Dari buku ekslusif berjudul Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, saya khatam dahulu bahagian keempat dan bahagian kelima kandungannya. Dua bahagian terakhir ini terdiri daripada hadis-hadis peristiwa akhir zaman, bersama sedikit huraian.
Saya menelaah dan
merujuk dua bab terakhir itu kerana keperluan menulis fiksyen armagedon versi
Islam berjudul Kombat Armagedon, insya-Allah.
Kemudian saya mula
membaca dari bab pertama. Alhamdulillah, banyak info yang boleh ditaakul. Saya
salin kembali beberapa hadis berkaitan ilmu dan dunia menulis. Ia terkait
dengan diri saya, sang hamba Allah yang mahu menulis. Juga pandangan saya
secara peribadi dalam taakulan ilmu Allah yang Maha Bijaksana, insya-Allah.
Rasulullah
(SAW) berkata, “Menjelang datangnya hari kiamat akan muncul pena.” (Hadis
riwayat Imam Ahmad)
Manakala
Umar bin Tsa’lab melaporkan Rasulullah (SAW) menjelaskan, “Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya hari kiamat adalah tersebarnya
(melimpahnya) harta benda dan luasnya perniagaan. Juga munculnya pena-pena yang
menunjukkan banyaknya bacaan dan tulisan.” (Hadis riwayat Nasa’i)
Menurut tafsir ahli hadis, maksudnya ialah banyaknya tulisan
dan kemajuan yang mendadak dalam pelbagai bidang ilmu dan berkembang
percetakan, walhal dalam masa yang sama ilmu seolah-olah berkurangan.
Menurut hemat saya, berkembangnya bidang penulisan dan
banyaknya buku justeru cerdik pandai Islam wajib menulis untuk mengimbangi
bahan-bahan bacaan yang buruk dan tidak benar. Peranan para pecinta ilmu di
akhir zaman menjadi penting agar tohmahan dan propaganda perang saraf kaum
kuffar dapat dipintas, agar umat Islam dan manusia dapat melihat Islam dari
sudut yang sah bersumberkan Al-Quran, hadis dan kesepakatan ulama.
Justeru para pemuda-pemudi perlu rajin membaca, menelaah dan
mengisih bahan bacaan yang baik dan dapat dijadikan panduan. Insya-Allah,
selama mana ilmu atau tulisan itu berdasarkan fakta-fakta tafsiran Al-Quran dan
hadis, ianya benar.
Hadis berikutnya. Daripada
Abu Hurairah, beliau berkata, “Rasulullah berkhutbah, dan menyebut satu kisah
yang panjang. Pada akhir hadis itu disebutkan bahawa Abu Syah berkata kepada
Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah! Tolong tuliskan untuk saya isi khutbah tuan
tadi.’ Maka Rasulullah berkata, ‘Tolong tuliskan untuk Abu Syah’.” (Hadis
riwayat Tirmizi)
Dalam buku ini Tuan Guru menulis, “Maka satu-satunya cara
adalah meminta bantuan orang lain untuk menulis ilmu baginya’, yakni menulis
bagi orang yang tidak boleh menulis justeru sebab-sebab tertentu, tapi ingin membaca dan menelaahnya.
Dalam sebuah artikel beberapa tahun dahulu yang ditulis untuk
sebuah majalah, saya nyatakan, antara lain:
"Penggunaan komputer membolehkan maklumat disimpan dalam disket (atau
cakera liut), cakera keras, pita magnet, CD-ROM, CDR, ‘thumb drive’, ‘flash
memory’, dan sebagainya. Peranti storan terkini boleh menyimpan pelbagai maklumat
multimedia yang mengandungi teks, grafik, bunyi, dan sebagainya pada kepadatan
tinggi.”
Lebih daripada itu, pelbagai medium terbuka mutakhir ini, terutamanya blog
dan Facebook, atau boleh dikumpul dalam kategori laman web dalam internet. Saya istilahkan World Wide Web itu sebagai badan atau wahana tempat maklumat disimpan. Justeru wajib digunakan sebagai salah satu wahana di era moden dan mutakhir ini, insya-Allah.
Hadis berikutnya juga dari Abu Hurairah. Beliau berkata, “Tidak ada daripada keseluruhan para Sahabat Rasulullah
orang yang paling banyak melaporkan hadis lebih berbanding saya, kecuali
Abdullah bin Amar bin Ash. Maka dia lebih banyak daripada saya kerana dia
menulisnya, dan saya tidak menulisnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Lanjutan
dari hadis-hadis di atas, insya-Allah, saya ingin panjangkan satu tazkirah.
Dalam tafsir Al-Quran Miracle The
Reference, panel panitia mengambil satu tulisan Harun Yahya mengenai syirik
kepada Allah.
"Antara
perbuatan syirik adalah memuja berhala. Menurut adat kata 'memuja berhala'
bererti menyembah benda atau wujud tertentu."
Insya-Allah,
semua orang tahu. Ulama, ustaz, mufti, tok imam dan penganut Islam tahu dan
memahaminya. Tetapi baca lagi yang berikutnya.
"Namun sebenarnya, maknanya lebih luas dan tidak
terbatas pada pengertian itu. Pada setiap masa selalu ada manusia yang
sekutukan Allah, mengambil tuhan lain dan menyembah pujaannya. Memberhalakan
sesuatu tidak bererti pemujanya berkata, 'ini tuhan yang saya sembah'. Tidak
juga bererti dia harus bersujud di hadapannya.
"Pada dasarnya, menyembah berhala dapat bererti rasa
suka seseorang terhadap sesuatu melebihi sukanya kepada Allah. Misalnya
menyukai redha seseorang (manusia) berbanding dengan redha Allah, atau lebih
takut kepada seseorang (penguasa) berbanding rasa takut pada Allah, atau lebih
mencintai seseorang daripada cintanya untuk Allah.”
Allah menempelak dan memberi amaran dalam Al-Quran:
"Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad), 'Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?' Katakanlah, 'Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan). Oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?'
"Bertanyalah (wahai Muhammad), 'Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebenaran?' Katakanlah, 'Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran. Maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?'." (Yunus 10: 34 - 35)
** Insya-Allah, ikhlas dari WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment