23 Rejab 1432H - Hujan mulai turun hari demi hari menandakan musim tengkujuh mendatangi sekali lagi di daerah Besut dan sebahagian besar bumi Kelantan dan Terengganu. Di saat hujan renyai-renyai dan kadang kala lebat sedikit saya turun ke bawah rumah melihat selonggok pelampung (atau lampung) yang sudah beberapa hari tidak digunakan. Waktu masih pagi lagi sekitar jam 10.00, namun matahari tidak kelihatan lantaran dilindungi sang awan yang mencurahkan hujan membasahi bumi Tuhan.
Pelampung atau lampung ialah nama atau istilah yang digunakan oleh penduduk kampung di daerah Besut, Terengganu bagi sejenis alat untuk memancing atau menangkap ikan menggunakan tali nailon dan mata kail. Lampung dibuat daripada isi dalam yang diperoleh daripada pelepah pokok sagu atau rumbia yang dikopek kulitnya, kemudian dipotong lebih kurang empat inci setiap satu.
Potongan isi dalam pelepah pokok rumbia itu kemudiannya dililit dengan tali nailon yang sudah dilekatkan mata kail di hujungnya. Mata kail dicangkukkan ke potongan isi pelepah bagi memudahkan penyimpanan supaya tali nailon dan mata kail tidak saling bersimpul. Lampung bersesuaian dengan namanya memang terapung di atas permukaan air.
Selepas itu saya memasukkan beberapa puluh lampung ke dalam sebuah besin besi sambil membilang jumlahnya. Kemudian saya mengambil cangkul dan pergi ke satu kawasan berumput yang saya pasti ada cacing gelang. Saya gali tanah dan mengutip cacing yang meluik lintuk ingin melepaskan diri ke dalam satu tin susu yang berisi tanah secukupnya. Ini penting bagi mempastikan agar cacing itu tidak lari keluar dari tin tersebut. Saya tidak geli memegang badan cacing yang licin dan berlendir itu. Sudah biasa.
Apabila saya yakin bahawa bekalan cacing itu mencukupi sebagai umpan, saya segera mengambil besin besi berisi lampung untuk ke alor (sungai) tidak berapa jauh dari rumah Mak Teh. Alor tersebut terletak di seberang petak persawahan penduduk kampung.
“Kamu mahu ke mana, Din?” laung Mak Teh sebaik melihat saya menjunjung besin besi itu di atas kepala.
“Ambo (saya) mahu ke alor di depan itu, mahu menahan lampung,” saya menjawab sambil tersengih.
“Alahai budak ini! Mana ada ikan makan umpan dalam keadaan hujan begini,” ujar Mak Teh.
“Tidak mengapa, Mak Teh. Ambo mahu cuba dahulu,” jawab saya. Degil.
Lalu saya melangkah kaki meniti batas-batas sawah padi yang kebasahan dan licin. Payung tidak digunakan kerana sudah biasa berhujan. Saya berkain batik sahaja dengan sehelai baju usang.
Sebaik sahaja saya tiba di tepian alor tersebut, saya meletakkan besin dan terus mengambil lampung satu demi satu. Mata kail ditanggalkan dari cangkuknya. Seekor demi seekor cacing gelang saya cangkukkan ke mata kail. Sekiranya seekor cacing gelang itu panjang dan besar sedikit, saya akan potong jadi dua atau tiga kerat.
Saya leka dalam hujan yang mulai lebat sedikit. Saya tidak hiraukan keadaan itu. Satu demi satu lampung saya letakkan di celah-celah rumput di tepi alor. Saya gagau dan korek rerumput di dalam air, dan mempastikan tanah dicecah dengan jemari tangan sebelum mata kail berumpan cacing gelang tadi diletakkan. Habis semua lampung diletakkan (ditahan) di sepanjang tepian alor. Saya mengharapkan ikan keli atau haruan memakan umpan cacing gelang segar tersebut.
Saya kembali ke rumah Mak Teh. Berehat sambil mendengar radio. Ubi kayu rebus yang disediakan Mak Teh dijamah berselera dengan isi kelapa parut bergaram. Memang menyelerakan makan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut ketika hujan. Ikan kering masin pun ada juga.
Usai solat Asar, saya ke alor sekali lagi. Sudah beberapa jam berlalu semenjak lampung diletakkan di tepian alor. Hujan mulai lebat. Baruh mula digenangi air. Di sepanjang perjalanan merentasi batas-batas baruh, hati saya saling bertingkah. Dapat ikankah? Umpan cacing dimakan ikankah?
Sebaik tiba di alor, saya melihat air mulai naik. Rerumput yang sebelumnya nampak, kini sudah hilang ditenggelami air. Saya tidak panik. Saya melihat beberapa lampung sudah berada ke tengah alor, mungkin diheret oleh ikan ataupun hanyut ketika air pasang. Ada beberapa lampung lesap! Masih ada juga yang kekal di lokasi asal di tepi alor, namun air alor sudah melimpah ke daratan berumput dan berselut.
Satu lampung berdekatan saya angkat. Ikan keli menggelepar. Satu lagi saya kutip, ikan haruan menggelepar. Satu demi satu saya kutip dan dimasukkan ke dalam besen. Ada yang umpan cacingnya masih melekat, ada yang sudah dimakan ikan, tetapi ikan tidak tersangkut di mata kail. Kemudian saya berenang ke tengah alor untuk mengutip lampung yang hanyut ke tengah. Kesemuanya tersangkut sama ada ikan keli atau haruan. Besar-besar belaka. Sekujur tubuh kesejukan lantaran hujan lebat dan tiupan angin.
Alhamdulillah! Saya menjunjung besen besi yang penuh ikan keli dan haruan pulang ke rumah.
“Mak Teh! Pak Teh! Ambo dapat ikan banyak. Ikan keli dan haruan besar!” laung saya agak meninggi. Gembira sungguh dengan hasil kali ini.
"Ya Allah! Banyaknya ikan. Kamu mahu jual? Ramai orang mahu beli,” soal Mak Teh tersenyum. Saya mengangguk besetuju dengan cadangan Mak Teh itu.
Lantas Pak Teh berjalan ke kawasan persekitaran kampung pergi ke rumah-rumah berdekatan memberitahu bahawa saya dapat banyak ikan. Tidak beberapa lama kemudian proses jual beli berlangsung, dan duit serta beberapa ekor ikan bertukar tangan.
“Pandai kamu menahan lampung di waktu hujan begini,” kata salah seoang pakcik yang cukup saya kenali.
“Rezeki Allah,” kata saya.
“Ikan haruan besar sebesar lenggan aku ini! Sedap kalau digoreng kunyit atau panggang mentah dicicah budu,” kata seorang makcik.
“Wah! Kamu dapat ikan keli lembut berbintit kekuningan sebesar lengan!” kata seorang pakcik lagi. “Berapa riyal (ringgit) kamu jual?”
“Entah!” jawab saya tersengih. “Pak Teh, hendak jual berapa riyal?”
Pak Teh mengira harga dan tawar menawar terjadi, dan duit not merah bertukar tangan lagi. Saya dapat rezeki Allah. “Boleh beli buku,” monolog saya di dalam hati.
Ikan yang selebihnya masih banyak. Mak Teh masak gulai lemak cili padi. Fuh! Saya makan nasi berlaukkan ikan haruan segar masak lemak cili padi malam itu bersama Mak Teh, Pak Teh dan dua orang anaknya (sepupu saya). Tiga pinggan nasi saya belasah. Mak Teh hanya tersenyum melihatnya. Ikan keli dipanggang kunyit atau digoreng garing. Ikan haruan selebihnya dibuat pekasam.
Saya sudah membuktikan kepada orang kampung bahawa teori umpan tauk atau lampung tidak dimakan ikan ketika di awal banjir atau hujan lebat salah. Saya cukup gembira dengan eksperimen tersebut.
Itulah berfikir gaya Champion!
Berkaitan: Travelog Kehidupan: Hijrah Pinggitan ke Metropolitan (1)
** (Foto ikan haruan kredit kepada blog Joran Bambu)
** Siri saranan Berfikir Gaya Champion bermatlamatkan untuk menginspirasikan pembaca daripada contoh-contoh nyata dan tersirat yang dikemukakan. Saya berhasrat menerbitkannya dalam bentuk buku. Sekiranya ada penerbit yang berminat atau turut terinspirasi dengan idea ini, saya alu-alukan bagi menghubungi saya. Penulis bersedia berkongsi idea dan pengalaman, serta menadah nurani bagi menerima cadangan dan ujana.
** Hakcipta Terpelihara @ Hizamnuddin Awang.

0 comments:
Post a Comment