Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Selesai sudah saya membaca dan menelaah novel Cinta Sang Ratu, sequel dari novel Bagaikan Puteri. Dari mula saya mengenali saudara Ramlee Awang Murshid lewat novel-novelnya, ternyata saya tidak menyesal memiliki karya beliau. Sarat dengan mesej perjuangan dan ketuhanan.

Walaupun Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu diketegorikan dalam genre thriller, namun dengan mesej-mesej Islam dan isu ketuhanan yang berjaya diadunkan secara baik dalam inti pati novel, boleh saya masukkan ia dalam kategori novel Islami. Kedua-dua novel ini tidak menjemukan, walaupun dalam Cinta Sang Ratu masih lagi berlegar-legar di persekitaran abad ke-21 dan akhir abad ke-15.


Plot dan sub-plot yang yang disusun sedemikian rupa yang akhirnya menemukan titik jalan cerita keseluruhan, cukup indah dan menarik, walaupun ada sedikit nada berulangan, terutamanya dalam Cinta Sang Ratu.


Kalau dulu saya meminati karya Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan Arena Wati, kehadiran Ramlee ke persada sastera tanah air boleh dibanggakan. Beliau sebagai generasi muda berjaya mencipta nama dalam arus sastera dengan pendekatan berbeza dari arus utama novel Melayu.


Sekiranya novel Ayat-Ayat Cinta berjaya mengenengahkan sebuah novel cinta Islami di Indonesia dan Malaysia, dua novel Ramlee ini juga turut boleh kita masukkan dalam kategori ini. Cuma situasi jalan cerita agak berlainan kerana ianya adalah novel perjuangan bagi menegakkan Islam yang suci, mempasakkan matlamat kepada cinta Allah dan Rasulullah. Kehebatan Laksamana Sunan ditambah lagi dengan kesungguhan beliau dalam menegakkan sunnah Nabi Muhammad dalam memerangi musuh dan mengharungi dunia cinta.

Satu sahaja frasa yang saya kurang setuju. Kata Ramlee dalam Bagaikan Puteri, “Hanya kerana cinta…manusia sanggup berperang”. Menurut hemat saya, frasa yang lebih tepat ialah “Kerana cinta…manusia sanggup berperang.” Bukankah kerana cinta kepada diri yang terasa lebih mulia menyebabkan iblis melanggar perintah Tuhan tatkala diperintah sujud kepada Nabi Adam? Bukankah kerana cinta kepada Allah dan Islam, Nabi Muhammad dan para sahabat berperang memerangi kafir di tanah Arab? Dan bukankah kerana cinta kepada nafsu, puak Yahudi terus menerus memporak-perandakan dunia ini melalui peperangan?


Wallahualam.

4 comments:

Anonymous said...

Saya baru sahaja menghabiskan pembacaan Bagaikan Puteri. Dan saya boleh katakan yang saudara Ramlee tidaklah begitu bagus. Yang bagus saya kira hanyalah namanya yang sudah boleh diangkat sebagai 'brand'. Dia menulis picis-picis pun kalau ada dicetak namanya, boleh laku.

Saya juga tak faham kenapa novel ini diletakkan dalam kategori thriller. Aksi, ya. Cinta, ya. Tapi thriller, saya tak nampak relevennya. saya rasa hanya sekadar mainan kata-kata penerbit. Sekadar 'branding'.

Saya juga terkejut bila terbaca yang Ramlee ada menyatakan yang kita dibangkitkan dalam bentuk roh. Setahu saya, kita dibangkitkan kelak dalam bentuk fizikal, bukan roh.

Dan saudara Ramlee juga terlalu cuba melojikkan ceritanya yang memang tak lojik. Kurang bijak jika membuat cerita fantasi tapi masih memaksa pembaca untuk menerimanya sebagai lojik. Ingat, cerita yang bagus ialah walaupun tak lojik, penataannya lojik dan cerita yang tak bagus adalah sebaliknya.
Beliau berkali-kali menyumbatkan penyataan 'dengan izin ALLAH' maka boleh berlaku kejadian balik ke zaman dahulu. itu tidak lojik.

Nah, maka tiada sempadan lagi-lah antara dunia sebenar dan fantasi. jika ada pembaca mengkritik, sudah tentu beliau akan berkata ; "dengan izin ALLAH semuanya mungkin.
Penulis yang bijak tidak menggunakan penyataan dengan Izin ALLAH untuk membawa pembaca percaya jalan ceritanya. Kita semua tahu itu.

MAsih banyak lagi elemen-elemen tidak bijak dalam novel-novel beliau. Tapi memandangkan hanya beliau sahaja-lah penulis yang cuba membawa kelainan, saya gagahi juga untuk membaca karyanya.

Anonymous said...

Terima kasih atas komen saudara. Satu coretan yang agak kritis. Teruskan membaca, walaupun kadang2 apa yg kita baca tidak sesuai dgn kepercayaan individu.

mikhail711 said...

Buat Saudara Anonymous, saudara sepatutnya support novel-novel Melayu, bukannya menghentam secara membabi buta tuli pekak badak. Karya thriller merupakan karya yang wujudnya unsur-unsur suspens & adventure. Bukankah novel Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, dan juga Hijab Sang Pencinta kaya sekali dengan unsur-unsur ini? Mungkin betul pendapat saudara, ini sekadar branding oleh penerbit, tetapi tidak bolehlah saudara menghentam RAM sebegitu rupa. Setiap penerbit ada taktik dan strategi sendiri untuk mempromosi dan meningkatkan jualan, asalkan karya berkualiti, tentunya laku bagai pisang salai panas. Jangan sebab saudara juga penulis novel, dan novel saudara tidak laku, maka novelis yang laku novelnya menjadi mangsa kejam saudara. Mungkin saudara juga bukan seorang penerbit, sebab itu saudara hanya pandai melontar kata, tetapi menikus takut (mungkin sampai terkucil) meninggalkan jejak. Sedap jari je saudara menaip banyaknya unsur tidak bijak dalam karya RAM, berapa banyakkah unsur yang AMAT BIJAK dalam karya anda? Mungkin habuk pun tiada, terlebih air liur keluar dari kudrat usaha. Mungkin juga anda hebat sebagai pengkritik, anugerah TUHAN buat saudara yang suka melemah-lemahkan karya novelis tempatan, tetapi meninggikan karya barat. Mungkin anda juga spesies MIKHAIL yang didalangi pihak-pihak tertentu untuk melunturkan dan melemahkan pengkarya-pengkarya tempatan? Jika berjuta-juta lemon peminat RAM dapat menerima 17 karya novel beliau, siapakah anda untuk tiba-tiba sahaja TERJAH NAS AHMAD melontar kata? Oklah, kami semua terima, yang anda memang SASTERAWAN NEGARA TERSOHOR, seorang PENULIS YANG SANGAT TERAMAT BEGITU BIJAK SEKALI seantero buana, maka anda tentu tidak menggunakan 'dengan izin ALLAH' dalam karya anda. Pandangan saya amat berbeza, RAM tiadalah menggunakan 'dengan izin ALLAH' sewenang-sewenangnya, tetapi bertempat dan juga logik. Bukankah setiap kali membaca 'dengan izin ALLAH', terasa dekat dengan Pencipta. OKlah, malas nak berlawan cakap dengan saudara, menikus takde jejak, tanpa nama. Nampak sangat tiada ikhlas, hanya provokasi yg tiada bertempat dan tidak berasas. Kesian saudara.. uhuk.. Sekian dari saya yg emosi ;)

Web Sutera said...

Akim, maaf saya tidak perasan komen balas saudara ini. Saudara ada isi, walaupun beremosi.

Sementara sahabat Tanpa Nama di atas saya kira juga beremosi, tetapi agak dangkal.

Hanya Allah yang Maha Tahu.


Photobucket
top