Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Zulkarnain, salah seorang lelaki misteri dalam al-Quran, telah saya perikan dalam entri sebelum ini; Alexander the Great, what Allah says in the Quran. Lanjutan daripada itu, saya sudah usai membaca buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang diterjemahkan oleh saudara Ibnu Ghazali.

Dari buku ini saya mendapat gambaran jelas siapakah Zulkarnain yang disebutkan dalam al-Quran dan siapa pula Iskandar Yang Agung, pemerintah Macedonia. Apa yang dapat saya simpulkan ialah Zulkarnain lelaki misteri dalam al-Quran bukanlah Iskandar Macedonia.

Entri ini bukan bertujuan untuk membuka polemik isu Iskandar dan Zulkarnain. Saya akan nukilkan di lain masa. Di sini saya mahu memberi komen terhadap buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama.

Saya berasa sedikit kecewa dengan mutu penterjemahan buku ini. Perkisahan mengenai insan Iskandar Zulkarnain atau Alexander the Great memang menggamit minat saya. Justeru kerana isu hubungan dan misteri antara Zulkarnain dan Iskandar Yang Agung, maka saya telah membeli tujuh buku, biografi atau fiksyen.

Buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama pekat berbau Arab. Persoalan yang sukar dalam perihal Iskandar Zulkarnain tambah dikaburkan dengan ayat-ayat yang berbelit dan kesalaham ejaan serta nahu bahasa Melayu di sana sini. Sungguh malang, hasrat penulis agak tersasar dengan mutu terjemahan yang kurang cermat.

Saya ingin melihat sebuah buku dalam bahasa Inggeris atau Arab diterjemahkan seperti mana buku Dari Beirut ke Jerusalem, yang telah diusahakan oleh Unit Buku Harakah. Penterjemah Saadon Aksah (dan editor, Syed Putra Syed Ahmad) telah berjaya menghasilkan buku Dari Beirut ke Jerusalem seolah-olah penulis asalnya, Dr Ang Swee Chai menulis dalam Bahasa Melayu.

Justeru itu, saya mengajak saudara Saadon Aksah dan penulis serta penterjemah PTS Publications & Distributors supaya ‘memandang’ kisah sejarah manusia-manusia besar. Masyarakat Malaysia dan Melayu amat perlu didedahkan kepada cerita sejarah seperti Iskandar Zulkarnain. Sejarah banyak mengajar kita. Hasilkan satu karya terjemahan bahasa Melayu moden, bagaikan penulis asal menulis dalam bahasa ini.

Pengajaran sejarah di peringkat sekolah tidak mencukupi.

Judul: Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama

Penulis: Muhammad Khair Ramadhan Yusuf

Penterjemah:
Ibnu Ghazali

Penerbit: Jasmin Enterprise (
www.berlianbooks.com.my), 2002
ISBN: 983-2087-79-1

Halaman: 292. Harga: RM15.00

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis. Menu yang pelbagai boleh disediakan; masakan Melayu, resepi Cina & India halal, serta makanan ala-barat. Sila rujuk blog katering.

4 comments:

Mr Belimbing said...

Salam,

Memang mutu penterjemahan di Malaysia kurang memuaskan.

Sebab itu saya lebih suka membaca dalam versi asal, cthnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Indonesia.

Cuba saudara baca buku novel Ayat Ayat Cinta versi BM, kelihatan ada juga bahasa Indonesia terselit. Lebih baik saya baca yang versi asal.

p.s. Sebelum ini saya ada komen dalam blog saudara ttp lupa guna ID apa. Sekarang saya guna ID baharu siap buat blog lagi. Harapan agar dapat bertukar pendapat. (http://mrbelimbing.blogspot.com)

Web Sutera said...

Sdr Mr Belimbing, terima kasih atas lawatan & komen. Ayat-Ayat Cinta lebik baik dibaca dalam versi bahasa Indonesia? Betulkah?

Tahniah kerana sudah mula blogging! :-)

Elle Syeila said...

Siapakah Zulqarnain ini? saya seperti yang lain menerima bulat-bulat sebelum ini bahawanya Iskandar adalah lelaki misteri disebutkan dalam Al-Quran, namun terbitan PTS yang terbaru berjudul Iskandar bukan Zulqarnain (tapi bukan buku yang dibincangkan disini) berjaya mengubah persepsi saya. Saya tidak pernah terfikir fakta sejarah itu adalah salah, sehingga saya terbaca akan buku ilmiah ini. Buku ilmiah ini menarik khalayak seperti saya adalah kerana cara penulisannya tidak begitu menekan dan memusingkan kepala namun lebih menarik dalam pembacaan kita. Jarang sekali terdapat buku sejarah/ilmiah sebegini. Sedangkan buku teks sejarah saya dulu juga begitu membosankan. Cara penulisan seperti ini berjaya membuka minda pembacanya untuk mengetahui justeru mengupas adakah pendapat penulis ini ada kebenaranya. Ia juga menarik saya untuk mencari adakah kebenaran atau penulisan hanya pendapatnya sahaja, maka dari sini tercetuslah perbincangan dan perkembangan ilmu.

Mengenai penterjemahan, saya berpendapat buku Indonesia tidak perlu diterjemahkan, lebih baik terjemah di fokuskan ke atas buku cina,jerman, inggeris dan rusia. Penterjemah adalah merugikan, membaca dalam bahasa Indonesia mungkin akan memperkayakan lagi bahasa kita sendiri. Jika penulis lagu Indonesia hingga sanggup membeli kamus bahasa melayu di Malaysia untuk memperkayakan kata-kata mereka sendiri dalam lagu, kenapa kita tidak mengambil inisiatif yang sama dari mencedok bahasa inggeris dan menjadikan ia bahasa kita. Bukankah kita dikira dari rumpun yang sama? kenapa tidak kita meminjam bahasa mereka sahaja.

Web Sutera said...

Elle, saya petik "membaca dalam bahasa Indonesia mungkin akan memperkayakan lagi bahasa kita sendiri." Saya setuju yang ini.

Saya ada baca sebuah novel berbahasa Indonesia moden; Lumpur Similiar. Ternyata boleh difahami & seronok pula meneliti beberapa terma & kosa kata Indon.


Photobucket
top