Dengan nama Allah yang pemurah lagi Maha mengasihani.
Pertama sekali saya nak ucapkan jutaan
tahniah kepada penulis a.k.a sahabat yang saya hormati iaitu Pak Web Sutera di
atas kejayaan beliau menoktahkan buku ketiganya. Setelah sekian lama mengintai
hanya dalam fragmen di alam maya (maaf bro gua tak layan baca kat blog..gua
kaki buku..jangan marah haaaaa) dan akhirnya PERANG ARMAGEDON berjaya dibukukan.
Jujurnya selepas balik dari perasmian
buku beliau tempoh hari, saya sudah tidak keruan lagi apabila memandang buku
ini. Ditambah lagi dengan keterujaan melihat buku ini menggunakan kertas yang
sangat ringan sekali gus membuatkan diri ini diasak dengan kuat untuk
membacanya. (Maafkan saya wahai buku-buku yang masih pending ... saya terpaksa memotong giliran kalian demi buku ini).
Bagi penggemar buku aksi tempur rasanya
kalian akan menyukai buku Pak Web yang terbaru ini. PA mengetengahkan pejuang
Islam yang bangkit menentang doktrin Yahudi dan Zionis Israel. Rasanya penulis
menggunakan watak lelaki Melayu iaitu Fateh Sa'adi sebagai teraju utama yang
berjuang menghapuskan kezaliman musuh Islam ini.
Bagaikan tersedut ke dalam mesin masa,
penulis berjaya membawa saya masuk ke dalam cerita ... persis bagai memimpin
tangan saya dari awal hinggalah ke akhir cerita. Saya seolah-olah menyaksikan
sendiri kepingan-kepingan dimensi yang wujud di dalam perjuangan yang suci ini.
Geram dan sakit hati apabila sekutu Yahudi
ini senantiasa memikirkan cara untuk menyakiti orang Islam. Mereka mendakwa
Islam itu teroris, sedangkan mereka mengangkat sikap teroris itu sebagai
kebaikan dalam perjuangan sonsang mereka. Namun hati saya puas apabila penulis meletakkan
tentera Islam sebagai tentera yang cukup bijak apabila berjaya mematahkan
serangan demi serangan yang diberikan oleh Yahudi. Cuma maaf cakap ... saya
kurang gemar pula bila ada watak cyborg dan sebagainya.
Buah tangan kali ini nampaknya lebih matang.
Penulis juga banyak menggunakan pendekatan sains dan teknologi seiring dengan
latar masa yang digunakan iaitu masa hadapan. Pun begitu, betapa tinggi dan
canggih teknologi yang ada masih tidak mampu untuk melawan kuasa yang Khalik. Sejauh
mana kita melangkah, semakin besar kuasa Allah yang maha Agung terbentang luas
di hadapan.
Antara yang menarik perhatian saya
mengenai buku ini ialah kisah-kisah Nabi Allah yang bertungkus-lumus membantu (ajaran)
Allah menjalankan dakwah membawa umat manusia ke jalan yang benar. Tetapi dasar
Yahudi laknatullah sentiasa ingkar dan mendustakan kebenaran. Ada juga cerita
yang membuatkan saya berasa lucu iaitu apabila penulis menyatakan tentang jin
pun ada teknologi (m/s185), dan ada juga yang menjentik tangkai hati saya iaitu
dialog antara nabi Yahya a.s dengan iblis mengenai 3 golongan manusia (m/s 186).
Menariknya buku ini, di setiap bab ia
diselitkan dengan hadis-hadis, sabda-sabda serta riwayat-riwayat sahih yang
berkaitan dengan bab tersebut. Ia signifikan sekali dengan apa yang cuba
disampaikan oleh penulis. Buku ini amat ringan (dari sudut ukuran berat), sama
beratnya dengan sebiji buah epal. Pak Web juga seorang pengguna bahasa Melayu
yang baik ... sehinggakan saya terpaksa berteman dengan kamus elektronik semasa
membaca buku ini.
Kalau kalian perhatikan, bila membaca
buku ini, kita seolah-olah mendengar sendiri Pak Web bercerita di sebelah ...
sebab ada baris-baris ayat yang digunakan persis gaya beliau bercakap. Adakala
sinis, adakala penuh wibawa, kadang-kadang kelentong ke lebih Pak Web ini ... hahaha
(sebab dah selalu dengar beliau berleter guna mikrofon).
Haaaaa!! Satu lagi yang menarik mengenai
buku ini. Dalam ini ada menyentuh tentang bangsa POLIP...so baca..jangan tak
baca..!!( sempat aku meracun..) kih .. kih ... kih.
Terima kasih Pak Web sebab hasilkan buku
yang amat baik ini. Kalau ditanya siapa penulis novel berlatar belakangkan
sejarah, saya akan berkata penulis itu adalah Abdul Latip Talib, selepas itu
saya berkata Web Sutera.
Teruskan menulis sahabat. Islam
memerlukan pemikir seperti kamu. Rasa kagum dan kerdil di sisimu teman sebab
melihat dari naskhah ini ... terpancar usaha kerasmu menelaah dan mencurahkan
idea. Hikmahnya, sambil saya membaca ... saya juga terpaksa mengkaji semula dan
membuat penilaian kendiri mengenai isu-isu terutama sejarah Dajjal dan
kaitannya dengan Israel. Saya google lebih banyak maklumat tambahan untuk
menampung skemata sedia ada.
4**** buat Pak Web. Semoga Allah
sentiasa mencucuri rahmat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W..
pejuang-pejuang Islam, para Sahabat (Baginda), serta para mukmin yang berjihad
dan syahid di jalan Allah. Al-Fatihah.
**4/4/14 Jumaat, Nusari bayu..review
khas buat teman..sahabat dan penulis yang saya kagumi Web Sutera.
Penulis: Web Sutera.
Muka surat: 480.
Terbitan: Galeri Ilmu.
*** Ulasan dan komentar Cikgu Shahrol Nizam Zulkifli, Port Dickson, Negeri Sembilan.
*** Ulasan dan komentar Cikgu Shahrol Nizam Zulkifli, Port Dickson, Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment