Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

28 Syawal 1430H: Aku pernah susah. Setahun lebih aku bertatih mengurus dan membangunkan bisnes katering. Miskin, susah, sedih, kecewa, marah dan menangis. Hutang sewaktu aku bekerja makan gaji makin menumpuk, makin membingungkan.

Hendak bayar itu, bayar ini. Bank dan syarikat kewangan mengejar aku. Sebuah kereta diambil kembali oleh bank. Takut, bimbang dan resah saling bertingkah. Mahkamah menghantar saman si berhutang kepada aku. Terasa ingin mati!. Aku pasrah dan menyerah.
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya.” (Surah asy-Syura ayat 27)

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.” (Surah al-Isra’ ayat 29)
“Ya Allah, letakkan dunia di tanganku, bukan di hatiku. Ampunkan dosa-dosa aku ya Rabb. HambaMu ini tidak akan berdaya menempuh badai tanpa bantuan dan cintaMu.”

Kuserahkan nasib dan masa depanku kepada Allah. Aku terus berusaha membangunkan bisnes katering, dalam segenap kepayahan dan gundah gulana. Terkadang syaitan membisikkan kata-kata durjana, supaya aku memberontak dengan keadaan yang terjadi.

Tatkala itu juga naluri dalaman aku melawan dan berjaya membunuh hasutan syaitan durjana itu. Aku mengadu ke hadrat ilahi, semoga derita dan kecewa hati ini disembuhkan segera. Aku pohon seikhlas hati bantuan dan tuntunan Allah. Aku sujud menangis merayu belas dariNya. Aku bermunajat dan berdoa, pasrah akan ketentuan yang telah tersurat. Aku tahu, setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Ianya penghapus dosa-dosa aku. Subhanallah.

Aku pasrahkan diri ini kepada Tuhan yang Maha Kasihan Belas. Selain solat, aku basahkan nurani dengan ayat-ayat cintaMu menerusi Quran dan zikrullah. Aku membaca buku-buku motivasi Islami dan hayati bahasa-bahasa indah Quran. Aku hanyut dengan cintaMu. Aku tenggelam dalam kasih-sayangMu.

Pernah banyak ketika aku dan isteri kehabisan wang langsung. Anak-anak ingin makan. Suatu ketika isteri aku bercerita bahawa dia pernah membelek-belek di segenap ruang dalam kereta mencari kalau-kalau ada wang yang terselit. Sebenarnya aku pun pernah berbuat demikian tanpa pengetahuan isteri.

“Ya Allah, murahkan rezekiku, majukan bisnes kateringku dan permudahkan segala urusan kehidupanku yang mendatang. Lindungi aku, isteri dan anak-anakku dari kepayahan yang tidak bisa kami hadapinya. Teguhkan rumahtanggaku, jadikan anak-anakku anak soleh dan solehah. Kuatkan iman aku, berikan ketabahan kepada hambaMu ini.”

Indahnya bercinta dengan sang Pencipta yang Maha Agung.

P/s: Ini secebis kisah aku dalam mengharungi dunia fana kehidupan. Sesungguhnya mati itu peringatan ulung untuk orang Mukmin. Bak kata novelis thriller Ramlee Awang Murshid, “Mati itu pasti, hidup insyaAllah.”

Berkaitan: Solat, Quran dan membaca merehatkan minda
Imbas kembali: Bermula dengan nasi lemak

2 comments:

akimsensei said...

papa web,

semoga dipermudahkan segalanya. Allah xmenguji kita dgn apa yg kita xmampu. smlm br abis tengok papadom. memg susah menjadi seorg papa, dan smga papaweb menjadi sorg papa yg baik, macam papadom.

hehe..
akimott
mental mesti kuat.

Web Sutera said...

Assalamualaikum sahabat Akim. Terima kasih atas doa. InsyaAllah, setiap ujian ada hikmah.


Photobucket
top