Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

20 Rejab 1432H - Assalamualaikum. Lama benar saya tidak melakukan aktiviti yang saya sukai untuk dikongsi bersama di blog ini, iaitu resensi buku. Memang banyak buku-buku yang sudah dibaca dan memang ada hasrat untuk berkongsi pandangan saya terhadap beberapa buah buku yang wajar diberitahu di sini. Namun kekangan masa dan tugas merencatkan sedikit hasrat tersebut. Saya bukan mengeluh akan masa 24-jam yang diberikan Allah, tidak sama sekali. Cuma itu mungkin kelemahan saya kerana kurang berjaya mengendalikan masa sebaiknya.

Pun begitu, kedapatan juga rakan yang menyuarakan pernyataan, "Kau banyak betul masa, bro. Hari-hari aku nampak di FB." Padahal banyak ketika status online di FB dikala saya sedang tidur, menulis, membaca ataupun sedang makan. Malah ada ketika status online saya 24-jam, padahal saya di luar rumah di sesi katering.

Ini juga berkemungkinan justeru saya sibuk melaksanakan percubaan untuk menulis beberapa manuskrip sekali gus selepas terbitnya buku pertama saya berjudul Buat Duit dengan Katering terbitan PTS Professional Sdn. Bhd.

Bercakap tentang buku Buat Duit Dengan Katering, terdapat dua komen terkini dari pembaca yang mengujakan saya justeru terbukti apa yang saya sampaikan dapat dimanfaatkan oleh pembaca. Alhamdulillah, itulah yang saya harapkan dari buku kecil itu. Saya sertakan dua komen tersebut seperti di bawah.
(1) "Saya sedang menghayati buku ini. Tahniah Web Sutera. Saya bersedia membacanya sehingga ke kata terakhir. Terbaik dari PTS. Buku ini cuma RM14 sahaja tetapi bagus. Kandungannya senang difahami. Insya-Allah akan diaplikasikan. Saya ada bisnes kanopi di kampung, Tuan Web Sutera, tetapi kecil sahaja, tidak gah. Terima kasih, Tuan Web Sutera kerana berjaya hasilkan buku saku yang sarat dengan idea ini. Semoga akan hasilkan lagi naskhah yang menarik, lagi dan lagi."

(2) “Insya-Allah, dalam urusan pemasaran, saya akan tiru dan ciplak dari buku Buat Duit dengan Katering.
Alhamdulillah saya mendapat idea dari situ. (Tuan Mohd. Feroz dari Feroz Wellness)
Dalam kesibukan saya menguruskan servis katering Lusiana Catering yang merangkumi menyedia dan menghantar sebut harga melalui e-mel, menyediakan invois dan pengurusan operasi, saya secara sedar memadatkan masa dengan penulisan beberapa manuskrip buku; novel dan bukan-fiksyen. Masa anugerah Allah saya maksimakan sebaik mungkin, walaupun kadang kala terasa tercekik juga.

Dalam pada itu, saya menerima beberapa ujana penting yang bakal mengubah lagi keberadaan saya dalam dunia penulisan negara, insya-Allah. Terpenting datangnya dari dua orang rakan penulis, iaitu Tuan Imran Yusuf dan Tuan Nazri Kadir. Idea dua orang insan itu ialah berkenaan penulisan buku secara bersama. Mungkin ianya projek penghasilan buku untuk tahun 2012.

Salah satu mesej dari Tuan Nazri Kadir begini:
Projek penulisan perniagaan makanan Donald J. Trump asalnya diletakkan di dalam pelan penulisan Siri Bisnes Gaya Trump 2013. Namun, dengan penganugerahan Allah kepada saya dengan pertemuan seorang insan bernama Tuan Web Sutera atau nama sebenar Hizamnuddin Awang, penulis buku Buat Duit dengan Katering. Maka projek penulisan ini boleh digerakkan lebih cepat dan memanfaatkan semua pihak suatu hari nanti.”
Justeru terpengaruh dengan buku Pengaruh Gaya Trump hasil idea bernas Tuan Syahrul Nizam Junaini dan Tuan Nazri Kadir, maka saya membeli pula buku Think Like a Champion oleh Donald J. Trump di kedai buku BookXcess pada satu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sesi melawat tapak katering di KLIA, Sepang. Itu antara aktiviti utama tanggal 13 Jun 2011. Saya dan Cef Hana singgah di BookXcess dan Popular di Amcorp Mall Petaling Jaya. Hampir RM200 dihabiskan untuk membeli buku, termasuk buku Donald Trump Think Like a Champion dan The Snowball - Warren Buffet & the Business of Life. Beberapa naskhah buku lain yang turut dibeli ialah Freedom Fighters dan buku berkaitan dunia pemakanan dan resipi masakan.

Mesej lain dari Tuan Nazri Kadir untuk saya begini:
Trump: Think Like A Champion bukan sekadar buku kepada saya tetapi ianya mempunyai nilai kenangan yang tinggi buat saya kerana teras utama bab - bab buku ini ialah artikel - artikel dari Inside Trump Tower, Trump University yang ditulis sendiri oleh Donald J. Trump ketika itu.

Detik - detik itu saya adalah seseorang yang gagal dalam hidup dan kehilangan semuanya. Saya pada hari ini, sebahagian daripadanya ialah hasil apa yang dipelajari daripada Trump University -Sebuah universiti kehidupan: tanpa sijil mahu pun ijazah.

Bulan ini, Trump University telah dibubarkan genap setahun. Ilmunya masih berkesan dan memanfaatkan orang lain melalui buku pengenalan tentangnya bertajuk Berfikir Gaya Trump dan Pengaruh Gaya Trump. Tidak lama lagi akan terbit buku Minda Kekayaan Gaya Trump untuk tumpuan bacaan yang berbeza. Trump: Think Like A Champion akan diabadikan ilmunya di dalam buku Berani Gagal Gaya Trump tidak lama lagi.

Salam inspirasi kejayaan buat semua yang senantiasa menyokong perjuangan ini dan buat sahabatku yang sudi berkongsi ilmunya di dalam bidang keusahawanan makanan, Tuan Web Sutera. Kita hasilkan sesuatu yang terbaik kerana kita "Think Like A Champion!!"
Buku Buat Duit dengan Katering muncul selepas saya berjaya mengharungi ujian selama hampir dua tahun. Sebelum itu, saya gagal dalam bisnes busana dan menerima hujan cinta Allah yang menjadi asbab saya memulakan bisnes katering. Berfikir kembali selepas membaca buku Pengaruh Gaya Trump dan Think Like a Champion, ternyata bahawa itu semua menjadi faktor kejayaan saya dan isteri. Alhamdulillah, saya bertemu dengan tuan-tuan penulis lewat buku Pengaruh Gaya Trump dan saya ingin terus berkongsi.

Terfikir sejenak kesukaran itu penuh hikmah. Saya tidak berapa mengenali gaya Trump, namun selepas membaca Pengaruh Gaya Trump oleh Tuan Syahrul Nizam Junaini dan Tuan Nazri Kadir, kemudian menelaah pula buku Think like a Champion. Kejayaan generasi pertama Islam gemilang lantaran kesulitan dan cabaran Allah turunkan kepada mereka. Hikmah Allah menjadi CHAMPION!


Contoh dipaparkan Donald Trump membuktikan sesebuah kejayaan besar terlebih dahulu kegagalan yang mendatangi. Saya pernah gagal dan menempuh ujian Allah. Getir. Ini antara intipati yang terdapat dalam buku kecil Buat Duit dengan Katering. Alhamdulillah, kasih dan cinta Allah diturunkan dengan pelbagai cara. Maha Benar, Allah itu tahu setiap makhluknya.

Khusus untuk sahabat hamba Tuan Nazri Kadir, Think like a Champion bukan sahaja ujana Donald Trump, malah terlebih utama ialah ianya saranan Nabi Muhammad bin Abdullah. Ilmu pengetahuan atau hikmah itu adalah illmu milik para Mukmin yang tercicir. Lalu Trump dan Kiyosaki mengutipnya. Teruskan usaha tuan, insya-Allah tuan bakal diberkati Allah.

Terima kasih sekalung budi diucapkan kepada Tuan Haji Mohd. Fazil di atas kepercayaan beliau terhadap buku kecil saya itu. Beliau menyakininya lantas mengambil inisiatif menjualnya secara langsung. Sahabat ini merupakan rakan saya semasa bertugas di MIMOS Bhd., dan beliau memiliki kedai online Storm Readers.

Isu kebiadapan akhbar Utusan Malaysia juga menarik untuk diberi sedikit komentar kali ini. Saya ada masukkan status di Facebook berkenaan hal ini. Hasilnya saya menerima satu komen rakan lama, malah rakan baik, begini: “Maaf ya. Saya pernah juga baca (akhbar) Harakah. Banyak juga cerita kutuk mengutuk sesama Muslim.”

Jawapan saya kepada rakan itu begini:
“Aku menghormati amalan demokrasi. Apa yang aku sorot ialah menghina HUKUM ISLAM. Mengutuk orang aku tidak kisah sangat, seperti kata kau. Tetapi menghina HUKUM ISLAM satu hal yang berlainan sama sekali. Silap kata boleh jadi MURTAD. Aku pernah katakan, kalau kita tidak menyukai apa sahaja amalan baik, jangan dikata secara terang-terangan, simpan dalam hati. Tetapi seandainya seseorang menghina sesuatu HUKUM ISLAM yang sudah termaktub dalam Quran dan hadis Nabi Muhammad, itu kes maha berat. Maafkan aku juga. Tidak dapat melaksanakan HUKUM ISLAM, satu hal, tetapi menghina HUKUM ISLAM, satu hal yang berlainan sama sekali.”
Lanjutan dari itu, suka untuk saya memetik kata-kata Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di blognya:

“Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam. Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah. Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.”

Okey, berbalik kepada sesi katering di KLIA pada 16 Jun 2011. Acara perasmian bermula jam 12.00 tengah hari. Saya dan tim tiba sekitar 10.45 pagi. Tim kambing bakar tiba lebih awal. Semasa tuan pengerusi majlis menjemput VIP dan para tetamu menjamu selera sekitar 12.45 tengah hari, beliau menyebut, "Sajian disediakan olef Cef Hana (Lusiana Adnin) dari Lusiana Catering." Saya teruja. Sesungguhnya semua itu terkandung hikmah.

Aktiviti hujung minggu pada Sabtu 18 Jun 2011 pula ialah bersama kumpulan Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC) di sebuah padang di tepian tasik di Petaling Jaya. Selain kehadiran Tuan Ramlee sendiri, seorang penulis berbakat bernama Tuan Munir Ramli (buku Rindu Eropah Tawan Damascus) turut turun. Celoteh dan ulah Tuan Munir Ramli mengamatkan suasana. Banyak nasihat dan tunjuk ajar penulisan dibentangkan. Tuan Ramlee Awang Murshid juga tidak jemu-jemu mencurahkan nasihat serta pengalaman dalam penulisan. Saya secara peribadi amat menghargai kedua-dua insan baik itu. Alhamdulillah, matlamat tercapai dari aktiviti bertemakan Memecahkan Kod Raja Roman?.

Sementara itu saya sedang meneruskan penulisan buku fantasi sejarah berjudul Alexander Agung; Hijab Raja Zulqarnain. Penulisan buku ini merupakan beban emosi saya. Setakat entri ini saya sudah tiba di halaman ke-210 sekitar kisah keislaman Alexander dan pergaulan dengan kaum Yahudi di Palestin dan Mesir. Jangan terkejut kerana Islam juga adalah agama anutan orang-orang Yahudi sebelum kemunculan Nabi Muhammad bin Abdullah. Yahudi bukannya agama tetapi satu kaum yang amat Allah murka lantaran mereka sering mungkir dengan ajaran-ajaran dibawa para nabi dan rasul. Buku rujukan bersepah di atas meja kerja.

Perkembangan menarik lain ialah kemunculan Cef Hana dari Lusiana Catering kali ketiga dalam majalah. Kalau sebelumnya dalam majalah Seni Hias edisi Ogos dan September 2010, kini dalam majalah SAJI pula. Dapatkan majalah SAJI edisi Julai 2011 yang sudah berada di pasaran. Fokus utama ialah Menu Katering. Salah satu senarai menu disediakan oleh Cef Hana dari Lusiana Catering. Menu-menu seperti berikut:

- Pucuk paku masak lemak udang
- Kari ikan tenggiri
- Ayam goreng mamak
- Ketam masam manis
- Cendawan goreng tepung (Istimewa kreatif Cef Hana)
- Smootie Berry-Na (Istimewa kreatif Cef Hana)
- Gula Melaka kristal (Istimewa kreatif Cef Hana)

Akhir kata untuk entri ini, pengalaman jatuh dan pernah susah menjadikan sesebuah travelog atau buku non-fiksyen sangat menarik untuk ditatap kerana ianya datang dari hati. Sementara daya imaginasi Tuan Ramlee Awang Murshid memang istimewa. Tunggu buku kedua saya, insya-Allah, sebuah travelog kehidupan yang bakal muncul

Photobucket

0 comments:


Photobucket
top