Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

10 Zulhijjah 1431H - Exco Selangor merangkap ADUN Chempaka menulis dalam blognya berkenaan perlunya penguasaan bahasa Inggeris bagi pelajar Islam-Melayu. Beliau merujuk kepada program hari Ihtifal Pasti Pandan pada 14 November 2010.

“Saya percaya PASTI perlu respon kepada cabaran masa kini. Tidak memadai kita berkata kami tidak boleh mengajar anak-anak anda fasih berbahasa Inggeris tetapi kami boleh memastikan anak-anak anda mempunyai akhlak Islam yang baik. Tetapi kita perlu tawarkan kedua-duanya. Kita perlu siapkan anak-anak kita untuk berhadapan dengan dunia yang tanpa sempadan,” kata beliau.


Ini bukan pula bermakna mengajar subjek Matematik dan Sains dengan menggunakan medium bahasa Inggeris. Tetapi subjek bahasa Inggeris perlu diberi penekanan dalam memahami bahasa tersebut. Dari sudut kosa kata dan nahu bahasa Inggeris, apa yang perlu ialah lebih masa pembelajaran. Salah satu kaedah ialah banyak membaca.

Dalam masa yang sama, PASTI jangan mengambil kaedah kerajaan UMNO-BN yang pekak bahasa itu! Setuju dengan saranan saudara Iskandar Abdul Samad ini. Saya menyintai bahasa Melayu, tetapi tidak membenci bahasa Inggeris.

Berkaitan:
Saya menentang PPSMI tetapi tidak membenci bahasa Inggeris
PPSMI dan UMNO: Nurturing of language is nurturing of culture
PPSMI dianggap
gagal – Datuk Dr Anwar
Jadi ulat buku pun tidak digalakkan?


Sejarah PASTI

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan
prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama Tadika Islam.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Namun di sana terdapat sesuatu yang menarik daripada segi pengasasan, pengolahan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Suasana di mana berlakunya persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas negeri masing-masing. Pada tahun 1988 hasil daripada penyelarasan semula, semua TASKI dikelolakan oleh ahli-ahli PAS. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan PASTI.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dbentangkan iaitu “Struktur Organisasi dan Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan “Penyelarsan Manhaj Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama saudara Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahya sebagai sebagai Timbalan Ketua Pengarah, saudara Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan saudara Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negari sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
(Sumber: PASTI Johor)

1 comments:

Abang Long said...

Inilah laluan yang betul. Kita mesti mendewakan Bahasa IBU kita. Tetapi dalam waktu yang sama, kita menguasai lain - lain bahasa.


Photobucket
top