Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Mazhab Syafie merupakan mazhab yang diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Kerana itu, masyarakat umum menanggap inilah satu-satunya mazhab yang terbaik. Tetapi, sedarkah kita bahawa kita sebenarnya bukan mengamalkan mazhab Shafie ini seratus peratus? Tanpa disedari, masyarakat Malaysia sebenarnya telah banyak mengamalkan percampuran mazhab dalam urusan seharian.

Contoh yang paling mudah ialah dalam urusan zakat fitrah.
Iman Syafie mengatakan zakat fitrah itu hanya sah dengan beras dan gandum sahaja. Tetapi, apa yang kita amalkan ialah membayar zakat fitrah dengan wang tunai. Ini adalah mengikut mazhab Hanafi. Inilah yang dikatakan Talfiq.

Buku Talfiq – Beramal Dengan Pelbagai Mazhab dimulakan dengan memperkenalkan istilah-istilah penting dalam membincangkan Talfiq. Walaupun sedikit sukar untuk dihadamkan, saya kira ini penting untuk memberi pemahaman berkenaan tajuk yang dibincangkan. Mudah pembaca merujuk kembali ke hadapan tatkala meneruskan pembacaan buku ini.


Talfiq membawa banyak pengertian. Tetapi Talfiq yang diutarakan dalam buku ini ialah mengamalkan syariah lebih dari satu mazhab terhadap sesuatu perkara.


Dalam buku ini dikatakan bahawa Talfiq diharuskan terhadap perkara-perkara cabang dalam Islam. Bagi perkara yang sudah jelas, Talfiq tidak boleh dilakukan. Contohnya ialah hukum Islam di negara umat Islam tetap wajib dilaksanakan, walau apa sekalipun.


Talfiq juga banyak diamalkan dalam urusan bisnes. Namun begitu, Islam memiliki beberapa prinsip yang tidak boleh dilanggar bagi menjaga kepentingan kehidupan di dunia dan akhirat. Antaranya ialah pengharaman riba, mengambil harta orang lain secara zalim, penipuan, kesamaran dan penindasan.


Selain daripada itu, Islam memberikan ruang ijtihad yang luas untuk bermualamat (jual beli) sesuai dengan perkembangan zaman dan kehidupan manusia.


Kekurangan ketara buku ini ialah penggunaan istilah Arab yang kerap dalam keseluruhan kandungan. Alangkah baiknya jika istilah Arab tersebut terus diterjemahkan ke bahasa Melayu, terutamanya bagi yang panjang-panjang. Justeru itu, buku ini tidak sesuai bagi pembaca-pembaca yang kurang mendalam pengetahuan dalam soal fikah dan hukum. Tetapi ia sesuai untuk pelajar dalam jurusan usul fikah dan ustaz/ustazah.

0 comments:

top