Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

“Waktu dari mula bekerja sehingga bersara selama 35 tahun tidak lama, sedangkan dalam masa itulah kita membina kepakaran dan mengumpul harta serta membina jaringan sahabat atau networking.”

Dari zaman belajar menuju ke alam kerjaya

Setiap orang mempunyai cerita tersendiri dalam perjalanan dari zaman kanak-kanak, menuju dunia persekolahan dan seterusnya melangkah ke alam kerjaya. Malah dari alam kerjaya menuju persaraan pun jalan yang kita lalui berbeza dari orang lain.

Ada rakan kami yang cemerlang sejak awal persekolahan, seterusnya mendaki tangga universiti dan akhirnya melangkah alam kerjaya dengan gemilang dan bersara dengan wang pencen yang lumayan. Dia hidup selesa walaupun sudah bersara.

Manakala seorang lagi rakan kami berjaya di alam persekolahan lalu menjejak langkah ke universiti. Namun beliau tidak sempat menghabiskan pengajian di universiti dengan mendapat ijazah yang diidamkan. Sebaliknya beliau menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan sehingga akhirnya kini beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Malah ada juga rakan-rakan kuliah semasa di universiti yang berjaya menamatkan pelajaran dan beroleh ijazah, bekerja dalam syarikat tertentu sementara menunggu melanjutkan pelajaran ke peringat lebih tinggi atau mendapatkan pekerjaan di sektor awam atau swasta.

Ada seorang lagi rakan pula mencapai kelulusan biasa-biasa semasa bersekolah dan mendapat pekerjaan dalam sektor awam memegang jawatan pegawai rendah. Namun demi mengejar cita-cita untuk meningkat dalam kerjaya, beliau telah mengikuti kelas malam dalam skim pensyarah muda sebuah IPTA.

Beliau bercerita, “Setiap hari selepas kerja saya bersiap-siap untuk pergi ke kelas malam, sedangkan rakan-rakan sejawat saya turun ke padang yang terletak berhampiran quarters bujang tempat tinggal kami untuk bermain bola. Sering sahaja apabila melihat saya lalu di tepi padang itu mereka akan berkata, ‘Tuan Profesor...!’ dengan tujuan menyindir saya. Mungkin berkat doa rakan-rakan saya itu, kini saya berjaya menjadi pensyarah berjawatan Profesor Madya!”

Begitu kisah tiga orang rakan kami yang melalui perjalanan yang berbeza. Kamu bagaimana pula? Apakah cita-cita dan impian kamu?

Masa yang terhad tetapi amat berharga

Dalam sistem pendidikan negara kita pada masa kini setiap orang dimestikan mengikuti persekolahan mulai umur tujuh tahun, bermula dari darjah satu sekolah rendah hingga ke tingkatan enam sekolah menengah atau matrikulasi. Sesudah itu pelajar boleh memohon untuk memasuki IPTA atau IPTS dan mereka yang layak akan ditawarkan mengikuti kursus di IPTA atau IPTS.

Pelajar akan menamatkan pengajian di IPTA atau IPTS sesudah berjaya memperoleh diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (masters) dan seterusnya ijazah kedoktoran (philosophy degree atau Ph. D.). Namun tidak ramai yang akan melanjutkan pelajaran sehingga peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Sebahagian besar pelajar menamatkan pelajaran pada tahap diploma atau ijazah sarjana muda, lalu memasuki alam kerjaya.

Pada ketika ini umur pelajar berumur antara 23 hingga 25 tahun dan dia telah menuntut ilmu sebagai pelajar selama 16 tahun semenjak umurnya 7 tahun lagi. Dia akan mengharungi alam kerjaya sehingga dia bersara pada umur 55 tahun sekiranya berkhidmat di sektor swasta atau 58 tahun di sektor awam.

Ini bererti jangka masa kerjaya seseorang adalah antara 30 hingga 35 tahun. Dalam masa 30 hingga 35 tahun inilah seseorang itu harus bergiat membina kerjaya sehingga hari persaraan.

Dalam jangka masa ini dia mendirikan rumahtangga dan membina keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anaknya. Pada ruang masa yang terbatas itu juga dia membina kekayaan, melabur dalam pasaran saham, unit amanah, menyimpan dalam Tabung Haji, dana pendidikan dan lain-lain.

Dalam ruang waktu itu juga dia membeli kenderaan dan rumah, dan menyelesaikan bayaran pinjaman untuk kedua-duanya.

Dalam sempadan masa itu juga dia mengumpul harta, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, membina kerjaya sehingga peringkat tertinggi yang dia impikan dan dalam ruang waktu itu juga dia membelanjakan hartanya di jalan kebajikan dan memberikan sedekah.

Apakah cita-cita kita? Apa matlamat hidup kita? Membina kerjaya makan gaji sehingga hari persaraan atau bersara awal bagi menceburi bidang bisnes? Ingin membina kekayaan dan mengumpul harta yang banyak supaya dapat kita belanjakan pada jalan kebajikan, yakni membantu orang yang memerlukan dan kurang bernasib baik? Pilihan di tangan kita.

** Insya-Allah, ini siri ujana kerjaya sebagai langkah champion. Penulis kongsikan untuk kebaikan bersama. Andai ada penerbit yang sudi, penulis sedia ketengahkan tulisan ini ke dalam buku.

0 comments:


Photobucket
top