Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Sains-Fiksyen/Fantasi. Show all posts
Showing posts with label Sains-Fiksyen/Fantasi. Show all posts
28 Rabiulawwal 1432H - Gambaran dua orang dari tujuh orang puteri Raja Alimun dan Permaisuri Sofiah di kulit depan novel Siri Cerita Rakyat ini dapat menggambarkan kemolekan rupa paras mereka.

Nama-nama watak seperti Nujum Putih Beruban Sejemput, Jojol, Dompok, Kunyit, Jongang dan Awang Dogol membuatkan saya tersenyum. Karekter setiap watak digambarkan secara baik melalui dialog-dialognya.

Nama-nama jenis ikan dan kehidupan lain dalam sebuah kolam yang dinyatakan dalam novel ini memberi ilmu kepada kanak-kanak. Kejadian makhluk yang berlainan diciptakan Allah dengan hikmah tersendiri diutarakan secara langsung oleh penulis. Takdir dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah di atas setiap peristiwa dalam kehidupan dijalin sebagai unsur penerapan agama. Banyak pengajaran dan nilai murni sejagat dalam novel ini menjadi elemen yang mesti diteruskan dalam siri cerita sebegini.

Memasukkan beberapa rangkap pantun lama yang diperbaharui oleh penulis merupakan satu pendekatan yang saya suka.

Akhirnya kisah novel ini berakhir dengan riang ria. Amat sesuai untuk kanak-kanak bagi menggantikan buku kisah pari-pari dari Barat.

Dari lima bintang, saya berikan empat. Tahniah untuk penulis dan penerbit PTS.

Judul: Puteri Ikan Emas
Penulis: Busu Najib
Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd, Disember 2007
ISBN-13: ISBN 978-983-192-140-1
ISBN-10: ISBN 983-192-140-2
Harga: RM 14.00 / RM 17.00
Jumlah muka surat : 208 halaman
Kategori: Remaja dan Fantasi
23 Syaaban 1431 H - Prince Ombra merupakan novel fantasi pertama saya beli dan baca. Buku ini dibeli pada tahun 1985 semasa bersekolah di tingkatan lima di Kuala Lumpur. Lokasi kedai buku di mana saya membelinya bertempat di Wisma Perkim di Jalan Ipoh. Kini kedai buku tersebut sudah tidak beroperasi lagi. Novel fantasi ini diterbitkan pertama kali pada tahun 1982.

Ianya mengisahkan seorang budak yang memiliki kuasa magik yang ditakdirkan menentang kejahatan lampau di bandar moden New England. Dunia sudah menemui heronya yang baru, bernama Bentley Ellicott. Masalahnya ialah dia masih kecil atau seorang budak.

Bently memiliki kuasa atau aura rahsia yang amat diperlukannya, dan juga dunia. Bently adalah seorang hero yang ke 1,001, satu kesinambungan barisan hero sejak zaman dahulukala. Dahulu ada hero seperti Atrhur dan Hercules, kini Bently.

Lawan Bently ialah watak atau unsur jahat bernama Prince Ombra. Makhluk jahat ini dikatakan tidak akan pernah mati. Bila Prince Ombra bangkit kembali dari persemadian yang lama, seorang hero dipanggil. Dialah sang hero Bently.

Novel ini sudah tiada dalam simpanan saya, dibakar oleh seorang adik semasa operasi membersihkan rumah peninggalan orang tua di Jerantut, Pahang. Adik saya itu membakarnya tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Desain kulit depan yang disertakan di sini bukannya versi yang saya miliki. Saya masih ingat rupa desainnya, iaitu digambarkan Prince Ombra dengan wajah yang menakutkan sedang menunggang sesuatu di atas sebuah tasik di persekitran yang kelam dan menyeramkan!

Sebagai seorang budak Melayu yang dilahirkan di sebuah perkampungan terpencil di Besut, Terengganu dan kemudian berpindah ke tanah rancangan Felda, di Jerantut, Pahang saya merangkak-rangkak membaca novel fantasi bahasa Inggeris ini. Ayat demi ayat, baris demi baris. Kamus sentiasa menjadi peneman setia.
Pertama kali melihat rupa paras desain kulit depan fiksyen Syaakur Pejuang Dua Dunia lewat laman web PTS, ia mengujakan. Saya baca sinopsis, juga amat memukau untuk ditelaah. Pada hari Ahad bertarikh 27 Jun 2010, saya ke program Hujung Minggu@PTS di Batu Caves. Novel fantasi ini dahulu yang dicari.

Wah! Memang cukup teruja naluri saya.
Desain dan pakej kulit novel indah dan memukau jiwa saya. Pedang yang dilukiskan sedemikian rupa menjadikan ianya memang Pedang Syahadah yang bakal menjadi senjata fizikal utama Syaakur. Manakala antara faktor atau kaedah/gaya penceritaan menarik ialah plot yang pendek-pendek, tangkas dan padat.

Kisahnya mengenai dua dunia; dunia pertama dan dunia kedua. Dunia yang kedua itu ada empat alam bersama penghuni yang berlainan. Makhluk dari alam gelap dan alam puaka (dua daripada alam dunia kedua) berjaya dilukiskan secaik baik oleh penulis Resmanshah melalui bait-bait ayat.


Kejahatan alam gelap membawa sengketa, bukan sahaja di dunia kedua itu, malah mereka sudah memasuki dunia pertama (dunia manusia). Takdir Allah memastikan lahirnya Syaakur di dunia pertama sebagai salah seorang pejuang dunia kedua. Syaakur dibentuk dan ditarbiah oleh tujuh orang wali dunia kedua dari Lembah Lambai yang diketahui oleh Guru Wali. Tugas utama wira ini ialah memusnahkan kejahatan Drazal, pemerintah agung alam gelap.
Hanya Syaakur yang mampu memiliki Pedang Syahadah yang akan menewaskan Drazal.

Tujuh Wali tersebut bersama Wak Darmo di dunia pertama membantu Syaakur meningkatkan kuasanya. Di samping itu, makhluk alam gelap sentiasa memerhati dan mengambil kesempatan. Pelbagai dugaan terpaksa dihadapi bagi meleraikan peperangan itu dan melindungi Lembah Lambai serta orang yang disayangi.


Lakaran aksi tempur bersama pedang dinarasi dan berjaya dilukis oleh penulis dengan amat terang. Saya boleh membayangkan aksi-aksi tempur mereka di tubir mata. Seumpama menonton wayang gambar!


Warna darah penghuni di kedua-dua alam juga berlainan. Darah manusia di dunia pertama pastinya berwarna merah, makanala warna darah makhluk dari dunia kedua berwarna hitam. Satu hal yang boleh saya fahami ialah makhluk puaka atau hantu dari alam puaka tidak berdarah!


Antara plot yang mencuit hati saya ialah seorang makhluk dari dunia kedua sudah insaf dengan onar jahatnya, lalu bertukar menjadi baik dengan izin Tuhan. Namanya Norliyana. Dia bergabung dengan watak-watak utama dari dunia pertama memerangi saudara dan sahabat sendiri dari dunia kedua.


Andai boleh saya tafsirkan, maka saya akan katakan bahawa pemerintah agung alam gelap, Drazal, merupakan Dajjal yang akan muncul di pengakhir umur dunia kita ini. Drazal atau Dajjal inilah yang akan menyesatkan semua manusia sebelum dunia musnah untuk menerima kiamat besar. Walaupun gambaran penulis terhadap Drazal berlainan dengan elemen atau makhluk Dajjal di akhir zaman, namun saya nampak ada hubung-kaitnya dari sudut unsur kejahatan alam gelap yang menjadi imam mereka.


Novel fantasi berat sarat tauladan, hikmah dan unsur ketuhanan ini berjaya dijalin kukuh oleh penulis. Sayangnya ia bersambung. Saya akan tunggu sekuelnya.


Cinta dan cemburu? Memang ada. Bacalah!
Saya baca novel sains-fiksyen (sai-fi) berjudul Journey To The Center Of The Earth selama 2 jam. Novel sai-fi ini asalnya diterbitkan pada tahun 1864 ke bahasa Inggeris dari bahasa Perancis. Edisi yang saya miliki adalah cetakan 2004 oleh penerbit Hinkler Books Pty Ltd, Australia.

Pada awalnya novel klasik ini mendapat banyak kritikan kerana fakta-fakta yang kurang tepat dari segi ‘unsur-unsur dan kehidupan dalam bumi’. Walaupun begitu, bagi saya ianya sebuah novel yang menarik dan isinya tertumpu kepada teori penulis terhadap batu-batan, unsur, fosil dan kehidupan di dalam perut bumi.


A Journey to the Center of the Earth (French:
Voyage au centre de la Terre), also translated as A Journey to the Interior of the Earth, is a classic 1864 science fiction novel by Jules Verne. The story involves a German professor (Otto Lidenbrock in the original French,[1] Professor Von Hardwigg in the most common English translation[2]) who believes there are volcanic tubes going toward the center of the Earth. He, his nephew Axel, and their guide Hans encounter many adventures, including prehistoric animals and natural hazards, eventually coming to the surface again in southern Italy. The living organisms they meet reflect geological time; just as the rock layers become older and older the deeper they travel, the animals become more and more ancient the closer the characters approach the center.

Salah satu komen novel ini begini
:
Written in 1864 this novel is a remarkable look into the future. Although students will recognize scientific predictions that were based on inaccurate assumptions, language that is somewhat antiquated, and a beginning that proceeds at a leisurely pace, they will appreciate Verne's ability to weave into the story information and questions about science that will keep them in a state of curiosity and wonderment.

Since the novel moves at a slower pace than action-packed thrillers like Star Wars on which today's students have been raised, a good strategy to keep students involved in the novel is to provide them with many opportunities to predict what will happen and to encourage them to look for clues about what is to come.


Students will gradually begin to understand how far ahead of his time Verne was in comprehending science and in basing his writings on some sense of the possible. They will see why he is considered by many to be the father of science fiction. (Source here)

Info lanjut mengenai penulis ini dan karya-karyanya, sila ke sini
Mulanya saya agak keberatan untuk mengulas novel ini, walau dari sudut mana pun. Tetapi tanpa memberi komen, minda saya sedikit terganggu justeru kerana ada mesej yang mahu saya sampaikan masih lagi melingkari ruang minda. Setiap kali saya membaca buku dan melihat blog buku, hati saya gundah. Maka inilah komentar saya terhadap Transgenesis, Bisikan Rimba oleh saudara Amir Husaini, terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS).

Sebagai sebuah novel sains-fiksyen (sai-fi) yang diterbitkan oleh PTS yang memperjuangkan bahasa Melayu tinggi dan begitu komited dengan penulisan mazhab teknik Surah Yusuf, ternyata novel ini mempunyai beberapa kelemahan. Jika penerbit lain yang menerbitkan novel ini, tidak mengapa. Tetapi lantaran PTS yang menerbitkannnya, maka kesalahan yang ada adalah ketara. Saya senaraikan di bawah.


1) Di kebanyakan tempat, banyak bahasa Melayu rendah digunakan. Saya tidak perlu menyenaraikan contoh-contoh di sini kerana saya pasti para staf PTS mengetahui apa saya maksudkan. Saya tidak menyalahkan penulis, lantaran tugas editorlah yang sepatutnya memerhatikan dengan teliti dan melakukan pembetulan dari segi nahu dan ejaan bahasa Melayu tinggi.


2) Ada plot-plot yang saya kira terlalu panjang. Bagi saya plot yang terlalu panjang mengurangkan daya pujukan pembacaan.


3) Ayat-ayat dan pernyataan yang berulangan di sana sini. Walaupun ianya tidak begitu ketara seperti mana novel sejarah Perang Sangkil, namun saya cukup tidak menyukainya.


Untuk berlaku adil, pada hemat saya penulis telah berjaya menyampaikan mesej melalui novel ini. Saudara Amir Husaini telah berupaya memujuk hati saya untuk meneruskan pembacaan, terutamanya bermula dari pertengahan cerita.


Demi kebaikan sahabat, saya kira, saudara Amir patut selitkan fakta-fakta sains genetik dan bio-teknologi sejak dahulu sehingga yang terkini. Kemudian baharulah kemajuan sains genetik masa hadapan ‘dicipta’. Fakta-fakta kemajuan bidang sains ini jika dibentangkan dan dijalin secara tuntas dalam plot cerita, ia akan lebih memujuk pembaca. Namanya pun novel sai-fi, jika fakta sains diadun dengan fiksyen, ia akan menjadi begitu amat menarik.


Penyudah novel ini amat mengejutkan saya. Sebab itu saya katakan bahawa Transgenesis, Bisikan Rimba ada kelemahan terutamanya pada permulaan, tetapi kemantapan garapan Amir di pertengahan hingga ke hujung cerita begitu memukau.


Saya berdoa semoga saudara Amir dianugerahkan Allah dengan kekuatan baru supaya sekuel novel Transgenesis ini akan lebih mantap. Saya akan nantikan, insyaallah.
Tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Itu adalah keseluruhan kandungan fiksyen sains dan fantasi Takluk Jagat: Bisikan Ariasha oleh Zaki Zainol.

Bahagian pertama Takluk Jagat ini dipenuhi dengan plot dan sub-plot yang bertali arus, mengalir laju menakluk jiwa saya.
Walaupun ‘dendam’ memenuhi aliran cerita, banyak pengajaran yang boleh dijalin. Antaranya:
“Namun, melihat apa yang berlaku membuatkannya berfikir. Betapa perasaan benci dan amarah umpama sebilah pedang bermata dua. Perasaan itu boleh merosakkan seorang manusia dan juga memberikannya semangat untuk terus hidup. Perasaan Zilastra tersentuh. Biarpun si Musang cuma penyamun, tetapi dia begitu setia kepada sahabat-sahabatnya. Manusia yang kononnya tulus dan mulia belum tentu dapat memberi keteguhan setiakawan seperti itu. Penyamun yang menitiskan air mata demi sahabatnya bukanlah seorang yang mati hatinya. Mungkin....cuma seorang manusia yang tersilap memilih arah hidup ataupun mungkin desakan hidup yang menolaknya ke pinggir jalan yang gelap dan berduri...”
Novel ini merupakan kisah kembara hero utama, Bayu Adi Jata, menjejak keris keramat Takluk Jagat. Bersama ‘kembar’ Takluk Jagat, Indera Bumi, dan ditemani oleh puteri bunian Ariasha Cinta Castra dan Zilastra, Bayu Adi Jata menjelajah Tanah Ini. Di setiap hentian, ada sahaja halangan. Dalam waktu yang sama, Bayu banyak belajar dari kembara tersebut. Keupayaan ilmu persilatan Bayu juga semakin meningkat di sepanjang kembara yang memakan masa dan tenaga.

Takluk Jagat: Bisikan Ariasha menampilkan jurus-jurus jagat persilatan di Tanah Ini; Gegaran Bumi Merekah, Helang Menjunam Dari Awan, Melayah Sang Garuda, Gelora Menghempas, Julangan Panglima, Langkah Lipat Bumi, Bayu Berolak, dan pelbagai lagi nama pelik tetapi menarik.


Setiap jurus persilatan tersebut mempunyai bacaan mentera berbentuk pantun atau puisi yang cukup indah. Digarap semolek mungkin oleh Zaki Zainol. Saya terpegun dan berulang-ulang membaca setiap pantun tersebut. Bukan setakat untuk memahami apa yang dijalin oleh penulis, malah saya cuba mengecapi keindahan bahasa dan lengoknya.


Watak-watak kasar, jahat dan penuh dendam diselang-selikan dengan watak baik, bepekerti, lemah lembut, berhemah dan tunduk kepada Tuhan. Saya sering katakan kepada sahabat-sahabat, kita boleh berdakwah dan berjihad dalam berbagai bentuk. Penulisan adalah salah satu darinya. Saudara Zaki Zainol berjaya dari sudut ini.


Ketika membaca novel ini, saya tenggelam bersama watak, plot dan persekitaran. Begitu asyik dan mendebarkan.


Saya berharap bahagian kedua akan lebih tangkas, kemas, jantan, ampuh dan penuh debar. Paling kurangpun, setara dengan bahagian pertama ini.


Judul: Takluk Jagat: Bisikan Ariasha

Penulis: Zaki Zainol

Penerbit: PTS Fortuna,
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008
ISBN (13): 978-983-192-237-8

Muka surat: 388 halaman

Harga: RM25 (Sem. Malaysia), RM28 (Sabah & Sarawak)

Photobucket
top