Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

12 Muharram 1432H - Saya tidak mengetahui siapakah barisan panel pemilih dan penilai bagi Anugerah Buku Negara 2010. Namun pengumuman salah satu pemenang agak mengejutkan. Novel sejarah Islam Tuan Abdul Latip Talib berjudul Abu Bakar Sahabat Sejati menjadi pemenang kategori Buku Umum Terbaik (Fiksyen). Pelik! Novel sejarah Islam Abu Bakar Sahabat Sejati bukannya sebuah fiksyen. Ianya ialah novel sejarah, bukan fiksyen sejarah. Saya hairan. Adakah panel pemilih dan penilai anugerah tersebut bukan terdiri daripada orang-orang yang arif dalam bidang penerbitan dan perbukuan? Takkan kategori buku pun tidak tahu?

Buku fiksyen apa genre pun ialah perkisahan atau cerita hasil imaginasi dan
kreativiti penulis. Manakala novel sejarah ialah fakta-fakta sejarah yang dinovelkan. Itu pun tidak tahu?

Ingin saya coretkan di sini perbezaan asas buku fiksyen sejarah dan novel sejarah. Pada hemat saya yang cetek ilmu ini, fiksyen sejarah berkisahkan suatu fakta sejarah dan kemudiannya difiksyenkan. Dalam fiksyen, watak-watak, persekitaran, peristiwa dan penyudahnya boleh sahaja berlawanan dari apa yang dicatatkan dalam buku atau perekodan sejarah.

Fiksyen sejarah juga merupakan imaginasi penulis dengan latar bela
kang suatu peristiwa sejarah sebagai tunjang. Namun sesuai dengan istilah fiksyen, ianya mengandungi ciri plot dan sub-plot yang dicipta sendiri oleh penulis.

Manakala sebuah novel sejarah isinya adalah fakta. Novel sejarah Islam tulisan Tuan Abdul Latip Talib misalnya, memang mengandungi fakta. Ini semestinya tidak boleh diubah. Itu yang Tuan Abdul Latip Talib lakukan. Sejarah Islam era Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) dirakamkan dalam Quran dan hadis Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam). Justeru itu saya percaya sepenuhnya bahawa Tuan Abdul Latip Talib mesti merujuk kepada buku sejarah, hadis Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) dan Quran dalam penulisannya.

Dalam pada itu, saya ucapkan tahniah atas kemenangan buku Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata karya Datin Seri Fatini Yaacob di atas kemenangan kategori Buku Umum Terbaik (Bukan Fiksyen). Buku ini diterbitkan oleh Penerbit UTM. Sudikan baca resensi saya di sini.

Bagi anugerah industri kategori Buku Terlaris, ianya dimenangi oleh buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato’ Ismail Kamus, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Manakala bagi kategori Anugerah Perdana Penerbit Terbaik 2010 dimenangi oleh Dato’ Hussamuddin Yaacob, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Tahniah untuk kedua-dua tokoh ini.

Anugerah Buku Negara 2010 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara pada 16 Disember 2010. Terdapat dua kategori utama penganugerahan iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Industri.


Anugerah Perdana:
  1. Tokoh Buku Negara 2010
  2. Tokoh Pengarang 2010
  3. Kedai Buku Terbaik 2010
  4. Tokoh Pembangunan Buku Negara 2010
  5. Penerbit Terbaik 2010
Anugerah Industri:
  1. Penulis Terbaik
  2. Penterjemah Terbaik
  3. Editor Terbaik
  4. Ilustrator Terbaik
  5. Rekabentuk Buku Terbaik
  6. Jurufoto Terbaik
  7. Pencetak dan Penjilid Terbaik
  8. Buku Terbaik (mengikut kategori)
  9. Buku Terbaik
Pemenang kategori lain saya tidak mahu membuat ulasan dan senaraikan di sini kerana bagai sudah diagak siapakah pemenangnya.

2 comments:

mkriza said...

Saya setuju dengan pendapat Tuan. Karya Tuan Abdul Latip, Abu Bakar Sahabat Sejati bukan fiksyen. Nampaknya panel hakim kena jelaskan apa itu fiksyen daripada pandangan mereka.

Web Sutera said...

Ada komentar menarik mengenai anugerah ini. Sila baca Menjadi pahat kepada rumah Anugerah Buku Negara!


Photobucket
top