Dalam gelita persepsi
Jiwa pernah bersaksi
Hanya Allah, terpatri citra Ilahi
Hijrah menuju akal hakiki
Semoga kekal begitu, abadi.
Kosa kata
‘hijrah’ mengandungi hikmah yang besar, bahkan amat besar. Rahsianya besar
sehingga kita sukar untuk menggali dan mengupas keseluruhannya kemudian mengaplikasi
dalam hidup sehari-hari. Walaupun demikian, kita diberi akal. Justeru sama-sama
kita gunakan sebaiknya.
Kosa kata
ini mula digunakan secara meluas semenjak berlakunya hijrah Nabi Muhammad (SAW)
dari Makkah ke Madinah. Hijrah berasal daripada kata kerja hajara yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari
sebuah negeri ke negeri yang lain. Perkataan bahasa Arab ini secara fizikalnya
bermaksud meninggalkan suatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Hijrah
Rasulullah (SAW) bersama Sahabat Abu Bakar as-Siddiq adalah suatu perintah
agung Allah.
Makna
hijrah seeloknya selalu hidup dalam diri kita. Peristiwa perjalanan Rasulullah
(SAW) itu mesti dijadikan pengajaran dalam setiap usaha kita mentransformasikan
setiap jejak, baik mengubah nasib atau menjadi lebih baik. Kita sebagai
manusia, apatah lagi umat Islam, wajib melihat penghijrahan Nabi besar itu
sebagai ibrah yang direnung dan diamalkan.
Perintah
hijrah Rasulullah (SAW) dan para Sahabat sebelumnya ialah perintah Allah, bukan
dibuat secara suka-suka. Dalam misi itu, Rasulullah (SAW) menerima banyak
halangan. Andai Allah mahu, boleh sahaja Dia menerbangkan hamba-Nya itu ke
Madinah atau memudahkannya. Namun tidak begitu. Allah mahu agar para Sahabat,
Nabi Muhammad (SAW) dan Abu Bakar as-Siddiq berusaha gigih.
Rasulullah
(SAW) berkata, “Tiada hijrah selepas
al-Fath (Pembukaan Mekah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah
untuk pergi berjuang, maka segeralah menyahutnya!” (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Maksud hijrah dalam
hadis di atas ialah berpindah dari Makkah ke Madinah dan bebasnya Makkah dari
orang-orang Musyrik yang tidak beriman. Justeru peristiwa itu sudah berlaku,
maka umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke
Madinah. Dua-dua bandar itu sudah menjadi Islam.
*** Insya-Allah, ikhlas dari hamba yang daif di sisi Allah, Web Sutera.
0 comments:
Post a Comment