Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

11 Muharram 1432H - Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 11 Disember 2010 benar-benar mengejutkan umat Islam apabila dilaporkan bahawasanya Dr. Fadzilah Kamsah telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan seseorang itu melacurkan dirinya dalam darurat. Kenyataan ini hampir sama nadanya dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Masyitah Ibrahim sekitar tahun 2005 dahulu.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh umat Islam ingin mengingatkan dengan jelas dan tegas agar hukum agama tidak diungkap sepintas lalu tanpa mempunyai asas dan nas yang tepat, juga sensitiviti Islam itu tidak dipermainkan. Saya ingin mengingatkan, bahawa semua pihak yang ingin bercakap mengenai agama khasnya, perlu merujuk kepada mereka yang lebih tahu akan Islam itu dari sudut asas dan cabangnya sebelum mengeluarkan satu-s
atu kenyataan mengenainya.

Kenyataan yang membenarkan seseorang itu melacurkan diri dengan alasan darurat tidak sepantasnya dikeluarkan begitu sahaja. Kenyataan demikian jelas bercanggah dengan maqasid Islam itu sendiri. Islam tidak mengajar kita menghalalkan cara demi mencapai matlamat kita. Sekali lagi, saya ingin mengingatkan agar kita
perlu lebih berhati-hati sebelum menjawab satu-satu soalan apatah lagi sekiranya soalan itu bukan di dalam kepakaran kita.

Seperkara lagi, saya ingin persoalkan apakah rasionalnya isu pengharusan zina atau melacur kerana darurat ini ditimbulkan? Negeri atau negara mana yang mengalami darurat sehingga rakyatnya terpaksa melacur? Darurat yang bagaimana sehingga pelacuran
terpaksa dihalalkan begitu sahaja?

Apakah negara kita telah kehabisan makanan? Apakah kerajaan negara ini telah kehilangan moral dan nilai simpati untuk membantu rakyatnya? Apakah masyarakat kita telah pupus semangat membantu dan menghulur bantuan kepada yang memerlukan? Di mana pula Baitul Maal, Pusat Pungutan
zakat, atau hukum itu diberi pada realiti yang tidak wujud?

Suka saya tegaskan bahawa meminta sedekah itu jauh lebih baik dari melacurkan diri jika hanya kerana ingin mencari sesuap nasi. Apakah jawapan sebegini tidak boleh diberikan oleh beliau? Mudah sahaja si jahil akan berhujjah bahawa mereka melacur kerana ingin mencari sesuap nasi

Akhirnya saya nasihat agar semua pihak berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan atau pendapat. Kenyataan mesti berpijak di alam nyata agar tidak mengelirukan ummah serta wajib mempunyai sandaran nas yang jelas.

--- Oleh Nasrudin Hassan at-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS
Malaysia.


Betulkah Dr. Fadzilah Kamsah kata boleh melacur jika dalam keadaan darurat? Jika betul seperti mana dilaporkan, maka aku boikot semua buku tulisan manusia ini dan rancangan TVnya.
Nampak gaya Dr. Fadzilah Kamsah sudah menerobos sempadan diri dan Islam!

Bagaimana mengajar motivasi kepada orang lain dan para pelajar jika diri sendiri ibarat ketam yang berjalan senget? Tiba-tiba aku rasa gementar dan tekanan darah naik! Setakat ini aku menganggap ianya betul seperti dilaporkan. Sekiranya doktor pakar motivasi ini tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bertulis dalam surat khabar, laman web atau blog sehingga hujung tahun 2010 ini (31 Disember), aku akan BAKAR DUA BUAH BUKUNYA YANG AKU MILIKI! Aku juga akan sediakan poster dan banner di blog ini dan di lain-lain blog aku dalam usaha protes dan boikot.


Walaupun aku tahu tindakan aku itu mungkin tidak memberi kesan besar, namun demi Islam yang aku junjung, paling tidak pun aku memulakan dahulu dalam keluarga aku.
Sekiranya aku tersalah baca atau wartawan tersalah petik, tolong betulkan.

Dalam pada itu dalam isu yang hampir sama, aku pernah katakan begini:

Wujudnya kelab malam dan pusat hiburan bertaraf global (kononnya!) pasti akan ada arak. Juga akan menular budaya hedonis terkinja-kinja dan berpeleseran antara lelaki-perempuan, lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan. Kelab malam tersebut akan menjadi tempat pertemuan pertama bagi maksiat dan kebejatan seterusnya yang maha keji, termasuk pelacuran. (Baca lagi di sini)
P/s: Pada mulanya aku mahu terbitkan entri lain hari ini!

5 comments:

Web Sutera said...

Kenyataan akhbar oleh Dr. Fadzilah Kamsah, myMetro (Harian Metro) - 15 Disember 2010

KUALA LUMPUR: “Pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah salah, haram tetap haram,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, ketika mengulas kenyataannya dalam Harian Metro terbitan Sabtu lalu.

Menurutnya, masyarakat diminta tidak salah faham dengan kenyataan beliau yang disiarkan akhbar ini terdahulu, seolah-olah beliau mengatakan pekerjaan Suzie sebagai GRO adalah tidak salah.

“Pekerjaan GRO itu memang haram dan tidak boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam. Maksud saya di sini ialah, jangan hanya tahu memaksa Suzie berhenti, tetapi apa peranan kita (pembaca) untuk mencarikan pekerjaan lain kepadanya. “Jangan terus menghina dan mencaci wanita yang bekerja sebagai GRO sebaiknya kita mencari alternatif untuk membantu wanita seperti itu mendapatkan pekerjaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu membantu golongan seperti itu keluar daripada kepompong dosa dengan membantu mereka mencarikan kerja yang berkat.

Masyarakat tidak seharusnya tahu menghukum tetapi dalam masa yang sama perlu mencari alternatif terbaik untuk membantu.

“Jangan menghina GRO. Mereka yang sudah menyesal dan sempat bertaubat kita cuba bantu mereka. Tidak baik menghina dan mencaci mereka. Jangan terus menghukum tetapi hulurkan tangan memberi bantuan dan kasih sayang,” katanya.

Terdahulu, beliau menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie supaya bersama-sama menadah tangan mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

Ustaz Zaharuddin said...

JAWAPAN

Sebelum saya menulis jawapan ini saya sudah pun membaca kenyataan tokoh motivasi tersebut di akhbar yang menyiarkannya. Kenyataan awal beliau pada 11 Disember 2010 dan juga kenyataan balasannya pada 15 Disember 2010.

Secara ringkasnya, saya ada bersetuju dengan beliau dan ada juga yang tidak bersetuju dengan beberapa fakta dalam kenyataannya. Apapun, ingin saya tegaskan, saya menghormati beliau selaku tokoh besar di dalam negara, pakar dalam bidang motivasi individu dan rumahtangga, yang telah banyak menyumbang kepada pemulihan diri individu masyarakat melalui pelbagai medium.

Namun begitu, kesilapan dan kekeliruan mungkin sahaja berlaku kepada sesiapa jua. Kesilapan dan kekeliruan ini ada kalanya amat kecil berbanding kebaikan yang telah dilaksana dan diusahakan sejak bertahun lamanya. Oleh itu, JIKA BENAR SEKALIPUN ADA KESILAPAN DALAM ULASANNYA, JANGAN SEKALI dilupakan segala sumbangan beliau.

Pun begitu, disebabkan imej dan tersohornya itu, saya merasa tanggungjawab untuk menjelaskan respon kepada soalan yang diajukan kepada saya, agar tidak berlaku salah faham di kalangan masyarakat ramai.

SETUJU

Saya bersetuju bahawa mesti ada pihak berwajib mengambil tanggungjawab untuk menyediakan alternatif bagi wanita seperti ini.

Saya juga bersetuju kita TIDAK BOLEH terus menghina petugas seperti itu seolah mereka tiada lagi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Khususnya penghinaan tanpa usul periksa , kerana bagi saya, mungkin ada yang terjebak kerana terperangkap dalam sindiket pelacuran dan GRO. Mereka menjadi mangsa dan bukan sengaja menurut kehendak dirinya.

-- Bersambung

Ustaz Zaharuddin said...

TIDAK SETUJU

Namun saya tidak bersetuju untuk tidak mengutuk pekerja-pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit. Kutukan dan kecaman perlu dibuat terhadap KERJAYA kotor itu dan bukannya tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan oleh satu pihak agar kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.

Dalam masa yang sama, ada pula pihak pendakwah lain yang mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun untuk menyalahkan teknik kutukan secara umum adalah kurang tepat dari sudut ilmu dakwah.


Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau yang menyatakan:

“Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah”

Dalam hal ini, saya andaikan kemungkinan kenyataan beliau lahir dari kekeliruan tugasan motivator yang sentiasa inginkan kliennya bersikap positif, namun tugas pendakwah pula, perlu memaklumkan kepada ‘klien’ dengan jelas kesalahan sebagai kesalahan hukum yang mesti dihentikan serta merta.

Justeru, di sini saya ingin tegaskan hukum kerjaya GRO adalah tetap haram. Alhamdulillah hal ini juga diakui oleh motivator terbabit dalam kenyataan yang disiarkan di dalam Harian Metro bertarikh 15 Disember 2010.

Ustaz Zaharuddin said...

APA ITU GRO DAN BIDANG KERJANYA?

Kita sedar teknik dakwah adalah satu hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer (GRO) mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan. Setelah melakukan beberapa semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang neutral dan benar-benar bersifat pentadbiran, Namun begitu, tugasan yang tidak tertulis itulah yang merumitkan, di mana ia kerap melewati tugasan tertulis kepada tugasan lain yang tidak sihat sama sekali. Iaitu melayan kehendak pelanggan walau hingga di dalam bilik. Tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga target bisnes tercapai’.

Susasana di Malaysia perlu dirujuk sebelum komentar lanjut dikongsikan. Jika dilihat dari laporan-laporan akhbar yang boleh membentuk perspesi rakyat dan majoriti, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’, sebagai contoh lihat sahaja petikan akhbar-akhbar ini dan ini. Tangkapan pelayan-pelayan ini ditanggap oleh awam sebagai ‘pelacur’ dan GRO adalah gelaran lembutnya.

Selain itu, saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau (jika tiada salah catatan pihak wartawan) berikut :-

a. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.”

Ulasan saya: Suzie TIDAK BOLEH meneruskannya, tidak reda dalam pelakuan maksiat yang direlai tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta adalah tidak diterima di dalam Islam.

Malah tidak reda itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancur agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak, dan hartanya tidak diberkati.


b. “Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu.”

Ulasan saya: Ada perkara yang dibenarkan untuk berubah sedikit demi sedikit, selaras dengan ilmu. Namun kerjaya seperti ini tidak boleh digolongkan dalam perkara yang dibenarkan untuk beransur kerana pilihan lain adalah banyak, Cuma mungkin kurang pendapatan berbanding yang di hadapannya. Justeru, jangan silap fahami konsep tadarruj (beransur) yang diajar oleh Islam dan salah aplikasi.

c. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan.”

Ulasan saya: Jangan sewenangnya menggelar keadaan itu dharurat. Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, apa yang diharuskan kerana “dharurat mesti diikat dengan limitasinya”. Sejauh mana limitasi telah dipantau dan dipatuhi? Dharurat juga perlu menilai timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia adalah maslahat yang tertolak.

*** Baca penuh ulasan dan jawapan Ustaz Zaharuddin di sini.

Web Sutera said...

Justeru sudah ada sedikit pencerahan dari Dr. Fadzilah Kamsah, maka saya tarik balik untuk boikot buku-buku beliau. Namun begitu, saya berpegang kepada ulasan Ustaz Zaharuddin di atas. Yang salah dan patut dikutuk, mesti dinyatakan secara jelas. Panduan utama ialah Islam.

Ingatan dan pesanan saya kepada Dr. Fadzilah Kamsah ialah jangan bercakap ikut sedap mulut. Tuan Dr. merupakan figur yang cukup dikenali. Justeru itu, setiap kata-kata bakal menjadi ikutan dan rujukan ramai, terutamanya umat Islam di Malaysia.

Harapan saya semoga Tuan Dr. tidak hanya mementingkan klien dan bakal klien sahaja, malah yang menjadi paling wajib ialah berkata benar walaupun pahit.

top