Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

20 Syawal 1431H - Saya perhatikan bahawa semua anak-anak mengikut jejak saya suka membaca. Pernah saya katakan di sini apabila melihat beg plastik berlogokan kedai buku dibawa pulang, salah seorang atau ketiga-tiga anak yang sudah bersekolah itu akan bertanya adakah saya membeli buku untuk mereka juga.

Saya ingin ceritakan kisah salah seorang anak saya. Dia budak lelaki bersekolah di tahun 3 (darjah 3 sekolah rendah). Pada suatu hari buku terbitan PTS berjudul Armagedon 2012 tiba dihantar oleh syarikat kurir. Saya membelek-beleknya sepintas lalu kerana diminta oleh anak lelaki saya itu, lantas dia membacanya di atas kerusi.


Kemudian saya ke dapur menyediakan minuman. Saya tidak perasan bahawa anak saya tersebut begitu tekun membelek-belek dan membaca di halaman-halaman tertentu buku Armagedon 2012. Saya tersedar apabila isteri mencuit saya bagi melihat ketekunan anak. Dia akan menyambung pembacaan buku tersebut andai ada masa lapang. Pada suatu ketika ialah waktu dinihari, sekitar jam 3.30 pagi, sebaik tiba dari perjalanan pulang dari kampung.

Buku kedua yang menjadi minatnya ialah novel sejarah Islam berjudul Perang Uhud: S
ejarah Duka Tentera Islam. Saya terharu apabila dia mula membacanya. Pada suatu hari, saya ingin ke Putrajaya bagi menghantar mertua (atuk dan neneknya) ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan kemudian berhari raya di rumah kerabat. Anak lelaki saya itu bertanya, “Abah, boleh bawa buku Perang Uhud ini?” Sebelum itu dia bertanya, “Boleh bagi Nabil buku ini?”

Satu permintaan anak lelaki saya itu yang pasti saya tunaikan (insyaAllah) ialah, “Abah, nanti bila ada bilik sendiri, Nabil mahu rak buku macam abah.” Isteri saya tersenyum simpul mendengarnya.

Berkaitan:
Baca buku sejarah Islam jadi terroris?
Bilakah saya membaca buku?

1 comments:

Pak Latip said...

"Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh...masyaAllah terharu saya..kirim salam saya kepada anak tuan itu. Semoga anak-anak tuan menjadi anak yang soleh dan solehah. Amin."


Photobucket
top