1 Syaaban 1431 Hijrah - Dalam blog ini, saya pernah menukilkan seseorang itu boleh berdakwah melalui novel atau karya sastera. Berkaitan dengannya, di bawah ini satu pernyataan berkenaan Islam yang merangkumi seluruh bidang kehidupan:
Islam bukan sekadar retorik politik dan alunan lagu. Sesungguhnya dari sekecil-kecil persoalan kopiah dan terompah, Islam telah melingkari pembentukan diri, keluarga, masyarakat, ekonomi, seni, sastera, hiburan, pendidikan, sains, sejarah, falsafah; hinggalah kepada persoalan perundangan, pemerintahan, emosi, dan psikologi.Saya juga pernah katakan bahawa wujud segelintir masyarakat Melayu yang kurang senang dengan kritikan atau karya sastera oleh novelis, penyajak dan penulis buku. Bagi segelintir itu, mereka memberi tanggapan bahawa hasil seni melalui novel, puisi dan buku-buku bukan-fiksyen lebih kepada bagi memperoleh wang semata-mata. Saya amat tidak setuju dengan pandangan, yang saya kira, sempit dan sarat prejudis.
Di bawah ini pula saya salin kembali satu pandangan seorang guru yang saya sanjungi dan hormati dari blog Universiti PTS. InsyaAllah, sama-sama kita fahami.
Buku-buku sejarah berfungsi menceritakan fakta-fakta sejarah. Sebagai contoh, buku sejarah menceritakan faktor-faktor bagaimana tentera Portugis-Kristian akhirnya berjaya mengalahkan tentera Melaka-Islam.
Buku-buku sejarah menerangkan proses dan faktor-faktor yang telah menghasilkan kekalahan Melaka-Islam kepada Portugis-Kristian. Namun, sastera Islamilah yang akan menebus kekalahan itu sehingga umat Islam menjadi umat yang menang.
Justeru sastera Islami tidak boleh memainkan fungsi-fungsi yang serupa dengan fungsi buku-buku sejarah, kerana sastera Islami tidak boleh berfungsi menerangkan realiti sebagaimana adanya. Fungsi sastera Islami adalah mencipta realiti baru bagi menggantikan realiti lama.
Jika Melaka-Islam pernah dikalahkan oleh Portugis-Kristian, sastera Islami tidak boleh meneruskan kekalahan itu. Sastera Islami dikehendaki supaya dengan membaca karya-karya itu umat Islam hari ini bangun semula dan menjadi umat yang menang.
Sastera Islami tidak boleh menggunakan simbol-simbol kekalahan, seperti wajah perempuan Melaka-Islam yang berjaya ditawan, dipasung dan diperkosa oleh lelaki Portugis-Kristian, yang mana dengan membaca simbol-simbol kekalahan dan penghinaan seperti itu, ia mampu menyebabkan bawah-sedar orang Islam yang membaca simbol-simbol itu mengalami kehilangan rasa percaya-diri bahawa dia adalah sebahagian daripada umat yang telah dijanjikan Kemenangan oleh Allah.
Sastera Islami tidaklah demikian sederhana definisinya, sehingga dikatakan asal sahaja dalam karya itu tidak mengandung cerita-cerita picisan, maka karya itu sudah layak diterima sebagai sastera Islami.
Bidadari Paderi: Hanya insan terbaik syahid di jalan Allah
Rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz biasa-biasa saja - Habiburrahman el-Shirazy
Membangunkan bakat-bakat sasterawan-agamawan
0 comments:
Post a Comment