Kucing dan tikus merupakan dua jenis
haiwan yang saling berkaitan. Dalam perumpamaan dunia Melayu pun, dikatakan
tikus lawannya kucing, atau tanpa tikus siapalah kucing. Sejarah kejadian
kucing dan tikus ini merupakan kekuasaan Allah yang mungkin kita tidak ketahui.
Justeru Allah Maha Pencipta segala sesuatu.
Namun, ada beberapa orang penulis
mengatakan kucing berasal daripada harimau / singa, manakala tikus dan babi
pula berasal daripada gajah.
Para penulis itu berperi tatkala Nabi
Nuh dan pengikutnya berada dalam bahtera yang mengharungi banjir besar:
Nabi Nuh gusar. Najis haiwan dan manusia memenuhi bahtera sehingga menyebabkan timbul rasa kurang senang kepada pengikut-pengikutnya. Maka Nabi Nuh berdoa dan memohon kepada Allah.
“Wahai Tuhanku! Bahtera ini dipenuhi dengan najis. Berilah petunjuk agar dapat aku menyelesaikan masalah ini.”
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah gajah itu, nescaya keluar darinya haiwan yang akan membersihkan najis-najis ini.”
Maka setelah dibelai, keluarlah babi-babi dari gajah berpusu-pusu dan segera membersihkan semua najis sehingga bersih tanpa tersisa sedikitpun.
Si Iblis pula cemburu dengan mukjizat Nabi Nuh, maka dia pun turut mencuba membelai gajah. Dengan takdir Allah keluar darinya tikus yang banyak lalu merosakkan kapal Nabi Nuh.
Tikus yang banyak itu kemudiannya merosakkan bahtera sehingga dikhuatiri ia akan tenggelam. Nabi Nuh berdoa dan meminta kepada Allah bagi menyelesaikan masalah ini.
“Wahai Allah, bahtera ini telah dirosakkan oleh tikus. Aku takut kiranya bahtera ini akan karam. Berilah petunjuk kepadaku agar dapat diselesaikan masalah ini.”
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah harimau (singa) itu, maka akan keluar darinya haiwan yang akan memusnahkan tikus-tikus itu.”
Sebaik usai berbuat demikian, kucing keluar darinya dan memakan tikus-tikus itu sehingga habis semuanya.
Nuh bin Lamik bin Metusyalih bin (Nabi)
Idris adalah Rasul Allah pertama yang diutus. Seawal itupun baginda bercerita
mengenai Dajjal - sang Pembohong Besar - walaupun tidak muncul pada era itu
kepada kaumnya.
Abu Hurairah melaporkan bahawa
Rasulullah (SAW) bersabda, “Sukakah aku
ceritakan kepadamu tentang Dajjal, yang belum diberitakan oleh Nabi lain kepada
kaumnya? Sungguh Dajjal itu buta mata sebelahnya dan ia akan datang
membawa sesuatu yang menyerupai syurga dan neraka. Adapun yang dikatakan
syurga, maka itu adalah neraka. Dan aku memperingatkan kalian sebagaimana Nabi
Nuh memperingatkan kepada kaumnya." (Hadis riwayat Muslim) -- (Hadis
ini panjang)
Apa yang dimaksudkan dengan sabda di
atas ialah Dajjal akan menipu agar kita lalai dan terpesona dengan kerlipan
neon, dengan syurga dunia iaitu kemewahan, pangkat, harta dan wanita yang
sekali gus akan menyebabkan kita lupa diri dan hanyut dengan keduniaan
semata-mata. Walhal itu hanyalah sementara dan bila-bila masa sahaja Allah
boleh menarik kembali nikmat-nikmat yang dikecapi itu. Inilah juga yang
diberitakan oleh Nabi Nuh kepada kaummya.
Saya
– Web Sutera - bukan pengkarya agung. Karya Teragung tetap selamanya Al-Quran.
Segala puji dan puja dikembalikan ke hadrat Allah Azza wa Jalla dengan ilham
yang dimasukkan ke dalam ruang minda saya.
“Daku
bermohon pada-Mu ya Allah, andai bengkok mohon luruskan daku. Andai tersalah,
mohon sebatan cinta-Mu. Pastinya daku tetap hamba-Mu yang daif, justeru
ampunkan daku.”
Dalam
pembacaan dan kajian berkaitan Nabi Nuh dan bahtera, banyak polemik dan
tafsiran ayat-ayat Al-Quran, sama ada melalui saling merujuk ayat-ayat lain
atau melalui pengukuhan hadis-hadis Nabi Muhammad (SAW).
Malangnya,
dalam masa yang sama, banyak tafsir ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani
yang diambil oleh penulis tanpa kajian mendalam. Walhal dalam masa yang sama,
kita sewajibnya menyedari bahawa Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru
(Bible) sudah lama ditulis oleh manusia, bukan lagi sebagai wahyu Allah untuk
para nabi. Seperti saya nyatakan terdahulu, selagi narasi dan rujukan bersumber
Taurat, Injil dan epik bangsa tertentu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan
hadis Rasulullah (SAW), maka ia boleh digunapakai.
Dalam
pada itu, sesetengah penulis Islam turut mengambil dari apa yang dikatakan
‘hadis’ Nabi Muhammad (SAW). Padahal itu adalah sumber hadis palsu yang
diriwayatkan oleh penganut Syiah.
Sebagai
contoh, dikatakan bahawa:
“Para sahabat Nabi Nuh bertanya, ‘Bagaimana haiwan-haiwan ternak boleh berasa tenang dengan hadirnya singa?’
Lantas Allah timpakan demam kepada singa, dan itulah penyakit pertama kali wujud di muka bumi. Namun dalam tempoh beberapa masa, penghuni bahtera risau akan keberadaan banyak tikus. Mereka berkata, ‘Tikus merosakkan makanan dan harta benda kami.’
Lalu Allah mengilhamkan kepada singa sehingga ia terbersin. Maka kucing keluar dari bersin itu. Seterusnya tikus bersembunyi dan tidak boleh berbuat kerosakan lagi.”
Dalam
kisah lain yang dikatakan bersumber dari hadis:
“Setelah banyak kotoran najis bertumpuk, Allah wahyukan kepada Nabi Nuh supaya menyentuh ekor gajah, lalu keluarlah babi jantan dan betina. Kemudian sepasang babi itu memakan najis yang banyak itu.
Kemudian dalam masa yang lain, Allah perintahkan agar Nabi Nuh menyentuh ekor babi, lalu wujudlah tikus jantan dan betina. Kemudian tikus-tikus itu menggigit tali-tali bahtera dan merosakkan makanan. Maka Allah menyuruh Nabi Nuh mengusap kening singa, lalu keluar sepasang kucing, lalu memakan tikus-tikus itu.”
Sekiranya
benar kutipan-kutipan kisah di atas, kita yang mempunyai akal sihat tentu
bertanya, “Apakah yang memakan kotoran atau najis babi? Apakah Nabi Nuh
terhibur tatkala menyentuh babi yang kemudiannya mengeluarkan tikus jantan dan
betina?”
Kemudian
serangkaian pertanyaan timbul lagi, dan lagi. Nyata tiada jawapan pasti.
Justeru para peminat akan kisah Nabi Nuh dan bahteranya tetap akan terkeliru
dan berasa pelik.
Tafsiran
yang dicedok di atas adalah pengaruh kisah dalam kitab Taurat atau nukilan ahli
kitab atau dikenali sebagai Israiliyat. Sekiranya kita mempercayai tafsiran
Taurat yang diselewengkan itu, maka Yahudi berjaya menanam doktrin jahat mereka
dalam memalsukan kandungan Al-Quran. Walhal Al-Quran sudah dijamin Allah akan
tetap terpelihara sehingga ke hari kiamat.
Lantaran
itu, keyakinan dan pandangan pentafsir Taurat dan Bible diambil oleh para
penulis Islam. Mereka berpegang kepada teori orientalis, maka semakin sulit
untuk hasilkan hujah menentang pembohongan Yahudi.
Tafsir
ayat-ayat Al-Quran, pada hemat saya, seharusnya selari dengan penemuan moden
dalam bidang arkealogi. Seandainya dahulu kurang kajian bidang arkealogi,
mutakhir di abad ke-21 Masihi ini, sudah banyak penemuan terkini, termasuk peristiwa
banjir besar di era Nabi Nuh itu tidak merangkumi seluruh permukaan planet
Bumi.
Doktrin
semit yang dipalsukan Yahudi terus menjadi rujukan yang diambil oleh para
pengkaji Muslim, secara sedar atau tidak. Ini termasuk kes pentafsir Taurat
yang membutakan mata hati manusia dengan doktrin bangsa Yahudi sebagai bangsa
terpilih. Justeru dikatakan ‘seluruh manusia yang ada sekarang ini’ ialah dari
keturunan Nabi Nuh dengan anggapan baginda sebagai bapa manusia kedua selepas
Nabi Adam.
Perkisahan
banjir besar ini juga banyak terdapat dalam budaya masyarakat di seluruh dunia.
Antaranya ialah kisah dari epik Sumeria, Babylon, India, Wales, Skandinavia,
Lithuania, China dan mitos Yunani.
Semua
lagenda ini menjadi bukti adanya banjir besar itu. Pada mulanya ia berkisar
kepada peristiwa benar justeru diberitakan oleh para nabi Utusan Allah bagi
setiap kaum atau bangsa. Mereka menerima mesej melalui wahyu suci. Namun lama
kelamaan, kisah ini menjadi lagenda, kemudian mitos bangsa. Mengapa? Ia justeru
kerana kaum-kaum itu sudah terpesong dari kebenaran ajaran para nabi.
Hanya
Al-Quran yang kekal menjadi rujukan utama. Sekali lagi saya ingatkan, kisah,
tafsir dan lagenda bangsa berkaitan bahtera Nabi Nuh selagi tidak bercanggah
dengan Al-Quran dan hadis-hadis yang benar, maka ia boleh dijadikan panduan.
Kaedah
periwayatan kisah para nabi dalam Al-Quran dan Taurat berbeza. Ada hikmah
perbezaan itu. Al-Quran ada beriwayat sebahagian kecil daripada para nabi, dan
dalam masa yang sama ramai lagi Utusan Allah tidak tercatat.
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.” (Surah an-Nisaa', ayat 164)
Salah
satu hikmahnya ialah kisah nabi dan rasul dalam Al-Quran demi untuk menguatkan
dakwah Nabi Muhammad (SAW) dan sebagai hujah Baginda kepada golongan Yahudi dan
Nasrani.
Perincian
kisah para nabi juga kadangkala, termasuk kisah Nabi Nuh, dilihat tidak
terperinci, malah berselerak. Apa sebabnya? Menurut hemat saya, sasaran kisah
dalam Taurat ialah sejarah, manakala dalam Al-Quran lebih ditekankan kepada
ibrah dan tauladan daripada sejarah itu.
Namun
menjadi tugas para ulama mentafsir ceritera sejarah dalam Al-Quran untuk
tatapan dan pemahaman manusia. Justeru adanya banyak tafsir Al-Quran yang sedia
kita tatap mutakhir ini.
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Ia
juga sebagai jalan wahyu Allah khusus untuk Nabi Muhammad (SAW), agar bersihkan
segala tohmahan dalam banyak riwayat Taurat dan Bible. Salah satunya sebagai
pentunjuk bahawa agama-agama sejak zaman Nabi Nuh sehingga ke Rasul Terakhir
Nabi Muhammad (SAW) semua datang dari Allah. Semuanya orang Muslim yang
‘berserah diri’ terhadap wahyu Ilahi.
Orang-orang
yang beriman kepada Utusan Allah / Rasul adalah ummah yang satu, dan mengakui
Allah Yang Maha Esa. Cuma syariat yang berbeza mengikut suku bangsa dan lokasi
manusia di muka bumi ini. Namun ketika Muhammad bin Abdullah diutus sebagai
Rasul, maka syariat terdahulu terbatal.
“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya’.” (Surah asy-Syuura, ayat 13)
Wallahu’alam.
Hanya Allah Yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui.
** Insya-Allah, ikhlas dari penulis yang daif di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment