Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Sinopsis novel ini bermula begini: “Cinta tidak pernah menjadi rumus matematik. Apa pun rumusnya, di sela-selanya selalu ada misteri dan ruang hampa.”

Penulis saudara Alfian Malik dengan bersahaja meminjam sebuah latar etnik yang mirip satu selimut perca dengan ribuan sambungan yang saling memintal dan menjerat. Potongan imaginasi difiksyenkan, terangkai dalam untaian kata dan teka-teki, membuat benak saya mengelamun jauh, amat jauh.


Narasi penulis mengalir lancar ibarat “kakek yang fasih mendongeng.” Ianya seumpama sebuah kelana yang penuh sejuta pesona. Penulis mencari peradaban manusia, cuba mengubah persepsi kemanusiaan, dan terjalin bersamanya hubung kait dengan makhluk lain yang menghuni buana ini.


Saya kategorikan novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta ini sebagai fantasi sains-fiksyen. Pelbagai kekuatan magik dan kejadian tidak masuk akal dijalin dan dinarasi tuntas menjadi latar peristiwa manusia mencari nilai-nilai kemanusiaan sejagat.


Betapa kejahatan, penguasaan ilmu mistik dan kekuatan magik yang disalahguna, kebejatan masyarakat mengejar kemasyuran dan onar penguasa haloba dikutuk habis-habisan oleh penulis. Dan akhirnya penulis membawa satu rumus atau penyelesaian sains dan teknologi yang bermatlamatkan kesejahteraan manusia dan penghuni lain di jagat raya ini.


Saya menelurusi jalan dan denai di suatu daerah terpencil yang penuh ilmu santet (kedukunan dan sihir). Manusia-manusia hebat dan sakti menerawang di segenap penjuru Lumpur Similiar. Namun akhirnya dengan penuh bijaksana, semua itu tertunduk dengan pimpinan seorang manusia yang mencari kebenaran sejagat; Tegar Patih. Tegar Patih, manusia istimewa anugerah Allah, menjalani kehidupan penuh ranjau. Ternyata bahawa faktor cinta menjadikan dia manusia istimewa – cinta kepada ilmu sakti, cinta kepada orang tua, alim ulamak dan cintakan kepada kebenaran serta keamaman bagi seluruh umat manusia.


Hubungan sesama manusia, jin (orang Bunian?) dan penghuni lain di persada maya ini dipintal menjadi sebuah cerita. Apa bentuk ‘manusia baru’ yang bakal menghuni muka bumi di abad-abad mendatang? Baca novel Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta, anda akan dapat menemui jawapannya.


Jika dikira dari sudut persembahan, novel ini memiliki satu kelemahan, iaitu narasi yang mengalir bagaikan air deras itu tidak bernoktah. Sambung menyambung tanpa bab-bab tertentu.


Namun, narasi dan imaginasi Alfian Mailik penuh mistik dan istimewa! Ada kelainan berbanding novel seumpama ini di Malaysia.


Tajuk: Lumpur Similiar – Misteri Perangkap Cinta

Penulis: Alfian Malik

ISBN: 978-979-1038-09-6

Penerbit: PT. Andal Krida Nusantara, Disember 2007

Halaman & harga: 248 mukasurat & 49,500 Rupiah

3 comments:

ALFmalik said...

Resensi ini membuat saya seolah-olah sedang take a oral examination dihadapan seorang Professor!

mudin001 said...

Reviu yang baik. Membuatkan hati saya meronta-ronta mahu mendapatkan buku itu.

:)

Web Sutera said...

Sahabat Alfian, saya ikhlas, insyaAllah.

Sahabat Mudim, sila hubungi terus penulis untuk dapatkan novel ini.


Photobucket
top