Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Satu lagi buku yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ialah novel bertajuk Dunia Belum Berakhir karya Puan S. Rafidah H. Basri. Walaupun mungkin kisahnya biasa, iaitu menumpukan kepada sebuah keluarga di pekampungan Melayu Jawa di Selangor, namun garapannya indah.

Di sepanjang pembacaan, saya seakan-akan melihat diri sendiri di suatu sela masa kehidupan. Cuma watak ‘ayah’ dalam kisah novel ini memiliki sifat yang jauh berbeza dari aruah ayah saya. Begitulah juga persekitaran pekampungan di mana saya dilahir, dididik dan dibesarkan. Yang agak berbeza ialah kampung saya dilahirkan di kelilingi oleh sawah padi. Aktiviti budak-budak kampung di masa lapang diceritakan secara terperinci oleh penulis. Itu juga mainan saya dan rakan-rakan semasa di kampung.


Cuma mainan pistol buluh bersama peluru buah cemerai tidak diperikan dalam fiksyen ini.
Bermain lastik regangan getah gelang dan melagakan buah getah juga tiada. Saudara pernah bermain laga guli atau memasukkan guli ke dalam lubangnya (macam main golf!)? Ting-ting (orang Kelantan dan Besut panggil dekcok), galah panjang dan wau? Hahaha...Itu belum termasuk lagi melastik burung, membuat jerat burung, memancing ikan, menahan tauk dan lampung (al-Fatihah untuk aruah ayah saya, juara tahan lampung). Fuh,banyak!

Di pengakhiran, hati saya menjadi sayu. Watak Arif memang tabah dan pasrah menerima takdir Allah, setabah ibunya. Perubahan sikap ayahnya juga menjadi titik tolak bahawa dunia memang belum berakhir. Setiap kejadian dan takdir memang sesuai untuk seseorang itu. Allah itu Maha Adil sifatnya.


Novel Dunia Belum Berakhir sudah agak lama berada dalam lingkungan keluarga saya. Saya baru membacanya justeru kerana aruah ibu saya yang berminat untuk menelusuri kisahnya terlebih dahulu. Apabila beliau sudah tiada (al-Fatihah untuk ibu di sini), baru saya ambil kembali dari simpanan di rumah orang tua di Jerantut, Pahang.

1 comments:

Siti Rafidah Hassan Basri said...

Tn Web: Terima kasih di atas komentar yang sangat bermakna. Saya sangat memerlukan kritikan yang kritis daripada pembaca seperti tuan. Diharapkan saya dapat perbaiki lagi karya-karya yang akan datang:) Terima kasih!

top