Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

1 Jamadilawal 1432H - Alhamdulillah. Saya mendapat berita gembira pagi ini. Buku Buat Duit dengan Katering terbitan PTS Professional Sdn. Bhd. dijual sebanyak 1,096 naskah untuk bulan Mac 2011. Dari senarai 75 buah Judul PTS yang Terjual Lebih 1000 Naskhah pada Bulan Mac 2011, buku ini menduduki tangga ke-63.

Terima kasih diucapkan kepada tuan dan puan yang membeli buku kecil ini. Semoga bermanfaat sebagai sumber rujukan, motivasi dan bahan bacaan di masa terluang.

Buku Buat Duit dengan Katering ini siap dicetak pada minggu terakhir Februari 2011 dan mula memasuki pasaran pada awal Mac. Syukur dan tahniah untuk rakan penulis saya, Tuan Imran Yusuf.

Berkaitan:
Testimoni buku Buat Duit dengan Katering oleh Tuan MBA
Biodata penulis buku Buat Duit dengan Katering
Buku Buat Duit dengan Katering: Berdasarkan pengalaman sebenar


P/s: Novel sejarah Laksamana Cheng Ho garapan Tuan Imran Yusuf lagi ganas. Ia menduduki tangga ke-17 terjual sebanyak 1,985 naskah. Novel ini diedarkan selepas Buat Duit dengan Katering. Tahniah!

Berkaitan lagi: Buat Duit dengan Katering 200 Top Seller


27 Rabiulakhir 1432H - Menanti penuh debar, mari saksikan sebuah video promo dari gambaran visual penulis sendiri iaitu Tuan Ramlee Awang Murshid. Semoga tuan dan puan penggemar novel thriller penulis mapan ini semakin teruja. Nantikan penghujung April 2011 ini, insyaAllah.

Sutera Bidadari telah saya noktahkan kisahnya pada 14 Februari 2011. Cerita ini merupakan lanjutan novel Cinta Sufi. Manuskrip Sutera Bidadari telah pun saya hantar ke pihak editorial Alaf 21 pada 16 Februari. InsyaALLAH, Laksamana Sunan akan menjengah pasaran pada bulan April ini sempena Pesta Buku Antarabangsa (Kuala Lumpur 2011 - WS)

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi atas anugerah serta kurnia ilham, idea, kekuatan minda dan fizikal, kesabaran serta keyakinan.


Sebenarnya ilham untuk menterjemahkan idea ini ke bentuk naskah diraih menerusi doa yang dipohon tanpa henti-henti. Maka yang mengalir dari minda itu adalah anugerah dan yang terbaik kurnia ALLAH. Apabila cerita ini sangat menyentuh hujung hati maka segala puji-pujian hanya layak untuk ALLAH. Andai sebaliknya, itu adalah ketidak sempurnaan saya selaku makhluk.


Baiklah. Mari kita bercerita mengenai Sutera Bidadari serba ringkas. Cerita ini terbahagi kepada empat kisah yang saling terkait antara satu sama lain. Saifudin @ Laksamana Sunan tetap menjadi tunjang utama pengisahan ini. Tiga lagi menceritakan tentang Taghut yang menyusuri asal-usul apabila telah lenyap kesaktiannya.


Dilanjutkan lagi mengenai Sang Dewi yang mendiami negeri Inderapuri dalam lingkaran Hindi, yang tanpa jemu menyeru Saifudin agar mampir ke sebuah belantara nan luas. Sang Dewi merupakan makhluk sumpahan. Dan akhirnya dibentangkan pula cerita tentang Saifullah di abad ke-21 yang dikenali sebagai pewaris khazanah Maryam – menjejaki Catatan Maryam dan Keris Nanggroe yang telah dicuri oleh Elizabeth.


Pada tahun 1511 – Saifudin bersama Panglima Awang Bagan, Maryam, Luna, Sadik dan anak keponakan arwah Djailuh yang bernama Abdol Rohman telah melakukan pelayaran ke Negeri Atas Angin untuk memburu si Taghut durjana. Semasa mengharungi pengembaraan inilah banyak pancaroba yang terpaksa dihadapi sehingga hampir-hampir melumpuhkan kudrat Saifudin.


Dalam Sutera Bidadari banyak watak utama yang dimatikan dengan bersebab. Watak hero tidak selama-lama bertahan kerana mati itu pasti, hidup insyaALLAH. Bagaimana pun muncul pula watak hero pada abad ke-21. Sebenarnya inilah kelazimannya rentetan perjuangan yang benar-benar mengharapkan keredhaan ALLAH TA’ALLA. Sementara watak Haryani pula menjadi watak undangan sahaja dalam Sutera Bidadari.


Seperti novel-novel saya yang terdahulu, banyak kejutan bersifat saspens terbentuk dalam Sutera Bidadari. Bahkan kali ini turut membentur emosi kerana jiwa dan fikiran itu saling sealiran dalam menghadapi erti kehidupan. Maka itu bukan kejayaan kita sebenarnya apabila meraih sebarang kesuksesan dalam merealisasikan penghidupan ini melainkan dengan hanya izin ALLAH semata-mata. Sebab itu, pujilah ALLAH dan kita tidak akan kehilangan jiwa.


Sutera Bidadari tidak ketinggalan dihiasi dengan cinta kerana rasa hati itu sangat membahagiakan sesiapa sahaja. Selamat membaca Sutera Bidadari kelak dan sabarlah menunggu Sunan anda kembali ke minda kita semua. Yang baik adalah teladan untuk kita. Yang buruk kita jadikan batasan agar kita tidak tergelincir dengan permainan dunia ini yang sangat bijak berdusta.


InsyaALLAH jumpa lagi dalam...
FIKSYEN 302!

** Kredit khas untuk Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC).

Berkaitan:
Membaca Cinta Sufi dan Syaakur Pejuang Dua Dunia di sesi katering
Novelis Ramlee membuka belantara thriller-fantasi-Islami bahasa Melayu

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top