Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Dalam satu perjalanan pulang ke rumah dari satu perbincangan katering kahwin di Putrajaya, saya singgah sebentar di pusat membeli belah Mines, Seri Kembangan. Tujuan hanya satu iaitu mengunjungi toko buku Indonesia, Gramedia.

Saya sudah membayangkan akan banyaknya buku-buku terbitan Indonesia di toko buku tersebut. Ah! Telahan saya amat meleset. Malah judul buku-buku bahasa Inggeris pula yang banyak yang harganya relatif mahal.


Saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa demikian rupanya toko buku Gramedia ini? Menjual banyak buku dan fiksyen bahasa Inggeris merupakan satu tindakan yang tidak bijak. Mengapa saya simpulkan demikian? Kerana sudah banyak rangkaian kedai buku seperti MPH, Borders dan Popular yang berbuat demikian. Dengan harga buku import berbahasa Inggeris yang secara umumnya berkitar pada harga RM33.00 lebih, pastinya Gramedia akan menemui kegagalan dari sudut ini.


Saya ke toko buku Gramedia untuk meneliti dan membeli buku-buku terbitan Indonesia, terutamanya fiksyen. Namun amat mengecewakan sekali. Kalau saya mahu dapatkan buku dan fiksyen berbahasa Inggeris, saya akan mendapatkannya di jualan Popular, Payless Books dan di kedai buku BookXcess. Di ketiga-tiga kedai buku ini atau semasa jualan gudang/murah, harga buku-buku bahasa Inggeris sangat murah.

Saya berani membuat telahan bahawa seandainya rangkaian Gramedia meneruskan strategi memberikan ruang yang luas kepada buku dan fiksyen bahasa Inggeris, dan dalam masa yang sama mengabaikan buku-buku Indonesia, mereka akan gagal.


Dari blog Universiti PTS, maklumat ini saya peroleh:

Gramedia adalah sebuah syarikat media gergasi di Indonesia. Ia memiliki stesen TV, stesen-stesen radio, menerbitkan akhbar Kompas (akhbar terbesar di Indonesia), menerbitkan 46 majalah, dan setiap tahun menerbitkan 3,000 judul buku yang dihasilkan oleh 7 buah anak syarikat penerbitan.

Gramedia juga memiliki percetakan termoden dan jumlah rangkaian kedai buku paling banyak di seluruh Indonesia. Apabila mula beroperasi nanti, kedai-kedai buku Gramedia akan menjual 60% judul buku Melayu terbitan tempatan, 10% judul terlaris dari Indonesia, 10% judul Cina, 10% judul popular Inggeris dan 10% alat tulis.


Rancangan pembukaan 10 cawangannya di Malaysia menghadapi masalah kesukaran mendapatkan ruang untuk disewa dalam mall-mall ataupun shopping complex kerana Gramedia mahukan paling minimum ruang seluas 20 ribu kaki persegi.
Saya kutip “10% judul popular Inggeris” yang akan dijual oleh Gramedia di Malaysia. Dari pengamatan saya di toko buku Gramedia di Mines, ianya lebih dari 10%, malah pada hemat saya, ianya merangkumi lebih kurang 20%. Saya kira Gramedia mesti perbanyakkan buku-buku bahasa Indonesia dan kurangkan judul bahasa Inggeris sekitar 5% sahaja.

Di Gramedia Mines tersebut, saya membeli novel Pramoedya Ananta Toer berjudul Rumah Kaca. Ya, hanya sebuah. Mulanya ingat mahu borong.

Mengapa rangkaian kedai buku Times dan Kinokuniya hanya tinggal satu sahaja di Kuala Lumpur dan Selangor? Kerana dahulu mereka fokuskan kepada judul-judul bahasa Inggeris! Saya tidak hairan sekiranya dalam tempoh masa terdekat ini, Borders juga akan merasai kesan penolakan pembeli Malaysia. Banyak tindakan Borders, termasuk meminggirkan judul bahasa Melayu, merupakan elemen penjajahan secara tidak langsung oleh rangkaian kedai buku Amerika tersebut!

5 comments:

mudin001 said...

Akhi, saya belum menjejak kaki lagi ke toko buku tersebut, walaupun sudah lama menyimpan hasrat. Banyak tak buku-buku Pak Pram di sana?

Web Sutera said...

Dey akhi sahabat ambo, assalamualaikum. Keseluruhannya mengecewekan bagi ambo. Buku-buku Pak Pram kalau tak salah ada 4 atau 5 judul. Masih sikit andai dibandingkan dengan banyak karya beliau yang boleh dijual di sini. Setuju?

mudin001 said...

Yep. Nanti ambo singgoh sano sekali tengok!

Anonymous said...

Tuan,

Rumah Kaca adalah novel ke 4 dan terakhir dalam Tetralogi Buru.

Perlu baca 3 buku terawalnya dulu.

-tokey-

Web Sutera said...

Assalamualaikum, sdr. Tokey. Terima kasih atas info yang diberikan. Alamak! Nampak gaya memang kena cari, beli dan baca 3 siri terdahulu. Boleh bagi info di mana saya boleh dapatkan buku-buku tersebut? Kedai buku Gramedia?


Photobucket
top