Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Showing posts with label Gaya AL-FATEH. Show all posts
Showing posts with label Gaya AL-FATEH. Show all posts
Allah menegaskan, “Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekalipun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti." (Al-Israa' 17:57)

Sebagai hamba Allah, seperti mana yang dilaksanakan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan ayahandanya Sultan Murad, kita disuruh mengharap hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Dalam sebuah buku, ulama terkenal Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menulis, “Ada tiga sendi iman, yakni cinta, rasa takut dan berharap.”

Dalam Surah al-Kahfi, Allah memberitahu, "Katakanlah (wahai Muhammad), 'Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya'." (Al-Kahfi 18:100)

Dalam sebuah hadis Qudsi, Jabir melaporkan Rasulullah (SAW) berkata, “Allah SWT berfirman, ‘Aku berada pada persangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Maka hendaklah dia membuat persangkaan kepada-Ku menurut kehendaknya’.” (Hadis riwayat Muslim)

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menulis, “Mengharap adalah langkah yang membawa hati kepada yang Maha Pengasih, yakni Allah. Ada yang berpendapat ‘mengharap’ bermaksud percaya terhadap kemurahan Allah. Perbezaan mengharap dengan berangan-angan ialah angan-angan disertai dengan kemalasan, pelakunya tidak bersungguh-sungguh dan tidak berusaha. Sebaliknya mengharap itu disertai dengan usaha dan tawakal.”

Ia adalah ciri-ciri dalam persediaan menuju matlamat baik, insya-Allah, bukan sekadar mengharap dan berdoa, bahkan digerakkan segala usaha badan serta material. Itu ciri berusaha dan bertawakal dalam meraih redha Allah semata-mata.

@@@@@@@

Dalam novel Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH, penulis catatkan kata-kata seorang Khalifah yang berjiwa perwira:

“Kejatuhan Konstantinopel mampu melemahkan musuh. Kita sudah berjaya menawan Pulau Cyprus, Pulau Rhodes dan Pulau Arados. Justeru, laluan sudah terbuka untuk armada kita menuju ke kota Konstantinopel.” – Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan

Luahan kata dan cita beliau itu bukan setakat angan-angan kosong, malah dilestarikan dengan usaha perancangan dan gempuran, yang terakhir ialah bertawakal ke hadrat Allah. Walaupun usaha Khalifah pertama Daulah Umayyah itu gagal, namun ia gagal justeru belum dizinkan Allah yang Maha Merancang. Ia diambil iktibar oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
Sering kita dengar orang tua dahulu lahirkan pepatah: ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Sebelum itu harus diambil juga pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Orang-orang Melayu dahulu melihat alam dalam membentuk kata-kata nasihat dari tamsil ibarat. Indah, insya-Allah.

Dalam usaha melentur itu, peranan ulama atau cerdik pandai menjadi penting. Lahirnya generasi penerus pejuang Islam demi kebaikan manusia sejagat dibentur oleh mereka yang ikhlas kerana Allah dan demi kelangsungan hidup sebelum mati.

Para pemuda yang ikhlas berjuang tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi murahan. Mereka mentaakul dengan nasihat ulama yang setia bersama perjuangan Islam. Mereka bergerak dengan niat kerana Allah, demi tegakkan Islam yang janjikan pahala jihad yang suci di sisi Allah.

Kisah ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi kerana ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah hatta dipertaruhkan nyawa sekalipun justeru menyedari yang nyawa adalah pinjaman Allah. Ilmu yang benar akan memimpin kita kepada Allah, dan ini yang diajarkan oleh ahli ibadat sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli sihir istana adalah batil semata-mata.

Tawakal dan berserahnya pemuda itu kepada Allah menyebabkan bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat negeri itu mendapat hidayah dan beriman kepada Tuhan Yang Esa. Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini tertera dalam surah al-Buruj dan diterangkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad (SAW) dalam hadis Baginda. Shuhaib bin Simaan Armi mengatakan bahawa Rasulullah (SAW) bercerita seperti di bawah dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Nasa’i.

Pada suatu masa dahulu ada seorang raja bangsa Yahudi yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila sudah tua, pada suatu ketika ahli sihir itu berkata kepada raja, “Kini saya mencapai usia tua dan mungkin telah dekat ajal saya. Justeru pohon tuanku kirim kepada saya seorang pemuda yang dapat saya ajarkan kepadanya ilmu sihir.”

Maka raja berusaha mencari seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu, dan menemuinya. Pemuda itu diarahkan agar belajar dengan ahli sihir diraja.

Photobucket
top