Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

BAB 1

1 Rejab 1432H - Saya dilahirkan di sebuah kampung terpencil di daerah Besut, Terengganu. Mengikut surat perakuan beranak seperti yang tercatat di Borang A, Negeri-Negeri Tanah Melayu (Perakuan Beranak), saya menghirup udara dunia pada jam 5.00 pagi tanggal 29 Mei 1968.

Terima kasih khusus untuk bonda kerana dengan susah payah melahirkan saya sebagai anak pertama dari perkongsian cinta bersama ayahanda. Dalam surat beranak itu juga tercatat bahawa pekerjaan ayahanda
ialah menanam padi dan nama kampung tempat tinggal bonda ialah Kampung Jebak. Tarikh pendaftaran beranak ialah pada 4 Jun 1968.

Surat perakuan beranak itu juga ada tertera suatu undang-undang yang berbunyi, “Saya yang bertandatangan di bawah ini, dengan ini memberi notis kepada tuan/puan bahawa anak tuan/puan Hizamnuddin Bin Awang hendaklah ditanam cacar dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dilahirkan dan jika tuan/puan mungkir berbuat demikian maka tuan/puan akan dikenakan denda sebanyak 1,000 ringgit.” Tandatangan insan yang mengeluarkan surat beranak ialah Tuan Roslan.


Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tuan Roslan. Saya tidak pasti sama ada penandatangan tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Semoga Allah memberkati kehidupan beliau di dunia, apa lagi di negeri kekal abadi akhirat. Undang-undang yang tertera di atas sudah ditunaikan oleh bonda dan ayahanda kerana kesan tanam atau mencacah cacar ke dalam salur darah saya kekal sampai sekarang di bahu sebelah kiri. Parut sebesar duit syiling 20 sen. Saya tidak boleh membayangkan denda sebanyak RM1,000 sekiranya kedua-dua bonda dan ayahanda tidak menjalankan tanggungjawab itu. Di manakah atau bagaimanakah mahu dicari duit sebanyak itu di tahun 1968?


Di rumah papan satu bilik saya dibesarkan. Lokasi rumah kami sekeluarga berada di belakang rumah Mak Teh dan Pak Teh. Di sebelah kirinya ada kebun buahan-buahan. Sementara di sebelah kanannya ada kebun getah dan hutan kecil yang bersempadan dengan tanah perkuburan Kampung Jebak Puyoh. Ya, nama kampung sebenar ialah Kampung Jebak Puyoh. Mengikut cerita orang-orang tua, nama kampung diambil bersempena kegiatan menjebak atau menangkap burung puyoh yang memang banyak terdapat di persekitarannya sewaktu mula-mula penempatan diterokai.


Kampung damai dan menyegarkan ini berjiran dengan Kampung Hutan Nangka, Kampung Kubang Depu, Kampung Pulau Panjang dan beberapa buah kampung lagi. Hampir kesemua warga Kampung Jebak Puyoh berkerabat, sama ada kerabat terdekat, para sepupu dan dua pupu ataupun bersemenda melalui perkahwinan.


Sekeliling Kampung Jebak Puyoh dan kampung-kampung berjiran dilatari dengan petak-petak sawah padi. Itulah antara harta yang dimiliki oleh penduduk kampung yang diwarisi semenjak penerokaan tanah berlaku. Saya tidak mengetahui tarikh sebenar bilakah pendudukan asal kampung. Namun sedikit info yang diperoleh ialah Kampung Jebak Puyoh diterokai oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, Thailand yang diketuai oleh Tok Janggut. Sudah menjadi fonomena biasa akan penghijrahan orang-orang Melayu memasuki dan bermastautin di Tanah Melayu sebelum merdeka. Sesungguhnya negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu memang menjadi antara negeri penghijrahan orang-orang Melayu dari Yala, Narathiwat dan Patani di selatan Thailand. Justeru susur galur salasilah keluarga saya berasal dari sana.

Berkaitan:
Travelog: Dari Pinggitan ke Kota Metropolitan - Catatan awal

0 comments:


Photobucket
top