Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Saya memang suka membaca, termasuk novel bahasa Melayu dan Inggeris. Saya sentiasa membawa buku bersama walau ke mana saya pergi. Pada satu ketika semasa sesi katering, saya membawa novel Inggeris bertajuk Exposure oleh R. J. Peneiro dan membacanya semasa waktu senggang sementara menunggu para tetamu makan.

(Gambar kiri: Sebahagian kecil koleksi buku di rak buku rumah saya)

Salah seorang rakan lelaki, tuan punya bisnes butik kecantikan yang memesan katering itu, menegur saya semasa sedang asyik membaca novel tersebut. Dia berkata,”Kau baca novel? Jiwang’ betullah.” Padahal novel yang saya baca ialah sebuah kisah thriller berteknologi tinggi yang berkisar kepada satu cip komputer dalam litar elektronik yang tersalah fungsi, lantaran adanya pepijat (bug).


Pada hemat saya, perkataan ‘jiwang’ adalah berasal dari ‘jiwa’ yang bermaksud seseorang itu mempunyai jiwa atau pencinta.
Jadi jika anda meminati novel, maknanya anda mempunyai jiwa dan seorang pencinta. Memang saya pencinta buku, jadi saya ‘jiwang’ dengan buku.

Fenomena membaca yang dikaitkan dengan ‘jiwang’ ini sudah wujud sejak lama dahulu. Mengapa penggemar novel dikatakan ‘jiwang’? Saya kira kerana sejak sekian lama pasaran buku-buku Melayu dilambakkan dengan novel cinta, sehinggakan sesiapa yang membaca dikatakan ‘jiwang’, padahal dia membaca buku sejarah.


Kata Sasterawan Negara A.Samad Said, “Kita merindu buku dan ghairah membaca agar sentiasa canggih dan berhemah.”


Ya, saya pernah memperkatakan hal kebanjiran novel cinta berbahasa Melayu dalam pasaran kita. Memang berlambak. Tidak kurang juga novel cinta yang cuba dilambakkan dan didoktrinkan ke dalam minda anak Melayu amat rendah mutu dan nilai moralnya.


Namun begitu, kedapatan juga novel cinta yang menjuruskan sebuah cinta suci; cinta kepada Rasulullah dan Allah. Justeru itu, kemunculan fiksyen dan novel sejarah di pasaran Malaysia mesti diteruskan. Semoga isu perjuangan dan cinta suci untuk mencari keredhaan Allah menjadi sastera alternatif kepada sekian banyak novel cinta sesama insan.


Dalam masa yang sama, saya kira, kebanjiran novel cinta bahasa Melayu yang menyentuh cinta muda-mudi yang berakhlak, sedikit sebanyak dapat menjadi tabir kepada budaya fiksyen bahasa Inggeris yang sekian lama mendominasi dunia sastera Malaysia.


Fiksyen cinta bahasa Inggeris (English romance) terlalu menjurus kepada seks dan kepuasan nafsu semata-mata
.

Sesungguhnya dari sekecil-kecil persoalan kopiah dan terompah, Islam telah melingkari pembentukan diri, keluarga, masyarakat, ekonomi, seni, sastera, hiburan, pendidikan, sains, sejarah, falsafah; hinggalah kepada persoalan perundangan, pemerintahan, emosi, dan psikologi.


Saya dan saudara ada pilihan.
Apa pendapat saudara semua?

1 comments:

r.o.l. said...

Saya pernah mengadu kepada seorang kawan tentang kebingungan yang saya rasai apabila saya membaca sebuah buku. Saya mengalami percambahan serta percanggahan idea-idea yang sukar untuk diadun kerana ada di antaranya yang saling bertentangan. Tanpa dijangka kawan saya berkata, "Kamu bingung kerana kamu membacanya dengan kritis."

Kita ada pilihan. Saya suka buku BM dan BI kerana pelbagai sebab. Buku BM kebelakangan ini banyak ke arah mengagungkan Allah SWT dan mengikuti Rasulullah SAW, membacanya menjadikan saya lebih berfikir tentang Islam. Buku BI pula kerana kepelbagaian topik yang ada, jauh daripada skop buku-buku BM (mungkin buat masa ini kerana industri penerbitan buku BM pun semakin membugar). Tetapi di dalam buku BI kadang-kadang terasa juga jarum-jarum yang cuba menyuntik fikiran pembaca, seperti menganggap seks luar nikah dan homoseksualiti sebagai perkara yang biasa. Kalau kita tidak membaca dengan kritis, mungkin kita akan khayal akibat dicandui pemikiran seperti ini.


Photobucket
top