Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Itu adalah keseluruhan kandungan fiksyen sains dan fantasi Takluk Jagat: Bisikan Ariasha oleh Zaki Zainol.

Bahagian pertama Takluk Jagat ini dipenuhi dengan plot dan sub-plot yang bertali arus, mengalir laju menakluk jiwa saya.
Walaupun ‘dendam’ memenuhi aliran cerita, banyak pengajaran yang boleh dijalin. Antaranya:
“Namun, melihat apa yang berlaku membuatkannya berfikir. Betapa perasaan benci dan amarah umpama sebilah pedang bermata dua. Perasaan itu boleh merosakkan seorang manusia dan juga memberikannya semangat untuk terus hidup. Perasaan Zilastra tersentuh. Biarpun si Musang cuma penyamun, tetapi dia begitu setia kepada sahabat-sahabatnya. Manusia yang kononnya tulus dan mulia belum tentu dapat memberi keteguhan setiakawan seperti itu. Penyamun yang menitiskan air mata demi sahabatnya bukanlah seorang yang mati hatinya. Mungkin....cuma seorang manusia yang tersilap memilih arah hidup ataupun mungkin desakan hidup yang menolaknya ke pinggir jalan yang gelap dan berduri...”
Novel ini merupakan kisah kembara hero utama, Bayu Adi Jata, menjejak keris keramat Takluk Jagat. Bersama ‘kembar’ Takluk Jagat, Indera Bumi, dan ditemani oleh puteri bunian Ariasha Cinta Castra dan Zilastra, Bayu Adi Jata menjelajah Tanah Ini. Di setiap hentian, ada sahaja halangan. Dalam waktu yang sama, Bayu banyak belajar dari kembara tersebut. Keupayaan ilmu persilatan Bayu juga semakin meningkat di sepanjang kembara yang memakan masa dan tenaga.

Takluk Jagat: Bisikan Ariasha menampilkan jurus-jurus jagat persilatan di Tanah Ini; Gegaran Bumi Merekah, Helang Menjunam Dari Awan, Melayah Sang Garuda, Gelora Menghempas, Julangan Panglima, Langkah Lipat Bumi, Bayu Berolak, dan pelbagai lagi nama pelik tetapi menarik.


Setiap jurus persilatan tersebut mempunyai bacaan mentera berbentuk pantun atau puisi yang cukup indah. Digarap semolek mungkin oleh Zaki Zainol. Saya terpegun dan berulang-ulang membaca setiap pantun tersebut. Bukan setakat untuk memahami apa yang dijalin oleh penulis, malah saya cuba mengecapi keindahan bahasa dan lengoknya.


Watak-watak kasar, jahat dan penuh dendam diselang-selikan dengan watak baik, bepekerti, lemah lembut, berhemah dan tunduk kepada Tuhan. Saya sering katakan kepada sahabat-sahabat, kita boleh berdakwah dan berjihad dalam berbagai bentuk. Penulisan adalah salah satu darinya. Saudara Zaki Zainol berjaya dari sudut ini.


Ketika membaca novel ini, saya tenggelam bersama watak, plot dan persekitaran. Begitu asyik dan mendebarkan.


Saya berharap bahagian kedua akan lebih tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Paling kurangpun, setara dengan bahagian pertama ini.


Judul: Takluk Jagat: Bisikan Ariasha

Penulis: Zaki Zainol

Penerbit: PTS Fortuna,
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008
ISBN (13): 978-983-192-237-8

Muka surat: 388 halaman

Harga: RM25 (Sem. Malaysia), RM28 (Sabah & Sarawak)

7 comments:

zaki zainol aka kangaq said...

Salam En. Web Sutera.

Terima kasih atas ulasan ini. Jangan lupa dapatkan bahagian ke-2 pula! Hehehe...

Mohon link entri ini di blog saya :)

Anonymous said...

Salam sdr Kangaq,

Silakan link. Pasti saya akan dapatkan bahagian ke-2, insyaallah.

Darius said...

Salam tuan rumah. Saya sudah baca Takluk Jagat 1 dan 2. Bagi saya Takluk Jagat 1 ialah novel fantasi terbaik tahun 2007 manakala Takluk Jagat 2 ialah novel fantasi terbaik tahun 2008.

Satu lagi novel terbitan PTS Fortuna, iaitu Transgenesis pula, saya anggap sebagai novel fiksyen sains terbaik tahun 2008.

Syabas kepada penulis-penulis dan PTS kerana menghasilkan novel-novel jantan yang tinggi kualiti.

Web Sutera said...

Terima kasih sdr Darius. Ya saya akan dapatkan Takluk Jagat 2. Utk Transgenesis pula, memang saya tahu novel ini bagus. Melihat sinopsis saja sudah mengujakan saya. Pasti saya akan beli, baca & ulas nanti.

Cumanya terlalu BANYAK buku dalam senarai yang mahu dibaca, hehehe.

benludin said...

bro..
selamat berpuasa..:)

Web Sutera said...

Selamat berpuasa sdr Benludin. Terima kasih.

Amiene Rev said...

Selamat Berpuasa En. Web Sutera?

:)


Photobucket
top