Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

6 Zulhijjah 1431H - Presiden Universiti Terbuka PTS, Puan Ainon Mohd menulis bahawa seorang rakan Facebook beliau yang bernama Tuan Zulkifli Sharif, menulis komen pada postingnya yang bermanfaat dibaca, seperti di bawah:
Ada seorang peniaga sandal yang buat bisnes kerana minatnya dan beliau masih bekerja. Idea beliau: Mengadaikan emas milik isterinya yangg dibeli beberapa tahun lalu di Bank Rakyat dan dijadikan modal. Sebahagian keuntungan digunakan untuk menebus emas itu kembali. Sebahagian digunakan untuk modal pusingan. Dan sebahagian lagi digunakan untuk hidupnya.

Dan yang menariknya, keuntungan yang selebihnya beliau gunakan untuk membeli emas lagi. Kerana katanya, emas itu saban tahun akan memberi lebih tinggi nilai gadaiannya kerana harga pasaran emas yang terus meningkat.


Katanya lagi, emas yang sama te
lah membantu beliau berkali-kali untuk memberikan modal tanpa membuat pinjaman peribadi kepada bank. Dia kata, cara paling mudah untuk mengeluarkan modal adalah melalui emasnya. Dan beliau tidak pelik kerana beliau belajar dari mereka yang berada di Pantai Timur.

Jadi, sebenarnya untuk peniaga kecil, mungkin ini salah satu cara yang anda boleh lalukan kalau setakat nak berniaga bermodalkan 2000 ringgit.


Kalau anda makan gaji, belilah emas yang betul emas tanpa batu. Kemudian gunakanlah gadaian emas (Ar Ranhu ) itu sendiri untuk membina modal.
Berhutang dengan sandaran emas seperti anda berhutang dengan diri anda sendiri. Pihak bank hanya mengambil upah tolong simpan emas itu.
Saya ingin membuat sorotan berkenaan emas dalam kehidupan dan dunia bisnes katering yang sudah mencapai usia 5 tahun ini. Semoga menjadi iktibar serta panduan untuk semua, insyaAllah. Ini merupakan paparan kali pertama yang saya dedahkan.

Sebelum ini mungkin tuan-tuan dan puan-puan sering tertanya-tanya, bagaimana untuk hidup senang lenang tanpa perlu berhadapan dengan masalah kewangan yang menyeksakan. Mungkin ada di antara tuan-tuan dan puan-puan yang mula beranggapan untuk hidup selesa serta bebas daripada masalah kewangan adalah dengan mendapatkan lebih banyak wang! Tetapi benarkah memperoleh wang yang banyak dapat menyelesaikan segala-galanya?

Wang yang banyak sebenarnya belum tentu dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan tuan-tuan dan puan-puan. Mungkin ianya dapat membantu tuan-tuan dan puan-puan untuk seketika, namun jika tuan-tuan dan puan-puan tidak tahu menguruskan kewangan dengan betul, memperoleh wang yang banyak boleh menyebabkan tuan-tuan dan puan-puan terjebak dalam masalah kewangan lain dengan beban kewangan yang lebih besar pula!

Beberapa tahun tidak lama dahulu, saya dan isteri memiliki lima kad kredit dari beberapa institusi kewangan. Justeru sikap saya yang ‘tidak kedekut’ dan tidak pandai menguruskan kemudahan kredit tersebut, hutang kad kredit semakin membebankan. Pada mulanya memang seronok berbelanja, maklumlah bayar banyak kepada peniaga, tetapi kita hanya perlu bayar 5 peratus sahaja dari jumlah sebenar kepada institusi kewangan.

Pastinya sebahagian kecil perbelanjaan saya ialah membeli buku dan novel yang memenuhi rak buku di rumah. Pihak institusi kewangan pula bila melihat rekod bayaran kita bagus, mereka akan menaikkan had kredit saban tahun. Kenaikan had kredit secara tidak langsung turut menaikkan ‘semangat’ saya dan isteri untuk kian tidak kedekut. Sampai ketika saya dan isteri mulai terasa bebanan kad kredit tersebut.


Tidak salah memiliki kemudahan kad kredit, namun tuan-tuan dan puan-puan mesti memiliki disiplin yang tinggi dalam menguruskan perbelanjaan. Jangan jadi gila dengan kemudahan yang diberikan. Pengalaman banyak mengajar saya dan isteri.


Akibat dari hutang kad kredit yang menggelembung, satu demi satu, seutas demi seutas barang kemas emas isteri saya dijual. Ya, bukan digadai tetapi dijual. Namun begitu, isteri saya bijak. Dia menunggu sehingga harga emas mahal, baharulah menjualnya.


Memang jualan barang kemas emas tersebut menguntungkan. Tetapi dalam masa yang sama, habis sudah perhiasan isteri yang dia amat sayangi. Demi cintanya kepada saya atas dasar berat sama dipikul beban hutang tersebut, isteri saya berkorban.

Memang tiada seutas pun barang kemas emas yang tinggal. Semua hangus! (Foto kanan: Dinar Emas Kelantan yang dilancarkan pada 12 Ogos 2010)

Dari situ juga jejak bermulanya bisnes saya. Beberapa tahun yang lalu, bisnes pertama yang saya laksanakan semasa masih lagi bekerja makan gaji ialah membuka kedai langsir dan menjual busana wanita di suatu lokasi di Kuala Lumpur. Modal bukannya sedikit, namun takdir menentukan segala, bisnes itu gagal.

Seterusnya tatkala ada perancangan untuk berhenti kerja dari JARING Communications Sdn Bhd, saya sudah memulakan bisnes menjual nasi lemak. Pada permulaannya saya menjual nasi lemak dan kuih-muih di satu lokasi. Tidak berapa lama kemudian saya membuka gerai di tiga lokasi berlainan secara serentak.

Beberapa kali saya mengubah lokasi bagi mencari tapak yang strategik, iaitu lokasi yang mempunyai potensi pelanggan yang tinggi. Akhirnya tiga tapak tetap saya pilih. Tiap-tiap pagi saya keluar dari rumah di antara jam 6.15 – 6.30 pagi bagi menghantar makanan dan staf yang menjaga gerai-gerai tersebut. Gerai ‘pacak’ yang didirikan menggunakan payung dan dua meja setiap satu.

Hasilnya mengikut hari. Ada hari yang lumayan, ada pula yang agak perlahan. Namun syukur dipanjatkan ke hadrat Allah kerana sepanjang bisnes nasi lemak tersebut, saya tidak dihalau oleh mana-mana pihak. Ramai pelanggan tetap yang hampir setiap hari tanpa jemu berkunjung untuk mendapatkan menu nasi lemak yang disediakan oleh chef saya. Mereka berpuas hati dengan rasa masakan dan harga yang saya tetapkan.


Alhamdulillah. Dengan wang gaji yang saya kumpulkan, dari duit hasil jualan barang kemas isteri beserta hasil dari penjualan nasi lemak, saya membeli peralatan utama katering; pinggan mangkuk, sudu dan garfu, gelas, bekas air sejuk dan panas, cawan, perkakas keluli untuk mengisi makanan dan alas meja.


Alhamdulillah. Pujian, syukur dan terima kasih yang infiniti dipanjatkan ke hadrat Allah kerana kini isteri saya mula melabur semula dalam emas. Memang emas merupakan harta yang boleh dibeli, dan kemudian diguna semula untuk saat-saat mendesak atau pun digunakan sebagai modal kecil-kecilan bagi memulakan bisnes, seperti saranan Tuan Zulkifli Sharif di atas.

Berkaitan:
Pesta Buku KL: Rangsangan slogan penjajahan Gold, Glory dan Gospel

0 comments:


Photobucket
top