Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Brand PTS semakin mengancam sejak dua tahun kebelakangan ini. Terus terang saya katakan bahawa untuk beberapa bulan terakhir ini, saya saban bulan pasti memiliki buku-buku PTS, sama ada fiksyen atau non-fiksyen. PTS sudah berjaya menambat hati saya dengan buku-buku yang bermutu.

Untuk anak-anak, antara minat mereka ialah komik terbitan PTS dan buku/fiksyen untuk remaja/pelajar sekolah. Justeru itu tiga orang anak saya sering bertanya “ada buku untuk Kak Long, Nabil atau Umairah” tatkala melihat saya membimbit karung plastik kedai buku pulang ke rumah.


Kadang-kadang terasa PTS menyusahkan saya pula. Apa tidaknya, bukan Oktober dan November tahun ini sahaja, saban minggu saya membeli buku terbitan PTS. Aduhai! Mujur rezeki anugerah Allah agak murah. Alhamdulillah.


Cumanya PTS MESTI menjadi champion kepada bahasa Melayu tinggi. Kedapatan masih banyak lagi buku PTS tidak menggunakannya secara menyeluruh.


Buku terkini yang saya selesai membacanya ialah novel terjemahan The Broker oleh penulis John Grisham. Mutu terjemahan memang baik, walaupun masih wujud di sana sini bau-bauan nahu bahasa Inggeris.


Kekecewaan saya sangat meningkat (dalam darjah yang tinggi!) apabila saya menjumpai di banyak tempat penggunaan perkataan kontot. Itu belum termasuk lagi kesilapan ejaan atau typo error.


Untuk para editor PTS, ini pesan saya: “Jangan jadikan ajaran Puan Ainon sekadar bagai melepas batuk di tangga sahaja.”
Praktik dan amalkan dalam proses penyuntingan.

Semasa resensi novel Islami Salju Sakinah saya katakan bahawa:
Untuk penerbit PTS, di mana laungan perjuangan saudara memartabatkan bahasa Melayu tinggi? Masih banyak kedapatan penggunaan bahasa peringkat rendah di sana-sini, seawal dari halaman tiga! Ianya serupa seperti komen saya untuk novel sains-fiksyen Transgenesis. Andai penerbit lain, saya tidak berapa kisah sangat. Tetapi Salju Sakinah diterbitkan oleh PTS. Justeru kesalahan ini merupakan satu dosa terhadap mazhab perjuangan sendiri.

3 comments:

Web Sutera said...

Tambahan. Sebab utama saya membeli novel terjemahan PTS ini ialah:

1) Direkemenkan oleh sdr Ramlee Awang Murshid, novelis thriller. Dia kata terjemahan okey.

2) Kerana diterbitkan oleh PTS. Jika diterbitkan oleh DBP atau penerbit lain, saya tidak akan membelinya. Novel terjemahan DBP lagi teruk. Macam hampas!

sue onn said...

salam abg web..Sue baru habis baca The Last Juror.Boleh tahanlah untuk isi masa dari terbuang begitu sahaja.The Broker jalan ceritanya menarik tak?

Web Sutera said...

Sue, secara jujur saya tidak berapa teringin untuk membaca fiksyen oleh John Grisham dalam bahasa Inggeris. Saya berfikiran bahawa novel Grisham tidak begitu menepati citarasa saya.

Namun seperti yang saya katakan dalam entri ini, justeru disebabkan oleh Ramlee Awang Murshid, maka saya membeli novel terjemahan bahasa Melayu ini.

Agak menarik jalan ceritanya, walaupun ianya tidak mencapai tahap thriller yang saya harapkan.

Jika saudara Sue meminati aspek sejarah, maka dalam The Broker sejarah Bologna, Itali diperikan secara terperinci. Saudara boleh 'melihat' setiap lorong yang dilalui oleh watak utama. Penerangan yang amat baik oleh penulis.

Unsur thriller agak kurang dalam novel ini. Kurang suspen.Pengakhiran juga agak kabur.

Mutu terjemahan memang baik, insyaAllah.


Photobucket
top