Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

16 Ramadhan 1430H: Aku membelok kereta ke sebelah kanan memasuki pintu masuk Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan. Sebaik kereta diparkir, aku tergesa-gesa keluar menuju ke arah lokasi paip air untuk berwuduk. Usai wuduk, kaki pantas memasuki medan solat sambil menoleh ke sebelah kanan dinding melihat dua orang hamba Allah sedang berbicara perlahan.

Aku tidak menegur mereka berdua kerana waktu Asar sudah hampir santak ke penghujung.
Aku terus mengangkat takbir. Sebaik selesai berdoa, aku terus berdiri ingin keluar pulang ke rumah.

“Assalamualaikum, bang,” tegur salah seorang hamba Allah yang bersandar di tepi dinding tadi.
“Alaikumsalam warahmatullah,” jawab aku ringkas sambil menoleh ke arah mereka.
‘Abang dari mana?,” dia bertanya.
“Saya baru balik dari kerja. Singgah sekejap untuk solat Asar. Sudah lewat, takut tidak sempat tiba di rumah nanti,” jelasku.
“Abang kerja apa?,” soal dia lagi sambil memandang aku.

Aku terus merapati kepada kedua-dua hamba Allah itu dan menghulurkan kedua-dua tangan untuk bersalam. Salam bersambut dengan erat. “Apa hal?”, tanya saya agak kehairanan.

“Kami berdua sudah dua hari tinggal di masjid ini. Kerja tiada. Abang ada apa-apa kerja yang boleh kami buat?’, tanya dia lagi sambil memandang rakan yang agak gempal di sebelah.

“Mengapa saudara berdua tidak bekerja? Saudara dari mana?”, soal aku pantas.
“Nama saya Adi dan kawan saya ini Samad. Kami berdua dari Pulau Pinang. Sudah hampir dua minggu di sini. Sebelum ini kami tinggal di masjid lain. Cari kerja tidak dapat,” jelas Adi sambil memandang tepat ke mukaku. Rakan di sebelah diam membisu.

“Aduhai saudara. Saya pun tiada kerja mahu diberikan. Beginilah. Saya buat bisnes katering. Jika tenaga saudara berdua diperlukan, saya akan beritahu. Bagaimana mahu menghubungi saudara?”, jelas aku sambil menyoal kembali.

“Oh, abang buat bisnes katering. Saya pernah juga ikut orang katering. Ada sedikit pengalamanlah. Abang bagi nombor telefon, nanti saya telefon abang,” balas Adi.
Selajur aku hulurkan kad bisnes kepada dia yang berjanggut pandak itu. ‘Ok Adi, Samad, hubungi saya dalam tempoh dua-tiga hari lagi.”

Aku bangun bertujuan untuk keluar dari masjid. “Bang, boleh beri duit sikit. Kami sudah dua hari tidak makan,” jelas Adi sayu sambil memandang Samad.

Aku terpana, lantas mengambil dompet duit dan menghulurkan dua keping not. “Ikhlas dari saya. Tetapi saudara berdua kena ingat, Rasulullah tidak mengajar supaya meminta sedekah. Saya lihat saudara berdua masih muda dan sihat. Kena berusaha mencari rezeki, bukan hanya berdoa. Saya percaya rezeki kamu berdua ada,” jelas aku.

“Saya juga pernah susah dulu. Alhamdulillah sekarang agak senang. Pegangan saya ialah usaha, doa dan kemudian baru bertawakal. Ingat saudara, hidup ini perjuangan,” aku sedikit berleter.
“Ya, bang. Terima kasih,” balas mereka berdua.
Usai bersalam-salaman, aku bergegas keluar pintu masjid menuju ke tempat kereta diparkir.

Selang dua hari Adi menelefon. “Assalamualaikum, bang. Ini Adi. Ada projek katering?,” tanya Adi ringkas.
“Alaikumsalam, Adi. Katering tiada buat masa ini. Adi telefon saya lain kali, ok,” jawab aku.

Hari terus berlalu.
Selang seminggu, Adi datang ke rumah aku. “Bang, saya sudah dapat kerja, jadi guard di sekolah di Pudu,” katanya.
“Alhamdulillah,” jawab aku pantas.
“Begini, bang. Saya hendak mula kerja, tetapi duit tiada untuk makan dalam tempoh dua minggu ini. Gaji majikan bayar dua minggu sekali. Bila saya dapat gaji nanti, saya bayar balik,” jelas Adi tanpa aku menyoal.
Tanpa banyak soal, aku terus memberi sekeping not RM50.00. “Ini ikhlas dari saya. Semoga dapat membantu.”

Masa terus berlalu. Aku dan isteri sibuk dengan bisnes katering.
“Assalamualaikum, bang. Ini Adi,” kedengaran suara di luar.
“Hah, Adi. Masuklah,” aku membuka pintu dan selajur mempelawa Adi masuk ke rumah.
Aku tidak berapa ingat sudah berapa lama aku tidak bertemu dengannya. Kami berdua berbual sambil meminum air yang isteri aku sediakan. Sepiring biskut juga ada. Adi bercerita lagi, itu dan ini. Pasal keluarga, kerja dan anak.
“Jadi saya hendak minta bantuan sedikit dari abang, kalau boleh. Mahu minta duit untuk ke Kelantan menjengok anak di sana,” jelas Adi sambil menunduk.
Tanpa banyak soal, aku terus memberinya sejumlah wang untuk tambang bas dan belanja makan dalam perjalanan.

Selang beberapa bulan, Adi muncul lagi. Bercerita masalah dan meminta duit lagi. Aku beri lagi tanpa banyak soal.

Dan akhirnya pada suatu petang aku tergesa-gesa parkir kereta dalam garaj (ruang depan rumah) dan bergegas masuk ke dalam rumah dengan hajat untuk segera ke bilik air bagi berwuduk.
“Assalamualaikum,” kedengaran suara memberi salam. Sambil menjawab salam kesejahteraan itu, langkah kaki terhenti, lantas berpusing balik ke hadapan. Sambil merungut, aku membuka pintu.
“Adi, bang,” kata Adi pantas tanpa sempat aku menyoal.
“Hah! Adi. Apahal?”, aku bertanya ringkas.
“Maaf, bang, saya menganggu. Saya mahu minta bantuan sikit....”.

“Kejap, Adi. Hang datang silap waktu. Aku penat dan belum solat Asar lagi. Hang kalau datang mesti mahu minta duit! Mengapa, Adi? Asal datang rumah aku, minta duit.! Rasulullah tidak pernah ajar umat dia minta sedekah memanjang. Kita kena berusaha,” leter aku dalam loghat utara.

“Kan aku sudah cakap dulu; usaha, doa dan tawakal. Usaha, doa dan tawakal. Rezeki tidak datang bergolek! Aku letih. Kali ini aku tidak boleh bantu. Yang aku beri dahulu, aku sudah halalkan. Hang jangan risau.”

“Baik hang pi balik sekarang. Hang pi balik! Bukan ini ajaran Nabi Muhammad. Hang kan aku nampak alim juga. Hang tidak fahamkah!? Ingat, Adi. Usaha, doa dan tawakal. Hang pi balik!”, ujar aku berang.
Adi menunduk dan lantas berlalu.

Sahabat, salahkah aku kerana bertindak begitu? (Nota: Adi dan Samad bukan nama sebenar)

(Gambar: Nelayan sedang menjual tangkapan di satu lokasi pantai di sempadan Besut-Setiu, Terengganu)
15 Ramadhan 1430H: Walaupun dipertikaikan, kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai ketua polis negara dilanjutkan setahun lagi sehingga 12 September tahun depan. Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam semalam.

Mahmood berkata lanjutan kontrak itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat perdana menteri dengan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tahniahlah Tan Sri Musa. Kerjalah lagi, Tan Sri. Saya sebagai rakyat biasa tiada upaya untuk berkata apa. Tahniahlah dan teruskanlah BERKUASA! Walaupun banyak bantahan, kerajaan Malaysia terus pekakkan telinga!

Bantahan yang dikemukakan bukan setakat omong kosong tanpa maklumat yang berautoriti. Namun rakyat sudah maklum bahawa banyak agensi kerajaan seperti PDRM dan SPRM memang cekap bila aduan melibatkan bukan ‘orang dia’. Jadi salahkah jika rakyat membuat kesimpulan bahawa PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan dan pendakwaan terpilih?

Dalam hal berkaitan, ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar mencadangkan satu penstrukturan semula dibuat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pembersihan ke atas semua anggota yang didakwa terlibat dengan kumpulan kongsi gelap seperti yang pernah didakwa.

Beliau turut mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat segala dakwaan yang membabitkan Ketua Polis Negara (Tan Sri) Musa Hassan sendiri. Penubuhan suruhanjaya berkenaan penting ujarnya kerana pihak polis sendiri tidak berupaya menyiasat kes membabitkan pasukan polis dengan kumpulan kongsi gelap.

Mahfuz juga yakin masih ramai calon yang layak menggantikan tempat Musa sebagai Ketua Polis Negara. "Saya percaya sudah tentu ada calon yang terbaik dalam negara kita dan itu kita serah kepada Yang Dipertuan Agong untuk mempertimbang calon-calon di kalangan pegawai polis yang mempunyai integriti yang tinggi," katanya.

Pada 2007, Musa Hassan didakwa terbabit menerima suapan sebanyak RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gangster. Blogger Raja Petra Kamaruddin dalam blognya Malaysia Today Sabtu lalu pula menyiarkan akuan bersumpah yang didakwa dibuat seorang pegawai polis yang pernah menjadi pembantu peribadi Musa.

Antara dakwaan pegawai polis itu, Musa membiarkan penjenayah memanipulasi kenaikan pangkat anggota polis dan jawatan mereka. Beliau juga mendakwa diarahkan untuk menyelaraskan arahan mengenai pangkat dan jawatan para pegawai polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh (ketua sindiket) BK Tan.

Musa juga dituduh mengarahkan supaya diwujudkan blog tanpa nama pemiliknya untuk menuduh timbalan menteri dalam negeri ketika itu Datuk Mohd Johari Baharum menerima rasuah RM5.5 juta daripada tiga kepala penjenayah.

Sementara Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat pula merancang menyerahkan memorandum membantah penyambungan kontrak Musa kepada menteri berkenaan hari ini. Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyerahkan memorandum itu di Putrajaya jam 2.30 petang, 4 September 2009.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Keadilan Rakyat Badrul Hisham Shahrin berkata tindakan menyambung kontrak Musa disebalik tuduhan terbabit dalam sindiket kongsi gelap, pemalsuan bahan bukti serta kegagalan mencantas indeks jenayah kebangsaan adalah amat memalukan.

Ini adalah kali kedua perkhidmatan Musa dilanjutkan. Kali pertama adalah semasa di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada September 2007.

“Bagaimana terdapat koleksi akuan bersumpah bukan sahaja dari orang awam tetapi anggota PDRM sendiri yang mengaitkan Musa dengan kegiatan kongsi gelap dan ia lebih memarahkan lagi dalam keadaan negara berdepan dengan indeks kadar jenayah negara yang semakin meningkat. Bermakna amat diragui intergritinya,” jelas Badrul.

Badrul turut menyifatkan hari ini sebagai hari malang bagi negara dengan pengumuman penyambungan kontrak Musa yang merupakan Ketua Polis Negara paling bermasalah.

“Musa ini bukan sahaja diragui lantikannya, bahkan umum percaya bahwa beliau dilantik pada peringkat awalnya hasil daripada kesungguhan beliau memalsukan bukti dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini telah dibuktikan dan disebut tetapi tidak dicabar pembuktian tersebut,” katanya.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Mohammad Sabu berasa hairan kerana penyambungan kontrak itu kerana Musa mempunyai prestasi buruk dalam mengendalikan pasukan polis. Menurutnya, ramai lagi anggota polis yang lebih layak untuk dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

“Kita amat tidak senang dengan tindakan perdana menteri yang menyambung khidmat ketua polis seperti ini walhal kita boleh mengambil mana-mana pemimpin polis lebih berwibawa. Kalau mahu yang berwibawa tentu ada, tetapi Najib mungkin perlu ketua polis seperti ini untuk menjaga Umno dan Barisan Nasional,” kata Mohammad Sabu.

Untuk melihat video sidang media Mahfuz Omar berkenaan integriti Tan Sri Musa, sila klik di sini.
13 Ramadhan 1430H: Merujuk kepada apa yang telah dan sedang terjadi di Perak, saya pernah menulis komen pendek di blog ini bertarikh 12 Mei 2009. Begini:
Akhbar-akhbar internet melaporkan bahawa krisis politik Perak tidak nampak jalan keluar dalam masa terdekat apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exco Pakatan Rakyat mengosongkan pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan kurang lapan jam setelah melapurkan diri untuk bertugas semula.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tingggi semalam.


Setakat hari ini baru ditangguhkan keputusan. Dalam entri berkaitan, semalam saya sudah katakan bahawa jika UMNO / BN merayu dan katakanlah menang kes, jadi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan menjadi menteri besar semula. Lepas itu apa sudahnya? Pakatan Rakyat akan lawan balik di mahkamah. Seterus dan seterusnya, seterusnya…


Ada juga laporan mengatakan bahawa wartawan media pun sudah naik jelak dengan perkembangan di Perak. BOSAN!


Aduhai, tiada penyelesaian konkrit. Sudahlah! BUBARKAN DUN sahaja. Rakyat Perak akan tentukan siapa yang layak memerintah. Saya cukup yakin, insyaAllah, dengan doa-doa rakyat Perak dan Malaysia, Pakatan Rakyat bakal memenanginya dengan majoriti dua pertiga. Beranikah Datuk Seri Najib Tun Razak?


Rakyat tidak akan lupa betapa rakusnya dan gila kuasanya UMNO / BN. Bukan ingin membantu rakyat, tetapi hanya tamakkan kuasa dan wang ringgit! Baca penuh di sini.
Tahukah rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Selangor bahawa PM Najib kini dalam proses senyap-senyap ingin merampas Selangor pula? Kudeta lagi!

Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pengerusi perhubungan Umno Perak, BN berjaya melaksanakan kudeta ganas bagi pemerintahan negeri itu dari tangan Pakatan Rakyat. Ia menjadi kenyataan apabila tiga ADUN Pakatan Rakyat (PR) ketika itu - dua dari PKR dan seorang dari DAP - bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.


Apabila Umno melakukan rombakan kepimpinan peringkat negeri pada 24 April lalu, Najib mengambil alih pula jawatan pengerusi Umno Selangor.
"Jika kita masih ingat apa yang berlaku di Perak, maka kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa Selangor adalah sasaran Najib seterusnya. Beliau berjanji akan merampas semula Selangor, dan beliau mungkin dapat melakukannya," kata pensyarah antropologi dan sains sosial Universiti Malaya, Noor Sulastry Yurni Ahmad, dipetik oleh Malaysiakini.

Dikhabarkan oleh laporan Malaysiakini bahawa ADUN Pelabuhan Klang dari PKR, Badrul Hisham Abdullah kini tidak dapat dikesan. (Berkaitan ADUN ini, klik di sini)


Sepertimana yang berlaku di Perak, ADUN terbabit pada kebiasaannya 'hilang' sebelum muncul semula untuk mengumumkan mereka telah keluar parti. Inilah yang berlaku dalam kes kudeta di Perak. Dengan mengambil kira 'kehilangan' Badrul Hisham dalam kes ini, nampaknya usaha untuk menumbangkan kerajaan PR Selangor mungkin sudah lama berjalan.


Dalam perkembangan berkaitan mantan menteri besar, Khir Toyo berkata bahawa kononnya kerajaan PR gagal menyelesaikan masalah rakyat (merujuk kepada kes kepala lembu, baca di sini/video) dan ‘akan tumbang kerana kelemahan ini.’ AWAS! Jika benar Badrul Hisham sudah hilang, maka UMNO/BN kini mengganas di Selangor! Pertahankan mandat rakyat. Kudeta intro!


Rujukan
: PM's promise: Target Selangor


Itu di Perak dan Selangor. Ok, saya juga sama sekali tidak bersetuju dengan ura-ura proses yang sama dikatakan sedang berkocak di negeri kelahiran saya Terengganu Darul Iman. Laman berita Malaysiakini melaporkan bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu, tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.


Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad dipetik Malaysiakini mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan. (Berita penuh di sini)


Kudeta dalam apa rupa paras pun merupakan suatu fenomena jijik lagi busuk. Untuk kes Perak, justeru pilihanraya semula menjadi upaya terbaik. Di Selangor, sudah-sudahlah PM Najib. Tunggu pilihanraya umum ke-13 nanti jika Datuk Seri ingin melihat sama ada rakyat Selangor menyokong UMNO/BN.


Untuk kes Terengganu, sabar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangan gelojoh!


(Kudeta bermaksud mengambil alih kekuasaan negara/negeri/pemerintahan dengan kekerasan atau tidak mengikuti perlembangan/undang-undang)
12 Ramadhan 1430H: Tujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan sesuatu buku, majalah ataupun akhbar adalah bagi menyekat bahan-bahan itu daripada sampai ke tangan orang ramai supaya isi kandungannya tidak mereka baca.

Namun, pengharaman dapat meningkatkan permintaan bagi bahan-bahan itu. Ini disebabkan apabila bahan itu diharamkan, peristiwa itu menjadi berita, maka semua orang mendapat tahu tentang kewujudan bahan itu.


Itulah yang berlaku dengan pengharaman majalah Gedung Kartun baru-baru ini. Tuan Zunar mendapat liputan yang sangat baik akibat tindakan KDN mengharamkan majalah terbitan beliau itu.


Nilai promosi percuma yang beliau peroleh daripada pengharaman tersebut sukar dikira. Jika beliau terpaksa mengeluarkan bajet promosi secara konvensional, entah berapa juta ringgit yang diperlukan bagi mendapatkan liputan sebaik itu.


Langkah mengharamkan sesuatu bahan terbitan adalah ibarat pedang dua mata -- dihayunkan ke kanan pun ia dapat melukai, dihayunkan ke kiri pun ia dapat melukai.

Apabila bahan yang diharamkan itu terbukti mempunyai permintaan yang tinggi, maka sistem pasaran gelap akan mula beroperasi dengan pantas sekali.

Dengan tiba-tiba sahaja akan muncul pencetakrompak yang dalam masa sahari semalam mereka dapat mencetakrompak bahan itu dan mengedarkannya dalam pasaran gelap! Pasaran gelap adalah pasaran yang sangat efisien proses pengeluaran dan pengedarannya. Tiba-tiba sahaja bahan yang diharamkan itu nanti dapat dibeli di mana-mana di seluruh negara.

Lihat sahaja betapa pantas dan efisiennya gerak kerja pasaran gelap buku cetak rompak sebagaimana yang pernah berlaku pada novel SHIT karya Shahnon Ahmad.

(Sumber: Universiti Terbuka PTS – UNIKA)


Berkaitan:
Altantuya: KDN serbu pejabat majalah Zunar kerana karikatur Najib kibar bendera Mongolia
Najib Caricature/Altantuya: Problematic licensing laws hampers distribution

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top