Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Salju Sakinah biasa-biasa sahaja. Tidak menampakkan sebuah novel Islami yang cukup baik seperti mana pujian yang diberikan oleh pembaca-pembaca siri novel ini ketika ia disiarkan dalam akhbar Utusan Online.

Terus terang saya katakan bahawa ada ketika saya melangkau dalam pembacaan novel ini. Di separuh jalan pembacaan, saya cuba menyingkirkan rasa bosan, tetapi ia tetap mengejar nubari. Jangkaan saya tersasar dalam menilai isi kandungan Salju Sakinah.


Tarikan utama saya ialah desain kulit depan. Itu sebab awal mengapa saya membelinya. Ternyata juga penerbit PTS amat berjaya mempromosi novel ini sehinggakan kelemahan tidak muncul. Apabila mula membacanya, baru timbul banyak hal-hal yang kurang menarik. Khabarnya terlalu indah, namun rupanya tidak sama padan.


Mungkin saya lelaki, justeru itu pujian melangit oleh pembaca wanita tidak dapat saya benarkan. Memang isi dan isu novel ini biasa-biasa sahaja.


Maaf saudara Zaid Akhtar, saya terpaksa membandingkannya dengan novel Islami lain seperti Ayat-Ayat Cinta, Tunggu Teduh Dulu dan Kuseru Namamu Kekasih. Bandingan Salju Sakinah dengan Ayat-Ayat Cinta, jauh berbeza. Pastinya Ayat-Ayat Cinta jauh terkedepan.


Ciri-ciri wanita sabar, tabah dan tawakal yang dibawa oleh Sumayyah tidak sebanding dengan wanita tabah serta kental dalam Tunggu Teduh Dulu (karya Faisal Tehrani) yang dibawa watak Salsabila Fahim. Plot dan gaya penceritaan Salju Sakinah rapuh, malah ada kalanya bosan.


Pengorbanan Rayyan kerana Allah dan agama Islam, cinta Rayyan kepada Kekasih nan satu diceritakan dengan begitu baik oleh penulis Maya Iris lewat Kuseru Namamu Kekasih. Namun tidak dalam Salju Sakinah. Biasa-biasa sahaja.


Novel remaja Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring, lebih menarik. Ianya merupakan sebuah kisah motivasi. Semangat yang hampir patah dapat dilentur kembali dengan tujuan murni. Demi agama dan negara watak utama mengenepikan segala tohmahan, rintangan dan kegagalan dahulu demi mengejar sebuah kejayaan.


Akhirnya jika dibandingkan dengan novel Tautan Hati oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin, maka Salju Sakinah selangkah ke hadapan.


Salju Sakinah, alahai! Biasa-biasa sahaja.
Jika ingin diberikan bintang, dari 5 saya hanya berikan 2 setengah sahaja. Seorang wanita yang sangat rapat dengan saya juga mengatakan Salju Sakinah tidak seindah kulit depannya.

Untuk penerbit
PTS, di mana laungan perjuangan saudara memartabatkan bahasa Melayu tinggi? Masih banyak kedapatan penggunaan bahasa peringkat rendah di sana-sini, seawal dari halaman tiga! Ianya serupa seperti komen saya untuk novel sains-fiksyen Transgenesis. Andai penerbit lain, saya tidak berapa kisah sangat. Tetapi Salju Sakinah diterbitkan oleh PTS. Justeru kesalahan ini merupakan satu dosa terhadap mazhab perjuangan sendiri.

Salah satu komen pengunjung blog buku saya mengenai buku-buku PTS ialah "Kualiti kulit dan promosi memang top tapi kandungannya banyak yang menyedihkan." Siapa yang bersetuju atau tidak, sila beri pandangan.

7 comments:

Welma La'anda said...

Wah, tersenyum-senyum saya membaca entri ini! :)

Pendapat saya, setiap orang akan memiliki persepsinya tersendiri berdasarkan pengalaman membaca yang dimiliki orang itu. Justeru itu, anggapan untuk sesuatu novel akan menjadi berbeza dari seorang ke seseorang. Baik atau tidak baik sesuatu karya itu adalah subjektif.

Begitu juga Salju Sakinah. Pendapat saya, mungkin ia sangat baik di kalangan pembaca yang baru berjinak-jinak membaca novel islami. Tetapi, mungkin menjadi kurang baik di kalangan orang yang sudah biasa membaca karya novel cinta islami.

Wallahu alam

Web Sutera said...

Alhamdulillah, saya boleh bersetuju dengan pandangan sdr Welma. Ya, persepsi yang berbeza bergantung kepada tahap pendedahan pembacaan seseorang itu, dan mungkin juga jantina.

Namun, justeru kerana persepsi awal saya agak tersasar terhadap Salju Sakinah, maka saya kecewa dengan pendekatan dan teknik narasi sdr Zaid Akhtar.

Ternyata bahawa dengan narasi dan plot yang dicipta oleh penulis yang mendatar, novel Islami ini tidak dapat memujuk jiwa saya untuk turut bersetuju dengan komen muluk-muluk pengulas lain.

Tambahan pula, komen indah dan menggunung itu dipaparkan di kulit belakang dan di permulaan novel. Harapan menggunung untuk melihat Salju Sakinah menyajikan menu terindah agak tersasar.

Walau apapun, saya sangat berharap sdr Zaid tidak berkecil hati. Jadikan komen ikhlas ini sebagai pendorong untuk sebuah novel Islami yang lebih tuntas.

Pastinya perjuangan suci untuk memartabatkan Islam yang syumul melalui sastera bukannya mudah.

Welma La'anda said...

Betul tu Saudara Web. Perjuangan melalui penulisan bukannya mudah. Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang melalui karya kita. Cuma, kalau ada yang mendapat kebaikan melaluinya, alhamdulillah, mudah-mudahan diterima Allah sebagai amal ibadah, manakala jikalau ada yang kurang mendapat kebaikan daripadanya, kita mohon dijauhi daripada kutukan Allah.

Pendekatan dan teknik narasi yang digunakan oleh Ust Zaid, tidak ada masalah bagi saya sejujurnya. Saya suka, kerana seolah-olah ia pandai bermain dengan emosi saya. Betul kata saudara, faktor jantina memainkan peranan. Saya tambah lagi satu, faktor usia dan status perkahwinan. Sedikit sebanyak juga menyumbang.

Cuma, saya tidak cukup puas dengan peribadi tokohnya iaitu Sumayyah. Entahlah, sejujurnya saya masih belum merasakan Sumayyah memiliki peribadi seorang wanita yang boleh saya katakan , "wow". Mungkin hanya sesuai dengan perkataan biasa-biasa.

Walau apa pun, karya tetap karya. Selagi mana ia tidak mengandungi tulisan-tulisan kotor, maka saya sentiasa melabelkan ia sebagai sebuah karya terbaik. Sudah adat dunia, tiada yang sempurna. Oleh kerana itu, selagi hidup, kita sentiasa mencuba memperbaiki kelemahan-kelemahan itu.

Wallahu alam

Web Sutera said...

Sdr Welma,

Semakin menarik perbincangan ini. Alhamdulillah. Saya mencari keindahan dan wacana yang lebih mencabar melalui Salju Sakinah. Itu punca utama kekecewaan saya.

Pandangan boleh berbeza, tetapi matlamat untuk Islam itu merupakan asas maha utama. SUBHANALLAH!

Semoga semarak novel Islami terus menguntum dan mewangi.

Khairi said...

sy xhabis baca SS.

sama macam penulis, sy cuma tertarik dengan cover. tp isi, maaf ckp, mengecewakan iaitu cair sangat.

semoga saya dapat baca habis nanti. :)

Web Sutera said...

Sdr Khairi,

Kalau sudah beli dan mula baca, baik dihabiskan sahaja, walaupun melangkau :-)

nuR-eL said...

jika pada pandangan saya sememangnya salju sakinah biasa2 saja...
jika dibandingkan dengan tautan hati dan lain2 karya fatimah syarha semestinya karya fatimah syarha lebih menyentuh tentang keagamaan dengan lebih mendalam...
itu bg pendapat saya...
apa2 pun karya2 tersebut membuatkan ramai orang berminat untuk mendalami islam...alhamdulillah


Photobucket
top