Banyak kali dalam
Al-Quran Allah menyebut dan menyuruh hamba-Nya agar mengembara. Menurut pakar
tafsir, terdapat dua belas kali ungkapan serupa atau sama erti ditemui dalam
kitab suci umat Islam itu. Dalam pada itu, sebahagian besar kandungan Al-Quran
adalah kisah dan ceritera. Perkisahan sejarah makhluk dan manusia.
Sejarah? “Bosanlah
subjek sejarah!”, “Malas aku dengan sejarah. Asyik kena hafal tarikh, nama dan
peristiwa sahaja!”, “Aku tak suka sejarah! Payah mahu menghafal!”
Itulah
ungkapan yang sering kita dengar, atau kita yang berkata demikian, terutamanya semasa di bangku sekolah. Sahabat Rasulullah (SAW), Abdullah bin Mas’ud berkata, “Jika
kalian menginginkan ilmu, maka telaahlah Al-Quran kerana di dalamnya terdapat
ilmu generasi manusia pertama dan terakhir (atau ilmu umat dahulu dan
mendatang).”
Orientasi
peperiksaan yang perlukan pelajar menghafal menjadikan subjek sejarah atau
tawarikh menjadi bosan, terasa tidak penting dan bahkan timbul pertanyaan,
“Buat apa belajar sejarah?”
Pada
hemat saya sang fakir ini, apa yang perlu bukannya ‘menghafal’ secara harafiah,
tapi yang terlebih utama ialah memahami sejarah tertentu, terutama sejarah
Islam dan bangsa sendiri. Dalam pada itu dalam menelaah sejarah bangsa sendiri,
jangan pula bertujuan untuk rendahkan bangsa-bangsa lain tanpa sebab yang
munasabah.
Ya,
memahami dan mentaakul apakah yang ditulis oleh sejarawan, terutamanya yang
ikhlas menulis, bukannya berdasarkan tujuan jahat lagi busuk. Kalau setakat
menghafal, burung kakak tua pun boleh. Burung gembala kerbau pun boleh!
Suruhan
Allah itu bukan setakat berjalan di atas hamparan muka bumi ini, bahkan
mengelilingi dunia demi meraih banyak bukti konkrit akan peristiwa yang telah
terjadi. Maknanya lebih luas dan bermanfaat sekiranya sejarawan, dan kita
sebagai majoriti umat manusia menelaah apa kejadian alam ini. Apa ibrah atau
pengajaran daripada umat-umat yang pernah berbuat onar jahat di atas muka bumi,
yang telah musnah atau hilang itu.
Dengan
sifat-Nya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Allah tidak berikan
ilmu-Nya hanya untuk orang-orang Islam sahaja. Seperti juga rezeki, Allah
berikan kepada semua hamba-Nya yang berusaha. Justeru sejak lama dahulu, ramai
cerdik pandai bukan Islam meneroka kisah-kisah manusia yang pupus, dan kemudian
mereka dokumenkan. Kita boleh ambil hasil kajian mereka itu, insya-Allah. Harus
dimaklumi, majoriti daripada kita tidak berupaya mengembara apatah lagi menjalankan
kajian arkeologi terhadap tinggalan manusia silam.
Mengapa
Al-Quran mengandungi ceritera dan mengapa Allah secara khusus menyuruh
hamba-Nya berjalan? Insya-Allah, ia justeru kerana sejarah bakal berulang,
seperti mana kata-kata Abdullah bin Mas’ud di atas.
Berjalan
atau membaca catatan sejarah bererti membaca masa lalu untuk memahami masa
sekarang dan mentafsir masa hadapan. Walaupun masa depan masih tetap dalam ilmu
Allah yang Maha Agung, namun dengan izin-Nya juga kita dapat belajar sesuatu.
Itu pasti.
Sungguh
alam tidak tempang, justeru alam juga makhluk Allah yang sentiasa dan tetap
kekal benar dalam tindakannya. Hanya kita - jin dan manusia serta makhluk lain
- yang selalu berlaku tidak adil terhadap amanah yang diberikan oleh Allah.
Justeru alam buana ini hanya menurut titah perintah Tuhan yang Maha Berkuasa
dan Maha Membalas.
Dalam
menulis novel sejarah ini, sekiranya wujud elemen-elemen samar (dan selalunya
begitu) saya merujuk kepada tiga sumber utama; (1) Sastera, catatan atau
lagenda / epik orang terdahulu, (2) Taurat (Perjanjian Lama) dan Bible
(Perjanjian Baru) yang sudah diubah, dan akhirnya dibetulkan dengan sumber
paling ampuh - (3) Kitab Al-Quran dan hadis Rasulullah.
Dari
sebuah buku, dicatatkan bahawa:
“Para
sejarawan membahagi catatan sejarah kepada dua kategori utama. Pertamanya
sejarah khusus yang menurut kebiasaannya sesuai dengan hasrat penulis atau
senario penguasa di suatu ketika, atau boleh juga disebut sebagai pandangan
etnosentris setempat.” Jelas yang kategori ini boleh sahaja rentan (bahagian
yang lemah atau berbeza dari fakta sebenar), dan bakal wujud di sana-sini
penyimpangan serta pandangan yang tidak adil. Justeru akibatnya ialah
ketidakbenaran dan keikhlasan sangat diragui.
“Kategori
kedua ialah apa yang disebut sebagai sejarah umum. Kategori ini berasas di atas
kebenaran dan fakta yang tidak berdolak-dalih. Ia terungkap di atas peristiwa
benar dengan ungkapan bersih daripada tohmahan jahat. Jenis sejarah ini
berorientasi kepada usaha membahas pelbagai peristiwa masa lalu dengan tujuan
mengambil sudut positifnya.” Tambahan dari saya ialah mengambil ibrah mana yang
baik dan belajar agar bahagian yang busuk dihindarkan. Maka akhirnya catatan
sejarah kategori ini boleh dijadikan rujukan tuntas untuk manfaat seluruh
manusia.
Justeru, dalam menulis beberapa novel sejarah, saya merujuk epik sesuatu bangsa,
Perjanjian Lama (Taurat), Perjanjian Baru (Bible), dan Al-Quran yang turut
merangkumi tafsir para ulama silam dan kontemporari. Seterusnya penemuan dunia
Barat dan Islam di era moden. Akhirnya lakukan rujuk silang dengan tafsir
Al-Quran. Saya seimbangkan teks antara ayat-ayat naratif dan dialog
(terutamanya dialog dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah akan diambil terus).
Di
tempat / sub-plot tertentu mungkin elok gunakan Teknik Suraf Yusuf yang
dianjurkan oleh Puan Ainon Mohamad, guru saya yang mencungkil bakat sang
penulis ini. Contohnya adakan watak tambahan, seperti dialog di bawah untuk
sifat-sifat sesuatu peristiwa:
Seorang lelaki bertanya kepada temannya yang berada di sisinya, "Kau nampak bagaimana Nabi Nuh mengajak anak dan isterinya naik ke bahtera ini?"
Temannya menjawab, "Ya, aku nampak. Kasihan aku lihat Nabi Nuh. Keadaan semakin gawat, ombak bertambah besar dan hujan semakin lebat.”
"Mengapa anak dan isterinya degil sangat?"
Teman lelaki itu berkata sambil menunjuk ke arah isteri dan anak Nabi Nuh, "Aku pun kurang pasti. Kasihan Nabi Nuh kerana isteri dan anaknya hanyut dibawa arus deras.”
“Apa boleh buat.”
Ambilan sumber Barat dari Taurat dan Bible serta epik tidaklah
sesuatu yang tidak boleh sama sekali. Justeru epik juga adalah catatan
peristiwa di suatu tempat bagi suatu bangsa atau negara atau kaum. Mungkin yang
wajib diteliti adalah elemen-elemen tokok tambah yang tidak benar, yang
seharusnya diisih sebaik mungkin.
Semasa sesi Sanggar Penulis Bersama Web Sutera di hari terakhir Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013) yang lalu, seorang pelajar
IPTA bertanya, “Adakah novel sejarah boleh diambil rujukan sebagai bahan utama
pembelajaran sejarah?”
Jawapan saya secara ringkas, “Harus difahami novel sejarah antara lain
terisi persepsi atau sudut pandang penulis terhadap latar suatu peristiwa.
Walaupun demikian, penulis yang ikhlas dan benar-benar mengkaji subjek yang
ditulis wajib menintakan apa yang benar, walaupun pahit. Ia masih tetap sebuah
novel dengan dialog-dialog bayangan, namun ia berakar dari ayat naratif catatan
sejarawan.
“Bukannya tidak boleh dijadikan rujukan utama untuk subjek sejarah di
sekolah dan pusat pengajian tinggi, tapi kena berhati-hati. Boleh diambil
maklumat, dan kemudian sebaiknya membuat rujuk silang bersama nota-nota atau
kajian ilmiah atau buku teks.”
Ringkasnya begitulah jawapan saya. Sebagai peminat domain sejarah dan
penulis novel sejarah, saya cuba sedaya upaya kekal di landasan disiplin
pengkajian sejarah. Paling utama disiplin tafsir Al-Quran dan kajian hadis Nabi
Muhammad bin Abdullah (SAW) dikekalkan, tidak melangkau yang tidak boleh,
apatah lagi yang melanggar hukum Islam. Di sini saya yang bukan seorang ustaz
atau lulusan bidang agama, amat bergantung harap kepada ilmuan Islam dalam
merujuk.
Oleh sebab itu, gerakan penulisan novel sejarah yang mengebu-gebu di Malaysia
ini seharusnya diterima baik semua pihak. Teguran, nasihat malah melurus mana
yang agak bengkok seharusnya disalurkan secara berhemah dan secara disiplin
keilmuan. Bukan tohmahan semata-mata, sekadar mencari salah pihak tertentu.
Antara matlamat sang penulis fakir ini ialah, seperti juga novelis
sejarah mapan negara Pak Latib, agar subjek sejarah yang dikata bosan itu
dimudahkan melalui novel. Namun harus diingat selalu, kekalkan disiplin kajian
ilmiah dalam bidang ini, walaupun dari sumber sekunder. Sekali lagi, apa yang
amat perlu ialah memahami sejarah, bukannya menghafal tanpa melihat sisi
pengajarannya.
Al-Quran
bercerita, alim ulama mengkaji, manusia Islam dan kafir meneroka. Kebesaran
Allah dan ilmu-Nya akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
Dengan nama Allah yang Maha Berilmu, saya persembahkan novel sejarah
untuk anak bangsa yang dicintai. Insya-Allah, demi redha Dia yang Maha Gagah.
“Kutip,
isih, tulis, baca, telaaah, sebar dan amalkan. Itulah suruhan Al-Quran.
Sungguh, hikmah itu milik Mukmin yang tercicir,” tulus alam berbicara.
Akhirnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.
Akhirnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.
0 comments:
Post a Comment