Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Setiap tahun berpuluh ribu orang siswa dan siswi keluar dari IPTA / IPTS seluruh negara. Ada yang mencari kerja makan gaji dan ada pula yang bekerja sendiri, malah ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa pun, hakikatnya sebahagian besar daripada lepasan pengajian tinggi yang berbekalkan segulung ijazah sarjana muda atau diploma bakal menempuh alam dan pengalaman baharu.

Bagi mereka yang menjadi sebahagian daripada statistik pasaran tenaga kerja negara, catatan ini adalah untuk tatapan mereka. Kami cuba menyingkap tabir misteri dunia di luar kampus dan bilik kuliah. Bukan teori semata-mata, malah yang terlebih penting ialah pengalaman kami.

Bagi para siswa dan siswi, ini sebahagian daripada bahan rujukan bagi mulakan langkah champion. Doa kami sesungguhnya agar ia dapat membekalkan panduan bagi menempuh alam kerjaya dan industri pembangunan negara.

Cabaran hidup ini bukan alang kepalang. Walaupun demikian, langkah kerjaya harus bermula, sebagaimana hidup ini juga.


@@@@@@@

Memikir, merancang dan menulis resume bukannya tugas main-main. Begitu juga menulis sebuah cover letter yang berpengaruh, atau yang power, seperti istilah remaja masa kini. Kita mesti serius menyediakan resume kerana ia merupakan ‘Karya Agung’ bagi memastikan jawatan yang dipohon berada dalam genggaman.

Banyak kesilapan terjadi dalam menulis resume, terutamanya bagi calon yang baru ingin memulakan kerjaya. Kes ini benar untuk semua golongan, termasuk para graduan. Akibat tidak mengambil berat proses penyediaan resume secara terperinci, usaha kita menjadi sia-sia.

Pembentangan dalam catatan ini bukan sahaja merujuk banyak sumber, malah ia juga berdasarkan pengalaman penulis sendiri menjalani dunia kerjaya selama berpuluh tahun. Kami kompil, kumpul, isih dan nyatakan dalam ayat-ayat mudah supaya para pembaca boleh mengambil manfaat daripadanya.

Banyak faktor kegagalan memperoleh kerja yang diidamkan dan dalam bidang kemahiran masing-masing bukannya disebabkan kita tidak layak, tetapi persembahan resume serta cover letter tidak menarik minat pihak jabatan sumber manusia (HR). Andainya pintu pertama memasuki sesebuah syarikat, terutamanya syarikat blue chips, sudah gagal, bagaimana mungkin perjalanan kerjaya kita berjalan lancar.

Kami tidak mengatakan ujana ini apabila dibaca dan diamalkan, kita PASTI mendapat kerja yang dipohon. Kami memberi panduan dan maklumat berguna dari sumber-sumber berautoriti dan dari pengalaman sendiri. Kami mengakui bahawa kami pernah gagal dalam sesi interviu. Justeru itu kami senaraikan apakah sebab-sebab kegagalan tersebut supaya para pembaca tidak mengulanginya.

Harus diingat, kejayaan mendapatkan kerjaya idaman bukannya mudah, terutamanya di waktu dunia dan Malaysia sedang mengalami desakan ekonomi atau era inflasi. Banyak faktor yang menjadi penentu kejayaan mendapatkan kerja. Namun pada akhirnya selain dari kuasa Allah, kita mesti berusaha menjual diri secara tuntas. Jangan leka dan mudah mengalah dengan mengatakan, “Saya tidak pernah menulis resume atau cover letter.”

Ayuh mulakan gerak kerja champion! Dengan izin Allah, kandungannya boleh kita jadikan panduan, walaupun pada akhirnya kreativiti kita menjadi elemen penting, dan doa kepada-Nya.

Mulakan langkah jaguh! Selamat berusaha dan semoga berjaya.


@@@@@@@

Kita sudah menggenggam segulung dokumen kelulusan, tidak kira apa namanya: sijil, diploma, ijazah sarjana muda, masters atau falsafah kedoktoran (Ph. D.).

Kita juga sudah menghantar resume berserta sepucuk surat yang berjaya menawan hati penerimanya, lalu kita dipanggil menghadiri interviu.

Apa perasaan kita: gembira, gementar, atau bimbang? Gembira kerana akhirnya kita sudah semakin hampir dengan sebuah jawatan idaman? Gementar sebab kita merasa belum lagi bersedia untuk bersemuka dengan panel penemu duga yang mungkin ‘menyoal-siasat’ kita sehingga kita tidak mampu menjawab soalan? Atau bimbang kita mungkin melakukan kesilapan semasa interviu, lalu peluang kita mendapatkan jawatan yang dipinta itu pun hancur berkecai?

Walau apapun perasaan kita, bahagian ketiga ini memberikan panduan serta tip-tip yang berguna bagi calon menghadapi interviu untuk jawatan idaman itu. Kemahiran menghadapi interviu semakin meningkat apabila semakin banyak sesi interviu yang dilalui. Apapun, rasa percaya diri semakin meningkat apabila jawatan yang dipohon bersesuaian dengan kelulusan akademik dan pengalaman bekerja yang kita lalui.

Selamat maju jaya!

0 comments:


Photobucket
top