Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

12 Zulkaedah 1431H - Dua kali saya pergi ke program hujung minggu bersama PTS di Batu Caves, Selangor. Dua kali juga saya membelek-belek buku Khalifah-Khalifah Yang Benar. Di kali kedua itu, saya membelinya dengan naluri yang begitu teruja.

Saya bertanya kepada staf di kaunter jualan berkenaan buku berkulit keras ini kerana saya sudah memiliki tiga daripada novel sejarah Khalifah Ar-Rasyidin yang terkandung di dalamnya. Saya sudah ada buku berkenaan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan. Kisah Ali bin Abi Talib sahaja yang tiada dalam rak buku saya.

Seandainya saya juga memiliki novel sejarah Islam berkenaan khalifah Ali bin Abi Talib karangan saudara Abdul Latip Talib itu, saya tetap akan menjadikan buku Khalifah-Khalifah Yang Benar ini dalam genggaman. Ada banyak sebab mengapa seakan-akan menjadi wajib bagi diri saya memilikinya, dan amat malang jika buku cantik ini lambat disambar.

Desain dan persembahan buku

Inilah antara faktor penarik pertama buku, iaitu kulit keras dan dijilid secara jahitan. Harga menjadi soal kedua.

Sembilan halaman pertama yang menyorot sejarah kota Madinah dan keempat-empat Khalifah Ar-Rasyidin yang dihiasi dengan ilustrasi suasana ketika itu membuka selera supaya buku ini ditekuni. Latar warna halaman berbentuk klasik menjadikan suasana syahdu dan terasa bagaikan buku ini bukan dicetak di tahun 2010. Memang kena dengan ceritanya. Cantik!

Reka letak teks halaman utama dari muka surat 1 sehingga ke 759 adalah mesra mata. Buku ini dilengkapi glosari yang menerangkan makna banyak perkataan dari bahasa Arab yang sudah diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu. Memang banyak membantu, terutamanya bagi pembaca yang sukar memahami atau tidak biasa dengan perkataan pinjaman Arab tersebut.

Namun, ada sedikit kekecewaan bagi saya terhadap penggunaan kertas simili yang agak nipis. Kenipisan kertas yang digunakan bukan setakat boleh dirasa di hujung jari, malah bayang teks di belakangnya juga kelihatan. Bagi saya buku secantik ini seharusnya dilengkapkan mutunya dengan kertas yang tebal sedikit. Barangkali faktor harga yang menjadi timbang tara di sini. Mungkin sekiranya menggunakan kertas simili yang lebih tebal, harga buku tidak lagi menjadi RM55.00.

Walau apapun, isi kandungan dan persembahan keseluruhan novel sejarah Islam berjudul Khalifah-Khalifah Yang Benar ini sesuai dengan harganya. Berbaloi untuk dibeli dan disimpan. Cantik diletakkan dalam rak buku bercermin. Tetapi jangan hanya disimpan sahaja. Bacalah, insyaAllah, jika saya teruja menelaahnya, tuan-tuan dan puan-puan juga akan turut teruja.

Bagi pembaca yang sudah biasa dengan karya saudara Abdul Latip Talib (Pak Latip) yang diterbitkan PTS, buku ini menjadi bonus untuk kalian. Memang beliau Penulis Novel Sejarah No. 1 Malaysia.

Photobucket
Dialog novel sejarah Islam boleh dipertikaikan keabsahannya?

Berkaitan dengan buku-buku novel sejarah Islam yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib, saya mengikuti satu entri di Facebook beliau. Di wall beliau ada dituliskan:
Saya ada menerima beberapa emel mengenai penulisan novel sejarah Islam, tidak saya hiraukan kerana pengirimnya tidak berani memperkenalkan dirinya kecuali emel ini, dari Nabil Bin Haji Ahmad pada 17 hb. Oktober pukul 12.39 pagi. “Assalaamualaikum, Tuan Abdul Latip! Moga dirahmati Allah SWT! Saya ada satu persoalan. Saya ada membaca satu pendapat tentang penulisan sejarah serta dialog dalam kisah tersebut. Saya minta maaf kerana tidak ingat siapa yang memberi pendapat itu, namun dia ada kredibiliti dalam bidang agama Islam. Pada pendapatnya, dialog-dialog dalam buku-buku sejarah Islam boleh dipertikaikan keabsahannya, dan berbahaya bagi umat Islam yang membacanya, Bahaya yang dimaksudkan beliau ialah bahaya pada para pembaca yang mempercayai bahawa dialog tersebut adalah benar seperti yang berlaku di zaman sejarah itu berlaku. Mohon pencerahan daripada pihak Tuan. Terima Kasih.”
Penulis Pak Latip memberi jawapannya:
“Tuan Nabil, terima kasih kerana mengemukakan pertanyaan ini. Kalau tuan membaca kitab sejarah Islam contohnya Kisasul Anbiak (kisah-kisah para nabi) juga ada dialog nabi dan Rasul sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Adakah dialog Nabi Adam itu benar berlaku pada zaman itu? Begitu juga kitab-kitab yang lain termasuk kitab sejarah yang ditulis oleh Ibnu Hisyam, ada dialog-dialognya.

“Dialog-dialog yang terdapat dalam novel sejarah Islam yang saya tulis tidak lari dari fakta yang berlaku pada masa dialog itu diucapkan. Ada juga dialog yang saya petik dari kitab-kitab sejarah.”
Cacatan di wall Facebook tersebut menerima banyak komen susulan. Saya juga memberikan buah fikiran saya, begini:
“Tuan Abdul Latip, itu perkara biasa. Seperti mana juga orang kata "Baca novel sejarah islam akan jadi terorris" Lagi pun, mungkin hamba Allah tersebut masih berfikiran dahulu kala dan jumud, masih menggunakan kitab kuning dalam menyampaikan ilmu. Padahal ilmu Allah itu amat luas dan kaedah penyampaian itu turut mesti berubah mengikut peredaran masa. Pada hemat saya istilah 'tadabbur' al-Quran juga boleh dilakukan atau diterjemahkan dengan penulisan novel sejarah Islam seperti usaha PTS dan Pak Latip ini. Hanya Allah yang Maha Tahu.”
Salah satu komen yang menarik perhatian dan saya bersetuju dengannya ialah yang dilontarkan oleh saudara Nazri Kadir:
“Teruskan usaha Pak Latip. Ada yang mengkritik tetapi tidak pernah membaca terlebih dahulu. Ada yang "berilmu" penuh sijil agamanya di dalam fail tetapi mesej dakwahnya tidak sampai. Usaha Pak Latip dan PTS ini adalah pengisi kekosongan generasi masa kini. Saya menyanjung tinggi usaha Pak Latip dan PTS dalam hal ini. Segala yang berlaku adalah satu cabaran yang Allah jadikan untuk Pak Latip dalam tugas sebagai pendakwah. Karya-karya Pak Latip telah menarik kembali semua golongan usia untuk melihat dan memahami kembali sejarah Islam.”
Berkaitan: Sultan Muhammad al-Fateh: Seorang ketua dan penakluk bagi tentera & rakyat yang baik
Baca buku sejarah Islam jadi teroris?
Umar al-Khattab pembunuh dan peminum arak tegar sebelum keislamannya
Novelis thriller lawan novelis sejarah Islam

Contoh fiksyen sejarah: History made easy

11 comments:

hilman said...

Salam,

Sebelum membaca buku2 tulisan Pak Latib ini, saya bercadang untuk memiliki kesemua koleksi buku tulisannya dan saya sangat ternanti2 akan kemunculan buku Khalifah khalifah yang benar ini.

Setelah membaca buku Pak Latib yang berkenaan Imam Syafie dan Muhammad al Fateh, saya agak kurang teruja untuk menambah koleksi buku Pak Latib yang lain.

Alasan nya sama seperti kritikan di facebook. Saya tak sangka ada jugak orang yg komen sama seperti alasan saya. Saya tercari cari juga di mana kekuatan buku Pak Latip ni.

Harap tuan dapat menonjolkan kekuatan buku tulisan Pak Latib supaya saya sudi membacanya.

Maaf jika terkasar. Sudah lama saya cari peminat buku Pak Latib.

-Hilman-

Web Sutera said...

Assalamualaikum, sdr. Hilman,

Terima kasih atas komen dan pertanyaan berkenaan post ini. Ingin saya tegaskan terlebih dahulu bahawa saya bukannya duta buku-buku Pak Latip. Saya memuji mana yang baik, dan saya mungkin akan mengkritik di mana yang kurang atau tidak baik pada pandangan saya.

Memang saya akui bahawa ada kelemahan dalam novel sejarah yang dihasilkan oleh Pak Latip. Mungkin salah satu , kalau boleh dikatakan kelemahan, ialah kurang diceritakan suasana persekitaran dalam bentuk penerangan. Namun tidak pula saya katakan tiada langsung, kerana narasi persekitaran diterangkan melalui dialog-dialog watak-watak sejarah atau watak lain.

Setakat ini terus terang saya katakan saya sudah membaca lima buah karya Pak Latip bersama PTS. Ada yang saya buat resensi di blog ini.

Saya sangat berharap para pembaca dapat berkongsi idea lagi di sini. Sama-sama kita mengupas, sekiranya boleh. Saya akan berikan pandangan lain di lain masa, insyaAllah.

Puan Ainon Mohd. said...

Walau apa pun bentuk buku yang ditulis oleh manusia, tentu ada kelemahannya kerana mustahil manusia dapat menghasilkan kesempurnaan....

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum

Terserah kepada pembaca untuk menilainya. Saya pun tidak mendabik dada mengatakan buku itu telah sempurna dan lengkap. Siapa yang minat boleh membacanya. Sesiapa yang tidak berminat jangan baca.

Namun saya bersyukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada peminat novel sejarah Islam kerana telah membeli dan membacanya. Saya lebih banyak menerima pujian dari cacian. Itu yang memberi kekuatan semangat kepada saya untuk terus menulisnya.

Walau saya dikecam, diberi kritikan yang pelbagai namun usaha ini akan saya teruskan InsyaAllah kerana di luar sana lebih ramai yang suka membacanya dan menunggu buku terbaru saya.

Terima kasih Tuan Hilman kerana tuan menambahkan lagi semangat saya untuk menulisnya. Hingga kini sudah 30 judul diterbitkan oleh PTS. Saya berazam hingga 1,000 (satu ribu)judul. InsyaAllah.

Web Sutera said...

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Tuan Abdul Latip Talib dengan semangat kental dalam perjuangan memartabatkan apa yang dipegang. Tanpa prejudis, saya menyokongnya.

Novel sejarah Islam dan Melayu garapan Pak Latip tidak pernah menjemukan saya di sepanjang pembacaan. Dari satu sudut, sejarah Islam dan Melayu sentiasa menjadi minat saya untuk mendalaminya. Paling saya suka ialah kisah para pejuang agama Islam sedunia dan di alam Nusantara. Bila Pak Latip menarasikan secara teknik Surah Yusuf dengan diserikan bersama bahasa Melayu tinggi, ia menjadi semakin indah.

Ingin saya coretkan di sini perbezaan asas buku fiksyen sejarah dan novel sejarah. Pada hemat saya yang cetek ilmu ini, fiksyen sejarah berkisahkan suatu fakta sejarah dan kemudiannya difiksyenkan. Dalam fiksyen, watak-watak, persekitaran, peristiwa dan penyudahnya boleh sahaja berlawanan dari apa yang dicacatkan dalam buku sejarah.

Fiksyen sejarah juga merupakan imaginasi penulis dengan latar belakang suatu peristiwa sejarah sebagai tunjang. Namun sesuai dengan istilah fiksyen, ianya mengandungi ciri plot dan sub-plot yang dicipta sendiri oleh penulis.

Manakala sebuah novel sejarah isinya adalah fakta. Novel Sejarah Islam tulisan Pak Latip misalnya, memang mengandungi fakta. Ini semestinya tidak boleh diubah. Itu yang Pak Latip lakukan. Sejarah Islam era Rasulullah dirakamkan dalam Quran dan hadis. Justeru itu saya percaya sepenuhnya bahawa Pak Latip mesti merujuk kepada buku sejarah, hadis Rasulullah dan Quran dalam penulisannya.

Kajian dan rujukan yang dibuat oleh Pak Latip dari sumber-sumber sejarah yang sahih tersebut dijalin semula menjadi sebuah novel sejarah. Itu bukannya kerja mudah. Seperti mana kata Pak Latip, dialog-dialog yang ditulis bukannya suka-suka direka tanpa panduan sejarah.

Satu perkara lagi, kita sering mendengar suara-suara dan rungutan pembaca remaja dan dewasa bahawa membaca buku sejarah membosankan. Ini memamg tidak dinafikan. Justeru itu usaha Pak Latip, dan mungkin juga penulis yang lain, harus diberi pujian dan dilihat sebagai usaha memudahkan pemahaman sejarah. Saya cukup yakin bahawa sejarah yang dinovelkan lebih memujuk pembaca untuk memahaminya.

Faktor persekitaran bagi sesuatu peristiwa sejarah memang sukar untuk dilukiskan lewat ayat-ayat, seumpama bangunan apa, bentuk tanah, bentuk binaan, gaya pakaian, makanan dan seumpamanya. Namun sekiranya ianya sebuah fiksyen sejarah, maka tugas penulis menjadi lebih mudah. Ianya mungkin kerana penulis boleh 'mencipta' persekitaran itu sendiri, dengan tidak cuba untuk lari jauh dari persekitaran sejarah yang sebenarnya.

ABDUL LATIP said...

Tuan Web Sutera, terima kasih dengan ulasan tuan. Izinkan pula saya menyambungnya.

Selain ulasan tuan yang kelihatan begitu ikhlas saya sangat teruja dengan komen yang baru saya terima dari seorang peminat novel sejarah Islam yang sekarang sudah menjadi rakan FB saya. Begini komennya..

Rabiah Tul Adawiyah pada 07hb Oktober pukul 9.07 pagi....Assalamualaikum Tuan Abdul Latip. Saya baru sahaja membeli buku Tuan, Imam Syafie dan Imam Hanbali. Terima Kasih kerana berkongsi ilmu tuan dgn para pembaca. Saya juga ingin berterima kasih kerana buku tuan juga telah membuka minda saya tentang perkembangan penulisan dalam Bahasa Melayu.Saya belajar dalam bidang sastera dan linguistik English (degree,Master, PHD) dan terlalu banyak didedahkan dengan ilmu2 barat, termasuk penghargaan pada sastera English, sehingga saya lupa menghargai bahasa ibunda saya..sebelum ini saya memandang rendah kualiti penulisan bahasa Melayu dan selepas saya membaca buku tuan, saya menjadi sedar, Alhamdulillah. Ilmu, dalam apa jua bahasa, perlu dihargai. Ilmu sepatutnya menyebabkan kita zuhud, bukan angkuh.Terima kasih saya ucapkan, semoga Allah merahmati Tuan, Insya Allah.
juga saya ingin bertanya, adakah tuan ada menulis buku Saad Abi Waqas dan Amru Al Ash? Buku2 tersebut tertulis dalam buku Imam Syafie yg saya beli tapi saya tidak pula berjumpa nashkah buku2 tersebut..

Apa yang membuat saya begitu terharu membaca komen ini apabila Dr Rabiah Tul Adawiyah yang berkelulusan PhD yang terdidik dengan pelajaran Englis sehingga memandang rendah buku-buku Bahasa Melayu telah bertukar sebaliknya apabila membaca novel Imam Syafie.

Selain Dr Rabiah ramai lagi yang mengatakan seronok membaca novel Imam Syafie dan novel ini juga sudah diulang cetak.

Alhamdulillah dengan izin Allah dan dengan kerjakuat warga PTS novel sejarah Islam bukan saja dibaca oleh rakyat Malaysia tetapi juga Indonesia, Singapura, Brunei dan Patani.

hilman said...

Assalamualaikum,

Saya tidak nafikan yang buku buku tulisan Pak Latib berjaya menarik golongan remaja untuk mengetahui sejarah Islam. Saya juga turut berikan buku buku Pak Latib kepada adik saya yang di bangku sekolah.

Numun ape yang saya sedikit "persoalkan" adalah diolog2 yang ada di dalam buku tulisan Pak Latib.

Berdasarkan komen di atas,
Kajian dan rujukan yang dibuat oleh Pak Latip dari sumber-sumber sejarah yang sahih tersebut dijalin semula menjadi sebuah novel sejarah. Itu bukannya kerja mudah. Seperti mana kata Pak Latip, dialog-dialog yang ditulis bukannya suka-suka direka tanpa panduan sejarah.

Adakah diolog tersebut memang berlaku atau di reka?Mungkin saya perlu membaca buku dalam senarai Bibliografi untuk menemui jawapannya.

Saya sokong usaha penulisan Sejarah Islam oleh penulis tempatan kerana sebelum ini saya hanya baca buku buku terjemahan dari penulis luar sahaja. Tetapi di harap dapat menjaga keabsahannya.

Tahniah kepada Pak Latib kerana berjaya menarik minat warga Malaysia dan sekitar untuk mendalami Sejarah Islam.

Kalau tuan membaca kitab sejarah Islam contohnya Kisasul Anbiak (kisah-kisah para nabi) juga ada dialog nabi dan Rasul sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Adakah dialog Nabi Adam itu benar berlaku pada zaman itu? Begitu juga kitab-kitab yang lain termasuk kitab sejarah yang ditulis oleh Ibnu Hisyam, ada dialog-dialognya.
Suka kiranya jika Pak Latib nyatakan judul judul kitab yang Pak Latib maksudkan...

Maaf jika komen saya mengganggu..

Sekian

ABDUL LATIP said...

Tuan Hilman

Saya tidak terganggu dengan komen atau kritikan yang diberikan malah menguatkan lagi azam saya untuk membuat yang terbaik. Seperti kata Imam Syafie "Bila jumpa dengan orang yang bijak kita ajak bermuzakarah untuk mendapatkan kebenaran."

Sebelum saya menjawab pertanyaan tuan mengenai keabsahan dialog dan buku-buku rujukan, saya nak tanya tuan dua soalan dahulu.

Pertama, siapakah nama tuan yang sebenarnya.

Kedua, adakah tuan yang mengirim emel kepada saya dengan nama "Serban Hijau?.

hilman said...

Pak Latib,

Pertama: Hilman

Kedua: Setakat ini saya tak pernah menghantar email ke Pak Latib dan saya idak pernah menggunakan nama "Serban Hijau"

Adakah Serban Hijau turut menanyakan soalan yang sama??

Web Sutera said...

Sahabat sdr. Hilman, saya senaraikan beberapa buku yang sudah dibaca bagi rujukan saudara berkenaan adanya dialog-dialog sejarah berkaitan Islam dan di era Rasulullah SAW.

1) Biografi Muhammad bin Abdullah: Perjalanan Hidup Seorang Nabi, terbitan PTS. Rujuk Bab 4: Hijrah ke Madinah, di bawah topik Kumpulan Pengintip Bagi Menyekat Ekonomi Quraisy, halaman 141 - 146. Penulis: Prof. Dr. Zulkifli Haji Mohd. Yusoff dan Dr. Noor Naemah Abd. Rahman.

2) Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW (ISBN: 983-099-430-9). Penulis ialah Abu Mazaya al-Hafiz, terbitan Al-Hidayah Publishers. Rujuk Bab 27: Perang Badar, di bawah sub-topik Sejarah Lengkap Perang Badar, halaman 444 - 521.

Bab 29: Perang Uhud, di bawah sub-tajuk Sejarah Lengkap Perang Uhud, halaman 568 - 639.

Kata penerbit/penulis, tajuk-tajuk di atas disediakan "dengan gaya bahasa bercerita (dalam bentuk novel) bagi menghilangkan rasa jemu pembaca dan untuk menarik minat khasnya dari kelangan kanak-kanak dan remaja."

3) Kisah Kerasulan Nabi Muhammad SAW (Intisari Dari Sirah) oleh Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni, terbitan al-Hidayah Publishers (ISBN: 983-099-717-0). Rujuk Bab: Perang Badar, halaman 224 - 238.

Sekadar beberapa contoh sahaja.

Mohd Azlan said...

assalamualaikum...
kalaulah ia setaraf hadis pn pnulisan oleh pnulis, sya mngira ianya staraf "dhaif"-lemah...ttapi apakah "dhaif" tdk blh kita beramal?
mlainkan ianya bertaraf palsu, maka kita mnolaknya. apa yg sya ikuti, plotnya msih tdk lari, olahan pnulis tntg penceritaan sjarah dimuatkan dlm bntuk gaya dialog. itu tdk mnjadi mslh.
sgt mrugikn kita mmanjangkan perbincangan, kerana pokoknya buku yg ditulis dlm buku bliau termaktub ddalam sirah/sjarah.slagi tiada unsur khurafat/tahyul yg bercanggah dgn hukum islam, tak perlulah kita mngeraskan pndgn, ia suatu perbincangan yg tiada ksudahan.
sama spt kisah dialog para nabi, pokoknya bkn kita nk nilai dialog, ttapi "iman"-percaya kita kpd berlakunya peristiwa tersebut.


Photobucket
top