Banyak tamsil ibarat
daripada kisah dan penceritaan. Soal besar dan pasti tentang kematian
dimudahkan fahamnya dengan ayat-ayat mudah bersama tamsil kisah dan cerita.
Tidak dinafikan jiwa
saya bergetar di banyak catatan dan tazkirah. Demi Allah yang nyawa saya berada
dalam genggaman-Nya, diri ini gementar dan insaf. Moga insaf itu selamanya
menjadi teman dan ditransformasikan menjadi amal baik buat menemani di alam
barzakh.
Soal mati yang baik,
mati yang buruk dan balasan setiap jenis mati itu diberitakan Allah dan
Rasulullah (SAW). Itulah yang ditata oleh penulis dengan baik dan menyentuh roh
saya. Alam kubur adalah misteri, namun misteri itu dikhabarkan oleh Rasulullah
(SAW). Justeru itu panduan untuk kita agar jangan menjadi hamba Allah yang
menerima siksa kubur yang dahsyat. Belum lagi seksa akhirat yang maha dahsyat
juga.
Satu bab yang menarik
(antara bab-bab lainnya) ialah berkenaan sahabat kita berupa Al-Quran. Dalam
sebuah buku, saya ada nukilkan hadis Rasulullah (SAW) berkenaan seorang pemuda
yang menemani kita di dalam kubur. Itulah sahabat yang dimaksudkan, sahabat
yang bersama kita sehingga ke alam kubur, dan menjadi pembela kita. Penulis
buku ini bercerita lebih terperinci lagi. Insya-Allah, kematian husnul khatimah andai kita sentiasa
membaca, mentadabbur dan seterusnya mengamalkan setiap yang kita kutip daripada
Al-Quran.
Sebaik usai membaca
bahagian ini, terus saya mengambil mushaf tafsir Al-Quran dan membacanya.
Lantas bertemu ayat 48, Surah al-A’raf dengan maknanya, “Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa
orang (ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: ‘Nampaknya
kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa
yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu’.”
Tafsir lain ialah “Harta
yang kamu kumpulkan dan apa yang kamu sombongkan” itu “ternyata tidak ada
manfaatnya buat kamu.”
Subhanallah! Sebuah
petunjuk untuk saya, insya-Allah. Begitu juga harapan dan doa saya serta
penulis buku ini, bahawa harta boleh dicari, tetapi ingatlah mati dalam usaha
itu. Justeru mati itulah penamat gembiranya mengumpul harta, walaupun dalam
kaedah halal, apatah lagi dengan cara jalan haram yang pastinya seksa kubur dan
akhirat menanti.
Cukuplah kematian itu
nasihat terbesar para Mukmin, insya-Allah.
** Dari blog Galeri Ilmu juga di sini.
0 comments:
Post a Comment