Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Saya ingin berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan semua, bukan berniat membangga diri, sekadar sedikit ilmu yang saya kira elok diberitahu. Semasa bekerja makan gaji selama lebih 14 tahun dan menguruskan bisnes katering sekarang ini, selain solat dan membaca al-Quran, membaca buku fiksyen sama ada berbahasa Inggeris atau Melayu boleh menenangkan minda. Itu yang saya dapat rasai.

Kerehatan yang paling besar semasa bekerja ialah ketika solat, berhubung dan bercakap dengan Allah. Seterusnya, biasakan membaca ayat-ayat suci Quran dan menelaah terjemahannya di waktu senggang. Minda dan tubuh badan juga dapat direhatkan ketika saya membaca novel yang baik.


Semasa bekerja di MIMOS Berhad dan JARING Communications Sdn Bhd selama hampir 12 tahun, antara tugas yang diamanahkan ialah menulis, sama ada laporan tahunan, surat berita ataupun artikel surat khabar dan majalah. Itu tugas rasmi.


Di samping itu saya mengambil kesempatan menghantar rencana berkaitan teknologi, internet dan ICT kepada beberapa majalah bahasa Melayu. Ini tugas tidak rasmi yang mendatangkan duit tambahan. Justeru tidak hairan jika saya memiliki banyak koleksi buku-buku bahasa Inggeris yang mencakupi bidang-bidang yang disebutkan.


Minat membaca yang ditanam sejak di bangku sekolah lagi dibuktikan dengan koleksi fiksyen bahasa Inggeris dan Melayu dalam rak buku saya. Itu belum termasuk buku-buku yang tersimpan di rumah emak di Pahang dan di rumah emak saudara di Terengganu.


Minda menjadi tenang bila membaca bahan-bahan bacaan yang baik, ingat itu.


Buku terkini yang sedang saya baca ialah Amazon.com, Get Big Fast oleh Robert Spector dan Detektif Indigo: Ikan fugu, lukisan & jimson oleh Faisal Tehrani. Buku pertama berkenaan sejarah kejayaan yang dicapai oleh Jeff Bezos, tuan punya Amazon.com. Manakala buku kedua ialah fiksyen penyiasatan remaja indigo terhadap kes-kes rumit. Detektif Indigo: Ikan fugu, lukisan & jimson ialah buku kedua dalam siri Detektif Indigo.

0 comments:


Photobucket
top