kakek yang fasih mendongeng.” Ianya seumpama sebuah kelana yang penuh sejuta pesona. Penulis mencari peradaban manusia, cuba mengubah persepsi kemanusiaan, dan terjalin bersamanya hubung kait dengan makhluk lain yang menghuni buana ini.


Saya kategorikan novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta ini sebagai fantasi sains-fiksyen. Pelbagai kekuatan magik dan kejadian tidak masuk akal dijalin dan dinarasi tuntas menjadi latar peristiwa manusia mencari nilai-nilai kemanusiaan sejagat.


Betapa kejahatan, penguasaan ilmu mistik dan kekuatan magik yang disalahguna, kebejatan masyarakat mengejar kemasyuran dan onar penguasa haloba dikutuk habis-habisan oleh penulis. Dan akhirnya penulis membawa satu rumus atau penyelesaian sains dan teknologi yang bermatlamatkan kesejahteraan manusia dan penghuni lain di jagat raya ini.


Saya menelurusi jalan dan denai di suatu daerah terpencil yang penuh ilmu santet (kedukunan dan sihir). Manusia-manusia hebat dan sakti menerawang di segenap penjuru Lumpur Similiar. Namun akhirnya dengan penuh bijaksana, semua itu tertunduk dengan pimpinan seorang manusia yang mencari kebenaran sejagat; Tegar Patih. Tegar Patih, manusia istimewa anugerah Allah, menjalani kehidupan penuh ranjau. Ternyata bahawa faktor cinta menjadikan dia manusia istimewa – cinta kepada ilmu sakti, cinta kepada orang tua, alim ulamak dan cintakan kepada kebenaran serta keamaman bagi seluruh umat manusia.


Hubungan sesama manusia, jin (orang Bunian?) dan penghuni lain di persada maya ini dipintal menjadi sebuah cerita. Apa bentuk ‘manusia baru’ yang bakal menghuni muka bumi di abad-abad mendatang? Baca novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta, anda akan dapat menemui jawapannya.


Jika dikira dari sudut persembahan, novel ini memiliki satu kelemahan, iaitu narasi yang mengalir bagaikan air deras itu tidak bernoktah. Sambung menyambung tanpa bab-bab tertentu.


Namun, narasi dan imaginasi Alfian Mailik penuh mistik dan istimewa! Ada kelainan berbanding novel seumpama ini di Malaysia.


Tajuk: Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta

Penulis: Alfian Malik

ISBN: 978-979-1038-09-6

Penerbit: PT. Andal Krida Nusantara, Disember 2007

Halaman & harga: 248 mukasurat & 49,500 Rupiah


Photobucket
top