Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Permulaan cerita yang mendebarkan, penuh aksi. Plot disusun cukup ampuh. Dari mula saya sudah menjangka siapa punya angkara dalam peristiwa pesawat pejuang milik tentera Singapura ditembak jatuh di Filipina. Siapa yang menjadi kambing hitam? Seorang rakyat Malaysia. Pihak pejuang pemisah yang bermusuh dengan kerajaan Filipina juga telah dituduh bertanggungjawab.

Telahan saya tepat. Dalang di sebalik kejadian yang memulakan debar awal kemungkinan perbalahan antara dua kerajaan dan serangan tentera Filipina terhadap pejuang pemisah Mindanao ialah agen perisik sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat. Pastinya ialah CIA, walaupun tidak disebut secara terbuka dalam kedua-dua novel ini.


Mengapa Malaysia terlibat? Setelah diselidiki, senjata yang digunakan untuk menjatuhkan pesawat Singapura itu dibangunkan oleh sebuah syarikat milik seorang rakyat Malaysia bernama Arman. Tidak perlu tunggu lama untuk Malaysia turut terheret dalam konflik pra-peperangan tiga penjuru ini.


Sesungguhnya Arman berdepan dengan masa. Dia perlu melarikan diri dan mengejar dalam masa yang sama untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Dalam masa yang sama membongkar siapa dalang yang mahukan tiga negara ini bertelagah. Ada konspirasi penuh debar di sebalik kejadian.


Apa pula motif kedatangan seorang perisik Amerika Syarikat (AS)? Kenapa AS begitu berminat untuk masuk campur dengan konflik tiga negara ini? Sudah pasti AS menggunakan modal memburu dan membunuh terorist. Komander Ahmad Payan, ketua militer Pembebasan Mindanao menjadi sasaran.


Dengan menggunakan beberapa anak tempatan Malaysia, AS memasang perangkap untuk menampakkan bahawa konflik itu bukan buatan mereka.
AS dan agen-agen CIA memang begitu. Jahat dan busuk!

Novel aksi Kudeta
Intro dan Kudeta Klimaks yang diterbitkan dalam dua jilid ini merupakan fiskyen thriller yang cuba mencari kelainan dalam hubungan geo-politik di rantau Asia Tenggara. Sudah sekian lama saya banyak membaca novel thriller berbahasa Inggeris yang melakarkan konflik geo-politik dan pra-peperangan di rantau ini. Kedua-dua novel terbitan PTS berbahasa Melayu ini patut dipuji dan diberi perhatian. Ia membawa kelainan.

Watak-watak pejuang pemisah menjadi pelengkap inti sebuah perjuangan. Isi hati dan makna perjuangan dijelaskan secara baik oleh penulis Khairul Nizam Khairani melalui luahan hati anggota pejuang pemisah Mindanao tersebut. Perjuangan mereka panjang dan penuh onak duri. Pimpinan pejuang pemisah dan rakyat Mindanao mendambakan keamanan kekal bagi wilayah selatan Filipina itu. Tetapi AS menerusi agenda busuk mereka tidak mengizinkan keamanan impian rakyat Mindanao menjelma.


Persoalan cinta? Memang ada. Konflik jiwa jutawan Arman dalam mencari cinta. Antara kekasih hatinya dan seorang gadis wartawan bernama Adrienne.
Adrienne, gadis misteri itu mempunyai agenda tersendiri serta penuh tekad dalam setiap keputusan. Namun di kala bersendirian, dia tetap mengalah kepada kata hatinya.

Makna cinta terhadap negara juga dibawa Arman ke Filipina. Negara Malaysia yang berdaulat ini memiliki rakyat yang sanggup mati demi tanahair tercinta. Itulah Arman, sang jutawan Melayu!


Saya sudah membaca novel Meniti Maut (Ayman Haikal) dan Mikhail (Ramlee Awang Murshid). Persoalan dasar yang sama diketengahkan oleh Kudeta Intro dan Kudeta Klimaks, tetapi mempunyai kelainan tersendiri. Tahniah untuk penulis! Novel aksi dan thriller sebegini mesti diperbanyakkan di Malaysia. Dalam masa yang sama, kita dapat mewarnai ‘wajah’ sebenar agen Barat dalam cubaan mencatur iklim geo-politik rantau Asia Tenggara ini.


Untuk penerbit PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., mengapa perlu diterbitkan dalam dua jilid? Padahal saya kira memadai digabungkan kedua-dua novel ini dalam satu buku. Adakah kerana strategi bisnes yang memberi keuntungan yang lebih andai dibuat dua jilid?

2 comments:

akimsensei said...

wah, nk grab jugak la abg web..

Web Sutera said...

Sdr Akim, insyaAllah saya sukar berbohong dari segi pandangan saya. Novel ini bagus, ada isi & isu yang membawa pencerahan.

Mungkin sudut persepsi saya agak berbeza dari orang lain, tetapi novel thriller memang menjadi minat saya. Jika tidak bagus, memang saya akan ulas dari sudut tidak bagusnya. Jika baik, saya akan ulas dari sudut keelokannya.

Mungkin ada insan yang gerun dengan ulasan saya. Walhal, itulah pandangan hati saya.


Photobucket
top