Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.


Pangkalan Madinah, Tahun 2579 Masihi

“Komghazi,” Jeneral berkata sayu kepadanya, “kami sungguh bimbang dengan keadaan tuan. Majlis Syura bersedih seandainya kami kehilangan tuan." 

Komghazi Sulaiman Pasha menyahut, “Jeneral, terima kasih atas keprihatinan Majlis Syura. Saya sungguh terharu dan berbangga dengan tanggungjawab yang diamanahkan. Insya-Allah, andai bukan ajal saya, hidup lagi dalam meneruskan misi jihad ini.” Di akhir kata-kata, matanya sedikit bergerenyit menahan sakit.

Melihat keadaan Komghazi Sulaiman, Jeneral berkata, “Usah bergerak lagi, Komghazi. Tetap duduk di situ.” Lantas beliau bergerak pantas dan memaut bahu ketua jurutera itu sebagai topang untuk berdiri.

Jeneral menambah, “Kami tahu kesetiaan dan semangat Komghazi. Kami dimaklumkan akan tahap luka. Ia agak teruk, beberapa tulang rusuk patah disamping kecederaan kaki tuan. Saya cukup risau akan keadaan tuan."

“Bukan serius sangat pun, Jeneral.”

Beliau menyuruhnya diam lalu berkata, “Usah nafikan luka itu, Komghazi. Kita tetap manusia, berasa sakit. Tuan akan saya bawa ke panel doktor untuk rawatan segera dan terperinci. Tiada dalih lagi. Andai ingin terus berjuang, fizikal mesti dalam keadaan sihat.”

Komghazi Sulaiman Pasha hanya tersenyum. Sebentar cuma, senyuman itu sirna menahan sakit. “Sebelum itu, Jeneral,” dia menyeluk ke dalam baju perisainya dan mencapai satu cakra, “Ambil ini dan berikan kepada kumpulan saintis kita. Saya percaya maklumat yang dirakam sangat penting untuk misi kita.”

Cakra itu bertukar tangan, lantas diserahkan kepada Dr. Umar Dunayev. “Sila segera teliti isi kandungannya, Doktor. Beri laporan sebaik sahaja tahu apa di dalamnya."

“Baik, Jeneral. Insya-Allah,” Dr. Umar Dunayev segera berlalu dari bilik itu.

“Okey, Komghazi Sulaiman. Segera ke bilik perubatan. Kita sambung bual kemudian,” kata Jeneral sekali gus arahan. Beliau memeluk lembut Komghazi Sulaiman Pasha dan berbisik, “Mujur aku dapatkan akhi kembali, sahabat. Alhamdulillah.”

Jeneral berundur dan meminta pengawalnya memegang Komghazi Sulaiman Pasha, dan secara berhati-hati memapahnya ke sebuah kerusi roda. Dari situ, dia dibawa ke sayap perubatan kompleks pangkalan Madinah.

@@@@@@@

Kapal berbentuk lonjong bersayap kecil di kedua-dua sisi kiri dan kanan itu pernah diserang hebat oleh sekumpulan piring terbang di Segitiga Bermuda. Komander Ghazi Sulaiman Pasha dan beberapa orang krew hampir-hampir terkorban. Misi mengintai dan memantau di kawasan Dajjal itu membuahkan hasil lumayan. Banyak rahsia terkini teknologi kegelapan itu dapat diperoleh.

Jeneral pada mulanya ingin memusnahkan kapal itu, namun Komghazi Sulaiman Pasha mahu membaik pulih kapal kesayangannya itu. “Insya-Allah, Jeneral. Saya dan pasukan jurutera kita akan memberi wajah baharu kepada kapal ini. Doakan kami, Jeneral.” Itulah tekadnya.

Kebenaran diberikan oleh Majlis Syura pangkalan Madinah. Dengan kelolaan Komghazi Sulaiman, kapal lonjong itu ditukar dan dibaik pulih menjadi sesuatu yang baharu. Kerja-kerja dilestarikan menggunakan teknologi kejuruteraan termaju yang belum pernah diterokai oleh mana-mana negara.

Enjin kapal itu disusun semula dan direkabentuk dengan teknologi nuklear agar berkuasa tinggi. Apabila siap, kapal itu mampu bekerja dalam dua tahap. Senjata meriam laser dibuat perubahan dengan menggunakan kabel untuk bekerja dalam kaedah gelombang berkeliling osiloskop – dengan itu berupaya menembak sinar yang boleh memotong sebarang logam atau bebatuan.

Komghazi Sulaiman Pasha juga membentuk semula meriam proton dan bersedia memberi ‘impak tambahan’, seperti mana yang dia sebutkan. Kapal itu berupaya bergerak lebih laju melebihi kapal-kapal lain, mungkin menyamai piring terbang binaan kerajaan syaitan di Segitiga Bermuda. Ia juga lebih mudah dikemudikan.

Perisainya terbentuk dalam beberapa lapisan di sekeliling badan kapal dan beroperasi pada frekuensi berputar. Hasilnya, kapal itu tidak dapat ditembusi oleh sebarang senjata, baik peluru berpandu atau pancaran laser buatan terkini. Komghazi Sulaiman Pasha memberinya nama Ababil.

@@@@@@@

Tujuh tahun selepas 2579 Masihi

Dalam tempoh hampir tujuh tahun selepas pembinaan semula Ababil, banyak kali ia diguna pakai bagi operasi pengawasan dan intipan di sekitar Segitiga Bermuda dan dalam wilayah Timur Tengah, termasuk di sekitar negara haram Israel, Tebing Barat dan Gaza. Banyak maklumat rahsia dikumpul dan dianalisa, kemudian dibuat keputusan penting dalam Majllis Syura dan Sidang Komander Ghazi atau Komghazi.

Dalam satu operasi intipan, Ababil bergerak laju memintas tiga buah piring terbang di samudera rahsia di Bermuda. Kehadiran Ababil dapat dikesan oleh pihak keselamatan segitiga itu. Walaupun diserang secara berkala oleh tiga kapal musuh, Ababil dapat mengelak.

Sebaik ada kesempatan, ketiga-tiga piring terbang hitam yang sebelumnya mengejar Ababil, bertukar sebaliknya. Sasaran dikunci, dalam masa beberapa detik sinaran laser besar dilancarkan dari Ababil berwarna perak itu. Sinaran itu sangat terang sehinggakan tentera dalam Ababil terpaksa melindungi mata mereka. Apabila sinaran itu hilang dan pandangan mereka kembali, tiga buah kapal musuh tidak kelihatan lagi.

Berkecai tanpa kesan!

** Hakcipta Terpelihara 2013 WEB SUTERA.

0 comments:


Photobucket
top